Browsing Tag

Bumi Palestin

Bumi Palestin
Isu, Pilihan Editor,

Bersama Pertahankan Kesucian Bumi Palestin, Berdosa Jika Umat Islam Tidak Ambil Tahu

no comment

BIBIR Muhammad Hadidi tidak henti-henti mengungkapkan kalimah alhamdulillah. Sambil menangis teresak-esak, beliau berkali-kali mencium pipi dan tangan mulus bayinya yang ditempatkan di sebuah hospital di Gaza, Palestin.

Beliau tidak menyangka, ALLAH YANG MAHA MENGASIHANI telah mempertemukan beliau dengan anaknya selepas kem pelarian Shatea, Gaza yang dihuni mereka dibom oleh tentera Zionis.

Di sebalik kegembiraan itu, Muhammad Hadidi sebenarnya sedang menahan kepiluan. Sukmanya bagai ditusuk pedang paling tajam. Masakan tidak, isteri dan empat anaknya terbunuh dalam insiden pengeboman itu.

Rintihan atmanya sesungguhnya sukar dijelaskan dengan kata-kata, tetapi riak wajahnya menceritakan segalanya.

Itu hanyalah secebis daripada peristiwa pilu yang sempat dirakam. Barangkali ada yang lebih menyayat hati. Ya, seperti ramai yang sudah maklum, pada penghujung Ramadan lalu, Palestin bermandi darah.

Insiden serangan terhadap umat Islam yang sedang beribadah di Masjid al-Aqsa begitu menjentik hati. Lebih-lebih lagi apabila kita melihat saudara seagama kita diperlakukan sewenang-wenangnya dan agama suci yang kita agungkan diperkotak-katikkan begitu sahaja.

Setakat artikel ini ditulis, seramai 232 penduduk terkorban, sementara 1,900 mangsa cedera parah. Sehingga kini, Palestin masih lagi berduka!

Bumi Palestin


BUKAN sahaja ratusan nyawa yang melayang, malah banyak kediaman ranap akibat serangan udara Israel di Gaza.

Tragedi di tempat suci itu benar-benar mencetuskan amarah yang membuak-buak. Meskipun terpisah jauh, rakyat Malaysia bersoladiriti menentang kezaliman rejim Zionis.

Kita bersama-sama mengangkat tangan berdoa, bersolat hajat, menghulurkan dana termasuk bertubi-tubi mengecam musuh Islam itu menerusi media sosial. Semangat kebersamaan itu sebenarnya menjadi formula paling ampuh untuk kita mengukuhkan agama dan kesucian bumi Palestin yang sangat dimuliakan.

Baca juga Musta’ribeen : Perisik Israel mudah menyamar sebagai rakyat Palestin

Sebagai medium berpengaruh, Sinar Islam Plus ingin mengajak pembaca menggali lebih lanjut tentang negara Palestin yang banyak kali diungkapkan dalam al-Quran. Mengapakah kita perlu mempertahankan bumi suci itu dan Masjid al-Aqsa dan bagaimana isu Palestin dikaitkan dengan akidah umat Islam?

Disebut 70 kali dalam al-Quran

Untuk topik yang penuh menyentuh sanubari itu, penulis menghubungi Profesor Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Kamaruzaman Yusoff.

DR KAMARUZAMAN

Jelas beliau, ada beberapa sebab utama yang menyebabkan pertembungan antara Palestin dan Zionis terus-menerus berlaku sehingga ke hari ini. Antaranya tanah Palestin disebut sebagai Tanah Yang Dijanjikan Tuhan berdasarkan kitab Bible Ibrani kepada Bani Israel.

“Namun, insiden serangan dan kebiadaban Zionis terhadap Palestin yang berlaku pada masa ini adalah disebabkan keganasan, kejahatan, rampasan tanah dan rumah yang dilakukan oleh Israel.

“Tindakan itu menyebabkan orang Arab yang meyakini bahawa Palestin ialah tanah mereka merasakan hak dan ladang mereka perlu dipertahankan,“ katanya yang juga penganalisis Asia Barat.

Paling menyentap emosi umat Islam apabila keganasan yang dilakukan tentera negara haram Israel itu telah merenggut kesucian Masjid al-Aqsa.

“Walaupun Masjidil Aqsa terletak jauh dari Gaza, namun semangat kebersamaan yang tinggi membuatkan mereka turut merasai kepedihan serangan tersebut. Itu yang menyebabkan kebangkitan penuh semangat rakyat di sana,“ katanya.

Palestin yang merupakan negara yang pernah menjadi sebahagian bumi Syam adalah tanah yang diberkati, kata Dr Kamaruzaman.

“Bahkan, ia disebut lebih 70 kali dalam al-Quran sama ada secara langsung atau tidak,“ katanya.

Berkongsi pandangan sama, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, Profesor Madya Dr Arieff Salleh Rosman berkata, sebagai umat Islam, menjadi kewajipan setiap Muslim untuk terus mempertahankan bumi Palestin yang terdapat Masjid al-Aqsa di dalamnya.

DR ARIEFF SALLEH

ALLAH SWT berfirman: “MAHA SUCI ALLAH yang telah menjalankan hamba-NYA (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang KAMI berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) KAMI…“ ( Surah al-Isra‘, ayat 1)

Melihat nas itu, jelaslah bahawa bumi Palestin begitu dimuliakan oleh ALLAH SWT, ujar Dr Arieff Salleh.

“Hubungan Masjidil Haram dan Masjid al-Aqsa dalam peristiwa Israk dan Mikraj menunjukkan kepentingan kedua-dua kawasan tersebut kepada akidah umat Islam.

“Bahkan, Masjid al-Aqsa merupakan masjid kedua yang dibina dalam sejarah umat manusia selepas Masjidil Haram,“ katanya.

Akidah umat Islam

Bukan itu sahaja, Dr Arieff Salleh menjelaskan, Masjid al-Aqsa juga pernah menjadi kiblat pertama umat Islam. Selama 16 bulan, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat bersolat berkiblatkan masjid berkenaan sebelum ALLAH memerintahkan agar ditukar kiblat kepada Kaabah di Masjidil Haram.

Beliau menambah, menghadap kiblat yang menjadi salah satu syarat sah solat adalah satu simbol pengabdian seorang hamba kepada ALLAH. Jelaslah, ia merupakan isu iman dan akidah.

Bumi Palestin

SEBAGAI umat Islam, menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa yang merupakan tanda keimanan kepada ALLAH SWT.

“Oleh itu, perjuangan mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitarnya iaitu bumi Palestin daripada dijajah oleh rejim Zionis Yahudi merupakan tanda keimanan seseorang Muslim kepada ALLAH YANG MAHA ESA.

“Ingatlah bahawa sejarah membuktikan, kebencian Yahudi terhadap Nabi Muhammad SAW dan umat Islam masih berlarutan, mereka sentiasa merancang untuk menghancurkan kita,“ ujar beliau.

Baca juga Lelaki Lumpuh Digeruni Zionis

Justeru, Dr Arieff Salleh yang juga Felo Perundangan Islam & Kefatwaan, Pusat Penyelidikan Fiqh Sains & Teknologi, UTM sekali lagi menegaskan, apa yang berlaku di Palestin sememangnya isu yang melibatkan akidah umat Islam. Ia bukan sekadar isu politik dan kemanusiaan.

Ujarnya lagi, menentang rejim zionis Yahudi yang memimpin negara haram Israel merupakan kewajipan setiap individu Muslim di seluruh dunia!

Jelas beliau, pertembungan antara umat Islam di Palestin dengan rejim Zionis melibatkan pertembungan antara agama Islam dan Yahudi.

“Doktrin yang diimani Yahudi dan sebilangan besar Kristian Protestan bahawa tanah Palestin ialah tanah suci yang dijanjikan untuk umat Yahudi yang wajib mereka kuasai.

“Mereka mahu membina semula Haikal Sulaiman di tapak Masjid al-Aqsa sebagai pusat pemerintahan Dajal yang diyakini sebagai pemimpin yang ditunggu-tunggu untuk mengetuai dan menyelamatkan umat Yahudi.

“Sementelah dalam Islam pula, peristiwa tanda besar kiamat juga berlaku di kawasan Syam termasuk Syria dan Palestin.

“Antara peristiwa dan petunjuk besar kiamat adalah peperangan yang akan berlaku antara umat Islam dan Yahudi,“ terangnya.

Keberkatan tiada tandingan

Mengapakah bumi Palestin dianggap sebagai bumi suci bagi umat Islam dan memiliki keberkatan yang tiada tandingannya?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran menjelaskan, bumi suci itu ada kaitan dengan hampir separuh daripada 25 nabi dan rasul.

IMAM MUDA ARAN

Antaranya Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS, Nabi Ishak AS, Nabi Yaakub AS, Nabi Daud AS, Nabi Yunus AS, Nabi Yusuf AS dan Nabi Syuib AS.

“Bahkan, Palestin sendiri sarat dengan kisah yang istimewa seperti kisah Nabi Muhammad SAW dan peristiwa Israk dan Mikraj.

“Bayangkan, ketika kejadian itu, baginda SAW mengimamkan solat di Masjid al-Aqsa yang diikuti dengan kehadiran (roh) 124,000 nabi, menurut para ulama,“ ujarnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu Masjidil Haram, masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjid al-Aqsa.“ (Hadis Muttafaqun ‘Alaih)

Bukan itu sahaja, jelas beliau, ALLAH SWT menyebut Palestin dalam al-Quran dengan pelbagai gelaran.

“Antaranya al-ardh al-muqaddasah (tanah yang suci) yang merujuk kepada Palestin sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab tafsir yang muktabar,“ katanya.

Baca juga Mengutuk Jenayah Negara Haram Israel: Anti-Zionisme atau Anti-Semitik?

Kepada satu soalan, Imam Muda Aran berkata: “Berdosa hukumnya andai kita tidak ambil berat tentang urusan umat Islam yang lain. Ini termasuklah situasi yang berlaku di Palestin.

“Bahkan, dalam satu riwayat, Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa golongan itu bukan dalam kalangan mereka.“

Pembebasan Baitulmaqdis antara petanda kiamat

PEMBEBASAN Baitulmaqdis di Palestin merupakan antara tanda-tanda hari kiamat sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis masyhur.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat; iaitu kematianku, kemudian pembebasan Baitulmaqdis (dalam riwayat lain: pemakmuran Baitulmaqdis), kemudian kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba, kemudian melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar, namun ia masih marah (merasa kurang), kemudian timbulnya fitnah sehingga tidak ada satu pun rumah orang Arab (dalam riwayat lain: rumah orang Islam) melainkan ia akan memasukinya, kemudian perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah 80 panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada 12,000 tentera.“ (Riwayat al-Bukhari, Ibn Majah, Ahmad, Ibn Abi Syaybah, al-Tabarani, al-Hakim dan lain-lain)

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhari menjelaskan, dalam sebuah hadis yang lain, tidak disebut nama tempat. Namun, ia menunjukkan pertembungan sebelum hari kiamat antara umat Islam dan orang Yahudi.

DR MOHD HASRUL

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah orang-orang Islam memerangi Yahudi. Orang-orang Islam akan memerangi (membunuh) Yahudi sehinggalah orang Yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pokok. Maka, batu atau pokok akan bersuara: ‘Wahai Muslim! Wahai hamba ALLAH! di belakangku ini ada orang Yahudi, marilah bunuhnya, kecuali pokok gharqad kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi.“ (Riwayat Muslim)

Berdasarkan beberapa hadis berstatus sahih atau hasan itu, katanya, ia jelas menunjukkan bahawa antara tanda-tanda kiamat adalah berlakunya peperangan antara umat Islam dan orang Yahudi dan Baitulmaqdis yang kini masih dikuasai oleh puak Zionis Yahudi.

“Maka, tanggapan masyarakat bahawa pembebasan Baitulmaqdis merupakan tanda-tanda kiamat bukanlah perkara yang salah kerana banyak hadis lain menunjukkan kita memang berada pada akhir zaman yang hampir dengan hari kiamat,“ katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Dalam pada itu, ahli akademik itu turut mengingatkan umat Islam agar memahami hadis akhir zaman berdasarkan bimbingan para ulama dan bukan membuat telahan sesuka hati.

Bumi Palestin

TIDAK kiralah di mana sahaja keberadaan kita, sebagai umat Islam, jangan putus mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin.

“Contohnya, terdapat pihak yang mentafsirkan atau mensyarahkan nas-nas al-Quran dan hadis berkaitan peperangan ini dengan menubuhkan tentera atas nama jihad.

“Mereka sesuka hati membunuh, mengebom dan menembak orang bukan Islam termasuk orang Islam sendiri yang didakwa tali barut kuffar.

“Puak-puak tersebut memahami nas-nas secara literal sehingga mengkafirkan orang Islam sendiri.

“Mereka lupa terdapat juga hadis yang memberi peringatan tentang golongan ruwaibidah yang mudah mengkafirkan dan membunuh orang lain pada akhir zaman seperti yang dilakukan golongan Khawarij dahulu,“ tegasnya.

ANEKDOT

SEJARAH peperangan di Palestin

Bumi Palestin

Pemandangan Baitulmaqdis sebelum 1948. -Sumber: Library of Congress USA

– Peperangan yang tercetus di Palestin sudah lama berlaku sejak sebelum kedatangan Islam lagi.

– Palestin atau khususnya Baitulmaqdis pernah dikuasai oleh umat Islam pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab RA.

– Pada tahun 16 Hijrah (638 Masihi), tentera Islam berjaya menguasai Baitulmaqdis yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Empayar Rom Byzantine.

– Sekitar 400 tahun kemudian iaitu pada tahun 1099 Masihi, Empayar Rom Byzantine menerusi Perang Salib telah berjaya merampas semula Baitulmaqdis daripada tangan umat Islam.

– Lebih kurang 88 tahun selepas itu, berlaku pertempuran Hattin pada tahun 1187 Masihi (583 Hijrah) yang menyaksikan Sultan Salahuddin al-Ayyubi berjaya mengalahkan tentera Salib dan menawan kembali Baitulmaqdis.

– Setelah Palestin terlepas lagi daripada tangan umat Islam, datanglah seorang pemimpin yang disebut dalam sebuah hadis: “Akan dibuka kota Constantinople. Sebaik-baik pemerintah ialah pemerintahnya, dan sebaik baik tentera ialah tentera tersebut.“ (Kata al-Hafiz al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawaid: Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bazzar dan al-Tabarani. Perawinya thiqah)

– Hadis itu dikatakan merujuk kepada Sultan Muhammad al-Fatih yang berjaya menguasai Palestin pada tahun 1453 Masihi (857 Hijrah).

– Penguasaan tersebut sekali gus berjaya menguburkan terus Empayar Rom Byzantine untuk selama-lamanya.

– Begitulah antara sejarah penguasaan umat Islam terhadap Palestin dan kini ia dikuasai oleh Zionis Yahudi menubuhkan Israel.

Sumber: Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhari

Foto: Freepik, AFP, Reuters, Aljazeera & Bernama