Browsing Tag

Culas bayar fidyah

Culas bayar fidyah
Hukum,

Culas bayar fidyah ibarat berhutang dengan ALLAH

Culas bayar fidyah ibarat berhutang dengan ALLAH

JANGAN sesekali meremehkan, apalagi culas bayar fidyah. Itu yang penulis boleh simpulkan berdasarkan temu bual bersama dua orang agamawan berkaitan topik berkenaan.

Sesungguhnya, ia bukan perkara main-main apabila melibatkan kewajipan yang telah disyariatkan oleh ALLAH SWT kepada hamba-NYA.

Sebelum ini, penulis pernah berhadapan dengan seorang rakan yang kesal kerana tidak tahu bahawa arwah bapanya tidak pernah membayar fidyah selama lebih 10 tahun.

Culas bayar fidyah

JANGAN culas membayar fidyah kerana ia dianggap berhutang dengan ALLAH SWT.

Ceritanya begini, bapa rakan penulis sudah lama uzur dan tidak berdaya untuk berpuasa setiap kali Ramadan.

Semua anaknya tahu keadaan orang tua mereka. Namun, tiada seorang pun cakna tentang pembayaran fidyah warga emas berkenaan. Keadaan itu berlanjutan sehinggalah akhirnya bapa rakan penulis dijemput menghadap Ilahi.

Ketika mahu memulakan proses faraid selepas dua tahun bapanya meninggal dunia, barulah kawan penulis tadi tahu bahawa arwah bapanya tidak pernah membayar fidyah selama ini!

“Kami sedih sangat sebab biarkan ayah kami terseksa gara-gara hutang puasanya itu. Sungguh, kami benar-benar tak tahu,” ceritanya penuh kekesalan.

Itu hanya satu contoh kes berkaitan fidyah. Penulis percaya, ramai lagi mengalami situasi hampir sama. Hanya jalan ceritanya berbeza.

Baca juga Jika tak mampu ganti puasa dan bayar fidyah, apa patut dibuat?

Siapakah golongan yang dikenakan fidyah itu? Adakah ia hanya terpakai bagi mereka yang meninggalkan ibadah puasa Ramadan semata-mata?

Satu bentuk penebusan

Apabila tanda tanya itu diajukan kepada Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor, Ustazah Noor Rashidah A Rahman, beliau memulakan butir bicaranya dengan memperincikan maksud fidyah.

USTAZAH NOOR RASHIDAH

Jelas beliau, fidyah adalah pembayaran oleh seseorang yang tidak dapat melaksanakan puasa pada bulan Ramadan atas alasan tertentu atau mereka yang melanggar syarat-syarat spesifik bagi sesuatu ibadah.

“Dalam erti kata lain, fidyah adalah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik dalam bentuk harta mahupun tindakan lain kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Ia sebagaimana disebutkan dalam al-Quran menerusi ayat 184, Surah al-Baqarah.

Berdasarkan dalil itu, ujar penceramah tersebut, pensyariatan fi dyah berkenaan sebagai antara satu bentuk keringanan (rukhsah) bagi mereka yang tidak mampu melaksanakan ibadah secara fi zikal dan menggantikannya dalam bentuk harta.

“Bahkan, ia juga sebagai satu bentuk penebusan seorang Muslim atas ketidaksempurnaannya melaksanakan ibadah wajib puasa.

“Oleh itu, fidyah disyariatkan sebagai jalan keluar kepada permasalahan tersebut,” ungkapnya.

Lantaran itu, jelas beliau, wajib hukumnya membayar fidyah mengikut bilangan hari puasa fardu yang ditinggalkan.

“Ia menjadi satu tanggungan (hutang) kepada ALLAH SWT sekiranya tidak dilaksanakan,” tegasnya.

Enam golongan wajib fidyah

Menyambung hujahnya, Ustazah Noor Rashidah kemudian memperincikan enam kelompok yang perlu membayar fidyah sebagaimana digariskan oleh syarak.

Baca juga Lelaki yang ponteng puasa Ramadan wajib qada, bayar fidyah

Golongan itu termasuklah:

1. Orang tua yang tidak mampu berpuasa danjika mereka berbuat demikian akanmemudaratkan diri serta kesihatan tubuh. Mereka diberikan keringanan untuk tidak berpuasa dan perlu membayar fi dyah.

2. Individu yang sakit berpanjangan dantiada harapan sembuh berdasarkanpengesahan doktor perubatan.

3. Wanita mengandung dan bimbang keselamatan bayi yang dikandungnya. Mereka perlu membayar fidyah dan mengqadakan puasa yang tidak disempurnakan.

Culas bayar fidyah

WANITA menyusukan anak dan bimbang jika dia berpuasa akan memudaratkan bayi disusuinya, maka dia wajib membayar fidyah mengikut bilangan puasa yang ditinggalkan. -Foto: 123rf

4. Wanita menyusukan anak dan bimbang memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan anak kecil itu andai dia berpuasa. Golongan itu wajib melunaskan fidyah dan menggantikan puasa yang ditinggalkan.

5. Orang yang tidak sempat menggantikan puasa pada tahun dia meninggalkan ibadah berkenaan dalam bulan Ramadan sehingga masuknya Ramadan berikutnya. Kelompok itu diwajibkan membayar fidyah dan kekal mengqadakan puasanya.

6. Seseorang yang meninggal dunia danbelum sempat qada puasa yangditinggalkannya. Ahli waris perlu membayar fidyah si mati dengan menggunakan harta arwah atau milik mereka sendiri.

Bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan disebutkan tadi, Ustazah Noor Rashidah mengingatkan agar segera membayar ‘denda’ tersebut.

“Ketahuilah, individu yang lambat menggantikan puasanya hingga telah tiba Ramadan tahun berikutnya, mereka akan dikenakan bayaran fidyah dan tetap wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan.

“Bahkan, bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun yang akan ditinggalkan. Sementelah, bilangan hari ganti puasa pula adalah kekal,” katanya.

Kepada satu soalan, pendakwah itu menjawab: “Membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya. Ini kerana puasa tersebut wajib digantikan mengikut bilangan hari ditinggalkan.

“Ini merupakan hutang kepada ALLAH yang wajib dibayar. Jangan sesekali meremehkan urusan tersebut apalagi culas bayar fidyah. Dalam sebuah hadis masyhur ada memberi peringatan jelas, jiwa seorang mukmin akan tergantung dengan hutangnya sehinggalah dia melunaskannya.”

Baca juga Jangan Culas Bayar Fidyah

Sebelum mengakhiri bicaranya, Ustazah Noor Rashidah mengemukakan sebuah hadis peringatan daripada Nabi Muhammad SAW perihal hutang tersebut sebagai iktibar bersama.

Culas bayar fidyah

SEKALIPUN fidyah sudah dibayar, ia tidak menggugurkan kewajipan ganti puasa yang telah ditinggalkan. -Foto: 123rf

Salamah bin Akwa RA berkata: “Pernah suatu ketika kami duduk bersama Rasulullah SAW, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah SAW: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW: “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab: “Tidak”. Rasulullah SAW bersabda: “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.

Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon: “Wahai Pesuruh ALLAH! Solatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah SAW: “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah SAW bersabda: “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab: “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.

Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disolatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah SAW: “Apakah ke atasnya hutang?” Mereka menjawab: “Tiga dinar”. Lalu Baginda bersabda: “Biar kalianlah yang bersolat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah merespons: “Mohon solat ke atas jenazah ini, wahai Pesuruh ALLAH, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensolatkan jenazah itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.