Browsing Tag

bunuh diri

Bunuh diri
Isu,

Dosa besar bunuh diri, ini 3 penderitaan pelakunya

KES bunuh diri kian meruncing dengan purata satu kematian bagi setiap 40 saat. Demikian fakta yang didedahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini. Malah, lebih 703,000 kematian dilaporkan di seluruh dunia saban tahun akibat perbuatan tersebut.

Bukan itu sahaja, jumlah kematian akibat kes berkenaan juga mencatatkan peningkatan ketara di Malaysia. Buktinya, terdapat sebanyak 1,142 kes bunuh diri dilaporkan pada tahun 2021 berdasarkan sumber daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Apa yang membimbangkan, statistik itu meningkat sebanyak 81 peratus berbanding tahun sebelumnya yang hanya merekodkan sebanyak 631 kes.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam kenyataan medianya sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Tahun 2022 pada bulan lalu, tahun ini sahaja sehingga bulan Jun lepas, sebanyak 467 kes bunuh diri dilaporkan PDRM.

Melihat angka yang mencanak itu, sewajarnya kita berasa bimbang. Jika tidak ditangani segera, dibimbangi lebih ramai lagi yang mengambil jalan singkat dengan menamatkan riwayat hidup sendiri.

Baca juga Waris yang didapati bersalah sebagai pembunuh tidak layak dapat faraid

Ketahuilah, Islam begitu melarang keras perbuatan bunuh diri. Ia ibarat kita membinasakan diri sendiri. Malah, banyak dalil yang memerihalkan tentang perkara itu. Benarkah pelakunya akan diazab dengan perbuatan sama di dalam neraka kelak? Apakah pendekatan terbaik untuk ‘merawat’ diri daripada dibadai amukan hati untuk menamatkan kehidupan sendiri?

Dosa besar

Ketika melontarkan persoalan itu kepada pendakwah Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa, beliau menjelaskan, apa jua justifikasinya, bunuh diri merupakan perbuatan yang ditegah dan berdosa besar.

USTAZ MOHD FAUZI

Betapa dahsyatnya perilaku itu sehinggakan ulama-ulama fikah menetapkan bahawa dosa membunuh diri lebih besar daripada menghilangkan nyawa orang lain, ungkapnya.

“Malah, pelaku juga dianggap sebagai fasiq (orang yang berdosa besar). Ini kerana kehidupan manusia sebenarnya tidak dimiliki oleh kita. Mudah kata, kita bukan pemilik kepada nyawa sendiri.

“Sebaliknya, kita dicipta oleh ALLAH SWT, jadi nyawa itu milik-NYA jua. DIALAH yang meniupkan roh ketika kita masih dalam kandungan ibu.

“Justeru, kita tidak ada hak dan tiada sebab untuk mengambil atau mencabut nyawa sendiri. Hanya ALLAH SWT saja yang berhak melakukannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Baca juga Hantu Dan Jin Tak Boleh Bunuh Manusia Kecuali…

Larangan tersebut bertepatan dengan firman ALLAH SWT: “…Janganlah kamu sengaja mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri…” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Begitu juga dengan dalil yang mana ALLAH SWT berfirman: “…Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya, ALLAH MAHA PENYAYANG kepadamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 29)

Menelusuri kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, Ustaz Mohd Fauzi menceritakan, terdapat seorang lelaki menikam dirinya dengan anak panah, lalu mati. Nabi Muhammad SAW tidak mendirikan solat jenazah ke atasnya.

Bunuh diri

ULAMA fikah menyatakan, dosa bunuh diri lebih besar daripada menghilangkan nyawa orang lain. -FOTO: 123RF

“Perkara itu dinyatakan jelas dalam Hadis Riwayat Muslim. Lihatlah betapa besar implikasinya. Ia sehinggakan ada sebahagian ulama berpendapat bahawa orang yang membunuh diri sendiri tidak boleh dimandi mahupun disolatkan (jenazahnya).

“Cuma kita mengguna pakai pandangan ulama yang menyatakan, wajib mandi dan solat jenazah kerana dia bukan kafir ataupun orang yang syirik pada ALLAH,” terang beliau panjang lebar.

Sesi temu bual kami semakin rancak apabila Ustaz Mohd Fauzi membangkitkan tentang azab yang bakal menimpa orang yang membunuh diri.

Azab berterusan

Dalam nada tegas, agamawan itu berkata, apa jua kaedah dan benda yang digunakan untuk melakukan perbuatan itu, demikian juga cara mengazab dirinya di Neraka Jahanam pada hari kiamat kelak.

Perkara itu disebutkan dalam sebuah hadis. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baca juga Usah seronok bergelumang maksiat, rupanya itu antara azab ALLAH

Dalam satu riwayat lain, baginda bersabda: “Sesiapa membunuh diri dengan besi, maka di Neraka Jahanam nanti, besi itu selalu di tangannya, dia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barang siapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di Neraka Jahanam nanti, ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barang siapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di Neraka Jahanam nanti, dia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bunuh diri

PERCAYALAH di sebalik ujian, kepedihan, kesukaran dan kesengsaraan yang dihadapi pasti terselit hikmahnya tersendiri. -FOTO: FREEPIK

Meskipun hadis berkenaan jelas menyatakan pelakunya kekal di dalam neraka buat selama-lamanya, jelas pendakwah itu, para ulama menyatakan, ia merupakan ancaman keras bahawa kelompok berkenaan akan masuk ke tempat seksaan itu untuk tempoh yang lama.

“Suka saya ingatkan, orang bunuh diri bukan sekadar masuk ke dalam neraka dan menggunakan ‘senjata’ sama mengazab diri di neraka, tetapi dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah SAW menceritakan terdapat seseorang yang pernah tercedera.

“Akibat tidak dapat menahan kesakitan, lalu dia mengambil pisau dan memotong nadinya pada pergelangan tangan. Akhirnya, darah berterusan mengalir sehinggalah dia meninggal dunia.

“ALLAH berkata: ‘Hamba-KU menyegerakan mati dengan dirinya sendiri, AKU mengharamkan ke atasnya syurga’,” ungkapnya. Justeru, Ustaz Mohd Fauzi mengingatkan agar umat Islam tidak mengambil jalan singkat dengan melakukan tindakan membinasakan itu.

“Jangan kita ingat bunuh diri boleh menyelesaikan masalah dan tamatkan segala-galanya. Ketahuilah, dengan mati itu bermulanya sebuah kehidupan baharu di alam lain. “Ingatlah, bagaimana kita mati itu, begitulah juga kita akan hadapinya kelak,” ujar beliau.

Jangan putus asa dengan rahmat ALLAH

Sementara itu, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah menjelaskan, tindakan membunuh diri sebagai jalan pintas untuk mengakhiri beban atau masalah hidup adalah jelas tindak-tanduk yang salah dan bertentangan dengan agama.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

“Bukan sahaja berdosa besar, tetapi juga menghilangkan rahmat ALLAH SWT pada kita. Pada hemat saya, amat tidak berbaloi untuk kita menyesali, menangisi, meratapi apatah lagi berduka cita terlalu kana atas ujian dunia yang sifatnya hanya sementara.

“Sedangkan, kehidupan di alam sana lebih lama dan panjang. Apabila diuji, sebaiknya kita bermuhasabah, memperbaiki diri, membanyakkan amalan, bersabar dan sentiasa bersangka baik dengan ALLAH SWT,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

Menyambung hujah, Ustazah Sharifah Fadylawaty menegaskan, perbuatan membunuh diri umpama kita mengkhianati amanah dan hak ALLAH SWT.

Masakan tidak, tubuh badan manusia adalah hak milik-NYA dan ia hanyalah pinjaman daripada-NYA untuk kita memanfaatkannya bagi tujuan beribadah serta selari dengan tuntutan agama.

“Malah, perbuatan tercela itu jelas bertentangan dengan fitrah manusia yang sepatutnya menghargai nikmat ALLAH iaitu tubuh badan dengan cara memberikan makna dan kebahagiaan dalam kehidupan, bukannya dengan jalan menyakiti diri.

“Seperkara lagi, Islam begitu menekankan penjagaan Maqasid Syariah yang meliputi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Jelaslah membunuh diri bertentangan dengan prinsip berkenaan.

“Larangan melakukan demikian sebenarnya juga bertujuan agar umat Islam tidak mudah berputus asa dengan rahmat ALLAH SWT dan menghindarkan diri daripada bersangka buruk dengan takdir-NYA,” katanya sambil mengingatkan bahawa setiap ujian pasti ada hikmat yang tersirat di sebaliknya dan menasihatkan kita supaya optimis serta kembali kepada Sang Pencipta.

Jihad dan muhasabah diri

Andai berdepan dengan situasi sukar, ahli akademik itu menasihatkan agar kita memperbanyakkan muhasabah atas kesilapan dan melazimkan diri dengan berdoa.

Antara doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW termasuklah: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada bala yang sukar, kejahatan yang melampau, qada yang jahat dan cacian musuh.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Satu lagi doa yang boleh diamalkan adalah: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU dari keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-MU dari rasa penakut dan kikir dan aku berlindung kepada-MU dari bebanan hutang dan penindasan.” (Hadis Riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasai)

Bunuh diri

SEGERA bertaubat andai hati pernah terdetik untuk melakukan perbuatan yang dilarang oleh ALLAH SWT dan bertentangan dengan ajaran agama Islam. -FOTO: 123RF

“Selain itu, jadikanlah zikir sebagai amalan dan benteng diri serta penuhi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat dan bermasyarakat seperti menghadiri majlis itu.

“Di samping itu, pilihlah lingkungan sahabat dan persekitaran yang positif. Andai rasa stres, depresi atau kemurungan melampau sehingga tidak mahu lagi meneruskan hidup, ketahuilah bahawa ia ‘sakit’ yang perlu segera dirawat. Pada masa sama, cari orang yang dipercayai untuk meluah bagi meringankan beban dan jangan lupa rujuk kepada pakar berkaitan seperti psikiatri, doktor, kaunselor dan seumpamanya,” titip beliau.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustazah Sharifah Fadylawaty mengingatkan bahawa segala kepayahan, kesakitan, kepenatan mahupun kesedihan yang membelenggu kehidupan kita perlu dilawan sehabis daya.

Baca juga Sakit boleh jadi penghapus dosa. Tapi jangan sesekali mengeluh atau persoalkan takdir ALLAH

Semua itu merupakan sebahagian daripada jihad yang tidak sia-sia, namun berpahala senadainya dibuat kerana ALLAH SWT. Ingatlah, Islam menggalakkan umatnya agar sentiasa kuat waima aspek fizikal, mental mahupun spiritual.

“Justeru, jangan sesekali mendambakan atau berharap untuk mati. Ia merupakan indikator sifat putus asa seorang mukmin. Kalaupun kita rasa sudah tidak kuat untuk menghadapi ujian hidup, hindari diri daripada berdoa supaya disegerakan kematian.

Bunuh diri

BERISTIGHFAR memohon keampunan daripada ALLAH SWT atas segala dosa yang pernah dilakukan. Semoga taubat kita diterima oleh-NYA. -FOTO: 123RF

“Sebaliknya, mohonlah kepada ALLAH agar diberikan kekuatan dan ketenangan untuk menghadapi ujian hidup. Tindakan drastik membunuh diri hanya akan mendedahkan seseorang kepada tiga penderitaan iaitu di dunia dengan masalah depresi, tidak bermotivasi, murung dan lain-lain yang mendorongnya bertindak demikian. Selain itu, penderitaan menjelang kematian iaitu sakit menghadapi sakarul maut.

“Satu lagi adalah penderitaan kekal di akhirat iaitu dimasukkan ke dalam neraka, dijauhkan daripada rahmat ALLAH dan dilaknat,” jelasnya.

ANEKDOT

Fakta tentang bunuh diri

– Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, kira-kira 703,000 orang mati akibat bunuh diri dan lebih ramai orang melakukan percubaan tersebut setiap tahun dengan purata satu kematian setiap 40 saat.

– Ia menjadi punca utama kematian keempat dalam kalangan mereka berusia 15 hingga 29 tahun.

– Sebanyak 77 peratus kes bunuh diri global berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

– Mereka yang berisiko berbuat demikian antara lain mengalami gangguan mental, gagal menangani tekanan hidup seperti masalah kewangan, putus hubungan, sakit atau menghidap penyakit kronik. – Selain itu, individu yang mengalami konflik, bencana, keganasan, penderaan atau kehilangan dan rasa pengasingan sangat dikaitkan dengan tingkah laku tidak popular berkenaan.

Bunuh diri

MEMILIH jalan singkat dengan menamatkan riwayat hidup sendiri mengundang hilangnya rahmat ALLAH SWT. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: FREEPIK

– Malaysia berada di tangga ke-126 dunia pada tahun 2019 berdasarkan statistik yang dibuat oleh WHO. Kadarnya melibatkan 5.7 orang daripada 100,000 orang.

– Pada tahun tersebut, kadar kes bunuh diri bagi lelaki di negara ini direkodkan lebih tinggi iaitu 8.9 berbanding dengan wanita (2.3). Meskipun demikian, kajian menunjukkan, cubaan membunuh diri adalah lebih banyak daripada wanita.

Sumber: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/suicide & https://qgenanalysts.org/kes-bunuh-diri-sokongan-diperlukan/

Cara bertaubat bagi individu yang berjaya diselamatkan

  1. Banyakkan beristighfar memohon keampunan ALLAH SWT dengan mengucapkan astaghfirullahal ‘azim. Fahami dan hayati ungkapan berkenaan.
  2. Tinggalkan perbuatan membunuh diri buat selama-lamanya.
    Bencikan tindakan tersebut.
  3. Berazam tidak mengulanginya atas apa jua sebab dan alasan. Jangan sesekali berputus asa daripada rahmat ALLAH SWT.
  4. Mendalami ilmu.

Baca juga Segerakan taubat, jangan sampai hati jadi rosak gara-gara lambat bertindak

Andai seseorang melakukan perbuatan bunuh diri disebabkan kejahilannya, maka dia wajib menuntut ilmu kerana jahil.

Seandainya orang itu terdorong melakukan demikian kerana sifat tergesa-gesa dan tidak sabar, maka dirinya perlu belajar banyak bersabar.

Jika perilaku berkenaan dilakukan kerana rezeki kurang masuk dan sebagainya, carilah ia. Biarpun sedikit, tidak mengapa asalkan halal.

Sumber: Pendakwah Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa

Suami dan bapa
Gaya Hidup,

Usah Terjebak Dengan Perkara Yang Mengundang Kebinasaan, Ikuti Panduan Islam Tangani Tekanan

no comment

DESAKAN hidup adakalanya membuatkan seseorang itu hilang pertimbangan diri. Begitu juga dengan tekanan dan kemurungan yang dialami oleh segelintir orang.

Keadaan bertambah teruk jika mereka tiada tempat untuk mengadu. Malah, ada sebilangan orang yang memperkecil-kecilkan perasaan yang dialami.

Semua itu menjadi antara faktor mengapa ada yang sanggup menamatkan riwayat hidup dengan cara membunuh diri. Kes berkenaan semakin meruncing akhir-akhir ini apatah lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih belum menemui titik noktahnya.

Jika ditelusuri semula kes bunuh diri pada PKP 1.0, Polis Diraja Malaysia mendedahkan sebanyak 266 kes bunuh diri dilaporkan sejak 18 Mac hingga 30 Oktober tahun lalu.

Pastinya jumlah itu kian meningkat pada masa kini gara-gara hilang mata pencarian dan tekanan hidup yang sukar untuk dibendung. Barangkali ada dalam kalangan kita yang kehilangan insan tersayang gara-gara amukan Covid-19. Begitu juga mereka yang mungkin menghadapi tekanan akibat masalah rumah tangga, pembelajaran online anak-anak dan sebagainya.

Baca juga Hati-hati Dengan Ungkapan ‘Kalau’

Apa jua tekanan yang dihadapi, tanganilah secara rasional dan mintalah bantuan kenalan terdekat untuk membantu kita.

Jangan sesekali mengambil jalan pintas dengan membunuh diri. Ini kerana Islam melarang umatnya daripada melakukan perbuatan tersebut yang menjebakkan diri ke kancah kebinasaan. Demikian penjelasan Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

ALLAH SWT juga mengingatkan hamba-NYA menerusi kalam-NYA: “Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH SWT sentiasa mengasihani kamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 29)

Tekanan hidup

BANTU rakan-rakan dan kenalan yang mengalami tekanan bagi meringankan bebanan mereka.

Bukan itu sahaja, dalam sebuah hadis juga ada memerihalkan tentang ancaman kepada mereka yang memilih jalan tersebut.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti, besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barang siapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti, ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barang siapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.” (Riwayat Muslim)

Bagi mengelakkan diri kita terjebak dengan perkara yang mengundang kebinasaan itu, Jabatan Mufti Negeri Perak memberikan kita panduan untuk menangani tekanan dan masalah berdasarkan pendekatan Islam.

Ia seperti berikut:

1. Tidak bercita-cita untuk mati.

Ketahuilah, bukan sahaja haram membunuh diri, tetapi bercita-cita untuk mati kerana masalah hidup yang dihadapi turut diharamkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah mengharapkan kematian kerana ditimpa musibah dunia, jika terpaksa, maka hendaklah ia mengucapkan: ‘Ya ALLAH panjangkan hidupku, jika kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matilah aku jika kematian itu lebih baik bagiku’.” (Riwayat al-Bukhari)

Tekanan hidup

SESUNGGUHNYA ALLAH SWT telah menjanjikan bahawa dunia merupakan tempat ujian dan tiada siapa yang dapat terlepas melaluinya.

2. Dunia merupakan tempat ujian kesabaran manusia.

Apa jua masalah yang kita hadapi dan rentas adalah untuk menguji kesabaran seorang hamba.

Firman ALLAH SWT: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

3. Mohon bantuan dan pertolongan daripada ALLAH SWT dengan kesabaran serta mengerjakan solat.

Firman ALLAH SWT: “Dan mintalah pertolongan (kepada ALLAH) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Baqarah, ayat 45)

Tekanan hidup

MOHONLAH pertolongan daripada ALLAH SWT dan jangan sesekali putus asa dalam meraih rahmat-NYA.

4. Tidak putus asa dengan rahmat ALLAH SWT.

Mengertilah, tiada sesiapa pun yang mampu terlepas daripada sebarang ujian. Namun begitu, usahlah kita berputus asa dengan rahmat ALLAH SWT. Percayalah DIA pasti akan menunjukkan kita jalan penyelesaiannya.

Firman ALLAH SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-KU yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH mengampunkan segala dosa; sesungguhnya DIALAH juga yang MAHA PENGAMPUN, lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah al-Zumar, ayat 53)

5. Lazimkan diri berdoa dan memohon kepada YANG MAHA ESA.

Baik susah ataupun senang, jangan lupa mohonlah bantuan daripada ALLAH SWT dengan berdoa kepada-NYA.

Rasulullah SAW mengajarkan kita doa ini: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada bala yang sukar, kejahatan yang melampau, qada yang jahat dan cacian musuh.”

Satu lagi doa yang boleh diamalkan ialah: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-MU daripada rasa penakut dan kikir, dan aku berlindung kepada-MU daripada bebanan hutang dan penindasan.”

Kepada semua masyarakat, Jabatan Mufti Negeri Perak menitipkan pesan agar kita menggandakan keprihatinan dan sifat sensitiviti kepada sebarang perubahan yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga, jiran tetangga, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling.

Tekanan hidup

MASYARAKAT memainkan peranan penting untuk membantu orang yang hampir dengan kita agar keluar daripada tekanan dihadapi.

“Bantulah untuk meringankan bebanan mereka dan salurkanlah maklumat mereka kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk meringankan bebanan dan tekanan mereka.

“Bagi jawatankuasa masjid dan komuniti kejiranan setempat, bersikaplah proaktif dengan pelbagai inisiatif untuk memastikan ahli-ahli dalam kariah dan kawasan kejiranan dalam keadaan terbela dan dibantu jika mereka menghadapi kesukaran hidup,” pesan jabatan tersebut.

Dalam musim pandemik yang begitu genting ini, menjadi tanggungjawab semua orang untuk memastikan insan yang terdekat dengan kita diberi semangat, dorongan dan bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup sementara masih bernafas di muka bumi ciptaan ALLAH SWT.

Foto: Freepik