Browsing Tag

cat man of aleppo

kucing gempa bumi
Antarabangsa,

‘Lelaki kucing Aleppo’, adiwira menyelamatkan lebih 40 ekor kucing selepas tragedi gempa bumi Turkiye-Syria

‘Lelaki kucing Aleppo’, adiwira menyelamatkan lebih 40 ekor kucing selepas tragedi gempa bumi Turkiye-Syria

WARGA Syria, Mohammed Alaa al-Jaleel yang pernah terkenal dengan gelaran ‘Cat Man of Aleppo’ kini muncul semula sebagai adiwira membantu ‘si bulus’ dalam negara berkenaan.

Misi menyelamat kali ini melibatkan kucing-kucing yang terkesan dengan gempa bumi Turkiye-Syria di Jinderes pada 6 Februari lalu.

Bandar yang terletak di utara Aleppo itu antara kawasan paling teruk dilanda gempa bumi. Kebanyakan kucing di sana telah terpisah daripada pemiliknya, cedera ataupun mati.

Baca juga Tergamak beri ular peliharaan makan anak kucing, pupusnya kewarasan seorang manusia

kucing gempa bumi

Baca juga Kereta ‘usang’ sarat dengan bantuan mangsa gempa Turkiye, netizen kagum kegigihan pemuda ini

Lapor Arab News, sejak bulan lalu, Alaa dan pasukannya telah menyelamatkan lebih 40 ekor kucing mangsa gempa bumi dan memindahkan ke pusat perlindungan haiwan ‘Cat Man’ milik pemuda itu di Aleppo di mana haiwan tersebut diberikan rawatan dan makanan secukupnya.

Menurut Alaa, mereka menghadapi sedikit kesukaran pada awalnya kerana rata-rata kucing ditemui dalam keadaan trauma susulan gempa yang berlaku.

“Kucing-kucing itu dalam ketakutan. Ada yang mencakar jadi kami sukar menangkapnya. Malah, sebahagian kucing tidak dapat ditangkap pada hari yang sama, jadi kami terpaksa datang berulang kali ke tempat itu,” katanya.

RATA-rata kucing berada dalam keadaan trauma dan ketakutan susulan gempa yang berlaku. Foto: Anas Alkharboutli/DPA

Baca juga 5 kisah meruntun hati di sebalik gempa bumi Turkiye-Syria

Sejak beberapa tahun lalu, Syria dilanda pelbagai tragedi yang memberikan kesan kepada penduduk serta haiwan yang ada di negara berkenaan.

Alaa mula mendapat jolokan ‘Cat Man of Aleppo’ semasa tercetusnya perang saudara Syria pada tahun 2016 apabila dia telah menyelamat, merawat serta menjaga lebih 100 ekor kucing gelandangan.

Pemandu ambulans berusia 42 tahun itu berkata, konflik dan gempa bumi menimpa Syria menyebabkan ramai orang kehilangan tempat tinggal sehinggakan ada yang terpaksa meninggalkan haiwan peliharaan mereka.

“Kucing banyak bergantung kepada manusia. Jadi apabila suatu kawasan itu dikosongkan, maka kucing yang tinggalkan di situ akan terdedah kepada kelaparan dan penyakit baru,” ujar Alaa.

kucing gempa bumi

ALAA dan pasukannya telah menyelamatkan lebih 40 ekor kucing terkesan dengan gempa bumi. Foto: Anas Alkharboutli/DPA

Baca juga Kucing bukan haiwan kesayangan Nabi SAW? Ini sebabnya

Salah seorang doktor haiwan yang bertugas di ‘Cat Man’, Ammar Hamami menerangkan beberapa langkah yang diambil oleh pasukan tersebut semasa misi menyelamat kucing.

Jelasnya, “Kami akan memberikan rawatan pertolongan cemas kepada kucing itu terlebih dahulu sebelum membawanya ke klinik kami.

“Selepas dimasukkan ke klinik, rawatan sewajarnya akan diberikan kepada haiwan tersebut bergantung kepada kecederaan yang dialami. Ada sesetengah kucing hanya mengalami cedera ringan, sementara yang lain mungkin menghidap penyakit lebih serius.

“Macam-macam kecederaan sudah kami lihat. Apa pun penyakitnya, kami akan merawat kucing itu sebaik mungkin, selain mengasingkan haiwan-haiwan tersebut sehingga ia pulih.”

ALAA mendapat jolokan ‘Cat Man of Aleppo’ apabila menjaga lebih 100 ekor kucing gelandangan semasa perang saudara Syria pada tahun 2016. Foto: Google

Turut disyorkan Jika hidup sekadar untuk makan dan minum, apa bezanya manusia dan haiwan. Ketahui dua tujuan utama manusia diciptakan

Kata Alaa kepada Arab News, misi menyelamat itu bakal berakhir tidak lama lagi melihat kepada jumlah kucing terabai di jalanan yang semakin berkurangan.

Pemilik rumah perlindungan haiwan ‘Cat Man’ itu turut memberitahu, pihaknya bergantung kepada bantuan luar untuk menjaga hampir 130 ekor kucing di pusat tersebut.

“Saya menerima bantuan luar untuk menjaga serta merawat haiwan-haiwan tersebut. Sebahagian daripada ubat-ubatan dan makanan kering yang kami terima adalah daripada Turkiye.

Selain bekerja sebagai pemandu ambulans, Alaa juga telah menubuhkan beberapa pusat perlindungan haiwan sekitar Syria termasuk Aleppo, Idlib, Azaz dan al-Bab sejak 10 tahun lepas.

Sumber: Arab News

Foto: Anas Alkharboutli/DPA & Google