Browsing Tag

Covid-19

Pictures of the Week Photo Gallery-Global
Jendela Dunia,

Arab Saudi Tingkatkan Kapasiti Jemaah Ke Makkah Hingga 70,000 Sehari

no comment

KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi hari ini mengumumkan akan meningkatkan kapasiti jemaah umrah sehingga 70,000 sehari, bermula esok.

“Dengan penekanan untuk menerapkan tindakan pencegahan, Kementerian Haji dan Umrah, bekerjasama dengan pihak berwenang, meningkatkan kapasiti harian menjadi 70.000 jemaah,” kata kementerian itu dalam Twitternya.

Individu yang ingin pergi menunaikan umrah boleh membuat permohonan melalui aplikasi Penjejak Covid-19 Arab Saudi, Tawakkalna.

Bulan lalu, kementerian mengumumkan bahawa mereka akan mula membuka permohonan melaksanakan umrah secara beransur-ansur dari pelbagai negara mulai 9 Ogos, lapor Saudi Press Agency (SPA).

Kementerian juga secara beransur-ansur akan meningkatkan kapasiti menjangkau 2 juta jemaah setiap bulan.

Permit akan dikeluarkan melalui aplikasi mudah alih Eatmarna dan Tawakkalna iaitu sistem perkhidmatan bersepadu dan langkah pencegahan yang diambil oleh kerajaan untuk keselamatan dan kesihatan mereka yang ingin melakukan ibadah umrah dan ziarah.

Kementerian juga mengesahkan bahawa kerajaan akan memberikan kelonggaran bagi jemaah umrah tempatan kepada individu berusia 12 hingga 18 tahun yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19, menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Pelbagai kemudahan disediakan untuk jemaah bagi menghindari dijangkiti wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Haji Dr Abdul Fattah Mashat menjelaskan bahawa Kementerian Haji dan Umrah bekerjasama dengan pihak berkuasa lain untuk mewujudkan mekanisme eksekutif dan mewujudkan persekitaran yang selamat dan mudah diakses kepada para jemaah sepanjang perjalanan mereka.

Mashat menambah bahawa jumlah penumpang dalam bas yang membawa jemaah tidak akan melebihi kapasiti 50 peratus untuk memastikan jarak sosial. Pihak berkuasa akan melakukan pembersih dan mengesahkan jemaah yang dikeluarkan oleh aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna sebelum menaiki bas.

Menurut Mashat, kementerian sedang bekerjasama dengan pihak bertanggungjawab untuk menentukan negara-negara yang diberi kebenaran memasuki Makkah untuk umrah dan jumlahnya secara berkala. Ia sesuai dengan klasifikasi tindakan pencegahan dan syarat-syarat untuk negara-negara dari mana jemaah dan pelawat datang ke Arab Saudi.

Jemaah yang datang dari luar Saudi diminta untuk menunjukkan sijil imunisasi yang disahkan oleh pihak berwajib di negaranya dan harus dilampirkan dalam alasan untuk meminta pelaksanaan ibadah dengan syarat vaksin disetujui.

Kerja-kerja sanitasi dilakukan sepanjang masa bagi mengelak wabak. Gambar: France 24

Pihak berkuasa Masjid Agung Arab Saudi di Makkah telah memperhebatkan usaha sanitasi sebagai persiapan untuk umrah sebagai sebahagian daripada tindakan pencegahan wabak.

Seramai 4,000 pekerja telah mula membersihkan Masjidil Haram dan taman serta kemudahan luarannya lebih daripada 10 kali sehari dengan penggunaan pembersih dan minyak wangi berkualiti tinggi.

Hampir 60,000 liter cecair pembasmi kuman mesra alam digunakan semasa proses pembersihan dan sekitar 1,200 liter minyak wangi turut digunakan setiap hari, menurut agensi berita itu.

Hanya jemaah antarabangsa yang diberi vaksin dengan Pfizer, Moderna, AstraZeneca, atau Johnson & Johnson yang akan dibenarkan menunaikan Umrah, menurut Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Sumber: Alarabiya News

Ibu hamil
Isu, Pilihan Editor,

Begitu Besarnya Jihad Ibu Hamil, ALLAH Janjikan Imbalan Yang Bukan Calang-Calang

no comment

TIADA yang lebih indah bagi seorang wanita selain dapat melahirkan zuriatnya sendiri selepas dijabkabulkan. Bagi mereka, itulah anugerah paling hebat daripada ALLAH SWT melebihi daripada kemewahan lain di dunia ini.

Pun demikian, tidak semua wanita ditakdirkan untuk hamil dan memiliki cahaya mata untuk dibelai di dunia ini. Namun, janganlah bersedih hati kerana ALLAH YANG MAHA ESA menjanjikan kehidupan yang lebih indah di alam abadi nanti.

Kepada yang diberi rezeki untuk mengandung, berita itulah yang sangat ditunggu-tunggu. Kehadiran zuriat bukan sahaja sebagai pengikat kasih sayang, malah penyambung kepada legasi keluarga.

Sebenarnya, sebelum melahirkan zuriat yang dikandung selama sembilan bulan lamanya, banyak liku dan cabaran yang perlu direntas oleh kaum Hawa.

Segelintir daripada mereka mengalami kesakitan dan keperitan sehingga hilang selera makan. Lebih teruk, terdapat wanita yang terpaksa terlantar di atas katil berbulan-bulan lamanya disebabkan komplikasi kesihatan sampingan. Itu belum dikira hamil pada saat virus Covid-19 yang sememangnya menuntut kaum ibu lebih berhati-hati.

Apabila tiba saat bersalin, lain pula ceritanya. Mereka yang bernasib baik, berpeluang melahirkan anak secara normal. Jika tidak, ia dilakukan secara pembedahan. Lebih meruntun perasaan, ada yang kehilangan nyawa tatkala melahirkan bayi.

Dalam Islam, kematian seumpama itu dikategorikan sebagai mati syahid. Begitu juga dengan ibu hamil yang gugur ketika bertarung nyawa melawan Covid-19. Sesungguhnya, wanita hamil begitu dipandang tinggi dalam agama. Dalam hal itu, apa indicator-indikator yang menentukan mereka mati syahid?

Baca juga Kematian Akibat Covid-19 Dan Melahirkan Anak Termasuk Dalam Syahid Akhirat

Kemuliaan

Membuka tirai bicara, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah menjelaskan justifikasi kemuliaan yang diberikan kepada wanita hamil.

SHARIFAH FADYLAWATY

Ujarnya, Islam begitu menyanjungi golongan tersebut lantaran perjuangan mereka yang mengandung, melahir, membesarkan dan mendidik umat Nabi Muhammad SAW menjadi permata ummah pada masa hadapan, dengan izin-NYA.

Bukan itu sahaja, ujar beliau, pengorbanan seorang ibu hamil tidak ternilai kerana ia juga diibaratkan seperti perjuangan antara hidup dan mati.

”Begitu juga kesusahan dalam tempoh berpantang, pengorbanan menyusukan anak dan sebagainya. Semua cabaran dan kesukaran ibu mengandung itu ada digambarkan dalam al-Quran menerusi ayat 14, Surah Luqman.

”Dalam kitabullah tersebut, terdapat istilah wahnan ‘ala wahnin (kesusahan atas kesusahan) selama mengandung dan melahirkan anaknya. Ya, seorang ibu mungkin hilang selera makan, berdepan dengan pelbagai risiko penyakit, lemah badan dan pelbagai lagi ranjau sepanjang proses kehamilan,” katanya kepada Sinar Islam Plus ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Meskipun tiada nas khusus memerihalkan tentang ganjaran pahala kepada kaum Hawa yang mengandung, Sharifah Fadylawaty menjelaskan, terdapat banyak lagi hadis lain yang boleh dikaitkan dengannya.

Antaranya, hadis yang menjelaskan bahawa ALLAH SWT akan mengurniakan imbalan yang bukan calang-calang kepada hamba-hamba-NYA yang bersabar di atas setiap ujian, kesulitan dan takdir ditetapkan-NYA, ungkapnya.

”Ia termasuklah untuk seorang ibu hamil sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa mereka menanggung banyak dugaan, keperitan dan kepayahan. Andai mereka bersabar, sudah semestinya ALLAH SWT tidak akan mensia-siakan amalan dan pengorbanan masing-masing,” katanya.

ALLAH SWT berfirman: ”Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira.” (Surah al-Zumar, ayat 10)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: ”ALLAH SWT berfirman, Apabila AKU timpakan ujian (dengan musibah, sakit dan lain-lain kesusahan) ke atas salah seorang daripada hambahamba-KU yang beriman dan dia memuji DAKU (kerana reda) maka (AKU akan memerintahkan para malaikat), ‘tulislah segala ganjaran amalannya yang baik sebagaimana yang biasa kamu tulis semasa dia sihat’.” (Riwayat Ahmad dan at-Tabarani)

Ibu hamil

KEDATANGAN orang baharu dalam keluarga begitu dinanti-nanti bagi setiap pasangan yang sudah berkahwin.

ALLAH tinggikan darjat

Benarkah ALLAH SWT akan mencatatkan pahala bagi wanita yang mula sakit bersalin seumpama orang yang berjihad pada jalan-NYA?

Menjawab persoalan itu, Sharifah Fadylawaty menjelaskan, terdapat beberapa pernyataan berkaitan hadis palsu yang sering berlegar-legar dalam kalangan masyarakat.

Antaranya tentang wanita hamil akan mendapat pahala berpuasa pada siang hari dan pahala beribadah pada waktu malam.

Ibu yang menyusukan anak pula akan mendapat satu pahala daripada setiap titisan susu dan wanita yang berjaga malam kerana anaknya akan mendapat pahala seperti membebaskan 70 orang hamba.

Begitu juga dengan dakwaan bahawa wanita yang mula sakit hendak bersalin akan dikurniakan penyejuk mata yang tidak diketahui oleh penduduk bumi dan langit.

”Ingin saya tegaskan bahawa semua hujah tersebut adalah hadis palsu kerana perawinya ‘Amru al-Khawlani banyak meriwayatkan hadis palsu sepertimana yang dijelaskan oleh Ibn Hibban, Ibn Jauzi dan Zahabi. Maka, kita tidak boleh beramal mahupun menyebarkan lagi hadis itu,” tegasnya.

Kepada satu soalan, ahli akademik berkenaan berkata, seandainya seorang wanita ditakdirkan meninggal dunia semasa bersalin, kematiannya dianggap sebagai mati syahid.

”Ini kerana perjuangannya bukan sesuatu yang mudah sehinggakan ALLAH SWT meninggikan darjat mereka.

”Ia termasuk juga kepada wanita yang meninggal dunia selepas bersalin iaitu sepanjang tempoh nifas disebabkan proses kelahiran tersebut,” katanya.

Ganjaran terhebat

Senada dengan Sharifah Fadylawaty ialah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

DR AHMAD SANUSI

Jelas beliau, selain mati syahid berjuang pada jalan ALLAH, Rasulullah SAW memberikan kita panduan bahawa terdapat beberapa lagi jenis kematian yang boleh dikategorikan sebagai syahid. Antaranya meninggal dunia disebabkan wabak taun atau sakit perut.

Baginda SAW bersabda: ”Terdapat lima jenis kematian yang dianggap syahid iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit berkaitan perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan ALLAH.” (Riwayat al-Bukhari)

Dr Ahmad Sanusi menambah, ia dianggap sebagai syahid akhirat iaitu jenazah mereka diuruskan seperti orang yang meninggal seperti biasa. Namun, mereka akan beroleh ganjaran syahid di akhirat kelak.

”Al-Imam al-Nawawi menjelaskan, kelima-lima jenis kematian itu dianggap sebagai syahid kerana mereka menghadapi maut tidak seperti manusia biasa. Seksaan yang mereka lalui lebih daripada yang lain. Dengan itu, mereka digelar sebagai syahid akhirat.

”Sementara itu, al-Imam Ibn al-Tin menyatakan pandangan yang hampir sama.

“Kematian yang berat sebegini adalah penyuci dosa mereka, menambah ganjaran buat mereka, lalu ALLAH SWT mengangkat kedudukan mereka sebagai syahid,” jelasnya.

Dalam hadis lain pula, jelas ahli akademik itu, Rasulullah menjelaskan bahawa wanita yang meninggal disebabkan melahirkan anak boleh dianggap sebagai mati syahid iaitu kategori syahid akhirat.

Sabda baginda SAW: ”Orang yang mati syahid dalam kalangan umatku hanyalah sedikit. (Mereka ialah) orang yang mati berjihad di jalan ALLAH lalu mereka memperoleh syahid, orang yang mati kerana taun, dia dianggap syahid. Orang yang mati tenggelam turut mendapat syahid. Orang yang mati kerana sakit perut turut dikira syahid. Dan wanita yang mati kerana nifas, dia akan ditarik oleh anaknya menuju syurga dengan tali pusarnya.” (Riwayat Ahmad)

Ibu hamil

ANDAI seorang ibu gugur ketika proses bersalin atau sepanjang tempoh nifas akibat proses kelahiran bayinya, maka kematiannya dianggap sebagai mati syahid.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Sanusi Azmi turut memperbetulkan tanggapan segelintir pihak yang menganggap bahawa wanita bersalin akan bersih daripada dosa seperti bayi yang baru dilahirkan.

Walaupun terdapat sebuah hadis yang memerihalkan tentang pahala besar di sisi ALLAH kepada wanita mengandung dan bersalin, beliau menjelaskan, sebahagian ulama menyatakan bahawa ia adalah hadis daif, malah ada yang menghukumkannya sebagai palsu.

”Oleh yang demikian, lebih baik andai kita menggunakan Hadis Sahih al-Bukhari yang menyatakan bahawa setiap kesukaran dan keperitan yang dilalui oleh seorang Muslim akan menghapuskan dosa-dosa kecilnya.

”Dosa-dosa yang dimaksudkan di sini adalah dosa kecil kerana perlakuan yang melibatkan dosa besar perlu kepada taubat dan penyesalan kepada ALLAH SWT,” jelasnya.

Islam mengangkat martabat wanita sebagai ibu, isteri, anak

SEWAKTU zaman jahiliah, kaum wanita dilayan dan dipandang hina. Bahkan, golongan itu langsung tidak dihargai apabila hak mereka dirampas, ditindas dan dizalimi tanpa belas kasihan.

Ia termasuklah hak terhadap diri sendiri dan tidak dapat mewarisi harta pusaka. Perkara itu diceritakan dalam al-Quran melalui Surah an-Nahl, ayat 58 dan 59.

Pendakwah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen berkata, semenjak kedatangan Islam, kezaliman dan keganasan terhadap kaum wanita telah dihapuskan. Bahkan, martabat dan kedudukan wanita sebagai ibu, isteri dan anak telah diangkat tinggi dalam agama suci ini.

DA’I ADNEEN

“Hak-hak wanita diberikan dengan sewajarnya sekali gus membawa perubahan besar terhadap status wanita,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Rasulullah SAW bersabda: “Dan berpesanlah kepada wanita dengan kebaikan, kerana sesungguhnya dia diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian yang paling bengkok adalah tulang rusuk yang paling atas, jika kamu berusaha untuk meluruskannya, nescaya akan patah, jika kamu membiarkannya, dia akan sentiasa bengkok, maka berpesanlah terhadap wanita dengan kebaikan.” (Riwayat Muslim)

Bukan itu sahaja, ujar Da’i Adneen, ALLAH SWT merakamkan beberapa keistimewaan wanita dalam al-Quran. Antaranya kaum Hawa diberikan hal dalam pewarisan harta pusaka dan memperoleh mahar dalam pernikahan.

“Begitu juga halnya dengan perlindungan kehormatan wanita. Agama Islam sangat menitikberatkan tentang perkara itu sehinggakan ALLAH SWT mensyariatkan golongan berkenaan untuk menutup aurat dengan sempurna.

“Tujuannya supaya mereka terhindar daripada pandangan syahwat dan terpelihara maruah diri,” jelasnya.

Ditanya tentang pernyataan bahawa kaum wanita mudah untuk mendapatkan pahala dan dosa, Da’i Adneen menjelaskan, setiap yang bergelar manusia pada hakikatnya mudah untuk mendapatkan dosa dan pahala, baik lelaki mahupun wanita.

Walaupun kaum Hawa dikurniakan haid pada setiap bulan, ia bukanlah penghalang untuk mereka terus meraih ganjaran pahala daripada ALLAH SWT.

“Antara amalan mudah yang boleh dilakukan oleh wanita ketika datang bulan agar memperoleh ganjaran berterusan adalah dengan memperbanyakkan bersedekah. Amalan ni mempunyai ganjaran yang besar di sisi ALLAH SWT.

“Selain itu, wanita berhadas besar juga digalakkan untuk membaca doa dan berzikir. Paling mudah, lazimkan diri dengan zikir Saidatina Fatimah iaitu Subhanallah dan Alhamdulillah masing-masing sebanyak 33 kali dan Allahuakbar sebanyak 34 kali. Ia sepertimana yang dilakukan oleh puteri Rasulullah SAW itu setiap kali selepas solat.

“Seperkara lagi, biasakan diri untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, sekali gus membuktikan kecintaan kita kepada baginda,” sarannya.

ANEKDOT

Ibu hamil

PERCAYALAH setiap kesakitan, keperitan dan pengorbanan yang dilalui oleh setiap hamba-hamba-NYA termasuk wanita hamil tidak akan disia-siakan begitu sahaja. ALLAH SWT pasti akan mengurniakan ganjaran yang selayaknya.

6 bentuk penat wanita hamil yang ALLAH SWT tidak sia-siakan

1. Melaksanakan amar makruf nahi mungkar. (khususnya kepada anak-anak, suami dan orang awam).

Firman ALLAH SWT: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) ALLAH, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh.” (Surah Fussilat, ayat 33)

2. Penat dalam beribadah.

Seorang wanita hamil dituntut mempergiatkan lagi ibadah sepanjang mengandung supaya ALLAH SWT memberi kekuatan dan perlindungan daripada sebarang mudarat kepadanya.

Dalam keadaan sarat hamil, biasanya terdapat sebilangan wanita yang berdepan dengan kesukaran untuk melaksanakan ibadah sebagaimana keadaan normal.

3. Penat mengandung, melahir dan menyusukan.

Wanita yang mengandung, melahir dan menyusukan anaknya akan mengalami kepenatan dan kesakitan yang hanya dilalui oleh mereka sendiri.

Ketahuilah, semua itu merupakan salah satu perkara yang disukai ALLAH kerana menggambarkan perjuangan luar biasa mereka untuk meneruskan kesinambungan umat Nabi Muhammad SAW.

4. Penat dalam mencari nafkah.

Dalam situasi hari ini, wanita kebanyakannya menjadi pembantu dan pendukung suami untuk bersama-sama mencari nafkah dan rezeki bagi mencukupkan keperluan dan kelangsungan hidup keluarga.

Usaha untuk mencari rezeki yang halal amat disukai ALLAH SWT.

5. Penat dalam menuntut ilmu.

Fasa kehamilan, kelahiran dan membesarkan anak-anak menuntut persediaan mental, emosi, kewangan dan pengetahuan yang rapi daripada seorang ibu.

Ibu perlu melakukan persiapan jiwa dan ilmu melalui pembacaan, mendengar kuliah dan seumpamanya untuk melancarkan proses tarbiah kepada anak-anak agar seiring dengan saranan agama.

Usaha itu menuntut mujahadah yang tinggi dan akan dikurniakan ganjaran yang besar di sisi ALLAH SWT.

6. Penat dalam mengurus hal ehwal keluarga.

Khidmat seorang wanita hamil terhadap ahli keluarganya dalam soal memasak, mengemas rumah, menjaga anak-anak dan pelbagai urusan lain bukanlah usaha yang sia-sia melainkan semuanya berpahala.

Sumber: Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah

Foto: 123rf, Sinar Harian & Unsplash

702495
Berita Semasa, Isu, Pilihan Editor,

PPZ-MAIWP Ajak Orang Ramai Mulakan Kewajipan Berzakat Serendah RM10

no comment

PUSAT Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memperkenalkan Kempen RM10 sebagai satu usaha untuk mengajak dan mendidik masyarakat Islam menunaikan zakat dengan jumlah serendah RM10.

Dalam situasi pandemik Covid-19 kini, semakin ramai yang memerlukan bantuan apabila terjejas pendapatan akibat dibuang kerja, dipotong gaji dan sebagainya sehingga melahirkan asnaf baharu. Dengan memulakan zakat serendah RM10, ianya mampu menyediakan satu hidangan makanan buat mereka yang memerlukan.

Kempen yang berlangsung selama enam bulan bermula Julai hingga Disember tahun ini menyasarkan mereka yang berpendapatan atau gaji bersih serendah RM1,692 yang mana merupakan gaji minima wajib bagi seseorang untuk menunaikan zakat.

Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen RM10 itu adalah sebagai satu permulaan buat mereka yang tidak pernah menunaikan zakat untuk memulakannya dengan bayaran zakat serendah RM10.

“Kesan daripada pendemik Covid-19, golongan yang sebelum ini adalah M40, malah T20 juga kini telah jatuh ke golongan B40 dan menjadi asnaf ‘segera’. Walaupun nilai RM10 itu tidak nampak banyak namun inisiatif ini dilihat mampu membantu meningkatkan kutipan zakat bagi membantu golongan asnaf yang semakin meningkat.

“Oleh itu, PPZ-MAIWP menyeru orang ramai khususnya mereka yang tidak pernah menunaikan zakat untuk memulakan ibadah wajib ini dan merasai sendiri nikmatnya di mana Allah akan melipatgandakan rezeki mereka sehingga 700 kali ganda dalam pelbagai bentuk seperti kesihatan yang baik, kemudahan dalam selesaikan masalah, kewangan yang stabil, ketenangan jiwa dan pelbagai lagi.

“Kempen ini terbuka kepada semua pembayar baru yang menunaikan zakat secara dalam talian melalui zakat_10.zakat.com.my. Pembayar bertuah berpeluang memenangi hadiah menarik seperti Kamera Perakam Video dan Jam Pintar,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada info@zakat.com.my atau melalui Facebook Messenger di m.me/myzakat.

Sumber: BERNAMA

OIC
Jendela Dunia, Pilihan Editor,

OIC Gesa Dunia Islam Tangani Krisis Hak Asasi Manusia Ketika Pasca Pandemik dengan Prinsip Islam

no comment

PERTUBUHAN Kerjasama Islam (OIC) mengesyorkan prinsip-prinsip Islam sejagat harus digunakan sebagai dasar untuk menangani masalah hak asasi manusia angkara wabak penyakit Covid-19 yang melanda dunia.

Sempena ulang tahun ke-10, Hari Hak Asasi Dunia Islam dan Martabat Manusia, OIC mengesa anggota Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) serta negara-negara anggota untuk mengambil pendekatan bersama dalam usaha menangani cabaran global pasca wabak.

OIC gesa negara anggota bekerjasama dengan pihak berkepentingan serantau dan antarabangsa.

Perwakilan Suruhanjaya menunjukkan bahawa berjuta-juta orang di seluruh dunia terus menghadapi kemarahan akibat pendudukan asing dan penindasan, kelaparan, penyakit yang tidak dapat dicegah, peluang sosioekonomi yang terbatas dan kurangnya akses kepada keperluan asas di mana semuanya secara serius telah merosakkan hak asasi manusia mereka.

Perhimpunan IPHRC menyatakan bahawa pandemik Covid-19 yang sedang kritikal kini hanya memburukkan keadaan hak asasi manusia global. Situasi itu telah menggandakan jumlah orang yang menghadapi krisis makanan dan anak-anak kehilangan akses kepada pendidikan asas dan perkhidmatan kesihatan.

Anggota mendedahkan peningkatan kejadian kes benci (xenophobia), diskriminasi antara kaum dan agama serta isu yang mendorong terjadinya masyarakat multicultural. Ia akan mengancam keamanan dan keselamatan global.

Sambil menekankan bahawa landasan konseptual hak asasi manusia dalam Islam memberikan penekanan yang kuat dalam martabat manusia.

OIC menggesa negara anggota untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan serantau dan antarabangsa untuk merangka dasar praktikal berdasarkan hak asasi manusia.

Pihaknya juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk memperkuat rasa hormat terhadap kepelbagaian, multikulturalisme dan demokrasi yang merupakan intipati dari hak asasi manusia dan kebebasan.

Anggota IPHRC mengesyorkan agar semua negara bekerjasama dengan pemimpin politik, agama, dan komuniti mereka untuk mempromosikan pemahaman yang lebih baik mengenai nilai-nilai hak asasi manusia sejagat, secara kolektif.

Ia bagi menangani penyebab perkauman dan toleransi agama, termasuk islamfobia dan memastikan pemeliharaan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Sumber: Arab News

Hijrah
Isu, Pilihan Editor,

Berdepan Ujian Getir Ketika Berhijrah, Ini Sebabnya

no comment

UNGKAPAN hijrah begitu mudah meluncur keluar daripada bibir kita. Namun, untuk melaksanakannya tidak semudah seperti disangka. Proses transisi ke arah sifat dan kehidupan lebih baik itu lazimnya diiringi dengan liku penuh ranjau.

Ketika proses perubahan tersebut, adakalanya jiwa kita mudah rapuh dan hati tidak begitu kental.

Malah, ada sebahagian kita yang barangkali terpaksa melupakan hasrat murni tersebut gara-gara tidak sanggup berdepan dengan pelbagai ujian yang menyesakkan dada lebih-lebih lagi pada era pandemik Covid-19.

Pandemik itu yang terus membadai masyarakat dunia sehingga kini sememangnya telah merencatkan kehidupan manusia seantero dunia. Di Malaysia sahaja, kes positif sudah mencecah lebih sejuta orang. Angka itu dijangka bertambah seiring dengan kewujudan varian baharu yang ganas.

Ramai mengeluh apabila kehidupan selesa dan bebas yang dijalani sebelum ini terhenti secara tiba-tiba. Ramai menyifatkan ‘penghijrahan‘ suasana itu, sesuatu yang mengejut dan tidak pernah terlintas langsung di dalam benak fikiran.

Namun, mengertilah bahawa peralihan tersebut merupakan satu dugaan yang terselit kemanisan di sebaliknya. Ada sebab mengapa ALLAH SWT menguji hamba-NYA.

Baca juga Hidayah Buat ‘Pembenci’

Jadi, mengapakah mereka yang melalui proses penghijrahan terpaksa berdepan dengan ujian yang bukan sedikit? Apakah imbalan yang dijanjikan-NYA kepada mereka yang berhijrah?

Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz untuk mengulas lebih lanjut. Ketika dilontarkan persoalan tentang proses penghijrahan yang dilalui seluruh masyarakat kepada kehidupan norma baharu gara-gara ancaman Covid-19, beliau menjelaskan, perkara itu sebenarnya sama sekali tidak bercanggah dengan saranan agama Islam itu sendiri.

PU FAIZ

Jelas beliau, Islam begitu menekankan kepada kebersihan dan kesihatan. Jika seseorang mengamalkan kehidupan yang tidak bersih, maka dirinya mudah ditimpa penyakit.

Jika dibelek kembali kitab-kitab fiqah, ujar PU Faiz, bab pertama sahaja sudah menyentuh tentang topik taharah (bersuci). Begitu juga dengan konsep mencegah lebih baik daripada mengubati.

“Bahkan, kita disuruh berikhtiar dan berusaha daripada terkena sebarang penyakit yang membahayakan.

“Disebabkan itulah semua saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia agar kita memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan menjaga penjarakan sosial selari dengan kehendak agama.

“Bahkan, langkah-langkah pencegahan itu semuanya turut diambil oleh para doktor zaman cendekiawan Islam silam seperti Ibnu Sina.

“Mereka juga menyuruh umat terdahulu melakukan perkara sama tatkala sesuatu kawasan itu bergelut dengan penyakit berjangkit dengan kerap mencuci tangan dan tidak berhubungan sosial atau berkumpul,“ katanya baru-baru ini.

Transisi perilaku

Sesi temu bual kami semakin menarik apabila PU Faiz beralih kepada konteks penghijrahan yang berlaku pada era milenial.

“Dalam konteks kita sekarang, tidak perlu lagi berpindah dari satu rumah ke rumah yang lain, tetapi proses penghijrahan itu melibatkan transisi daripada satu perilaku kepada perilaku yang lain.

Hijrah

SUASANA norma baharu yang terpaksa dilalui oleh masyarakat pada hari ini juga merupakan penghijrahan dalam memerangi wabak Covid-19 dan ia selaras dengan kehendak Islam.

“Mudah kata, daripada perangai dan nafsu tidak baik kepada baik, daripada sikap baik kepada lebih baik dan sebagainya. Itulah proses penghijrahan yang sepatutnya dipraktiskan oleh umat Islam hari ini,“ terangnya.

Menyambung hujahnya, PU Faiz menjelaskan, semua transisi atau penghijrahan yang ingin dilakukan biarlah hanya kerana ALLAH SWT.

Nabi Muhammad SAW mengingatkan dalam sebuah hadis bahawa: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada ALLAH dan rasul-NYA, maka hijrahnya kepada ALLAH dan rasul-NYA, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.“ (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain)

Hijrah bukan kerana manusia

“Kita lakukan penghijrahan itu sebagai seorang hamba ALLAH. Bahkan, semua itu dilakukan kerana ia merupakan perintah daripada-NYA. Jangan sesekali kita buat sesuatu dan kita meninggalkan suatu perkara itu kerana manusia.

“Imam Junaid al-Baghdadi menyatakan, mereka yang meninggalkan amal kerana manusia dikira sebagai syirik iaitu syirik khafi (kecil) kerana dalam hatinya itu masih memandang kewujudan insan. Ingatlah bahawa manusia tidak boleh memberikan apa-apa habuan kepada kita di akhirat kelak.

“Sebab itulah ALLAH SWT menegaskan dalam kalam-NYA menerusi ayat 20, Surah as-Syura bahawa sesiapa yang berkehendakkan habuan dunia, maka dia akan peroleh. Begitupun, pada hari akhirat kelak, tiada sedikit pun balasan kebaikan kepada mereka yang mengerjakan kebajikan untuk habuan dunia semata-mata. Inilah perkara yang perlu kita ambil pengajaran,“ jelasnya.

Mengapa setiap proses penghijrahan itu adakalanya terpaksa merentas pelbagai ujian? Menjawab persoalan itu, pendakwah Nourul Iman Nia‘mat menjelaskan, proses perubahan tersebut diakui memerlukan pengorbanan yang cukup besar. Ia sebagaimana hijrah yang dilakukan oleh para sahabat pada zaman Rasulullah SAW.

NOURUL IMAN

“Apabila mereka hendak kembali kepada ALLAH, antara pengorbanan terbesar yang dilakukan adalah meninggalkan kaum kerabat masing-masing, selain meninggalkan harta benda.

“Begitu juga saat para sahabat yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada tanah air tercinta iaitu Makkah al-Mukarramah sebelum berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.

“Dalam proses tersebut, mereka ditimpa ujian demi ujian semata-mata ALLAH SWT mahu melihat sama ada keimanan mereka jitu ataupun rapuh,“ katanya.

Begitu juga dengan proses perubahan yang dilakukan oleh kita pada zaman ini. Ketika hidayah datang menjemput dan taufik mengiringi kita untuk berhijrah, ia memerlukan keazaman yang kuat, ungkapnya.

Barangkali sebelum ini kita biasa bergelumang dengan maksiat, penuh kemewahan dan seumpamanya. Namun, apabila tiba saatnya, ALLAH SWT mahu mengembalikan kita kepada-NYA dalam keadaan sangat reda, maka DIA menimpakan ujian.

“Ada segelintir orang, ALLAH SWT menurunkan malapetaka kepadanya ataupun musibah seperti sakit, kemalangan dan sebagainya. Boleh jadi ujian tersebut mahu menduga keimanan kita apakah benar kita beriman dengan-NYA ataupun tidak.

“Mungkin juga musibah berkenaan diberikan untuk menyucikan segala dosa yang pernah dilakukan sebelum ini kerana DIA mahu kita kembali kepada-NYA dalam keadaan suci bersih.

“Ia lebih baik daripada kita menghadapi rintangan apabila tibanya kematian, tiba di alam mahsyar, melalui titian Siratal Mustakim dan ketika menunggu sama ada bakal dimasukkan ke dalam syurga atau neraka. Seperkara lagi, boleh jadi musibah tersebut sedang mengangkat darjat kita di sisi ALLAH,“ katanya.

Hijrah

ALLAH SWT mengurniakan kemuliaan melalui rahmat dan kasih sayang-NYA serta kemakmuran bagi rezeki orang yang berhijrah sama ada di dunia dan akhirat.

Rezeki dan kemakmuran

Bagi menghindarkan diri daripada bisikan syaitan yang sering mengambil peluang menyesatkan apatah lagi mereka mahu berhijrah, saran Nourul Iman, kita perlu mengambil tahu segala tipu daya syaitan menerusi ilmu untuk mengetahui ‘taktik-taktik mereka‘ menyelewengkan manusia.

“Selain itu, jangan sesekali kita memberi perhatian atau melayan segala pujuk rayu musuh yang nyata tersebut. Pada masa sama, tingkatkan zikir lidah dan hati apabila kita digoda oleh syaitan. Ucapkanlah A‘uzubillahi minasy syaitanir rajim bagi menangkis godaan tersebut,“ katanya.

Firman ALLAH SWT: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan ALLAH (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada ALLAH dan rasul-NYA, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi ALLAH. Dan (ingatlah) ALLAH MAHA PENGAMPUN, MAHA MENGASIHANI.“ (Surah an-Nisa‘, ayat 100)

Kepada satu soalan, Nourul Iman menjawab: “ALLAH SWT memberi satu janji yang bernilai di sisi-NYA kepada mereka yang berhijrah kerana-NYA.

“Antaranya pemilik kerajaan langit dan bumi itu menjamin keamanan iaitu dengan menjanjikan rezeki dan kemakmuran di tempat baharu. Inilah janji-NYA di dunia.

Hijrah


TINGKATKAN zikirullah menerusi lidah dan hati bagi menangkis godaan syaitan yang cuba mengembalikan kita ke kancah maksiat silam.

“Sementelah, pahala hijrah yang dimaksudkan dalam kalam ALLAH tadi adalah dosa-dosa silam kerana ALLAH SWT MAHA PENGAMPUN lagi MAHA PENGASIH. Sifat MAHA PENGAMPUN itu ditujukan kepada dosa-dosa lalu, manakala MAHA PENGASIH pula anugerah kesenangan dengan membuka pintu hijrah.

“Apabila hamba-NYA taat dan menunaikan hijrah, maka ALLAH SWT mengurniakan kemuliaan melalui rahmat dan kasih sayang-NYA serta kemakmuran bagi rezekinya sama ada di dunia dan akhirat.

’Perlu ada wawasan hidup untuk peroleh semangat hijrah’

KEHIDUPAN manusia sememangnya sentiasa melalui proses penghijrahan. Bermula dari alam rahim, kemudian dilahirkan ke dunia sebelum kembali ke alam barzakh dan kekal di akhirat buat selama-lamanya.

Demikian juga putaran hidup dilalui oleh setiap insan di muka bumi ini yang mana semua orang akan melalui fasa kehidupan sebagai seorang bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua.

Pendakwah Muhammad Hadi Talhah menjelaskan, apa jua fasa yang direntas oleh setiap hamba ALLAH, kita perlu jelas dengan misi kita di atas muka bumi ini iaitu hari ini mesti lebih baik daripada semalam dan esok pula lebih baik daripada hari ini.

MUHAMMAD HADI

“Demikianlah misi orang beriman. Ini bermakna, kita kena sentiasa meningkatkan ilmu, iman, amal, takwa, semangat jihad, perjuangan dan sebagainya dari masa ke masa. Barulah kita tidak menjadi orang yang dalam kerugian.

“Hijrah itu bermaksud melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Ia menandakan bahawa semakin hari, usia kita semakin berkurangan. Ketahuilah, orang yang beruntung ialah mereka yang memperbaiki dirinya dari masa ke masa dan punya wawasan untuk hidup,“ katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Namun begitu, entah mengapa masih ada segelintir orang yang tidak jelas dengan wawasan hidupnya sebagai hamba abdi di atas bumi ciptaan-NYA, ungkapnya.

“Malah, ada yang tidak kenal siapa dirinya, untuk apa dirinya dicipta dan ke mana dia bakal pergi? Ketiga-tiga persoalan itu sebenarnya mempunyai jawapan yang sama iaitu daripada ALLAH kita datang, kerana ALLAH kita ada dan kepada-NYA juga kita kembali. Jelas bahawa ALLAH adalah matlamat kita.

“Sebab itu penting adanya wawasan supaya kita mendapat semangat untuk berhijrah. Hijrah hanya dilakukan demi ALLAH SWT semata-mata,“ katanya.

Kepada satu soalan, Muhammad Hadi menjawab: “Wajib untuk kita melakukan apa yang ALLAH SWT perintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang-NYA.

Baca juga Jangan Suka Bertangguh, Sifat Itu Dibimbangi Menyebabkan Diri Ditimpa Ujian Sehingga Kufur

“Jikalau kita tidak melakukannya, maka berdosa hukumnya. Apatah lagi jika ia melibatkan hijrah untuk kebaikan dunia dan akhirat yang sengaja dilengah-lengahkan.

“Hakikatnya, semua orang tidak tahu berapa masa yang dia ada di atas muka bumi ini. Ajal boleh menjemput kita pada bila-bila masa, bukan mengira usia ataupun kesakitan yang dialami.“

ANEKDOT

KEDUDUKAN istimewa hijrah

Hijrah

USAH berlengah-lengah melakukan penghijrahan ke arah yang lebih baik kerana hidup kita di dunia ini hanyalah sekadar tempat persinggahan semata-mata. Sebaliknya, sediakanlah bekalan yang ampuh untuk kehidupan kita di akhirat, alam yang kekal abadi buat selama-lamanya.

– Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah pada tahun 622 Masihi merupakan peristiwa agung dalam sejarah Islam.

– Peristiwa itu merupakan mukadimah kepada kemenangan Islam kerana keutuhan kesatuan antara Muhajirin Makkah dan Ansar di Madinah.

– Selain itu, terdapat tiga perkara berjaya dibina oleh baginda SAW ketika sejarah berkenaan tercipta yang telah mengukuhkan agama Islam iaitu:

i. Nabi Muhammad SAW membina Masjid Quba yang pertama.

Baginda memilih untuk membina masjid kerana ia merupakan institusi yang menghubungkan orang-orang Islam, persaudaraan dan membentuk kekuatan iman, semangat jihad serta seumpamanya di rumah ALLAH tersebut. Mudah kata, masjid menjadi lambang kekuatan kepada umat Islam.

ii. Mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin.

Persaudaraan merupakan suatu perkara penting dalam membina kekuatan umat Islam itu sendiri. Bayangkan jika orang Muslim sendiri berpecah, natijahnya agama Islam akan menjadi lemah.

Jika semua bersatu, maka Islam akan menjadi kuat dan digeruni oleh orang bukan Islam.

iii. Memeterai perlembagaan menerusi Piagam Madinah.

Peristiwa hijrah turut mengangkat Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin di Tanah Suci Madinah.

Baginda memerintah dengan mengaplikasikan konsep syariah Islam.

Daripada satu pertiga orang Islam di Madinah pada peringkat awal, namun selepas 10 tahun baginda memerintah, majoriti penduduk beragama Islam bertambah.

Sumber: Pendakwah Muhammad Hadi Talhah

Foto: 123rf & Bernama

Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Tidak Perlu Kuarantin, Arab Saudi ‘Buka Pintu Negara’ Mulai Ahad Ini

no comment

Pelancong dari pelbagai negara yang telah divaksinasi sepenuhnya dibenarkan untuk memasuki Arab Saudi tanpa perlu dikuarantin.

Mereka hanya perlu menunjukkan sijil vaksinasi yang lengkap ketika tiba di pintu masuk negara itu kepada pihak berkuasa sempadan berkuatkuasa mulai 1 Ogos ini (Ahad)

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi, mereka yang telah divaksinasi sepenuhnya adalah mereka yang telah menerima dua dos vaksin yang dipersetujui buat masa ini oleh kerajaan iaitu Pfizer, AstraZeneca, Moderna atau Johnson & Johnson.

Pelancong hanya perlu menunjukkan bukti telah divaksin untuk masuk ke Arab Saudi. Gambar: Times of India

Pelancong diminta untuk mengisi data berkaitan dengan dos vaksinasi di portal elektronik. Data itu akan disimpan melalui aplikasi ‘Tawakkalna’ dan harus ditunjukkan untuk memasuki tempat awam.

“Kami mengalu-alukan kedatangan pelancong dan kami sangat gembira menerima tetamu kerajaan setelah dihalang seketika akibat wabak coronavirus,” kata Menteri Pelancongan, Ahmed Al-Khatib.

“Kami mahu fokus semula pada usaha kami sebelum ini yang terhenti kembali bekerjasama dengan rakan dalam semua sektor. Ia bagi memastikan tetamu kerajaan berasa selamat dan selesa menikmati percutian mereka ke negara ini.

“Pelancongan umpama ‘harta karun’ nikmatilah penjelajahan ke pelbagai destinasi penting yang ada di negara ini seperti mercu tanda, pengalaman pelancongan yang unik dan belajar tentang budaya kemurahan hati serta keramahan yang menjadi ciri masyarakat Saudi, ”tambahnya.

Arab Saudi nantikan kunjungan 100 juta pelancong menjelang 2030. Gambar: Travel Daily

Riyadh telah menghabiskan berbilion-bilion dana untuk membangun industri pelancongan dari awal, sebagai usaha untuk mempelbagaikan ekonomi yang selama ini hanya bergantung kepada sektor minyak.

Kerajaan Arab Saudi mula mengeluarkan visa pelancong untuk pertama kalinya pada tahun 2019, sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki imej globalnya dan menarik pengunjung.

Pandemik Covid-19 juga telah mengganggu urusan haji dan umrah yang biasanya menyumbang pendapatan utama kerajaan melebihi USD12 bilion dolar setiap tahun.

Pada ketika ini hanya pengunjung yang sudah divaksinasi sepenuhnya dan tinggal di Arab Saudi sahaja dibenarkan melaksanakan ibadah umrah.

Kerajaan telah mempercepatkan proses vaksinasi ke seluruh negara untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan dan berhasrat untuk menjadi tuan rumah untuk pelbagai acara seperti sukan dan hiburan.

Sumber: Arab News

Stockholm-Sweden
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Sweden Benarkan Kemasukan 11 Negara Ketiga Termasuk Kanada dan Arab Saudi

no comment

BERMULA hari ini, (12 Julai), penduduk beberapa negara ketiga dibenarkan memasuki Sweden bagi apa saja tujuan setelah pihak berkuasa negara itu memutuskan untuk mengguna pakai cadangan Majlis Kesatuan Eropah (EU).

Sebelum ini EU melarang kemasukkan pelancong luar termasuk kedatangan dari negara ketiga sejak Mac 2020 akibat wabak Coronavirus yang mula merebak ke seluruh dunia. EU dan Suruhanjaya Eropah mencadangkan agar menutup pintu masuk negara itu berkuatkuasa sehingga Ogos 2021.

Sweden buka pintu masuk negara kepada 11 negara ketiga hari ini. Gambar: The Statesman

Begitupun keputusan yang dibuat pada 8 Julai lalu telah membenarkan pelancong dari negara ketiga memasuki Sweden sama ada untuk pelancongan atau mengunjungi rakan dan saudara.

Antara 11 negara itu termasuk Armenia, Azerbaijan, Bosnia Herzegovina, Kanada, Jordan, Kosovo, Montenegro, Qatar dan Moldova.
Negara Brunei Darussalam dan Arab Saudi antara negara yang turut dibenarkan masuk ke Sweden.

“Pindaan ini mulai berkuatkuasa pada 12 Julai 2021.

Pelancong perlu kemukakan sijil telah divaksin.

“Mereka yang mahu memasuki Sweeden perlulah mendapat sijil negatif jangkitan Covid-19 yang dilakukan dalam waktu 48 jam sebelum kedatangan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa Sweden.

Mereka yang menunjukkan sijil penerimaan vaksin Covid-19 atau baru pulih daripada jangkitan virus juga diminta untuk menunjukkan bukti hasil ujian negatif.

Ini bermaksud pelancong dari negara-negara itu sudah menerima vaksin sepenuhnya, atau memperoleh keputusan negatif ujian Covid-19.

Hasil ujian Covid-19 perlu negetif dalam tempoh 48 jam sebelum tiba di Sweden.

Sweden menutup kedatangan pelancong dari negara ketiga bermula sejak Mac 2020, ketika wabak Coronavirus mula merebak ke seluruh dunia atas nasihat Majlis Eropah dan Suruhanjaya Eropah.

Sebelum itu pada 23 Jun lalu, pihak berkuasa Sweden membenarkan kemasukan pelancong dari beberapa negara ketiga yang lain, seperti Albania, Hong Kong, Lebanon, Makau, Makedonia Utara, Serbia, Taiwan dan AS.

Buat masa ini, pelancong di negara yang layak memasuki Sweden adalah dari EU dan negara-negara Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) yang menunjukkan sijil Covid-19 Digital EU atau setaraf semasa tiba di Sweden melalui negara EEA, Switzerland atau dari mana-mana negara Eropah.

Sumber: Schengenvisainfo.com

Kibarkan bendera putih
Isu, Pilihan Editor,

Kibar Bendera Putih Untuk Minta Bantuan, Ini Hukumnya Yang Perlu Kita Tahu

no comment

KEMPEN mengibar bendera putih yang digerakkan oleh rakyat baru-baru ini seolah-olah memberi nafas baharu kepada individu yang dihimpit kesempitan.

Malah, langkah itu juga sebenarnya membantu masyarakat untuk mengesan golongan yang terdesak atau dalam kesusahan dalam situasi semasa Covid-19 yang masih belum menampakkan titik noktahnya.

Masakan tidak, terdapat isi rumah yang tidak mampu keluar mencari rezeki, sedangkan hidupnya sebelum ini kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada pula sebilangan orang yang terpaksa menerima pengurangan gaji kerana had masa bekerja yang terhad disebabkan pelaksanaan Pergerakan Kawalan Pergerakan.

Namun begitu, kelangsungan hidup dan komitmen lain tetap perlu diteruskan hinggakan ada yang menggunakan wang simpanan yang tidak seberapa jumlahnya demi survival. Habis ditarah segala harta yang ada, namun masih tidak mencukupi pada waktu-waktu tertentu.

Sebab itulah kempen mengibarkan bendera putih dicadangkan bagi memberikan bantuan kecemasan.

Usaha murni itu bagaimanapun ditentang oleh pihak-pihak tertentu kerana ia seolah-olah membuka aib sendiri, bahkan menunjukkan sikap diri yang mengaku kalah serta berputus asa.

Kibarkan bendera putih

AGAMA Islam tidak menghalang umatnya daripada meminta bantuan jika dalam kesempitan dan menggalakkan penganutnya yang berkemampuan supaya mencari orang susah, fakir dan miskin untuk dibantu.

Ketahuilah bahawa Islam tidak melarang kita meminta bantuan tatkala dilanda kesusahan.

Malah, agama suci itu turut menganjurkan umatnya yang berkemampuan supaya mencari orang susah, fakir dan miskin untuk dibantu.

Memetik artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-588: Hukum Kibar Bendera Putih Untuk Meminta Bantuan yang disiarkan dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kebanyakan kita beranggapan ramai yang mampu bertahan ketika dihimpit kesukaran.

“Hakikatnya, mereka yang diulit kesusahan itu lebih gemar memilih untuk memendam keresahan masing-masing dan berdiam diri,” katanya.

ALLAH SWT berfirman: “Pemberian sedekah itu ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan ALLAH (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. ENGKAU kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya ALLAH sentiasa mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 273)

Kibarkan bendera putih

BERIKAN sedekah kepada mereka yang memerlukan.

Prof Dr Wahbah az-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir ketika menjelaskan tentang kalamullah itu menegaskan kepada orang mukmin bahawa sedekah itu hendaklah diberi kepada orang-orang yang memerlukan.

Antaranya, orang yang berjuang pada jalan ALLAH, orang yang tidak mempunyai keupayaan untuk mencari rezeki, orang yang menahan diri daripada mempunyai makanan dan pakaian kerana tidak mampu, orang yang jelas dalam kesusahan jika dilihat pada diri dan kehidupannya serta orang-orang yang dalam kesusahan tetapi tidak meminta-minta dan meminta bukan dalam kadar yang berlebihan.

Begitupun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, meminta-meminta adalah perbuatan yang buruk.

Pun demikian, ia hanyalah dilarang bagi orang yang mempunyai kemampuan dan cukup keperluannya, tetapi tanpa segan silu masih meminta-minta daripada orang lain.

Kibarkan bendera putih

GOLONGAN yang berkemampuan dan cukup keperluannya dilarang meminta-minta daripada orang lain.

Bahkan, terdapat banyak hadis yang memerihalkan tentang perilaku jelik berkenaan.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai kecukupan keperluan bagi dirinya maka dia sedang memperbanyakkan batu api neraka. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah dikira sebagai cukup keperluannya?” Baginda menjawab, “Sesuatu yang mencukupi bagi dirinya (untuk makan) pada waktu siang dan malam.” (Riwayat Abu Daud)

Dalam sebuah hadis yang lain, baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang meminta harta daripada orang lain dengan niat untuk memperbanyakkan hartanya, maka dia sebenarnya meminta bara api neraka. Oleh itu, terpulanglah pada dia untuk meminta sikit atau banyak.” (Riwayat Ibn Hibban)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, maka jelaslah bahawa kita dilarang meminta-minta jika masih ada kemampuan untuk bekerja mencari rezeki dan mempunyai keperluan yang mencukupi.

Cuma, dalam keadaan memaksa atau begitu tersepit, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, meminta bantuan merupakan perkara yang wajar dan tidak termasuk dalam larangan meminta-minta yang dinyatakan.

“Dari konteks lain, Islam sememangnya menggalakkan umatnya agar mengambil berat terhadap masyarakat sekeliling terutamanya jiran tetangga.

“Ini kerana asas keimanan seorang mukmin adalah sifat tolong-menolong sesama jiran yang dalam kesusahan,” jelasnya.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Tidaklah seorang itu dianggap orang beriman yang mana dia dalam kekenyangan dan dalam masa yang sama jiran sebelahnya kelaparan.” (Riwayat al-Baihaqi)

Baca juga Tidak Sempurna Iman Biarkan Jiran Kelaparan

Berdasarkan perbahasan tadi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan, meminta bantuan waima dari segi kewangan, makanan dan seumpamanya adalah dibenarkan bagi orang yang benar-benar dalam kesempitan.

Kibarkan bendera putih

HANYA mereka yang benar-benar terdesak dan dalam kesempitan boleh meminta bantuan.

Adapun, hukum menggunakan bendera putih sebagai cara untuk meminta bantuan ketika kesusahan bergantung kepada perspektif kita melihat perkara tersebut.

“Jika perbuatan itu atas dasar membantu mereka yang memerlukan dengan cara memudahkan pihak yang ingin memberi bantuan dan mengenal pasti pihak yang dalam kesusahan, maka boleh dilaksanakan.

“Sebaliknya, jika kita lihat cara itu sebagai mengaibkan diri sendiri pula, maka wajar dielakkan.

“Dalam keadaan sekarang, ramai pihak sudi menghulurkan bantuan dan juga disediakan nombor-nombor untuk dihubungi bagi mereka yang dalam kesusahan. Mereka juga boleh menghubungi terus pihak yang membantu untuk segera mendapatkan bantuan.

“Ia terserah kepada pertimbangan masing-masing dalam melaksanakan melalui cara dan inisiatif dalam bentuk yang bagaimana yang dirasakan selesa,” katanya.

Apa-apapun, pihaknya juga meminta agar isu berkaitan bantuan dan meminta pertolongan sewajarnya tidak dipolemikkan dalam suasana pandemik yang meruncing ketika ini.

“Keadaan sekarang ini adalah berbeza dan di luar daripada kebiasaan yang pernah kita hadapi. Terdapat ramai pihak yang hidup ditimpa kesusahan dengan pelbagai bentuk masalah melibatkan pelbagai latar belakang.

“Bagi yang ingin membantu, tanamkan keikhlasan dalam hati untuk membantu, manakala bagi yang memerlukan bantuan pula boleh memohon bantuan mengikut kaedah yang dirasakan selesa dengan cara masing-masing.

“Apa yang penting tunjukkan akhlak dan perilaku yang mulia di semua keadaan,” pesannya.

Foto: Freepik

Jiran kelaparan
Gaya Hidup,

Tidak Sempurna Iman Biarkan Jiran Kelaparan

SUATU ketika dahulu, media sosial pernah dihujani dengan kempen mengibarkan bendera putih di hadapan rumah bagi golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Tindakan itu dilakukan sebagai satu alternatif untuk memaklumkan seandainya isi rumah berkenaan terputus bekalan makanan gara-gara hilang punca pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang masih lagi berkuatkuasa.

Ramai warganet yang bersolidariti menunjukkan tanda sokongan terhadap kempen berkenaan dan hanya sebilangan kecil yang kurang bersetuju kerana ada perkaitannya dengan tanda kalah peperangan.

Jiran kelaparan

JIKA melihat ada kediaman yang mengibarkan bendera putih, ketahuilah mereka memerlukan bantuan segera.

Tidak kira apa jua pendirian masing-masing, namun usah dilupa dengan tanggungjawab yang satu ini iaitu peranan kita sebagai seorang jiran tetangga.

Ketahuilah, terdapat hadis yang menyuruh supaya kita tidak membiarkan jiran dalam keadaan lapar.

Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak termasuk orang Mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.” (Riwayat at-Tabarani)

Berdasarkan hadis berkenaan, jelaslah bahawa antara bukti keimanan seseorang adalah apabila dirinya memiliki sifat prihatin terhadap kesusahan jirannya.

Sudah terang lagi bersuluh, seseorang itu tidak beriman seandainya dirinya tidur dalam keadaan kekenyangan sedangkan ada tetangganya yang kelaparan.

Jiran kelaparan

BERTANYALAH khabar jiran dan membantu jika mereka dalam kesusahan.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menerusi hantaran di Facebook miliknya sebelum ini menjelaskan, Rasulullah SAW begitu menitikberatkan supaya umatnya mengambil berat tentang keberadaan jiran tetangga.

“Jangan sampai ada yang kelaparan kerana kesusahan yang menimpa mereka. Harap jiran tetangga kita dalam keadaan baik-baik sahaja.

“Sekiranya didapati ada jiran kita dalam kesusahan, kelaparan dan kesempitan, kita perlu mendahulukan pertolongan kepada mereka kerana kita merupakan insan yang paling hampir,” katanya.

Baca juga Jangan pandang remeh prinsip hidup berjiran

Jika diteliti, manusia sememangnya tidak boleh hidup sendirian di muka bumi ini. Pasti kita masih memerlukan bantuan orang lain untuk pelbagai tujuan. Hatta andai kita meninggal dunia pun, kita masih lagi memerlukan orang ramai untuk menyempurnakan jenazah masing-masing dan menghantar kita ke alam yang kekal abadi.

Sebab itulah ALLAH SWT menyuruh kita berlaku ihsan dengan sesama makhluk. Jangan sampai kita sanggup mengambil sikap acuh tak acuh terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita.

Jiran kelaparan

BERKONGSI rezeki dan jangan lokek dengan jiran tetangga.

Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH sentiasa menolong seorang hamba selama hamba itu menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya, begitu cantik aturan yang diajarkan oleh agama suci ini kepada penganutnya supaya memelihara hubungan sesama manusia dan memelihara nilai-nilai luhur dalam kehidupan.

Meskipun kebanyakan daripada kita ‘berkurung’ di rumah sebaik urusan di luar selesai, namun adab-adab berjiran masih perlu dititikberatkan.

Antara adab yang perlu dipelihara sebagaimana dipetik daripada Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan adalah:

1. Saling bertegur sapa dan tolong-menolong dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Jiran kelaparan

WALAUPUN kita terpaksa berkurung di rumah dalam musim pandemik Covid-19, tetapi jangan lupa menyapa jiran masing-masing biarpun dari jauh.

2. Pelihara hak-hak berjiran seperti berlapang dada dan bertolak ansur dengan mereka.

3. Mengambil berat tentang jiran sama ada ketika sihat atau sakit, gembira atau sedih, kenyang atau lapar, ketika mereka berada di rumah atau tiada. Semua itu tetap perlu ditunaikan dengan sebaiknya.

4. Jauhilah sikap berburuk sangka, iri hati, dengki, fitnah dan sebagainya.

Justeru, marilah kita menjadi seorang jiran yang cakna dan selalu membantu serta memberi manfaat kepada orang lain. Semoga asbab kebajikan yang dilakukan akan menjadikan kita seorang mukmin yang sejati dan mendapat ganjaran di sisi-NYA.

Foto: Freepik

Ibadah haji
Isu, Pilihan Editor,

Perlu Reda Terima Keputusan Penangguhan Haji Demi Keselamatan Bersama

no comment

Oleh DATUK DR ANHAR OPIR

BARU-BARU ini, kerajaan Arab Saudi mengumumkan berita penangguhan haji ekoran penularan virus Covid-19 yang masih berleluasa kini. Sesungguhnya, pendekatan itu dilakukan demi menjaga keselamatan dan kesihatan semua.

Hanya 60,000 rakyat dan pemastautin di Arab Saudi sahaja yang dibenarkan melaksanakan ibadah berkenaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Keputusan itu turut memberi kesan kepada bakal jemaah haji dari Malaysia. Namun begitu, sebagai seorang Muslim, sememangnya kita yakin ada hikmah di sebalik penangguhan haji buat kali kedua selepas keputusan sama diputuskan pada tahun lalu.

Seperti yang kita sedia maklum, penularan wabak itu telah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia. Ia telah memberi kesan bukan sahaja dalam sektor ekonomi dan sosial, malah pelaksanaan ibadah seperti solat berjemaah di masjid dan surau.

Seandainya difikirkan secara mendalam, penangguhan itu sebenarnya adalah satu keputusan yang wajar. Ini kerana wabak Covid-19 boleh mengancam nyawa jutaan jemaah haji dari seluruh dunia disebabkan kesesakan semasa menunaikan ibadah tersebut.

Ibadah haji


UMAT Islam perlu reda menerima keputusan penangguhan ibadah haji bagi mereka yang berada di luar Arab Saudi demi kemaslahatan bersama.

Hakikatnya, kewajipan dan pelaksanaaan ibadat haji sepertimana yang kita maklum bergantung pada syarat istito‘ah (kemampuan) yang meliputi aspek kesihatan, kewangan, keselamatan dan kebenaran atau kuota yang diperuntukkan kepada setiap negara.

Baca juga 11 Amalan Yang Pahalanya Setara Seperti Tunaikan Haji, Umrah

ALLAH SWT berfirman: “Dan ALLAH mewajibkan ke atas manusia untuk mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu untuk sampai kepadanya.“ (Surah Ali ‘Imran, ayat 97)

Begitupun, pada hari ini, masih ada pertembungan pendapat tentang apa yang perlu diutamakan iaitu antara kemestian melaksanakan Rukun Islam atau mencegah kemudaratan semasa melaksanakan ibadah.

Keutamaan

Jika dilihat kepada lima dhoruriyat Maqasid Syariah, menjaga agama (Hifzu ad-Din) adalah lebih tinggi atau utama daripada menjaga nyawa (Hifzu an-Nafs). Oleh itu, ada yang berpandangan menunaikan ibadah haji lebih utama daripada mencegah kemudaratan.

Pun demikian, kita perlu meneliti dengan lebih mendalam apakah menunaikan ibadah haji termasuk dalam pengertian Hifzu ad-Din yang terkandung dalam Maqasid Syariah tersebut?

Ibadah haji

KEPUTUSAN penangguhan haji yang diputuskan adalah demi kemaslahatan bersama. Berdoalah agar wabak Covid-19 yang masih menular ini akan berakhir secepat mungkin.

Ketahuilah, menjaga nyawa sangat penting. Ia selaras dengan firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dalam bahaya kebinasaan.“ (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Berdasarkan kalamullah itu, Islam secara jelas mengutamakan pencegahan keburukan terutama yang melibatkan nyawa manusia.

Pihak pemerintah tidak seharusnya mendedahkan jemaah haji kepada kemudaratan wabak Covid-19 yang akan memberi kesan kepada kesihatan dan keselamatan mereka, tetapi juga pada ahli keluarga, sekali gus berkemungkinan mewujudkan kluster baharu.

Justeru, umat Islam perlu reda dan terus bersabar dengan penangguhan ibadah haji pada tahun ini.

Bagi warga emas pula, jika ditakdirkan tidak berkesempatan untuk menyempurnakan ibadah yang begitu diidam-idamkan sejak sekian lama disebabkan sudah melepasi syarat umur yang ditetapkan, maka Islam menyediakan ruang untuk mereka melaksanakannya secara badal haji iaitu menerusi pihak lain sekiranya mereka berkemampuan dari segi kewangan.

Kepada mereka yang tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini juga, janganlah khuatir kerana niat yang baik untuk mengerjakan ibadah haji tetap akan mendapat ganjaran di sisi ALLAH SWT.

Berdasarkan Ibnu Abbas RA daripada Nabi Muhammad, ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ALLAH SWT telah menetapkan (balasan) setiap kebaikan (pahala) dan setiap kejahatan (dosa). Kemudian beliau menjelaskannya: Maka sesiapa berniat melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya (kerana keuzuran), maka ALLAH SWT menulis kebaikan itu disisi-NYA sebagai satu kebaikan yang sempurna untuknya. Sekiranya dia berniat untuk melakukan kebaikan, lalu dia melakukannya, maka ALLAH SWT menulis kebaikan itu disisi-NYA sebanyak 10 kebaikan hingga 700 gandaan, sehingga gandaan kebaikan yang banyak untuknya. (Sebaliknya) Jika dia berniat melakukan kejahatan, tetapi dia tidak melakukannya (kerana takut kepada ALLAH SWT), maka ALLAH SWT menulis disisi-NYA satu kebaikan yang sempurna baginya. Sekiranya dia berniat melakukan kejahatan, lalu dia melakukannya, maka ALLAH SWT akan menulis kejahatan itu baginya hanya sebagai satu kejahatan.“ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibadah haji


KEPADA para bakal jemaah haji tahun ini, bersabarlah tidak dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan percayalah pasti tersirat hikmat di sebaliknya.

Sesungguhnya, halangan yang menyebabkan jemaah haji luar dari Arab Saudi tidak boleh menunaikan haji pada tahun ini dan tahun lalu bukanlah sesuatu yang dapat dielakkan. Tiada sesiapa yang meminta perkara itu terjadi.

Gara-gara wabak Covid-19 yang mengancam nyawa menyebabkan ibadah mulia itu sekali lagi tidak dapat dikerjakan khususnya bagi mereka yang berada di luar negara Arab Saudi pada musim ini.

Ia bersesuaian dengan anjuran Rasulullah SAW sebagaimana sabda baginda: “Apabila kamu mendengar bahawa taun (wabak) menimpa sesuatu tempat, maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada dalam kawasan yang terdapat padanya taun (wabak) maka janganlah kamu keluar darinya.“ (Riwayat al-Bukhari)

***Datuk Dr Anhar Opir ialah Timbalan Mufti Selangor & Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji-Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Foto: Freepik, Arab News & Reuters