Browsing Tag

Cpvid-19

Berita, Berita Semasa,

Miskin akibat Covid-19, LZS bantu golongan terkesan

PANDEMIK Covid-19 memberi impak yang begitu mendalam kepada kehidupan masyarakat.

Bukan sahaja kesan dari sudut kesihatan dan normal baharu yang diamalkan, tetapi juga impak kepada ekonomi keluarga.

Tempiasnya turut dirasai apabila ada keluarga yang hilang mata pencarian dan jatuh miskin sementara akibat hilang pekerjaan. Malah, ada juga yang dipotong gaji oleh pihak majikan.

Melihat situasi berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusop berkata, pihaknya menyediakan Bantuan Alternatif Insan Terkesan (BAIT) yang akan diberikan kepada 5,000 hingga 6,000 keluarga miskin sementara yang terkesan akibat pandemik itu.

Jelas beliau, menerusi unjuran dilakukan pihaknya pada bulan April dan Mei lalu, LZS menjangkakan peningkatan jumlah asnaf sehingga 80,000 keluarga di negeri itu pada tahun ini.

“Dalam program BAIT yang dimulakan bulan ini, mereka akan diberikan bantuan selama tiga hingga enam bulan iaitu sebanyak RM500 hingga RM1,500 sebulan dan juga bantuan lain yang diperlukan mengikut keadaan keluarga masing-masing.

“Ia adalah antara cara kita memastikan bahawa mereka yang menjadi miskin sementara akibat Covid-19 ini dapat kita dibantu secepat mungkin.

“Bantuan secara sekali gus (one-off) ini dapat membantu sementara mereka mendapat pekerjaan baharu atau berniaga,“ katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Zakat Korporat kepada Restoran-Restoran McDonald’s di Selangor di Petaling Jaya baru-baru ini.

Miskin akibat Covid-19

SAIPOLYAZAN (kiri) dan Azhar ketika Majlis Penyerahan Sijil Zakat Korporat kepada Restoran-Restoran McDonald’s menyatakan komited membantu mereka yang terkesan akibat Covid-19 dan golongan asnaf.

Pada majlis itu, LZS menyampaikan Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat kepada pengendali rangkaian restoran McDonald’s Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd.

Ia sebagai satu bentuk akuan kepada syarikat-syarikat yang menunaikan zakat perniagaan di Selangor. Malah, McDonald’s Malaysia menjadi penerima pertama sijil berkenaan daripada LZS.

Sijil berkenaan akan dipamerkan di 94 buah restoran McDonald’s di seluruh Selangor.

Sementara itu, Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, selain membayar zakat, syarikat itu turut terlibat membantu golongan asnaf.

Beliau menambah, pihaknya juga bekerjasama dengan pusat-pusat zakat negeri bagi mengenal pasti anak-anak asnaf untuk diserapkan dalam Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia.

“Sejak 2017, sebanyak 1,200 belia termasuk 62 anak asnaf mengikuti kursus di bawah program berkenaan.

“Sebanyak RM30,000 peruntukan disediakan bagi setiap peserta termasuk elaun bulanan sebanyak RM1,200 dan mengambil kira segala tanggungan sepanjang program dua tahun ini.

“Mereka akan mendapat Sijil Kemahiran Tahap 3 dalam bidang pengendalian makanan daripada Kementerian Sumber Manusia.

“Sebahagian mereka yang tamat pengajian telah pun mendapat tawaran bekerja dengan McDonald’s Malaysia,“ katanya sambil memberitahu program perantis berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang.

Secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia membayar zakat korporat 2019 sebanyak RM1.4 juta untuk seluruh negara. Di Selangor sahaja, sebanyak RM101,000 zakat korporat dibayar.

Foto: 123rf