Browsing Tag

cara rawat kesedihan menurut islam

Berita Semasa,

Hati sedih dan galau, ‘merdekakan’ rasa itu dengan cara yang dianjurkan agama ini…

SAAT dirundung kesedihan, emosi terganggu untuk melakukan rutin harian dan tugas hakiki. Masakan tidak, jiwa begitu berkecamuk dan hati pula galau.

Ketika itu, otak seakan-akan tidak berfungsi sebaiknya kerana dipengaruhi dengan rasa sedih berkenaan.

Ya, begitulah lumrah manusia. Memang tidak dapat dinafikan pada satu-satu masa, perasaan itu akan bergelut dalam diri. Ada banyak faktor yang menyebabkan kita sedih.

Barangkali kita dihimpit oleh ujian, masalah, kesakitan dan sebagainya sehingga menyebabkan rasa sedih datang bertamu.

Namun, sampai bila kita harus bersedih? Islam mengajar kita cara merawat diri daripada kesedihan.

Ini antara cara ‘merdekakan’ rasa sedih dengan lima ‘ubat’ hati menurut Ibrahim Al-Khowash:

1. Membaca al-Quran dan tadabbur kalamullah berkenaan.

2. Rajin mengosongkan perut (dengan gemar berpuasa).

3. Mendirikan solat malam (solat tahajud).

4. Merendahkan diri di hadapan ALLAH iaitu dengan berdoa dan membasahkan lidah berzikir. Sebaiknya, lakukanlah pada akhir malam iaitu waktu sahur.

5. Bergaullah dengan orang yang soleh sebagaimana yang dianjurkan oleh Imam al-Nawawi dalam karyanya, At-Tibyan.

Pada masa sama, jom kita amalkan doa yang boleh diamalkan ketika hati sedang bersedih.

Lazimkan diri membaca doa yang ada disebutkan dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ العَظِيمُ الحَليمُ ، لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ العَرْشِ العَظِيْمِ ، لاَ إلهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ، وَرَبُّ الأَرْضِ، وَرَبُّ العَرْشِ الكَرِيمِ

(Laa ilaaha illallah al-a’zhim al-halim, laa ilaaha illallah rabbul ‘arsyil ‘azhim. Laa ilaaha illallah, rabbus samaawaati wa rabbul ardhi wa rabbul ‘arsyil karim)

Maksudnya: “Tiada sembahan yang berhak disembah selain ALLAH yang MAHA AGUNG dan MAHA PENYANTUN. Tiada sembahan yang berhak disembah selain ALLAH, Tuhan yang menguasai ‘Arasy, yang MAHA AGUNG. Tiada sembahan yang berhak disembah selain ALLAH – DIA Tuhan yang menguasai langit, (DIA) Tuhan yang menguasai bumi dan (DIA) Tuhan yang menguasai ‘Arasy, lagi MAHA MULIA.”

Kita disunatkan untuk berdoa dengan bacaan di atas ketika menghadapi ujian berat.

Ketahuilah bahawa sedih sebenarnya ada yang ‘bernilai’ pahala. Umpamanya, sedih kerana musibah yang menimpa agamanya dan sedih kerana musibah yang menimpa banyak kaum muslimin.

Rasa sedih sebegitu bernilai pahala dari hati yang cenderung kepada kebaikan dan membenci kejelikan.

Pun begitu, jika rasa sedih tadi hingga meninggalkan perkara yang diperintahkan seperti tidak sabar, meninggalkan jihad atau yang mendatangkan mudarat, ia menjadi kesedihan yang dilarang oleh agama Islam.

Alangkah indahnya jika kesedihan yang kita alami tadi dihiasi dengan sifat sabar. Sudah tentu pahala ganjarannya.

Ayuh merdekakan perasaan segera andai diri dihambat rasa sedih. Cepat-cepat amalkan apa yang dianjurkan oleh Islam untuk mengelak diri daripada dibelenggu rasa itu.

Sumber: rumaysho.com