Browsing Tag

Covid-19

erdogan speech AA
Berita Semasa, Jendela Dunia,

Vaksin COVID-19 Turkovac Mula Percubaan Fasa 3 Di Turki

no comment

Oleh MUHAMMAD YUSUFF HASSAN

VAKSIN Covid-19 buatan Turki memulakan percubaan Fasa 3 Selasa lalu dengan Presiden Recep Tayyip Erdoğan menamakannya “Turkovac.”

Vaksin yang diperkembangkan hasil kerjasama Universiti Erciyes dan Institut Kesihatan Turki, sebelum ini dikenali dengan nama Erucov-Vac, sempena nama universiti.

Ia dijangka menjadi vaksin buatan Turki pertama yang tersedia di negara itu jika mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan setelah menjalani semua ujian keselamatan.

Berucap melalui siaran video kepada pegawai-pegawai kesihatan, termasuk Menteri Kesihatan Fahrettin Koca pada upacara diadakan di pusat aplikasi vaksin di Ankara City Hospital, Erdogan mengatakan vaksin buatan tempatan itu “kritikal” untuk menyelamatkan Turki dari ancaman wabak.

“Kita berada pada tahap terakhir untuk memiliki vaksin sendiri. Saya harap vaksin ini dapat dikeluarkan secara besar-besaran dan digunakan secara meluas dalam masa terdekat.

“Saya menyeru warga negara kita agar diberi vaksin secepat mungkin untuk melindungi diri dan orang yang mereka sayangi dari (pandemik) ini, ”kata Erdoğan.

Yasin Kandemir, sukarelawan pertama percubaan Tahap 3, vaksin Turkovak di ibu Negara Turki Ankara, Turki, pada 22 Jun 2021. (FOTO : AA)

Presiden Turki itu menyatakan hasratnya adalah untuk memvaksinasi seluruh penduduk yang berumur 18 tahun ke atas dalam beberapa minggu, seterusnya membolekan pembukaan semula kegiatan ekonomi dan sosial.

Vaksin Turkovac yang menggunakan kaedah suntikan“inactivated virus” akan dicuba oleh ribuan sukarelawan dan pakar mengatakan keseluruhan proses akan dapat diselesaikan menjelang November.

Sekiranya proses percubaan dan kelulusan dijalankan dengan lancar, vaksin itu akan tersedia sepenuhnya untuk penduduk Turki pada awal tahun depan.

Percubaan dilaksanakan di lebih daripada 20 pusat Turkovac di seluruh Turki. Negara itu juga merancang untuk mengeksport vaksin setelah ia disetujui, dan mendapat kelulusan pihak berwajib.

Sumber : Daily Sabah

Hamba ALLAH
Gaya Hidup,

Ambil Kesempatan Dalam PKP 3.0 Jadi Hamba ALLAH Terbaik

no comment

Oleh NURUL HAJAR JAMALUDDIN

TREND kes harian Covid-19 di Malaysia mencatatkan angka yang masih menggusarkan. Keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi membendung wabak berkenaan daripada terus merebak amat dialu-alukan.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat, maka janganlah kamu masuk ke kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya.“ (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis tersebut, sewajarnya kita sebagai rakyat yang patuh, perlu bersama-sama berganding bahu menyahut saranan kerajaan dan Kementerian Kesihatan agar terus duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak untuk keluar.

Benar, secara fitrahnya, pelaksanaan PKP 3.0 bukanlah satu perkara yang disukai ramai. Banyak perkara yang lazimnya dilakukan, tidak dapat dibuat.

Ibu bapa misalnya, berdepan dengan seribu satu cabaran untuk menguruskan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak-anak menerusi medium dalam talian. Macam-macam ragam terutama anak-anak yang baru memasuki alam persekolahan.

Namun begitu, jika diperluaskan perspektifnya, ketika musim pandemik inilah, memberi ruang dan peluang kepada kita mempertingkatkan amalan dan ibadah yang selama ini mungkin tidak dapat dilakukan secara sempurna.

Umpamanya, setiap ibu bapa yang bekerja dari rumah dapat menjaga kesempurnaan ibadah anak-anak dengan memantau solat mereka, selain menemani dan membantu pelaksanaan PdPR.

Hamba ALLAH

SAMBIL bekerja dari rumah, ibu bapa boleh memantau pendidikan rohani anak-anak sepanjang PKP.

Fahamilah bahawa pendidikan rohani kepada cahaya mata juga merupakan tanggungjawab signifikan ibu bapa. Justeru, menitikberatkan urusan berkenaan dapat mempertingkatkan ketakwaan kepada ALLAH YANG MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI.

Baca juga 11 Amalan Yang Pahalanya Setara Seperti Tunaikan Haji, Umrah

Pun demikian, ketika usaha melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19, ada perkara lain yang tidak enak didengar. Apa lagi kalau bukan isu keganasan rumah tangga. Kes seperti isteri didera oleh suami sehingga menyebabkan kematian memang situasi yang sangat dikesali.

Sepatutnya, hal-hal sebegitu tidak berlaku kerana pada saat sukar ini, kasih sayang sepatutnya semakin bertaut dan masing-masing perlu bersatu hati untuk mengharungi apa sahaja situasi yang melanda.

Lazimi kalamullah

Namun, penulis tidak nafikan, lebih ramai di antara kita memanfaatkan peluang PKP 3.0 ini dengan sebaik-baiknya.

Kebanyakan keluarga nampaknya telah menggunakan masa keemasan yang ada dengan menggandakan amal ibadah bersama insan yang tersayang. Selain menunaikan ibadah secara berjemaah, mereka mengadakan sesi usrah untuk membina ukhuwah Islamiah yang kental.

Usaha itu selayaknya dipuji kerana ia merupakan salah satu cara untuk menambahkan kasih sayang sesama ahli keluarga.

Bagi kelompok suami yang hatinya yang sentiasa ‘melekat‘ di masjid, namun tidak dapat berbuat demikian ketika PKP, kesempatan yang terbentang luas kini perlulah digunakan untuk memimpin solat berjemaah bersama famili di kediaman masing-masing.

Apabila ahli keluarga dapat merapatkan saf bersama, pasti rahmat kasih sayang-NYA akan terbuka luas, sekali gus menjauhkan daripada berlakunya kes-kes rumah tangga yang menyayat hati.

Dalam pada itu, pada era pandemik ini, sesetengah orang yang kurang bernasib baik akan berhadapan dengan kekurangan sumber ekonomi dan paling menyedihkan pastinya kehilangan orang tersayang akibat Covid-19.

Dalam hal itu, kestabilan spiritual dan fizikal sangat didambakan. Justeru, satu anjakan paradigma perlu dilakukan agar kita tidak mudah mengangkat ‘bendera putih‘ terlalu awal ketika berdepan dengan situasi kritikal itu.

Hamba ALLAH


MANFAATKAN kesempatan masa yang diberikan untuk bersama keluarga dan pada masa sama, tingkatkan ibadah serta memperbetul bacaan anak-anak ketika mengaji.

Ingatlah, di mana ada usaha, di situ pasti ada jalannya. Pada penulis, bersama-samalah kita utuhkan sistem kekuatan dalaman atau spiritual dan fizikal bagi mewujudkan individu yang memiliki daya ketahanan yang tinggi serta tidak mudah koyak dengan cabaran.

Pada masa sama, kita perkukuhkan lagi ibadah terutama amalan solat. Dekatkanlah diri dengan ayat-ayat suci al-Quran. Sekiranya sudah lama tidak melazimkannya, mulakan dengan membaca surah yang menjadi kebiasaan dahulu.

Sesungguhnya, al-Quran al-Karim merupakan mukjizat yang diturunkan ALLAH kepada Rasulullah SAW junjungan kita. Setiap ayat yang dibaca, dengan izin-NYA, ALLAH akan menghadirkan sebuah ketenangan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Jika terdapat kekangan masa, dengarkanlah alunan ayat suci al-Quran. Biarkan ia menyapa halwa telinga kita dengan bait-bait kalimah ALLAH yang penuh indah.

Semoga spiritual kita terisi dengan ayat-ayat daripada kitabullah. Bertadabbur dan fahamilah isinya agar aras tingkatan amalan kita bertambah, walaupun ketika pandemik besar melanda.

Menerusi akal yang sihat dan cerdas, kesannya tubuh badan dapat berfungsi dengan baik. Ia seperti pepatah Arab yang menyatakan bahawa akal yang cerdas berada dalam badan yang sihat.

Sebelum mengakhiri kalam ini, suka untuk penulis mengingatkan semua umat Islam agar terus menormalisasikan bacaan zikir. Itulah ibadah yang masyru‘ (disyariatkan) oleh agama kita.

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik zikir ialah La ilaha illallah (Tiada tuhan yang layak disembah melainkan ALLAH).“ (Riwayat al-Tirmidzi, Ibnu Majah dan lain-lain)

Pada musim PKP inilah, masa yang sesuai untuk kita berusaha menjadi hamba ALLAH yang terbaik dari setiap segi sebelum pergi menemui-NYA nanti.

*** Nurul Hajar Jamaluddin ialah Pembantu Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Malaysia

Foto: Bernama & Freepik

Bantuan bayaran balik pembiayaan
Muamalah,

Manfaatkan Kemudahan Bantuan Bayaran Balik Pembiayaan Yang Ditawarkan Institusi Kewangan Islam

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

TIDAK dapat dinafikan, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara bermula 1 hingga 28 Jun ini sesungguhnya telah memberi banyak implikasi kepada pelbagai pihak.

Bagi penjawat awam, kesannya mungkin tidak begitu dirasai dari aspek kewangan. Namun, tidak bagi kakitangan swasta termasuk mereka yang bekerja sendiri dan para peniaga. Keadaan sekarang amat perit untuk dihadapi.

Saya yakin, mereka yang ada tanggungan hutang terutama dengan pihak bank akan berasa resah dan gelisah apabila kehilangan punca pendapatan atau mengalami pengurangan gaji.

Apatah lagi jika bergelut dengan masalah kewangan semenjak PKP 1.0.

Situasi mereka ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila kesukaran demi kesukaran datang bertimpa sejak Covid-19 menguasai dunia.

Masakan tidak, kehilangan pekerjaan atau pengurangan gaji menyukarkan mereka untuk menyelesaikan hutang tersebut sebagaimana ditetapkan dalam dokumen perjanjian.

Baca juga Telus Isytihar Jumlah Kos Pengurusan Jika Libatkan Wang Sumbangan Orang Ramai

Sesiapapun tidak mungkin boleh lari daripada tanggungjawab untuk membayar kembali hutang.

Bantuan bayaran balik pembiayaan

PANDEMIK Covid-19 memberi impak kewangan dan ekonomi kepada mereka yang bekerja sendiri akibat hilang punca pendapatan selain mereka yang bekerja makan gaji dalam sektor swasta akibat pengurangan gaji.

Dalam konteks kewangan Islam, institusi berkaitan sudah tentu sangat memahami kesukaran kewangan yang dihadapi oleh para pelanggan. Seperti yang semua ketahui, sejak PKP 1.0 lagi, bantuan moratorium telah diberikan.

Ya, memang tidak dinafikan, ia hanya dalam bentuk memberi peluang kepada pelanggan institusi kewangan Islam yang layak untuk menangguhkan bayaran balik hutang mengikut jadual asal (sebagaimana yang tercatat dalam dokumen perjanjian antara pihak institusi kewangan Islam dengan pelanggan masing-masing).

Paling tidak pun, dalam tempoh yang diluluskan oleh pihak institusi kewangan Islam berkenaan, pelanggan sekurang-kurangnya dapat bernafas seketika dan tidak perlu resah dengan komitmen bayaran bulanan yang menjadi tanggungjawab mereka selama ini.

Memetik laporan sebuah akhbar baru-baru ini, Persatuan Institusi Perbankan Islam dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan bank ahlinya bersetuju memberikan bantuan bayaran balik pembiayaan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas.

Ia bukan terhad kepada kumpulan B40 sahaja, tetapi juga layak dimohon oleh kumpulan M40 dan T20, asalkan memenuhi kriteria yang melayakkan mereka untuk mendapat bantuan berkenaan.

Syaratnya merangkumi kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan 2021 serta masih belum bekerja ketika permohonan dibuat. Malah, AIBIM menyatakan bahawa bantuan kepada mereka yang memenuhi kriteria akan diluluskan secara automatik.

Golongan berkenaan antara lain akan diberi tiga bulan penangguhan bayaran balik pembiayaan atau ditawarkan pengurangan bayaran balik pembiayaan sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Bantuan bayaran balik pembiayaan

INSTITUSI kewangan Islam ada menyediakan kemudahan bantuan kepada mereka yang berkelayakan untuk menangguhkan bayaran balik hutang mengikut jadual asal sebagaimana yang tercatat dalam dokumen perjanjian.

Selain itu, para pelanggan yang masih bekerja, tetapi mengalami pengurangan pendapatan juga boleh memohon bantuan pengurangan bayaran balik pembiayaan selama enam bulan mengikut jumlah pengurangan pendapatan mereka.

Inisiatif pihak AIBIM dan bank ahlinya untuk terus memberi bantuan kepada pelanggan menunjukkan bahawa mereka amat mengambil berat terhadap kesukaran yang dihadapi oleh pelanggan masing-masing.

Kepada yang layak, berusahalah untuk membuat permohonan. Saya yakin semua institusi kewangan Islam telah menyediakan kemudahan borang permohonan online bagi memudahkan pelanggan.

Paling penting, pelanggan yang terjejas teruk perlu mengambil inisiatif untuk memohon bantuan yang ditawarkan.

Oleh itu, permudahkan institusi kewangan Islam menolong anda dengan cara berusaha untuk memohon jika kriteria dan syarat yang dinyatakan itu ada.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Freepik

The Guardian
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Pakistan, Arab Saudi Tegas Sekat Talian Telefon dan Larangan Ke Pusat Beli Belah.

no comment

KERAJAAN Wilayah Punjab, Pakistan merancang untuk menyekat talian kad telefon mudah alih (SIM) kepada rakyatnya yang belum menerima vaksin Covid-19.

Dr Yasmin Rashid. thenews.com.pk

Keputusan itu dibuat dalam pertemuan yang dipimpin Menteri Penjagaan Kesihatan Wilayah, Dr Yasmin Rashid, yang mengatakan pemerintah Punjab akan menggunakan pelbagai cara untuk memastikan penduduk mendapat vaksin.

“Keputusan akhir telah diambil untuk menyekat kad SIM mudah alih orang yang enggan disuntikt vaksin,” kata jurucakapnya, Syed Hammad Raza kepada Pakistan Dawn.

Begitupun Syed Hammad tidak memaklumkan bila arahan menteri itu akan dikuatkuasakan.

Langkah itu dibuat berdasarkan keputusan kerajaan persekutuan untuk berhenti membayar gaji pekerjanya yang enggan mendapat vaksin Covid-19, berkuat kuasa mulai bulan Julai.

Pusat Operasi Komando Nasional yang mengawasi tindak balas pandemik di Pakistan mengatakan semua pekerja sektor awam dan swasta mesti disuntik vaksin sepenuhnya menjelang 30 Jun.

Bilik pemeriksaan dibuka di pusat vaksinasi di Lahore, Pakistan. Bloomberg

Pengarah hukum di Pusat Perundangan Kebebasan Perisian India, Prasanth Sugathan, berkata langkah Punjab untuk menghentikan perkhidmatan mudah alih adalah keputusan yang tidak realistik dalam menangani masalah pemberian vaksin.

“Ini adalah langkah kurang berkesan kerana menyekat hak kebebasan bersuara rakyatnya. Apa yang diperlukan adalah meningkatkan kesedaran tentang vaksinasi dan bukan pemaksaan.

“Ketika situasi wabak yang semakin membimbangkan ini, telefon bimbit sangat penting untuk berhubung dengan orang lain dan untuk mendapat maklumat.

“Keputusan menyekat kad telefon mudah alih sebenarnya menjadikannya lebih sukar untuk menerima janji temu vaksin kerana Pakistan telah mendigitalkan prosedur sejak serangan Covid-19 bermula tahun lalu,” katanya.

Laman web khusus Covid-19 di negara ini memerlukan penduduk untuk menghantar maklumat menerusi telefon untuk mendaftar temu janji atau menghubungi menerusi talian sekiranya mereka mengalami gejala. Ini adalah perkhidmatan yang tidak dapat diakses oleh penduduk tanpa kad SIM.

Sebelum ini Pakistan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan vaksin dari luar negara, namun kini negara itu telah memulakan kempen vaksinasi besar-besaran sejak akhir bulan lalu.

Memandangkan kesedaran terhadap program vaksinasi masih rendah, pemerintah Punjab telah membuka 677 pusat vaksinasi di seluruh wilayah itu termasuk unit bergerak dan pusat setempat.
“Unit bergerak akan membantu mempercepat langkah vaksinasi,” kata Dr Rashid.

Semua 36 daerah di Punjab mempunyai sekurang-kurangnya satu pusat vaksin yang beroperasi 24 jam.

Kerajaan Pakistan minggu telah memperuntukan dana sebanyak AS1.1 bilion untuk membeli vaksin Covid-19.

“Sasaran kami adalah untuk diberikan kepada 70 juta orang dewasa sehingga akhir tahun ini,” kata Asad Umar, menteri yang bertanggungjawab dalam operasi vaksin Covid-19.
Hanya 2.5 juta atau lima peratus daripada 220 juta orang Pakistan audah disuntik vaksin sepenuhnya.

Kawalan ketat di pintu masuk pusat beli-belah dipertingkatkan. Gambar: Saudi Gazette.

Sementara itu, di Arab Saudi kerajaannya melarang penduduknua memasuki pusat membeli-belah bagi mereka yang belum menerima vaksin.

Pihak berkuasa Arab Saudi telah memutuskan untuk melarang individu yang tidak divaksinasi masuk ke pusat beli-belah mulai 1 Ogos 2021.

Vaksinasi dengan sekurang-kurangnya satu dos menjadi syarat untuk mengunjungi pusat membeli-belah, kata Jurucakap Kementerian Perdagangan Abdulrahman Al-Hussein, kelmarin.

Kerajaan Arab Saudi juga telah membenarkan membuka semua bilik persalinan dan menyediakan skrin sentuh untuk digunakan di kedai, pusat membeli-belah dan pusat komersial bagi memastikan langkah menangani penularan Covid-19 berjalan seperti lancar.

Aktiviti atau acara yang mengundang rakyat berkumpul di dalam mahupun diluar pusat komersial masih di larang.

Jurucakap rasmi Kementerian menegaskan aktiviti atau acara yang mengundang rakyat berkumpul di dalam mahupun di luar pusat komersial masih dilarang. Ini termasuk mengundang selebriti membuat promosi, mengadakan upacara di kedai dan pasar, pertandingan komersial yang memerlukan kehadiran pengunjung dan melancarkan acara untuk produk atau perkhidmatan.

Pihak berkuasa akan terus memantau kepatuhan arahan terhadap tindakan pencegahan wabak dan melakukan 103.274 lawatan pemeriksaan di mana sehingga kini sebanyak 3,436 saman telah dikenakan.

Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menyatakan bahawa vaksinasi akan diwajibkan mulai 1 Ogos bagi mereka yang ingin menghadiri acara sukan, hiburan, keagamaan dan kegiatan budaya di tempat awam dan swasta.

Sumber: The National News /Saudi Gazette.

Pahala
Isu,

Elakkan Amalan Khurafat Ketika Wabak

no comment

DALAM keadaan terhimpit dan terdesak, segelintir orang tidak mampu berfikir dengan waras hinggakan adakalanya keputusan yang diambil bersifat terburu-buru.

Lebih teruk lagi, andai jalan pintas yang menjadi pilihan tanpa memikirkan kesan dan akibat daripada tindakan tadi. Apatah lagi, jika pilihan yang dibuat itu menyalahi hukum-hakam dalam agama Islam.

Dalam hal itu, pendakwah Elyas Ismail mengingatkan kita agar tidak terburu-buru memilih jalan pintas hingga tergamak berlaku syirik semata-mata mahu mengecap nikmat hidup.

USTAZ ELYAS

“Ya, dalam keadaan kita sedang diuji sekarang dengan pandemik yang masih tidak berkesudahan, ramai yang hilang mata pencarian, diuji kesusahan hidup, kerja tidak menentu dan sebagainya.

“Ingatlah, sekalipun berat ujian yang diterima, jangan sesekali memilih jalan syirik apalagi yang boleh merosakkan iman dan akidah kita sebagai umat Islam,” katanya menerusi sesi Facebook Live bertajuk Amalan Syirik Khurafat di Musim Wabak menerusi laman sosial miliknya baru-baru ini.

Elyas kemudian mengajak kita menyelami makna syirik dalam dari perspektif agama. Beliau memetik pandangan yang dikemukakan oleh Imam al-Zabidi menerusi karyanya, Tajul ‘Arus.

“Menurut nukilannya itu, syirik itu bermaksud kufur atau perbuatan yang seumpama dengannya yang mana terdapat dua pengertian diberikan.

Baca juga Doa Hamba Paksa Muslim Afrika Sudah Dijawab

“Ia termasuklah orang yang membuat perbandingan antara ALLAH SWT dengan sesuatu yang lain seperti makhluk ciptaan-NYA. Contohnya, mungkin ketika ini, kita dilanda kesusahan. Apabila ada orang datang menghulur bantuan, mudah sahaja kita kata orang itu baik. Jika mengharapkan ALLAH, entahkan dapat bantuan ataupun tidak.

“Astafghfirullahal ‘azim, cepat-cepatlah istighfar andai tiba-tiba sahaja hati kita terlintas demikian. Ia boleh jatuh syirik tanpa sedar,” jelasnya.

 

Amalan khurafat

JANGAN menyekutukan ALLAH SWT dengan sesuatu yang lain.

Satu lagi perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai syirik, kata agamawan itu, saat apabila seseorang menyamakan ALLAH SWT dengan sesuatu yang lain.

“Barangkali ada yang suka menyamakan perbuatan pemurah atau penyayangnya seseorang dengan sifat ALLAH SWT yang sedemikian. Berhati-hatilah kerana ia salah satu perbuatan syirik yang menyekutukan ALLAH dengan sesuatu yang lain,” katanya.

Ketahuilah bahawa perbuatan syirik merupakan dosa paling besar. Bahkan, ia juga diletakkan pada kedudukan pertama daripada 76 dosa-dosa besar dalam kitab al-Kabair catatan Imam al-Zahabi.

“Dalam kitab itu, beliau menyebut tentang empat dosa besar melibatkan hati. Ia merangkumi perbuatan syirik, terus-menerus dengan maksiat, putus asa dengan rahmat ALLAH dan tidak takut akan azab serta ancaman-NYA.

“Benar, kita terlalu bimbangkan dengan keadaan tidak menentu di muka bumi ini iaitu berkaitan cuaca, tsunami, tanah runtuh, bencana dan sebagainya. Namun, kita terlupa dengan bencana dalam hati yang tidak kurang gerun kesannya kepada kita.

“Masakan tidak, Imam Hassan al-Basri menyatakan, bencana dalam hati itu adalah satu keadaan yang mana kalian sedikit pun tidak sensitif jika terlanjur melakukan kesilapan mahupun dosa,” ujarnya.

Dosa tak terampun

Menyambung hujahnya, Elyas menegaskan, perbuatan menyekutukan ALLAH SWT bukan sahaja berdosa besar, bahkan ia juga tidak akan diampunkan-NYA.

Ia sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Quran yang mana ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-NYA (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA (menurut aturan syariat-NYA). Dan sesiapa yang mempersekutukan ALLAH (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 48)

Melihat kalamullah itu, jelaskan bahawa dosa syirik tidak akan diampunkan melainkan pelakunya benar-benar bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan berazam tidak akan mengulangi perbuatan yang memesongkan akidah serta keimanannya, ungkapnya.

Amalan khurafat

DOSA mensyirikkan ALLAH SWT tidak akan diampunkan.

Sebenarnya, ujar beliau lagi, syirik ada beberapa pecahan. Beliau menukilkan pandangan Imam al-Sanusi dalam kitabnya, al-Muqaddimat yang membahagikan perbuatan itu kepada enam jenis iaitu:

1. Syirik istiqlal – menerapkan adanya dua Tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi yang mempercayai adanya Ahura Mazda dan Angra Mainyu.

2. Syirik tab’id – Menyatuhan Tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.

3. Syirik taqrib – Beribadah kepada sesuatu selain daripada ALLAH SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

4. Syirik taqlid – Beribadah kepada ALLAH kerana mengikut orang lain.

5. Syirik asbab – Menyandarkan suatu kesan terhadap sebab tertentu seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan dan bukan ALLAH SWT yang mengenyangkannya.

6. Syirik aghrad – Beramal kerana selain daripada ALLAH SWT.

Dalam pada itu, Elyas turut mengingatkan agar kita tidak terjebak atau mendekati dengan perkara yang boleh mengundang kemurkaan ALLAH SWT.

Amalan khurafat

JANGAN sesekali menjebakkan diri dengan perkara yang boleh merosakkan akidah dan keimanan kita.

Sekalipun kita dalam keadaan terdesak, katanya, jauhkanlah diri daripada mengamalkan sihir, apa sahaja yang boleh membawa kepada permusuhan dan kebencian serta minum arak.

“Pada masa sama, elakkanlah diri kita daripada amalan riba, menderhaka kepada ibu bapa, sikap suka mengadu domba dan membuat orang lain bermusuhan.

“Seperkara, usahlah kita memutuskan silaturahim dan menilik nasib yang dilarang keras dalam agama Islam,” katanya.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, beliau sekali lagi mengingatkan umat agar tidak memilih jalan syirik dan merosakkan iman serta akidah sekalipun kita tersepit dalam kehidupan.

“Sebenarnya dalam hidup ini, yang paling kita dambakan adalah keredaan ALLAH. Bukan sahaja keredaan itu mahu diraih ketika kita hidup, tetapi juga ia sangat diharapkan ketika meninggal dunia.

“Ia sebagaimana kita begitu berharap agar roh kita kelak akan diseru dengan panggilan manja sekali iaitu jiwa yang tenang. Dalam erti kata lain, roh kita dicabut dan menuju kepada Sang Pencipta dalam keadaan kita reda dengan ALLAH dan ALLAH juga meredai kita,” ujarnya.

Foto: Freepik

a15f3795-7f25-4e62-bb6a-c7b5da8aa763
Berita Semasa, Pilihan Editor,

Golongan Rentan Sasaran IMAN

no comment

BEBERAPA negara di dunia telah mula melonggarkan peraturan dan membuka semula ekonomi masing-masing selepas mengharungi pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Perkembangan ini mampu disaksikan selepas negara terbabit berjaya melaksanakan program vaksinasi sehingga mencapai imunisasi kelompok iaitu sekurang-kurangnya 70 peratus jumlah penduduk disuntik vaksin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Barisan Hadapan KKM ketika memulakan kempen imunisasi vaksin.

Namun program vaksinasi perlu juga disertai dengan pematuhan SOP atau prosedur operasi standard oleh masyarakat.

Tanpa kerjasama masyarakat ini dan usaha bersungguh-sungguh kerajaan, agak sukar bagi sesebuah negara untuk secara berkesan mengatasi penularan wabak Covid-19 ini.

Begitulah juga dalam menangani krisis ekonomi yang dibawa oleh pandemik berikutan banyak sektor ekonomi terpaksa ditutup.

Langkah-langkah diumumkan kerajaan bagi meringankan beban masyarakat memang memberi kelegaan bagi mereka yang telah hilang punca pendapatan.

Namun, usaha ini tidak harus diletakkan di atas bahu kerajaan sahaja. Malah Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), badan korporat, parti politik dan kelompok masyarakat harus turut memiliki peranan besar dalam membantu golongan masyarakat yang terhimpit.

Menyedari hakikat ini, beberapa NGO telah tampil memberi sumbangan bagi membantu golongan miskin bandar termasuk golongan asnaf dan gelandangan.

IMAN mahu berterusan membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik ini.

Antaranya ialah Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) yang telah memulakan langkah awal persediaan dengan mengumpul dana selain menyediakan 7,500 pek makanan dan 5,000 bungkusan membabitkan pelbagai keperluan barangan dapur untuk diagihkan kepada warga kota yang memerlukan.

Presidennya, Datuk Mohamed Mosin Abdul Razak berkata, inisiatif awal yang dilakukan itu adalah untuk manfaat lebih 6,000 penerima daripada pelbagai lapisan masyarakat melalui program bantuan yang telah dilaksanakan sejak awal Ramadan lalu.

Menurutnya, pek makanan berkenaan diagihkan kepada warga emas, keluarga kurang berkemampuan dan golongan gelandangan selain petugas barisan hadapan di sekitar ibu kota dan sebahagian di negeri Selangor.

“Sasaran ditetapkan kepada golongan rentan yang membawa definisi wanita, warga emas, orang kelainan upaya, miskin tegar, belia, pelarian dan imigran. Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk sentiasa membantu golongan rentan tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama.

Meringankan beban bagi yang amat memerlukan bantuan.

“Inisiatif ini telah dilakukan sejak awal Ramadan lalu yang dilakukan sebelum ini khusus untuk petugas barisan hadapan bagi meringankan beban golongan wira negara itu yang bertugas dan terpaksa berkorban meninggalkan keluarga.

“Pengorbanan petugas barisan hadapan menjalankan tugas tanpa mengira waktu selain dibebani dengan tanggungjawab melandaikan kes jangkitan Covid-19 besar ertinya kepada rakyat,” katanya yang meluaskan peranan IMAN di setiap negeri untuk turut mengadakan majlis penyerahan sumbangan kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.

Menerusi Hadis Riwayat Tirmidzi (ayat 2325), Rasulullah bersabda; “Dunia itu untuk 4 jenis hamba: Yang pertama, hamba yang diberikan rezeki oleh Allah serta kefahaman terhadap ilmu agama. Ia bertaqwa kepada Allah dalam menggunakan hartanya dan ia gunakan untuk menyambung silaturahim. Dan ia menyadari terdapat hak Allah pada hartanya. Maka inilah kedudukan hamba yang paling baik”.

Menurut Mohamed Mosin, pihaknya bersyukur kerana ramai antara golongan dermawan yang sudi bekerjasama dengan pihak IMAN dengan menaja barangan dan wang tunai dalam meneruskan program kebajikan mereka secara berterusan walaupun selepas Ramadan.

Golongan rentan antara yang menjadi sasaran IMAN.

“Insya ALLAH, program umpama ini akan tetap diteruskan dari semasa ke semasa dan menyeru agar lebih ramai NGO, badan korporat dan parti politik untuk turun padang melihat permasalahan rakyat dan mencari resolusi membantu mereka bukan saja bantuan berupa wang ringgit mahupun barangan harian, malah sokongan moral untuk membangkitkan semula semangat mereka.

“Pandemik ini bukan saja menjejas ekonomi malah emosi kita semua turut terganggu yang memerlukan masa yang lama untuk kembali pulih. Keikhlasan tindakan, kewarasan pemikiran serta kebijaksanaan dalam pendekatan adalah amat penting dalam memastikan masyarakat yang susah dibantu.

IMAN menyeru lebih ramai dermawan tampil menyokong usaha NGO dengan memberi sumbangan untuk diagihkan kepada mereka yang terkesan.

“IMAN juga berbesar hati dan bertuah kerana telah menjadi pilihan para dermawan yang budiman bagi menggalas amanah yang diberi dengan penuh rasa tawaduk dan bertanggungjawab apabila berjaya mengagihkan kesemua bantuan berupa barangan dan wang tunai. Semoga usaha kita semua menjadi asbab kebaikan dunia dan akhirat,” katanya.

Solat bergilir di masjid
Berita Semasa, Pilihan Editor,

Ini Sebabnya Mengapa Kita Tidak Boleh Solat Bergilir-Gilir Di Masjid

no comment

SEJAK dunia bergelut dengan wabak Covid-19 lebih setahun yang lalu, mahu atau tidak, kita terpaksa menjalani kehidupan norma baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Begitu jugalah yang terpaksa kita hadapi hinggakan masjid dan surau terpaksa ditutup, mengehadkan bilangan jemaah dan seumpamanya. Misinya hanya satu iaitu demi memerangi wabak yang meragut nyawa kira-kira 3.7 juta orang di muka bumi setakat artikel ini ditulis.

Namun begitu, masih ada suara-suara sumbang yang berbunyi mempertikaikan mengapa institusi masjid dihadkan dari segi bilangan jemaah dan tidak boleh menunaikan solat berjemaah atau solat Jumaat sebanyak dua atau tiga kali secara bergilir-gilir dalam sesebuah masjid.

Ini kerana golongan itu membandingkan prosedur berkenaan dengan negara jiran yang boleh melaksanakan solat berjemaah lebih daripada sekali mengikut jemaah yang ditetapkan.

Misalnya, memetik fatwa berkaitan penyempuraan solat Jumaat dalam konteks penularan wabak Covid-19 di Singapura, Majlis Ugama Islam Singapura membenarkan solat Jumaat ditunaikan lebih daripada sekali dalam sebuah masjid.

Menjawab persoalan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, pihaknya tidak berbuat demikian pada masa ini demi memastikan pematuhan SOP yang lebih utama demi mengekang penularan penyakit.

DR ZULKIFLI

“Ia mungkin akan berubah. Persoalannya bukanlah kita hendak solat dua atau tiga kali. Masalahnya ialah kita hendak suruh orang jaga jarak, jangan berkumpul dan sebagainya supaya terselamat daripada wabak.

“Mungkin ada sesetengah tempat masjidnya berkapasiti kecil dan sempit, maka ijtihad mereka adalah dengan menunaikan solat dua atau tiga kali.

“Namun, kita di sini bukan masalah masjid yang sempit. Ia berkaitan dengan wabak yang mana kita mahu sebaiknya biarlah masyarakat teruslah berada di rumah masing-masing dalam keadaan mematuhi SOP. Itulah isunya,” katanya pada sesi Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Takut ALLAH atau Takut Covid-19 yang disiarkan secara langsung di TV1 malam Khamis.

Jelas Dr Zulkifli, walaupun kepentingan untuk menunaikan solat berjemaah itu ada, namun, mendirikan fardu kifayah itu boleh sahaja dilakukan di rumah masing-masing bersama keluarga.

“Kalau kita lihat secara positif, maka inilah peluang untuk kita mendidik, mertarbiah dan berjemaah bersama anak, isteri dan kaum keluarga.

Solat bergilir di masjid

SOLAT berjemaah boleh dilakukan di rumah bersama ahli keluarga yang lain.

“Ketahuilah, niat kita untuk ke masjid itu insya-ALLAH akan diganjari dengan pahala,” katanya.

Baca juga Pahala Duduk Rumah

Rasulullah SAW bersabda: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan daripada ALLAH pada hari kiamat apabila tidak ada naungan melainkan naungan ALLAH. Mereka adalah: pemimpin yang adil; pemuda yang sejak kecil sudah beribadat kepada ALLAH yang MAHA BESAR lagi MAHA PERKASA; orang yang hatinya terpaut pada masjid; dua individu yang saling mengasihi kerana ALLAH, kedua-duanya berkumpul kerana ALLAH dan berpisah pun kerana ALLAH; lelaki yang dipikat wanita yang mempunyai status dan kecantikan tetapi dia berkata: “Percayalah, saya takut kepada ALLAH”; orang yang bersedekah dan merahsiakan sedekahnya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan orang yang ingat kepada ALLAH dalam keadaan sunyi lalu menitis air matanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Melihat ungkapan hadis itu, Dr Zulkifli berkata, salah satu golongan berkenaan ialah seorang lelaki yang sentiasa hatinya terpaut pada masjid.

“Ia bukan sekadar pergi ke rumah ALLAH itu, tetapi juga hatinya bergantung dan ingat untuk ke masjid. Maka individu itu akan meraih pahala dan mendapat perlindungan Arasy ALLAH SWT,” katanya.

Solat bergilir di masjid

TERDAPAT sebahagian masjid yang ditutup untuk para jemaah dan hanya dibuka untuk ahli jawatankuasa untuk mengimarahkan rumah ALLAH itu sepanjang PKP ketika Covid-19.

Dalam pada itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu turut memperbetulkan tanggapan masyarakat berhubung hukum yang dikeluarkan dalam sesuatu isu termasuk wabak Covid-19.

Sejujurnya, ujar beliau, bukan hanya dirinya seorang yang mengeluarkan hukum sebegitu, tetapi semua keputusan besar itu adalah selepas perbincangan yang dilakukan bersama mufti-mufti negeri dan ahli-ahli Majlis Muzakarah Fatwa yang dilantik.

“Bukan itu sahaja, kita juga akan memanggil pakar yang berkaitan seperti pakar kesihatan. Ini penting kerana kita memerlukan olahan pandangan mereka untuk menjatuhkan suatu hukum itu. Sejuzuk daripada cabang itu kena digambarkan dengan sejelasnya, barulah keputusan diambil.

“Bahkan, kita akan sediakan kertas kerja, berdiskusi dan semua bebas memberi pandangan satu persatu dengan hujah masing-masing, barulah hukum dikeluarkan.

“Setelah itu, ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. Ini bermakna, hukum berkenaan melalui proses demi proses supaya ia tidak bercanggah dan ia bukanlah dilakukan dalam keadaan kita kelam-kabut,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur apabila semua keputusan yang diambil adalah hampir sama dengan hukum yang dikeluarkan oleh badan-badan fatwa berautoriti negara lain.

“Inilah yang diajar dalam ilmu kefatwaan yang mana kadang-kadang tidak sesuai untuk kita cedok satu pandangan apabila suasana dan keadaan berbeza.

“Begitu juga halnya dengan di negara kita, keadaannya berbeza. Jadi, apa yang kita putuskan sebenarnya melihat kepada kesesuaian dengan kita sambil meraikan mazhab yang diamalkan di negara ini, Mazhab Syafie dan ulama-ulama mazhab berkenaan. Kita mungkin akan keluar jika maslahah berlaku, itulah tertibnya,” jelasnya.

Bukan bidaah

Benarkah menjarakkan saf ketika solat adalah bidaah?

Ketika menjawab persoalan itu, Dr Zulkifli menjelaskan, dalam hal itu, kefahaman dan makrifah begitu penting.

Solat bergilir di masjid

PENJARAKAN saf solat demi mengekang penularan wabak Covid-19 yang boleh membawa maut.

Beliau kemudian memetik pandangan Dr Nuruddin Mukhtar al-Khadimiy dalam karyanya al-Ijtihad al-Maqasidiy, antara lain menyebut bahawa kita tidak boleh melihat suatu perkara itu begitu sahaja. Sebaliknya, ia perlu dilihat juga berdasarkan pertimbangan akal yang berpandukan nas-nas syarie.

“Namun begitu, akal akan menjadikan sesuatu pandangan itu sama ada kita berasa jumud atau kita rasakan itu dan ini tidak betul umpamanya,” katanya.

Sedangkan, jelas Dr Zulkifli, kita perlu faham bahawa Islam sesuai dengan semua masa dan tempat. Ketahuilah, Islam agama yang mana sifatnya ada dua iaitu tsawabit (tetap dan tidak boleh berubah) dan mutaghayyirat (boleh berubah).

“Sebagai contoh, tsawabit adalah satu keadaan yang mana ALLAH suruh kita solat, maka kita wajib tunaikannya. Itulah yang penting. Apa yang menjadi mutaghayyirat adalah keadaan yang mana ALLAH suruh kita lakukan solat berjemaah (fardu kifayah), tetapi dalam situasi tertentu, kita sembahyang berjemaah di rumah. Begitu juga halnya, dalam situasi tertentu, kita menjarakkan saf kerana penyakit, keuzuran-keuzuran atau wabak-wabak yang berlaku.

“Semua ini bukan perkara yang janggal dalam kalangan ulama. Bahkan, (pendapat ini) ia diterima kerana mereka juga melakukan kajian dengan hujahan masing-masing,” katanya.

Sebab itulah dalam perkara yang melibatkan isu sebegini, keputusan diambil tidak boleh ‘rempuh’ begitu sahaja, ungkapnya.

Solat bergilir di masjid

SEGALA tindakan yang diambil adalah sesuai dengan keadaan semasa berpandukan nas al-Quran dan hadis, selain ijtihad yang dibenarkan oleh syarak.

“Apabila kita melihat sesuatu, lihatlah dengan penuh keinsafan. Lihat bagaimana Saidina Umar al-Khattab RA, berapa banyak pandangan yang diberikan sesuai dengan zamannya. Begitu juga dengan Saidina Uthman bin Affan RA, berapa banyak perubahan yang dilakukan.

“Di situ, kita dapati bahawa para ulama dan ahli ilmu sentiasa melihat maslahah. Apabila mereka hendak berikan suatu hukum, banyak isu-isu yang akan diperhalusi,” katanya.

Justeru, Dr Zulkifli mengajak masyarakat supaya tidak mudah melabel dengan kalimah bidaah dan elakkan perkataan itu daripada kamus hidup kita.

“Paling penting, tanya suatu isu itu kepada orang yang mengetahui. Kita ada mufti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), laman web jabatan mufti negeri dan sebagainya yang masing-masing ada fatwa.

“Itulah tindakan yang diajarkan oleh agama Islam supaya bertanyakan kepada ahli zikir (ahli ilmu) untuk mendapatkan maklumat yang sebaiknya.

“Mudah-mudahan kita sama-sama jelas apabila bercakap bab agama atas kenyataan, hujah, dalil dan pandangan yang kukuh. Insya-ALLAH, kita semua akan selamat,” jelasnya.

Foto: Facebook Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, Bernama & Freepik

Panduan hadapi virus Omicron menurut ulama
Isu,

Pahala Duduk Rumah

no comment

JUMLAH mangsa yang dijangkiti Covid-19 semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Angka yang tinggi saban hari memaksa kerajaan untuk mengambil langkah proaktif membendungnya.

Apatah lagi dengan kehadiran varian baharu seperti varian United Kingdom, India, Brazil dan Afrika Selatan yang membimbangkan yang menjadi faktor pertambahan kes.

Lantaran itu, mahu atau tidak, keputusan berat terpaksa diambil dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula semalam, 1 Jun.

Ketahuilah, dalam Islam, mentaati ulil amri (pemerintah atau pihak berautoriti) adalah wajib.

Ia bertepatan dengan firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang beriman, patuhilah ALLAH, patuhilah rasul dan ulil amri dari kalanganmu.” (Surah an-Nisa’, ayat 59)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara (perkara) untuk mengangungkan ALLAH adalah memuliakan Muslim yang berusia tua, penghafaz al-Quran yang melampaui batas dalam al-Quran dan tidak mengamalkannya dan memuliakan penguasa yang adil.” (Riwayat Abu Daud)

Baca juga Kembali Kepada Fitrah Jalan Penyelesaian Pandemik

Justeru, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi mengajak kita bersama-sama mengamalkan langkah pencegahan dengan melakukan kuarantin kendiri. Semua itu demi memutuskan rantaian penyebaran penyakit.

DR AHMAD SANUSI

Jelas beliau, Rasulullah SAW pernah menjelaskan bahawa kepatuhan Muslim kepada setiap langkah yang digariskan dalam mendepani suasana kesukaran sebegitu akan menyebabkan mereka memperoleh ganjaran yang tidak ternilai.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada seorang pun yang ditimpa wabak taun ini sedangkan dia duduk di dalam negeri tempatnya dengan penuh kesabaran dan bermuhasabah, dan dia faham bahawa tiada sesuatu yang menimpanya melainkan semuanya telah ditentukan oleh ALLAH, melainkan dia akan mendapat pahala seperti pahala syahid.” (Riwayat al-Bukhari)

Ujar ahli akademik itu, al-Imam Ibnu Hajar ketika menghuraikan hadis berkenaan dalam karyanya, Fathul Bari, beliau menjelaskan: “Ungkapan Nabi Muhammad SAW tersebut memberi makna bahawa sesiapa yang bersifat dengan sifat-sifat yang disebutkan itu, dia akan memperolehi ganjaran syahid walaupun dia tidak mati (kerana wabak tersebut).”

“Dalam erti kata lain, hadis ini menekankan aspek disiplin seorang Muslim dalam menghadapi suasana wabak.

“Seorang Muslim seharusnya mengimani bahawa wabak yang melanda ini adalah ketentuan daripada ALLAH SWT. Mereka seharusnya mampu mengawal diri di rumah, bersabar atas segala ujian yang menimpa dan meyakini bahawa tidak ada sesuatu pun yang berlaku melainkan atas ketentuan-NYA,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Duduk rumah

MASA yang ada duduk di rumah pada musim PKP gunakanlah dengan sebaiknya dan didik anak untuk menunaikan solat dengan cara yang betul.

Menyambung hujahnya, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, dalam kitab suci umat Islam, ALLAH SWT memuji tindakan Muslim yang berusaha menyelamatkan nyawa orang lain.

Ia sebagaimana yang disebutkan menerusi firman-NYA: “…Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…” (Surah al-Maidah, ayat 32)

Bagi menghuraikan ayat itu, pensyarah itu lantas memetik pandangan al-Imam Mujahid yang menjelaskan bahawa semua usaha menyelamatkan nyawa manusia dikira termasuk dalam maksud ayat berkenaan.

Kata al-Imam Mujahid: “(Yang dimaksudkan ayat ini termasuklah) mereka yang menyelamatkan manusia daripada tenggelam lemas atau dibakar atau apa-apa kebinasaan.” (Tafsir Ibn Kathir)

“Huraian oleh al-Imam Mujahid ini membayangkan betapa segala usaha yang terlibat boleh dikategorikan sebagai usaha untuk menyelamatkan nyawa seseorang.

“Oleh itu, tindakan mereka yang enggan mematuhi arahan dengan keluar sesuka hati bukan sahaja boleh menggagalkan rancangan kerajaan bagi mengawal wabak, bahkan berpotensi menjadi punca kepada kemudaratan orang lain,” tegasnya.

Beliau kemudiannya memetik sebuah hadis Rasulullah SAW yang mana baginda ada memberikan amaran kepada mereka yang boleh memudaratkan orang lain.

Duduk rumah

GUNAKAN kesempatan yang ada duduk di rumah sepanjang PKP untuk menunaikan solat berjemaah bersama keluarga dan tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan orang lain.

Baginda SAW bersabda: “Barang siapa yang memudaratkan orang lain, maka ALLAH akan mendedahkan mudarat padanya. Barang siapa yang menyusahkan orang lain, ALLAH boleh menyusahkan urusannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Dr Ahmad Sanusi, ia jelas menunjukkan bahawa ALLAH SWT tidak suka kepada hamba-NYA yang mendedahkan kemudaratan kepada orang lain.

“Marilah bersama kita berusaha untuk mendisiplinkan diri mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Kepatuhan kita menghayati dan mematuhi arahan ini mudah-mudahan dinilai sebagai amalan yang memberatkan neraca timbangan amal pahala kita di akhirat kelak. Semoga ALLAH membimbing kita,” katanya.

Foto: Freepik

adcc46ef-b6b2-49a8-b832-cdd7fba5dd5c
Gaya Hidup, Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Kembali Kepada Fitrah Jalan Penyelesaian Pandemik

no comment

IMPAK dari situasi pandemik Covid-19 telah mengubah kehidupan normal manusia kepada dunia norma baharu. Kesannya dirasai pelbagai sektor yang bukan saja dilihat dari aspek fizikal tetapi turut menjejaskan kesihatan mental masyarakat amnya di seluruh dunia.

Begitupun langkah penyelesaian harus segera diambil tindakan dalam memastikan perjalanan kehidupan itu dapat diselarikan dengan kehidupan norma baharu hari ini.

Ustaz Dr Mohd Ashraf (kanan) bersama selebriti, Ebby Yus (kiri) bergambar bersama anak-anak tahfiz PMHQ.

Pengetua Pondok Motivasi Hamlatul Quran (PMHQ), Ustaz Dr. Mohd Ashraf Suarin, berkata menyedari sistem pendidikan adalah teras kepada pembentukan sahsiah generasi hari ini dalam mengurus tekanan, manusia seharusnya perlu berbalik kepada ajaran Islam.

Ustaz Dr Mohd Ashraf, Pengetua PMHQ.

“Bila kita berbalik kepda Islam, pendidikan kepada generasi hari ini haruslah perlu lebih hebat dengan menanamkan sifat kesabaran, keredhan dan kerterbukaan hatinnya, dengan melihat bagaimana dunia yang harus kita lalui dan Allah telah tunjukkan, inilah pakej kehidupan sebenar.

“Bila sebut gambaran era pandemik, kita harus mendidik generasi kita menjadi lebih kuat, tabah seperti mana yang dilalui orang Islam di Palestin. Jadikan rujukan, panduan dan pengajaran bagaimana kaedah untuk mendidik mereka dengan hati, bersangka baik, mental yang kuat dan jangan tinggal ajaran dan ingatan Rasulullah.

Pembentukan sahsiah harus dimulai dengan pendidikan al-Quran.

“Walaupun kita terpaksa belajar secara atas talian, inilah cabaran yang kita kena lalui, bukan mudah tetapi banyak sudut yang perlu kita pelajari. Kita semua perlu bersama berada dan menyumbang kepada sistem pendidikan terutama ibu bapa ketika berada di rumah,” katanya ketika di hubungi portal SI+, hari ini.

Menurut Ustaz Dr Mohd Ashraf, apa saja yang diaturkan oleh Allah ada hikmah dan aturannya untuk menjadikan lebih yang terbaik.

“Bila berlaku gambaran ini Allah mahu perbetulkan minda dan cara hidup kita bukan untuk melihat keduniaan semata-mata tetapi persediaan kita untuk akhirat. Corak hidup hari ini lebih cenderung kepada era teknologi yang ada baik dan buruknya.

“Lebih lagi kepada generasi baru di mana mereka lebih terdedah dengan kecanggihan yang adakalanya boleh menyebabkan mereka lalai. Apa pun kita yang lebih dewasa kena selalu mengingatkan dan mengawasi lebih menggunakan akal dan keimanan apa yang dilakukan. Percayalah apa yang Allah berikan ada sesuatu hikmah yang terbaik.

“Paling utama adalah mendengar saranan kerajaan dengan pertingkatkan disiplin dengan menjaga SOP dan perkara itu seharusnya tidak sukar memandangkan pengalaman setahun yang lalu sepatutnya menjadikan kita lebih tenang dan jangan jadikan ia sebagai satu tekanan.

Menghadiri majlis ilmu antara pendekatan mengembangkan minda palajar.

“Bagi umat Islam, SOP membawa maksud S adalah perbanyakkan solat, syukur dan selawat kepada Rasulullah. O pula kita kena perbetulkan otak kita untuk sentiasa bersangka baik tehadap Allah dan P adalah perilaku kita, peribadi lebih tenang dan waspada sentiasa.

“Satu perkara apabila berlaku situasi seperti ini yang perlu kita sedar, banyak orang mahu mengambil kesempatan untuk meluahkan, mencari glamor melalui media sosial, ini kena ubah kita kena banyak mendekatkan diri kita dengan Allah, itulah pembaharuan yang perlu dilakukan,” katanya.

Katanya lagi, kesempatan inilah harus diambil dalam situasi pandemik untuk menerapkan lebih dalam sahsiah diri generasi hari ini agar tidak terus terumbang-ambing sebagai persediaan menantikan hari pengakhiran hidup.

Mengagihkan sumbangan menerusi program Infaq Beras kepada yang memerlukan.

“Hakikatnya sifat manusia apabila sudah terkena baru mereka tersedar. Sebenarnya dalam situasi inilah kita harus mengambil kesempatan untuk memberitahu, menceritakan bahawa virus yang menyekat kebebasan kehidupan kita adalah untuk menyuruh kita terus istiqamah dengan ibadah, ketakwaan, melakukan kebaikkan dan melindungi dengan mengingatkan mereka bukan berkaitan SOP untuk melindungi virus semata tetapi SOP daripada kemurkaan Alllah.

“Tanggungjawab ibu bapa bukan untuk mereka bersendirian masuk syurga, tetapi perlu membawa sekeluarga untuk masuk syurga. Bagaimana Allah mengingatkan kita menerusi surah At-Tahrin ayat 6 di dalam al-Quran yang bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka”. Jadi kita rebut kesempatan ini apabila kita tidak boleh keluar beramai-ramai, tidak boleh berjemaah bersolat mahupun ke majlis ilmu beramai-ramai tapi kita wujudkan suasana berjemaah di rumah sebagai kesempatan untuk mendidik generasi baru,” katanya.

Anak-anak tahfiz PMHQ diberi ilmu al-Quran bekalan akhirat .

Sementara itu, Ustaz Dr Mohd Ashraf yang turut mengusahkan pondok pengajian al-Quran PMHQ lebih cenderung mendidik ajaran al-Quran dalam jiwa anak-anak kecil agar mereka tidak berhadapan dengan tekanan pada masa akan datang.

“Fitrah manusia adalah kembali kepada al-Quran setiap masa adalah punca ketenangan hidup. Di pondok motivasi ini saya sangat menekankan kecintaan kepada al-Quran sebagai kalam Allah yang memberi kekuatan utama pada kami di PMHQ untuk meneruskan usaha mendidik jiwa dan akhlak anak-anak.

Jika kita sentiasa berbalik kepada al-Quran dalam apa jua situasi, insya Allah jiwa lebih tenang. Inilah yang saya tekankan agarpPelajar di sini boleh melalui pelbagai cabaran kehidupan pada masa akan datang,” katanya.

Pengajian al-Quran untuk semua. Ibu-ibu yang menghantar anak-anak terasa sebak meninggalkan anak untuk mencari ilmu akhirat.

Menurutnya, PMHQ menekankan aspek kasih sayang kepada anak-anak terbiar dan kecintaan pada kitan suci itu yang menjadi kunci utama kewujudan PMHQ.

“Bagi saya, kedua-dua faktor ini adalah satu aspirasi penting, bahawa selain ilmu, nilai kecintaan sesama insan juga harus dipupuk sebagai antara ikatan utama pendidikan tahfiz.

“Tanpa mengira latar belakang sosial dan kemampuan ekonomi PMHQ memilih untuk mengutamakan misi membantu anak-anak tahfiz meningkatkan kualiti sahsiah diri melalui Pendidikan al-Quran.

“Tidak semua pusat hafazan milik pelajar pintar saja. Ada yang sederhana tetapi proses menghafal walaupun perlahan, ia tetap berkesan untuk pembangunan jiwa dan iman mereka. Pembangunan jiwa ini penting agar mereka dapat membesar dengan lebih sempurna,” katanya.

PMHQ yang diasaskan pada 3 Mac 2013 terbuka kepada kanak-kanak dan remaja yang ingin mendalami al-Quran. PMHQ bertapak di Kampung Blok J, Sawah Sempadan, Tanjung Karang ini mendapat banyak dana hasil sumbangan orang ramai.

Infaq Beras antara program yang mendapat manfaat kepada golongan tidak berkemampuan.

Malah pertubuhan itu turut menawarkan penjualan beras keluaran bumiputera untuk diinfak kepada pembangunan tabung PMHQ dan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Alhamdulillah bangunkan PMHQ sudah 90 peratus sempurna disiapkan. PMHQ memilih bersikap Ehsan dengan menerima pelajar yang terbiar akibat krisis keluarga dan kemiskinan.

Antara penerima yang menerima sumbangan beras hasil infaq orang ramai.

“Tidak semua perkara duniawi kita kejar untuk bermegah-megah. Aspirasi tahfiz tidak wajar dijadikan perlumbaan untuk menjadi hebat seperti university Oxford atau Canbridge.
“Kita membantu pelajar sederhana juga sebab al-Quran itu penyuluh jalan hidup. Bukan alat berbangga-bangga demi status peribadi. Bagi mereka yang ingin menyumbang, kami menyediakan penjualan beras untuk diinfak. Sebarang maklumat boleh dilihat menerusi laman sosial Facebook Pondok Motivasi Hamlatul Quran,” katanya.

Golongan selebriti di bawah Persatuan SENIMAN turut menerima manfaat.

National Geographic Expeditions
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Bhutan Negara Berkebajikan Dicemburi Dunia

no comment

“SEMUANYA Demi Bhutan!” adalah slogan yang sering diucapkan oleh Raja Bhutan Ke-4,  Jigme Singye Wangchuck di hadapan rakyatnya suatu masa lalu. Dan amalan itu diteruskan hingga kepada pemerintahan Raja hari ini iaitu Jigme Khesar Namgyel Wangchuck yang menjadi kesayangan rakyat negaranya.

Raja Ke-4 Bhutan, Jigme Singye Wangchuck memerintah bermula 1972 hingga 2006.

Ketika pemerintahan Khesar bermula pada 2006, Raja itu telah meneruskan legasi Raja terdahulu apabila beliau telah menyerahkan kuasa kepada rakyat negaranya. Beliau sedar rakyat perlu dilibatkan secara mutlak dalam sistem kerajaan.

Raja Bhutan, Jigme Khesar Namgyel Wangchuck bersama isterinya Jetsun Pema. Gambar Reuters

Ketika banyak pemberontakan berlaku di negara lain yang berjuang demi kuasa demokrasi, membenci kerajaan pemerintah, namun Bhutan kekal dengan melawan arus demi memberi kegembiraan kepada rakyat negaranya.

Antara keunikan sistem pemerintahan negara yang majoritinya menganut agama Buddha itu adalah menyediakan sistem pendidikan dan kesihatan percuma dan menjadi antara negara pertama yang telah selesai memberi vaksinasi Covid-19 keseluruhan kepada rakyatnya pada awal tahun lalu.

Kedudukan Bhutan berada di tengah antara negara China dan India.

Bhutan yang terletak di antara dua negara yang punyai kepadatan penduduk dunia tertinggi iaitu China dan India adalah negara yang mempunyai kadar jenayah terendah di dunia dan tidak seorang pun rakyatnya menjadi gelandangan kerana kemiskinan.

Telah tercatat di dalam undang-undang kebangsaan mereka, sekiranya  kerajaan gagal membuatkan rakyat hidup gembira, maka tidak ada gunanya kerajaan itu wujud.

“Kita kini pesat berkembang kerana negara kita sangat berkat dan dirahmati.”

“Saya percaya, negara kecil seperti Bhutan, walaupun populasi kita kecil namun amat penting kita berkongsi objektif kebangsaan.

Jigme Khesar Namgyel Wangchuck, Raja berjiwa rakyat yang disayangi masyarakat dari pelbagai usia.

“Kegembiraan rakyat keseluruhan  adalah satu tanggungjawab kerajaan dan ia menjadi mandat di mana kerajaan harus memastikan rakyat punya ruang dan peluang untuk menjalani hidup bahagia dan gembira,” kata jurucakap Istana Bhutan.

Katanya lagi, Jingme Singye Wangchuck Raja ke 4 Bhutan telah merubah sistem kerajaan apabila menyerahkan kuasa kepada rakyatnya. Namun, rakyatnya sangat menyayangi raja hingga menolak sistem demokrasi.

Raja Bhutan yang disayangi rakyat

“Raja pergi kesegenap pelusuk daerah, berjumpa setiap ahli keluarga di ceruk kampung menerangkan sistem demokrasi. Namun rakyat menolak dan inilah menyebabkan Bhutan adalah sebuah negara berdemokrasi  dengan sistem monarki yang unik di mana rakyat mengundi pemimpin namun tetap menjadikan raja sebagai pemerintah ulung.

“Sejak 1970-an, Raja ke 4 kami sangat suka menyebut,  “Semuanya Demi Bhutan”. Kegembiraan rakyat seluruhnya adalah lebih penting dari produk kerana ia memberi imbangan kepada pertumbuhan ekonomi dan peradaban rakyat.

“Legasi itu diteruskan oleh raja ke-5 iaitu Jingme Khesar Namgyel Wangchuck yang sangat disanyangi rakyat,” katanya.

Menurutnya, jika terdapat keluarga yang kehilangan tempat tinggal, Raja Bhutan akan memastikan mereka akan diberikan sebidang tanah sebagai tempat tinggal dan bercucuk tanam untuk menguruskan kehidupan mereka.

“Jika rakyatnya sakit atau kemalangan, mereka di beri peluang memilih rawatan tradisional atau moden dan semuanya adalah percuma. Maka tidak hairanlah pemerintah Bhutan amat disayangi oleh rakyatnya.

“Kami sebenarnya hanya memerlukan pemerintah yang berkaliber yang meletakkan kepentingan rakyat sebelum dirinya. Hari ini kita meraikan Bhutan, namun diharapkan suatu hari nanti semua negara mampu hidup gembira sepertimana kehidupan rakyat Bhutan hari ini,” katanya.

 

*Info Bhutan

Ibu negara: Thimphu

Bahasa rasmi: Jongkha, Inggeris

Agama: Buddha

Kerajaan: Raja berperlembagaan

Raja: Jigme Khesar Namgyel Wangchuck

Perdana Menteri: Jigme Thinley

Populasi: 672,425 (2005)