Browsing Tag

Cecair pembasmi kuman

Cecair pembasmi kuman
Berita Semasa,

Masjid Southend di UK Perkenalkan Cecair Pembasmi Kuman Bebas Alkohol Kepada Para Jemaah

no comment

SEJAK pandemik Covid-19 muncul lebih setahun yang lalu, cecair pembasmi kuman atau hand sanitizer menjadi perkara wajib yang mesti dibawa oleh setiap orang ke mana-mana sahaja.

Walaupun semua destinasi persinggahan kita seperti masjid, pasar raya dan seumpamanya ada menyediakan kemudahan berkenaan, namun begitu, lebih ramai yang selesa menggunakan cecair pembasmi kuman sendiri kerana tidak perlu berkongsi dengan orang lain.

Semua sedia maklum bahawa alkohol (ethanol) merupakan antara kandungan utama dalam penghasilan hand sanitizer mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Tujuannya supaya ia berupaya membunuh mikroorganisma dan bekteria.

Begitupun, sebuah masjid di United Kingdom berjaya memperkenalkan cecair pembasmi kuman bebas alkohol untuk para jemaahnya.

Rumah ALLAH yang dimaksudkan itu ialah Masjid Southend yang terletak di West Road, Westcliff di negara berkenaan.

Cecair berkenaan dikenali sebagai INVIRTU yang membuatkan para jemaah berasa selesa, selamat dan tanpa ragu-ragu untuk menggunakannya ketika beribadah.

Ujar pengelola masjid berkenaan, Imam Iftikhar Ul Haq, sebagaimana kebiasaan di tempat-tempat lain, pihaknya juga menggunakan cecair pembasmi kuman beralkohol sebelum ini.

Cecair pembasmi kuman

PENGGUNAAN cecair pembasmi kuman seakan menjadi satu kemestian dalam musim pandemik kini.

Begitupun, kehadiran produk baharu itu membuatkan para jemaah lebih selesa dan yakin. Ini kerana, penggunaan cecair yang berasaskan alkohol masih kurang diyakini segelintir umat Islam kerana alkohol dianggap sebagai bahan yang dilarang untuk digunakan.

“Kami sangat seronok dan termotivasi kerana mempunyai pilihan cecair pembasmi kuman yang bebas alkohol.

“Menggunakan cecair tanpa alkohol sesuai dengan ajaran agama suci ini membuatkan ia lebih disukai dan orang lebih selesa dengannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal echo-news.co.uk baru-baru ini.

Dalam pada itu, memetik artikel Al-Kafi #1652: Penggunaan Hand Sanitizer Ketika Melakukan Solat yang disiarkan menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, walaupun jumhur ulama menyatakan alkohol merupakan najis kerana ia termasuk dalam cecair yang memabukkan, namun terdapat perbahasan dari segi sifat kenajisannya.

Baca juga Sukar Khusyuk Ketika Solat, Boleh Cuba Kaedah Yang Disarankan Ini 

Begitupun, berdasarkan perbahasan dan pandangan ulama, penggunaan cecair pembasmi kuman adalah tidak najis dan boleh digunakannya ketika hendak melakukan solat serta tidak dikira sebagai menanggung najis.

“Ini jelas seperti yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan iaitu ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan,” katanya.

Cecair pembasmi kuman

MENGGUNAKAN cecair pembasmi kuman yang mengandungi alkohol adalah dibenarkan ketika solat dan tidak dikira menanggung najis.

Untuk rekod, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-7 yang bersidang pada 11 hingga 12 April 1984 telah membincangkan alkohol menurut pandangan Islam dan memutuskan bahawa:

– Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol daripada proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak, hukumnya tidak najis, tetapi haram diminum.

– Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

– Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.

– Tapai halal dimakan.

– Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.

– Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.

Foto: echo-news.co.uk, Freepik & Bernama