Browsing Tag

cara sambut Ramadan

Ramadan
Panduan,

Ini 9 cara anjuran Islam, agar Ramadan tidak berlalu begitu sahaja

MENGIKUT takwim, bulan Ramadan bakal membuka tirainya pada hari Ahad depan iaitu 3 April 2022. Maknanya, kurang seminggu lagi kita bakal berpuasa.

Ia antara momen yang begitu dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam seantero dunia. Apatah lagi ketika itu Malaysia baru sahaja memasuki fasa peralihan daripada pendemik kepada endemik bermula 1 April nanti.

Sudah pasti ramai yang berhasrat menyulam ibadah bersama keluarga tercinta di masjid mahupun surau berhampiran. Sudah dua tahun kita tidak merasai suasana meriah seperti itu dek penangan wabak Covid-19.

Baca juga Selepas dua tahun ‘bercuti’, ayuh kembali hidupkan Ramadan di masjid dan surau

Sesungguhnya, bulan Ramadan menjadi musim terbaik untuk kita meningkatkan amal soleh dan meraih seberapa banyak pahala untuk menambah saham akhirat.

Profesor Pengajian Islam dan Perbandingan Agama di Universiti Al-Azhar Mesir, Dr Muhammad M Abu Laylah menjelaskan, bulan kesembilan dalam kalendar Islam itu begitu istimewa. Ini kerana ia begitu dimuliakan oleh ALLAH SWT, Rasulullah SAW dan seluruh umat Islam.

Semua itu dapat dilihat dalam al-Quran yang mana ALLAH SWT banyak menyebut tentang keistimewaan bulan berkenaan.

Antaranya, ALLAH SWT berfirman: “Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan bagi petunjuk itu, dan sebagai pembeza (antara yang benar dengan yang batil). Oleh sebab itu, barang siapa dalam kalangan kamu yang berada di bulan itu, maka berpuasalah. Dan barang siapa sakit atau bermusafir (dia tidak berpuasa), maka (wajib menggantikannya), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. ALLAH menginginkan kemudahan bagimu, dan tidak menginginkan kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan ALLAH atas petunjuk-NYA yang diberikan kepadamu agar kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Ramadan

RAMADAN menjadi bulan kita menyulam ibadah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Melihat kalamullah berkenaan, ujar Dr Muhammad, jelaslah bahawa bulan Ramadan ialah bulan al-Quran, berpuasa, berzikir kepada ALLAH, iktikaf, menziarahi umat Islam dan mempersiapkan hati untuk menerima ‘cahaya’ pada bulan penuh barakah itu.

Malah, Rasulullah SAW acap kali mengungkapkan bait-bait penuh bermakna tatkala bulan Syaaban semakin hampir.

Baginda SAW bersabda: “Wahai umat Islam! Bulan yang mulia dan pemurah telah datang kepadamu. Bulan yang di dalamnya terdapat satu malam lebih baik daripada seribu bulan dan bulan ini adalah bulan amal, kesabaran dan rahmat. Pada bulan ini, pintu-pintu syurga terbuka luas dan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu…” (Hadis Riwayat an-Nasa’i)

“Melihat kepada dalil berkenaan, sememangnya Nabi Muhammad SAW menganjurkan kita berpuasa pada bulan Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menjauhkan diri daripada sebarang tingkah laku yang buruk. Ia sama ada terhadap diri sendiri, masyarakat atau manusia secara keseluruhannya.

“Seandainya kaum muslimin benar-benar mengetahui kedudukan Ramadan di sisi ALLAH, mereka nescaya akan berangan-angan sekiranya sepanjang tahun ialah Ramadan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal aboutislam.com.

Cara sambut Ramadan

Menjelang ambang Ramadan yang bakal menemui kita kurang seminggu sahaja lagi, Sinar Islam Plus menyenaraikan cara yang betul bagi umat Islam menyambutnya.

Ia sebagaimana yang dikongsikan oleh Naib Yang Dipertua 1, Persatuan Ulama Malaysia, Dr Fauzi Deraman kepada Sinar Islam Plus.

Terdapat sembilan cara menyambut Ramadan yang dianjurkan Islam iaitu:

1. Berdoa.

Ramadan

BERDOALAH moga dipertemukan Ramadan akan datang.

Ketahuilah, para sahabat dan salaf as-soleh sering kali menungkapkan doa supaya mereka sempat memasuki Ramadan sejak enam bulan sebelumnya lagi.

Malah, mereka juga turut berdoa agar sentiasa berada dalam kebaikan dan taat kepada ALLAH SWT serta diterima segala amalan.

Baca juga Jauhi Perkara Yang Kurangkan Pahala Ketika Ramadan, Peliharalah Kesucian Bulan Mulia Itu

2. Bersyukur kerana sampai ke bulan Ramadan.

Apabila masuknya bulan Ramadan dan kita berada dalam bulan Ramadan, ia merupakan suatu nikmat besar yang selayaknya disyukuri.

Imam Nawawi dalam al-Azkar menyebut, digalakkan kepada sesiapa yang diperbaharui nikmat yang zahir dan ditolak daripadanya keburukan yang zahir supaya sujud kepada ALLAH SWT.

3. Gembira dengan kedatangan Ramadan.

Rasulullah SAW memberikan khabar gembira kepada para sahabat dengan kedatangan Ramadan.
Baginda SAW bersabda: “Sungguh telah datang padamu bulan Ramadan, bulan Ramadan yang penuh berkah, di mana ALLAH telah mewajibkan kepada kamu puasa padanya, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan…” (Hadis Riwayat an-Nasa’i dan Ahmad)

4. Azam dan perancangan mantap bagi memanfaatkan Ramadan.

Ramadan

RANCANGLAH aktiviti kita sepanjang bulan Ramadan dengan sebaiknya.

Ramai yang begitu hebat dalam perancangan urusan duniawi, tetapi tidak ramai yang mengambil berat dengan perencanaan untuk akhirat. Justeru keberadaan Ramadan tidak lama lagi ini merupakan perancangan ukhrawi untuk kita memperkasakan ketaatan dan amal ibadah kepada-NYA.

5. Menanam azam kukuh untuk memanfaatkan Ramadan dan mengimarahkan dengan amal soleh.

Sesiapa yang benar kepada ALLAH SWT, nescaya DIA akan mempermudahkan jalannya.

Ia sebagaimana yang disebutkan menerusi firman-NYA dalam al-Quran: “…Maka kalaulah mereka bersifat benar kepada ALLAH (dengan mematuhi perintah-NYA), tentulah yang demikian itu amat baik bagi mereka.” (Surah Muhammad, ayat 21)

6. Mendalami ilmu berkaitan fiqh Ramadan.

Menjadi satu kesilapan seseorang itu beribadah tanpa ilmu. Maka sebagai seorang Muslim, kita hendaklah beribadah dengan ilmu di dada.

Sesungguhnya, tiada maaf bagi kalangan yang jahil dengan perkara-perkara fardu yang disyariatkan oleh ALLAH SWT seperti ibadah puasa.

7. Menyambut Ramadan dengan azam kuat untuk meninggal dosa dan bertaubat daripada semua kesalahan.

Firman ALLAH SWT: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepadsa ALLAH, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nur, ayat 31)

8. Persiapkan spiritual dengan menyemak kelebihan-kelebihan Ramadan.

Ramadan

JANGAN lepaskan peluang untuk menunaikan solat sunat tarawih dan witir sepanjang Ramadan kerana banyak ganjaran pahala yang dijanjikan sebagaimana disebutkan dalam nas.

Caranya adalah dengan melalui pembacaan dan menonton bahan-bahan mengenainya sehingga terpanggil untuk taat.

Nabi Muhammad SAW sendiri memberi motivasi kepada para sahabatnya di penghujung Syaaban dengan menyebut kepada mereka tentang kelebihan-kelebihan bulan Ramadan.

Baca juga Orang Yang Rugi Ketika Ramadan

9. Menyambut Ramadan dengan membuka lembaran baharu.

Ia termasuklah dengan melakukan taubat yang benar; mentaati apa yang diperintahkan ALLAH SWT dan Rasulullah serta meninggalkan perkara yang dilarang; membuka lembaran baharu terhadap ibu bapa, kaum kerabat, suami, isteri, anak-anak dan sebagainya dengan kebaktian dan kebaikan serta terakhir, tidak lupa juga kepada masyarakat di sekeliling sebagai warga komuniti soleh dan positif.

Justeru, ayuhlah kita sama-sama mempersiapkan diri masing-masing sebelum Ramadan menjengah tidak lama lagi. Semoga Ramadan tahun ini membawa sinar yang lebih baik buat diri masing-masing.