Browsing Tag

buruk siku

Tarik balik hibah
Dari Fail Mahkamah Syariah,

Hutang penyebab datuk tarik balik hibah kepada cucu, jangan anggap tindakan ini buruk siku

SEORANG datuk mahu tarik balik hibah yang pernah diberikan kepada cucunya. Namun begitu, ramai yang menganggap perbuatannya itu sebagai buruk siku. Demikianlah kisah yang pernah berlaku terhadap Abu Seman Kassim (bukan nama sebenar).

Ceritanya bermula apabila cucu lelaki sulungnya, Ayden Firash Mohamad (bukan nama sebenar) lahir ke dunia. Ketika itu, Abu Seman bersorak kegirangan.

Bibirnya pula tidak putus-putus memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dengan kehadiran cucu lelaki dinanti-nantikan tersebut. Sebelum kelahiran si comel tersebut, lelaki berusia 62 tahun itu sudah dikurniakan sembilan orang cucu perempuan.

Keterujaan mendapat ‘geng baharu’ itu membuatkan Abu Seman sanggup berkorban apa sahaja demi cucu kesayangannya.

Buat pertama kalinya, warga emas tersebut menghibahkan sebidang tanah miliknya yang terletak di selatan tanah air untuk Ayden Firash sebagai tanda kasih sayang seorang datuk terhadap cucunya. Pada masa itu, umur Ayden Firash baru sahaja berusia lima tahun.

Tarik balik hibah

SEBAIKNYA, penghibah digalakkan untuk mengadakan perbincangan antara ahli keluarga atau waris mengenai hibah yang bakal dilakukan supaya ia dalam pengetahuan pihak terlibat.

Maka bermulalah proses hibah dan memindah milik tanah berkenaan. Semuanya dilakukan di Pejabat Tanah Daerah sekitar tahun 2005. Oleh sebab usia cucunya yang masih lagi di bawah umur, maka ibunya, Hashimah Hasyim (bukan nama sebenar) telah dilantik menjadi penjaga amanah kepada anaknya. Proses berkenaan berjalan dengan lancar sehingga harta berkenaan benar-benar menjadi milik Ayden Firash.

Begitupun, selepas lima tahun berlalu, Abu Seman berubah fikiran. Beliau mahu menarik balik hibah tanah yang pernah dihadiahkannya kepada satu-satunya cucu lelakinya.

Ketika itu, fikirannya benar-benar buntu kerana hidupnya diselubungi hutang yang belum habis dilunaskan.

Salah satu cara terbaik untuk melangsaikannya adalah dengan menjual tanah berkenaan. Disebabkan itu, lelaki tersebut membuat tuntutan di mahkamah syariah untuk menarik balik hibah itu.

Baca juga Hibah Tak Boleh Dibuat Secara Paksaan, Ambil Iktibar Daripada Kisah Ini

Mujurlah tanah tersebut tidak pernah dijual atau dipindah milik oleh Hashimah, menantunya. Malah, ia masih dalam keadaan asal sebagaimana ketika proses pindah milik dilakukan lima tahun lepas.

Tarik balik hibah

PROSES penarikan semula hibah itu mesti dilakukan di mahkamah syariah.

Selaku pemegang amanah, Hashimah tidak membantah dengan kehendak bapa mertuanya untuk mengambil semula tanah berkenaan. Beliau merasakan bapa mertuanya wajar mengambil semula tanah berkenaan demi kemaslahatannya.

Setelah meneliti segala keterangan, fakta dan bukti yang dikemukakan, mahkamah berpuas hati dengan proses melakukan hibah itu. Ia memenuhi hukum syarak dan sah. Bahkan, penarikan hibah tersebut juga adalah sah mengikut hukum syarak.

Justeru, hakim memutuskan tanah tersebut kembali semula menjadi hak milik Abu Seman.

Abu Seman berasa lega dengan keputusan tersebut. Bukan niatnya untuk menjadi buruk siku, tetapi beliau terpaksa berbuat demikian kerana hutang itu begitu penting untuk dilunaskan sebelum dirinya dijemput Ilahi.

Hibah tidak boleh ditarik semula melainkan penuhi syarat tertentu

APABILA seseorang sudah menghibahkan hartanya kepada penerima dan disertakan dengan penyerahan serta penerimaan barang (al-Qabd), ia tidak boleh ditarik balik atau diambil kembali.

Begitupun, situasi sebaliknya pula berlaku andai hibah berkenaan dilakukan oleh asal iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas kepada furu’ (anak, cucu dan ke bawah) yang mana ia boleh ditarik semula dengan syarat-syarat tertentu.

Demikian penjelasan daripada Penasihat Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof ketika ditanya Sinar Islam Plus berhubung isu penarikan semula hibah yang dilakukan Abu Seman Kassim terhadap Ayden Firash Mohamad (kedua-duanya bukan nama sebenar).

FAZRU ANUAR

Jelas beliau, mengikut pendapat fuqaha, antara syarat yang mengharuskan proses berkenaan adalah harta yang dihibahkan masih menjadi milik anak atau cucu yang menerima hibah. Pada masa sama, ia masih berada dalam jagaan atau urusan penerima hibah.

“Apatah lagi dalam kes itu, datuk terpaksa menarik semula hibah tersebut bukanlah saja-saja, tetapi demi melunaskan hutang yang merupakan suatu kewajipan.

Baca juga Bapa ubah fikiran tarik balik hibah yang diberikan pada anak. Peguam syarie ini beri penjelasan…

“Apa yang dilakukan oleh Abu Seman Kassim bukanlah suatu kesalahan, malah diizinkan oleh syarak kerana ia melibatkan hibah yang dibuat datuk terhadap cucunya. Paling penting, proses penarikan hibah itu mesti dilakukan di mahkamah syariah,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pengamal undang-undang syariah itu menegaskan, perbuatan mengambil semula pemberian tersebut tidak seharusnya dipandang sebagai perilaku yang tidak elok.

“Yang penting pihak mahkamah berpuas hati bahawa semua rukun-rukun hibah telah dipenuhi mengikut kehendak undang-undang dan hukum syarak,” ujarnya.

Pun demikian, beliau menjelaskan, sekiranya tanah hibah itu sudah diusahakan atau dibangunkan rumah, pemilik asal tidak boleh menuntut semula harta yang sudah dihibahkan.

“Hal ini kerana berlaku pertambahan yang tidak boleh diasingkan atau dipisahkan pada tanah yang telah dihibahkan. Sebagai contoh, penerima hibah menjahit kain yang diterima menjadi baju kemeja.

“Berdasarkan satu riwayat hadis daripada Imam Ahmad, bapa tidak diharuskan menarik semula hibah anaknya yang telah berlaku pertambahan yang tidak boleh diasingkan,” terangnya panjang lebar.

Tarik balik hibah

HIBAH yang dilakukan oleh asal iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas kepada furu’ (anak, cucu dan ke bawah) yang mana ia boleh ditarik semula dengan syarat-syarat tertentu.

Kepada mereka yang berhasrat untuk melakukan hibah, Fazru Anuar menasihatkan agar semua pihak perlu mengetahui dan memahami konsep hibah dengan sebaiknya.

“Ketahuilah, kesahan sesuatu hibah itu berlaku apabila semua rukunnya iaitu pemberi hibah, penerima hibah, harta yang dihibahkan dan lafaz ijab kabul proses itu sempurna.

“Andai tidak disempurnakan, hibah itu boleh dipertikaikan kelak jika berlaku pertelingkahan. Justeru, digalakkan penghibah untuk mengadakan perbincangan antara waris mengenai hibah yang bakal dilakukan supaya ia dalam pengetahuan pihak terlibat,” nasihat beliau.

Foto: Freepik & Pexels