Browsing Tag

buli

Zina
Gaya Hidup,

Zina Bukan Sekadar Persetubuhan Semata-mata, Hadam Dulu Penjelasan Ini

BARU-BARU ini, tular video yang memaparkan seorang pelajar dikepung oleh rakan-rakannya di dalam sebuah bilik asrama sebelum ditumbuk pada bahagian perut.

Insiden itu ternyata mencetuskan amarah dalam kalangan warganet di media sosial. Masakan tidak, sesiapa pun pasti tidak boleh menerima perbuatan tersebut yang bukan sahaja melibatkan kes buli, tetapi juga dikira sebagai mengancam nyawa.

Belum pun reda dengan kejadian tersebut, pihak polis mendedahkan, motif pelajar tersebut dibuli dipercayai berkait rapat akibat teguran dibuat olehnya.

Pelajar lelaki tingkatan satu itu menegur rakannya supaya tidak menonton video lucah.

Bayangkan sudahlah melakukan perkara haram, kemudian orang yang menegur itu dimarahi pula.

Kejadian itu turut mendapat perhatian pendakwah terkemuka, Asma’ Harun.

ASMA’

Beliau menegaskan, perbuatan menonton video lucah juga merupakan satu kemungkaran yang mesti dijauhi sebagaimana disebutkan menerusi firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya (zina) itu suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.” (Surah al-Isra’, ayat 32)

“Allahu Akbar, sedangkan mendekati atau menghampiri sahaja pun sudah ditegah oleh ALLAH, apatah lagi melaksanakan perbuatan zina.

“Jangan disangka bahawa zina itu hanyalah melakukan persetubuhan secara haram. Namun, segala perbuatan yang menghampiri zina umpamanya berkata, melihat atau mendengar perkara lucah juga dikira sebagai kemungkaran,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Pendakwah itu turut mengingatkan kita akan hadis yang diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ketahuilah bahawa tabiat menonton video lucah bukan sahaja menyebabkan semakin nipisnya rohani seseorang, tetapi turut memberi kesan terhadap kesihatan mental pelakunya, terang Asma’.

Zina

JAUHI diri daripada menonton cerita yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Baca juga Waspada Dengan Maksiat Perut, Ia Bukan Berkait Soal Makanan Sahaja

“Apa tidaknya, pelaku akan mengalami ketagihan beronani, hilang rasa malu dan paling membimbangkan, sudah mula timbul kecenderungan untuk berzina secara nyata. Allahu Rabbi.

“Akibat daripada perbuatan ini menyebabkan perubahan tingkah laku yang mana si pelaku akan menjadi seorang yang panas baran, cenderung untuk menyakiti orang lain dan budaya menipu atau memperdaya menjadi kebiasaan.

“Kesan daripada kemungkaran yang dianggap remeh ini, berlakunya kes-kes menderakan orang lain seperti buli,” katanya.

Menyambung hujah, Asma’ menjelaskan, antara punca mengapa ramai yang terjerumus melakukan kemungkaran tersebut adalah disebabkan sikap ibu bapa yang tidak mengawasi bahan tontonan anak-anak semasa masih kecil, sekali gus ia menjadi kebiasaan dan bahkan juga ketagihan.

Justeru, beliau mengingatkan ibu bapa supaya memperkasakan peranan masing-masing bagi memastikan anak-anak membesar sebagai manusia yang baik dan berguna.

Baca juga Rasulullah Didik Keluarga Sebagaimana Dikehendaki ALLAH. Ini Beberapa Kaedah Yang Digunakan

“Kadangkala kita rasa takut jika terlalu mengongkong sehingga timbul rasa rimas daripada anak-anak. Namun, andai terlalu longgar dalam pengawasan pula akan memberi kesan negatif terhadap perkembangan anak-anak.

“Saya percaya semua orang impikan anak-anak yang soleh dan solehah, walau kita sedar hakikat cabaran ke arah itu sangat tinggi. Namun, siapa yang berusaha bersungguh-sungguh, pasti ALLAH SWT tak akan sia-siakan,” katanya.

Zina

ADA hikmah mengapa ALLAH SWT memerintahkan hamba-hamba-NYA supaya menjaga pandangan, hati dan kemaluan agar diri tidak terjerumus dengan perkara maksiat.

Untuk mendidik ahli keluarga bagi menangani masalah sebegitu, ujar Asma’, ia ada disebutkan dalam sebuah hadis daripada Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Wahai para pemuda! Barang siapa yang berkemampuan dalam kalangan kamu, hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu lebih menjamin pandangan dan lebih kuat membentengi kemaluan. Tetapi barang siapa yang tidak ada kemampuan (untuk berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu menjadi pelindung kepadanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Andai kita bermuhasabah, jelas penceramah itu, sebenarnya amat jelas hikmah mengapa ALLAH SWT memerintahkan kita supaya menjaga pandangan, hati dan kemaluan supaya tidak terjebak dengan perkara maksiat sebegitu.

“Walaupun perintah itu telah diturunkan sejak 1,400 tahun lalu, namun ia masih relevan sehingga ke hari ini.

“Sebab itu ALLAH SWT YANG MAHA BIJAKSANA dan YANG MAHA MENGETAHUI segala baik buruk, kelemahan dan kekurangan kita.

“Oleh itu, banyakkanlah memohon petunjuk dan bimbingan daripada-NYA supaya diri dan ahli keluarga kita terselamat daripada terjerumus dengan dosa serta maksiat,” nasihatnya.

Foto: Unsplash & Pexels

Berita Semasa,

Buli orang tanpa rasa bersalah… Hati-hatilah, perbuatan itu bakal dituntut di akhirat kelak

SEWAKTU berada di bangku sekolah rendah, penulis terkenangkan sikap seorang rakan sekelas yang mengganggu emosi. Adakalanya perangainya agak menjengkelkan.

Biarpun sudah lebih 20 tahun berlalu, penulis masih ingat, rakan sekelas yang seorang ini begitu gemar mengusik teman-teman lain.

Perangainya memang sukar dikawal. Meskipun menyorokkan barang-barang seperti botol air dan bekas pensel dianggap sebagai perbuatan nakal, namun bagi kanak-kanak, ia adalah satu perkara yang boleh meremukkan jiwa.

Bukan itu sahaja, bibirnya juga laju sahaja meluncurkan perkataan kurang enak didengari pada halwa telinga. Adakalanya, butiran percakapannya menyakitkan hati walaupun ia lahir daripada budak yang belum mengerti pancaroba dunia.

Antara kata-kata berbisanya adalah: “Woi, budak gemuk. Kau buat apa itu?”

“Awak ini hitamlah. Kami tak nak kawan dengan awak.”

Lihat, pertuturan itu memang tidak padan dengan usianya yang baru sahaja menginjak tujuh tahun.

Situasi itu jelas memperlihatkan bahawa perbuatan buli sememangnya sudah lama wujud. Ia bukanlah perkara baharu. Sudah lama isu itu diperkatakan ramai. Namun, ia bagaikan mempunyai imuniti apabila sehingga sekarang masalah itu sukar benar untuk dinoktahkan.

Ya, itu hanyalah salah satu contoh sahaja. Ada banyak lagi kes buli yang berlaku di dunia ini yang memberikan impak besar kepada individu yang mengalaminya.

Justeru, apakah perspektif Islam tentang perbuatan buli? Adakah ia sama dengan perbuatan menganiaya orang lain?

Muliakan manusia

Bagi membincangkan topik hangat itu, Sinar Islam mendapatkan pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan.

IMAM MUDA HASSAN

Jelas beliau, buli merupakan perbuatan yang tidak disukai oleh ALLAH SWT. Ia jelas bertentangan dengan Islam yang begitu mementingkan kemuliaan setiap insan.

Firman ALLAH SWT: “Dan demi sesungguhnya KAMI telah muliakan anak Adam.” (Surah al-Isra, ayat 70)

Menurut pendakwah itu lagi, ayat berkenaan jelas menunjukkan bahawa ALLAH SWT begitu memuliakan semua manusia yang merupakan cucu-cicit Nabi Adam AS. Ia tidak kiralah sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak. Kemuliaan itu dari segi fizikal selagi kita digelar sebagai manusia.

“Bayangkan ALLAH begitu (memuliakan) dan mengangkat martabat manusia, namun kita pula telah melakukan jenayah (buli) yang bertentangan dengan ayat suci tadi,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Berbicara lanjut tentang kes buli dalam kalangan kanak-kanak yang kebanyakannya melibatkan kes penderaan emosi, Imam Muda Hassan berpendapat, terdapat banyak faktor menyumbang kepada hal tersebut.

Antaranya termasuklah faktor persekitaran, gajet dan pelbagai lagi yang menyebabkan masyarakat terutamanya ibu bapa kurang fokus terhadap pendidikan akhlak mereka, terang beliau.

“Disebabkan itu, Islam begitu mementingkan aspek akhlak dan pendidikan kepada anak-anak. Walaupun ia nampak remeh, tetapi sebenarnya sistem pendidikanlah yang akan membentuk akhlak anak-anak kita.

“Ulama menyebut bahawa ibu bapa adalah madrasah kepada anak-anak. Justeru, walau sesibuk mana pun, ibu bapa perlu menekankan aspek adab dan akhlak kepada anak-anak. Ia bagi membentuk karakter dan keperibadian mereka.

“Sekalipun ibu bapa kaya, ada harta dan sebagainya, mereka perlu menerangkan kepada anak masing-masing bahawa jangan pandang hina kepada orang yang miskin atau lebih rendah tarafnya daripada mereka.

“Ketahuilah, bukan saja buli dari segi fizikal, tetapi buli dari segi emosi juga amat bahaya kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa pada usia yang kecil,” jelas beliau.

Buli

TEKANKAN kepada anak-anak bahawa membuli bukan budaya Islam dan salah di sisi undang-undang.

Imam Muda Hassan turut berkongsi panduan mendidik anak-anak mengikut cara Islam dan mengikut zamannya.

“Anak yang berusia tujuh tahun ke bawah, layanlah mereka umpama raja dengan didikan yang penuh kasih sayang. Apabila anak mencecah usia tujuh hingga 14 tahun, ibu bapa sudah boleh memasukkan elemen ketegasan agar mereka menjadi orang bertanggungjawab dan berdisiplin.

“Menginjak usia 15 tahun ke atas, didiklah anak-anak itu sebagai kawan iaitu sebagaimana kita menegur rakan-rakan, seperti itulah kita menegur mereka. Masuk saja usia 21 tahun ke atas, berikanlah sedikit kebebasan kepada mereka untuk mereka membuat keputusan sendiri,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak supaya mereka tidak tergelincir daripada landasan Islam dengan membuli orang lain.

(Artikel berkaitan: ‘Merendah-rendahkan orang ibarat seperti makan bangkai saudaranya yang sudah mati’)

Perbuatan aniaya

Benarkah perbuatan buli sama dengan penganiayaan kepada orang lain?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz, terus mengakuinya.

PU FAIZ

Ya, perbuatan membuli itu sama dengan menganiaya orang lain yang jelas dilarang oleh agama Islam, tegas beliau.

Beliau menambah, terdapat dua jenis buli iaitu secara fizikal seperti memukul dan menumbuk. Satu lagi jenis buli adalah dalam bentuk mental seperti menghina tubuh badan seseorang dengan mencaci maki sebarang perkara yang berkaitan maruah seseorang.

Tegas PU Faiz lagi, tidak kiralah apa jua bentuk buli berkenaan, kedua-dua bentuk penganiayaan itu benar-benar bukan budaya Islam.

“Islam begitu keras menegah perbuatan membuli. Banyak ayat al-Quran dan hadis yang melarang kita daripada mengeluarkan perkataan keji, mencaci maki dan menyelar.

“Apatah lagi buli dalam bentuk mental. Meskipun kita mengeji tubuh badan orang dengan mengata dia gemuk atau busuk dan sebagainya tanpa meninggalkan luka pada tubuhnya, tetapi hatinya telah dilukai.

“Ya, luka tubuh badan itu kadangkala sembuh tanpa meninggalkan kesan parut. Namun begitu, luka dalam hati ini tiada parutnya dan kadangkala sukar untuk sembuh. Itu bahayanya,” jelas beliau.

Firman ALLAH SWT: “…Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (jadi fasik) setelah beriman. Dan barang siapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surat al-Hujurat, ayat 11)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar.” (Riwayat at-Tirmizi)

Berdasarkan ungkapan nas tersebut, jelas bahawa buli memang bukan budaya Islam. Ia jauh menyimpang daripada ajaran agama yang suci ini!

Perbualan kami semakin rancak apabila PU Faiz membuka cerita berkisarkan buli di alam maya.

Buli alam maya

Beliau menyifatkan zaman teknologi maklumat yang sedang kita harungi kini sebagai pintu kemaksiatan, kebaikan dan fitnah yang terbuka luas.

Ia hanya dibezakan oleh tindak-tanduk kita yang mencorakkan ‘pintu-pintu’ berkenaan, ungkap beliau.

“Umpamanya pintu kebaikan terbuka luas seandainya kita menggunakan media sosial untuk membuat pahala. Contohnya, melakukan tazkirah dan mengajak orang kepada kebaikan.

Buli

BERHATI-HATILAH apabila memberi sebarang komen melalui media sosial bagi mengelak menjatuhkan maruah orang lain dan menyebarkan berita yang tidak pasti kesahihannya.

“Jika sebaliknya pula, ia akan membuka luas pintu kejahatan. Misalnya, berkongsi dan tularkan berita tanpa disemak terlebih dahulu hingga ia hangat diperkatakan oleh warganet. Walhal, boleh jadi perkara yang disebarkan itu mungkin tidak benar atau fitnah.

“Begitu juga pintu fitnah apabila orang yang mengajar suatu ilmu, tetapi menyebabkan kekeliruan kepada orang lain. Perkara yang tidak sepatutnya disebut di khalayak ramai, tetapi dirakam dan divideokan serta dimuat naik di media sosial hingga menimbulkan pertelagahan antara para ilmuan dan orang awam,” katanya.

Justeru, PU Faiz mengingatkan agar umat Islam tidak sewenang-wenangnya menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan melalui pintu teknologi.

“Kena ingat, perbuatan buli di alam maya yang bersulam dengan pelbagai kutukan boleh membawa kepada kemurungan, rasa rendah diri dan tekanan kepada individu yang diserang tadi.

“Ingatlah sesiapa yang menjebakkan dirinya untuk membuli (di media sosial), ia akan menambah saham dosa mereka. Apatah lagi, jika individu yang dibulinya tertekan sehingga meninggal dunia,” jelas beliau.

Kepada satu soalan, PU Faiz menjawab: “Perbuatan membuli akan dituntut di akhirat kelak. Bahkan, kucing yang pernah kita pukul dulu, jika kita tidak bertaubat, ia akan dihisab di akhirat nanti. Kucing itu akan dihidupkan semula dan membalas kembali pukulan yang kita buat padanya.

“Inikan pula dengan manusia. Bayangkan manusia lagi lebih mulia. Ingatlah, dosa manusia dengan manusia lain tidak akan diampunkan oleh ALLAH sehinggalah kita dimaafkan oleh individu yang dianiaya tadi.”

Justeru, PU Faiz sekali lagi mengingatkan agar kita tidak bertindak dengan penuh emosi sehingga menghukum orang lain dengan perasaan amarah membuak di luar kewarasan fikiran.

“Al-Quran mengajar kita untuk tabayyun (menyelidik terlebih dahulu) apabila mendengar suatu berita, kemudian Islam mengajar kita mencari jalan dengan ketenangan supaya apa jua perkataan yang ditaip atau perbuatan yang dilakukan tidak sampai menyebabkan kita menghukum, memaki hamun atau paling teruk sehingga boleh memukul orang lain iaitu mengundang kepada perbuatan buli,” nasihat beliau.

Justeru, hindarilah diri daripada perbuatan yang boleh menyakiti tubuh atau emosi orang lain. Ia bukan sahaja membuatkan diri kita tergelincir daripada agama Islam, tetapi juga menambah saham dosa di akhirat kelak.

‘Jangan tertawakan kelemahan orang lain, mungkin itu kelebihan di sisi ALLAH’ 

Seperti yang diperkatakan, buli berlaku di alam nyata termasuk menerusi media sosial. Lihat sahaja bertambah banyaknya perkongsian troll yang berunsur sindiran atau mengenakan orang lain.

Mengulas mengenainya, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin menjelaskan, pendekatan itu sememangnya boleh mendedahkan keaiban kepada umum.

DR MOHD HAPIZ

Katanya, sebarang perbuatan seperti menjatuhkan maruah orang lain yang mendatangkan kemudaratan sama ada pada fizikal, emosi dan mental adalah bertentangan dengan prinsip syariat yang melindungi maruah manusia.

“Perbuatan itu memberikan impak lebih besar berbanding diaibkan dalam dunia realiti yang hanya diketahui oleh beberapa orang sahaja,:” katanya.

Ahli akademik itu turut memberi contoh kisah yang berlaku kepada Abdullah bin Mas’ud seperti yang tertulis dalam Hadis Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban.

“Diceritakan bahawa Abdullah bin Mas’ud bertubuh kurus dan mempunyai betis kecil yang apabila beliau berjalan, kelihatan seperti tempang.

“Pada suatu hari, angin bertiup hingga tersingkaplah kaki Abdullah. Lalu, menampakkan betisnya yang halus dan kecil. Maka, para sahabat yang melihat itu pun tertawa mempersendakan fizikal Abdullah.

“Rasulullah SAW lantas menegur para sahabat supaya tidak mentertawakan Abdullah dengan bersabda: “Kaki Abdullah bin Mas’ud ini sebenarnya di sisi ALLAH pada timbangan mizan nanti lebih berat daripada Bukit Uhud”,” katanya.

Melihat ungkapan hadis berkenaan, Dr Mohd Hapiz menjelaskan, Rasulullah SAW sebenarnya hendak memperbetulkan persepsi bahawa setiap manusia pada hakikatnya ada kelebihan tersendiri.

“Apabila kita mentertawakan kelemahan orang, tetapi kita tidak tahu mungkin kelemahan itu adalah kelebihannya di sisi ALLAH.

“Andai kita sekadar berkata dalam hati tanpa dizahirkan kepada orang ramai, ia tidak menjadi masalah. Cuma ia menjadi masalah apabila kita mengambil gambar dan kemudian dikongsikan di media sosial dan kita ketawakan orang itu.

“Walaupun pada zaman Rasulullah SAW tiada Facebook, tetapi perbuatan gelak beramai-ramai itu sama seperti keadaan Abdullah yang ditertawakan oleh para sahabat. Keadaan ini sama dengan troll yang mengaibkan orang,” ujar beliau.

Buli

JAGA lidah daripada menuturkan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah orang lain. Pada masa sama, jaga jari masing-masing daripada menaip perkataan yang mengaibkan orang lain.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah dan Pulau Pinang tersebut turut mengingatkan agar masyarakat benar-benar memahami tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim iaitu membawa mesej sejahtera atau mewujudkan keselamatan kepada orang di sekelilingnya di mana sahaja kita berada.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang mana baginda bersabda: “Seorang Muslim itu adalah mereka yang membuatkan Muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.” (Muttafaq alaih) 

Maka, disebabkan itulah kita diharamkan untuk menghina atau mengejek sesuatu yang tidak disukai oleh orang lain, terang beliau.

“Ia termasuklah mempersendakan fizikal orang lain atau melakukan troll yang dianggap sebagai buli siber ketika ini sama ada secara kita sedar atau tidak,” jelas beliau.

Justeru, setiap individu, masyarakat dan negara Islam sewajarnya menjadi tempat serta lingkungan yang selamat bagi setiap umat manusia yang melarikan diri daripada kezaliman sesama manusia termasuk dalam media sosial yang dikerumuni oleh jutaan penggunanya.

ANEKDOT

Waspada doa orang teraniaya

– Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang di antaranya untuk diterima oleh ALLAH.” (Riwayat Ahmad) 

– Nabi Muhammad SAW mengingatkan umat Islam agar tidak berbuat zalim kepada orang lain sama ada sesama Muslim atau bukan Islam.

– Kezaliman itu termasuklah zalim kepada diri sendiri (syirik, perbuatan dosa dan maksiat) dan menzalimi orang lain (menyakiti perasaan orang).

– Akibat perbuatan zalim, ALLAH akan menyediakan tempat tidur yang tikarnya dari api neraka, membinasakan kota-kota yang penduduknya ramai melakukan maksiat dan membinasakan umat-umat terdahulu yang berbuat maksiat.

Sumber: https://www.republika.co.id

Foto: Mohd Izari Rosli, 123rf & Freepik