Browsing Tag

bulu kucing

apabila bulu kucing terlekat di tempat solat
Hukum,

[VIDEO] Apabila bulu kucing melekat di tempat solat, kita perlu…

APABILA bulu kucing melekat di tempat solat, apa yang perlu kita lakukan?

Kucing antara haiwan peliharaan yang cukup popular. Siapa yang tidak geram dengan telatahnya yang comel dan manja membuatkan sesiapa sahaja termasuk pencinta haiwan begitu terpaut dengannya.

Tidak hairanlah kucing menjadi haiwan yang disayangi ramai. Malah, ada orang sanggup membela kucing sehingga puluhan ekor di rumahnya.

Ada segelintir orang pula lebih gemar memberikan makanan kepada kucing yang tidak bertuan.

Bercakap tentang kucing belaan, kadangkala rumah kita sedikit ‘tercemar’ gara-gara lekatan bulu kucing. Barangkali pakaian kita turut terkena sama. Apalagi jika kita bermain dengan haiwan comel berkenaan.

Baca juga Jagalah kucing dengan baik, elak dari dihumban ke neraka

Walaupun sudah dibersihkan berkali-kali, tetapi sisa lekatan bulu kucing itu sukar untuk dihilangkan.

Andai kata, tempat solat dan pakaian kita terdapat sisa bulu kucing meskipun sudah dibersihkan, adakah sah solat yang dikerjakan?

Perlukah kita mengulangi semula solat yang sudah ditunaikan?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah berkata, secara umumnya, bulu kucing yang terkena pakaian atau tempat solat adalah tidak dikira najis.

DA’I SYAFIQAH

Ia berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya ia tidaklah najis, tetapi ia sejenis binatang yang sentiasa berlingkaran kepada kamu.” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibnu Majah)

Malah, jelas Da’i Syafiqah, ia diperkuatkan lagi dengan perbuatan Abu Hurairah RA yang mana ada riwayat menyatakan beliau sentiasa mendampingi kucing untuk bermain.

“Adakalanya kucing tersebut masuk ke dalam jubahnya.

“Ini menunjukkan jika bulu kucing melekat pada pakaian atau terkena pada pakaian ataupun tempat solat, ia tidaklah menyebabkan bernajis,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Mazhab Syafie, bulu kucing yang tercabut semasa haiwan masih hidup adalah dikira najis kerana ia termasuk sebagai haiwan yang tidak boleh dimakan, terang beliau lagi.

Namun, tambah beliau bulu kucing yang tercabut tadi termasuk dalam kategori najis yang dimaafkan kerana kucing adalah haiwan peliharaan dan sukar dikawal.

“Justeru, jika badan, pakaian atau tempat solat terkena bulu kucing ataupun ada sisa lekatan bulu haiwan berkenaan walaupun sudah dibersihkan, solat tetap sah.

Baca juga Tuan kepada kucing kena bersihkan jika haiwan peliharaannya berak di rumah jiran. Ramai yang pandang remeh perkara ini… 

“Tidak perlu diulangi solat tadi selagi mana tidak didapati najis yang jelas dan nyata pada bulu kucing tersebut,” jelas beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

Kepada mereka yang membela kucing, usah bimbang dengan sisa lekatan bulu kucing. Sebaiknya bersihkan terlebih dahulu sebelum menunaikan solat.