Browsing Tag

cagaran

Cagaran
Perbankan Islam,

Penting ada cagaran ketika berhutang, ini sebab-sebabnya

TIDAK dinafikan, ada pelbagai sebab yang mendorong pihak berkenaan untuk berhutang. Adakalanya seseorang itu berada dalam situasi yang terdesak daripada aspek kewangan. Malah kadang-kadang dia tidak begitu terdesak, tetapi dia perlukan duit tambahan untuk tujuan pelaburan dan sebagainya.

Islam mengharuskan berhutang. Dalam istilah muamalat, kontrak berhutang disebut sebagai al-qard. Secara mudahnya al-qard adalah kontrak pinjaman wang. Berbeza dengan kontrak al-`ariyah yang kita sebut dalam percakapan harian kita sebagai pinjaman juga. Namun kontrak al-`ariyah ini melibatkan pinjaman benda-benda yang selain mata wang seperti meminjam kerusi, buku, pen dan seumpamanya.

Dalam Islam, apabila kita berhutang dengan sesuatu pihak sama ada individu atau institusi, sebaik-baiknya kita mencagarkan sesuatu. Dalam ilmu muamalat, kontrak mencagarkan sesuatu terhadap hutang yang kita tanggung disebut sebagai ar-rahn.

Ar-rahn ini bukan kontrak yang boleh berdiri dengan sendiri. Ini kerana ia adalah jaminan ke atas hutang. Oleh itu ia hendaklah diaplikasi bersama-sama dengan mana-mana kontrak yang menghasilkan hutang (dayn) seperti kontrak al-qard atau jual beli secara hutang.

Dipraktiskan oleh sistem kewangan Islam

CAGARAN berperanan sebagai satu bentuk jaminan kepada pihak pemiutang dalam situasi jika penghutang tidak mampu untuk membayar pinjamannya. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: PIXABAY

Galakan memberi cagaran ini disebut dalam al-Quran sebagaimana firman ALLAH dalam surah al-Baqarah, ayat 283 yang bermaksud: “Dan jika kamu dalam perjalanan sedang kamu tidak mendapatkan seorang penulis, maka hendaklah ada cagaran yang dipegang. Tetapi, jika sebahagian daripada kamu mempercayai sebahagian yang lain, hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah dia bertakwa kepada ALLAH, Tuhannya. Dan janganlah kamu menyembunyikan kesaksian, kerana barang siapa menyembunyikannya, sungguh, hatinya kotor (berdosa). ALLAH MAHA MENGETAHUI apa yang kamu kerjakan.”

Baca juga Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya

Cagaran sangat penting. Biarpun ia bukan sesuatu yang diwajibkan, tetapi cagaran memainkan peranan sebagai satu bentuk jaminan kepada pihak pemiutang bahawa dalam situasi ketidakmampuan penghutang untuk membayar hutang, pemiutang ada jalan lain untuk mendapat kembali hutangnya.

Dengan lain perkataan, hati pemiutang akan merasa lebih tenang apabila dia menyerahkan wang kepada pihak lain atas dasar pinjaman ataupun dia menjual sesuatu secara bayaran tertangguh. Ini kerana risiko hutang tidak berbayar diurus melalui cagaran yang diberi oleh penghutang.

Dalam industri kewangan Islam, ada antara produk-produk pembiayaan yang ditawarkan kepada pelanggannya akan melibatkan cagaran seperti pembiayaan perumahan. Yang dicagarkan adalah rumah yang dibiaya oleh institusi kewangan Islam berkenaan.

Begitu juga kakitangan kerajaan yang mendapatkan pembiayaan perumahan secara Islam misalnya, mereka juga dikehendaki mencagarkan rumah berkenaan kepada pihak kerajaan. Malah di Malaysia, skim pajak gadai secara Islam telah lama diperkenalkan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang ingin berhutang dengan mencagarkan barang kemas mereka.

Sebenarnya cagaran kepada hutang ini bukan sahaja dipraktiskan dalam kewangan Islam sahaja, tetapi juga dalam kewangan konvensional. Cuma, dalam kewangan Islam, cagaran tersebut tertakluk kepada hukum-hakam al-rahn.

RUMAH menjadi antara cagaran dalam produk pembiayaan perumahan. -FOTO: FREEPIK

Pada hari ini, institusi kewangan Islam yang menawarkan produk al-rahn terikat dengan Dokumen Polisi Al-Rahn yang dikeluarkan oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

Baca juga Amalkan doa ini supaya orang membayar hutang kita

Walaupun mana-mana pihak lain yang bukan di bawah pengawalseliaan BNM tidak tertakluk kepada Dokumen Polisi al-Rahn tersebut apabila mereka menawarkan produk berkaitan al-rahn, tetapi adalah baik jika mereka merujuk kepada dokumen berkenaan bagi memastikan tidak ada pelanggaran hukum-hakam syariah dalam produk yang mereka tawarkan kepada pelanggan mereka.

Akhir kalam, ketahuilah bahawa memberi cagaran kepada hutang itu sangatlah dituntut dalam Islam agar ada jaminan terhadap bayaran balik hutang berkaitan. Wallahu a’lam.

***Artikel ditulis oleh Dr Shamsiah Mohamad yang berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah