Browsing Tag

Curi atau mengambil barang orang

Berita Semasa,

Curi atau terambil barang orang tanpa izin, apa perlu kita buat

SETIAP orang pasti pernah melalui masa lampau yang kurang baik. Namun begitu, tidak selamanya kita akan dihimpit dengan kenangan silam yang mungkin pahit untuk dikenang.

Apatah lagi jika ia melibatkan aib dan maruah diri. Barangkali dulu kita pernah ada sisi gelap tersendiri.

Tidak pernah orang lain tahu mengenainya dan ia tersimpan kemas dalam hati. Bimbang pula jika ia diceritakan kepada orang akan membuka aib diri sendiri. Lebih teruk jika kita dimalukan.

Namun begitu, jika sisi gelap tadi melibatkan kesilapan kita kepada manusia lain seperti pernah mencuri atau mengambil duit, barang dan sebagainya tanpa izin pula bagaimana?

Seandainya kita sudah bertaubat, bagaimana cara kita untuk memulangkan semula? Adakah ia boleh dilakukan secara rahsia kerana malu atau ia perlu dilakukan dengan jujur dengan mengakui kesilapan sebelum ini?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Syed Bakri Al-Yahya atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Syed menjelaskan, secara asasnya, berterus terang dan bersemuka merupakan jalan yang terbaik.

“Namun, jika merasakan ia akan menyebabkan aib diri terdedah dan juga boleh jadi orang itu akan membenci kita selamanya, maka boleh kita (lakukan) secara sembunyi-sembunyi dengan memulangkan barang yang pernah kita ambil.

“Begitupun, barang yang dipulangkan itu mestilah tidak berkurang sedikit pun,” katanya dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Dalam pada itu, PU Syed turut mencadangkan agar kita mengepilkan catatan atau menitipkan nota kepada individu berkenaan.

Curi atau mengambil barang orang

DISARANKAN supaya menulis nota meminta maaf ketika memulangkan wang atau barang yang pernah dicuri atau diambil tanpa izin sebelum ini.

“Dalam nota itu, tulislah kita memohon maaf dengan orang tersebut.

“Selebihnya, mohon ampunlah kepada ALLAH atas kesilapan-kesilapan kita yang lepas. ALLAH MAHA MENERIMA TAUBAT hamba-hamba-NYA yang ikhlas bertaubat,” ujar beliau.

Bagaimana pula jika ia individu yang kita terambil duit atau barangnya melibatkan peniaga yang tidak diketahui di mana keberadaannya? Bagaimana hendak pulangkan semula barang miliknya?

Jelas PU Syed, kita digalakkan untuk mencarinya terlebih dahulu dengan sebaik mungkin.

“Jika gagal, boleh sedekahkan atas namanya,” katanya.

Andai kita tidak ingat berapa jumlah wang atau barang yang pernah diambil tanpa, pendakwah itu berkata, ia berlandaskan keyakinan kita untuk membayar jumlah yang yakin diambil oleh kita sebelum ini.

Apa-apapun berhati-hatilah jika ia melibatkan dosa kita kepada orang lain. Dosa sesama manusia tidak akan diampunkan oleh ALLAH selagi mana kita tidak dimaafkan oleh individu berkenaan.

Andai ketika zaman kita jahil dahulu pernah terambil hak orang tanpa izin, cepat-cepatkanlah pulangkan semula haknya. Paling tidak pun, mohonlah kemaafan daripadanya.

Sumber: Instagram @syedbakri_alyahyaofficial