Browsing Tag

bulan keampunan

Niat puasa Ramadan
Isu, Pilihan Editor,

Ramadan ‘Pesta’ Lakukan Ibadah, Menyulam Kesabaran, Berjihad Melawan Nafsu

no comment

MASA berlalu begitu pantas. Ramadan al-Mubarak yang dijangka membuka tirai pada 13 April depan merupakan saat yang sangat dinantikan penuh tawaduk oleh umat Islam seantero dunia.

Getaran dan suasana bulan itu sungguh indah hingga sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Kepada mereka yang menghargai Ramadan, rasanya sudah tidak sabar dan mempersiapkan diri menempuh detik-detik teristimewa seperti yang dikisahkan dalam kalamullah penuh mukjizat.

Sesungguhnya, ini adalah ruang dan masa terbaik untuk kita sama-sama terus berebut mendekatkan diri dengan YANG MAHA ESA. Ganjaran, pahala dan kemuliaan yang dijanjikan oleh ALLAH kepada hamba-NYA melebihi daripada pemikiran akal fikiran manusia yang cetek ini.

Ramadan

SOLAT berjemaah juga boleh dilakukan bersama keluarga untuk meraih pahala yang berlipat kali ganda.

Justeru, jangan ada sesiapa di antara kita yang mempersendakan bulan yang terhebat dan penuh barakah ini. Menghalang orang lain daripada melakukan ibadah sepanjang Ramadan juga merupakan satu tindakan tercela dan dicemuh oleh-NYA.

Insafi dan sentiasalah memberi peringatan kepada diri sendiri bahawa Ramadan hanya menjengah kita dalam tempoh yang singkat. Jika kita terlepas peluang itu, terlalu lama untuk kita menggapai kembali waktu itu. Itupun jika kita diizinkan-NYA untuk bernafas di muka bumi ini lagi.

Sempena Ramadan pada tahun ini, Sinar Islam Plus tanpa jemu berkongsi sekali lagi rahmat di sebalik bulan agung ini. Mengapa ia begitu istimewa? Pun demikian, kenapa masih ada manusia yang masih memandang enteng, bersifat pesimis dan berani melakukan maksiat di bulan yang penuh keberkatan ini?

Menyulam kesabaran

Penulis mengajak pendakwah Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz untuk berdiskusi lanjut.

PU FAIZ

Membuka bicara, PU Faiz menjelaskan, Ramadan berasal daripada kalimah Ramadh yang membawa maksud panas membakar. Ramadan merupakan kinayah kepada keadaan menahan kesabaran dan ALLAH SWT telah memfardukan ibadah puasa pada bulan itu kepada umat Islam.

“Puasa itu sebenarnya satu ‘alat’ kepada seseorang bersabar iaitu menahan dirinya daripada makan, minum dan syahwat-syahwat yang lain. Dalam tubuh manusia, ada satu makhluk yang dipanggil sebagai nafsu dan kelaparan.

“Ketika ALLAH SWT menciptakan nafsu, makhluk berkenaan enggan menghadap-NYA sehingga malaikat terpaksa mengheretnya. Betapa degilnya nafsu apabila diceritakan bahawa makhluk itu menjawab; ‘ENGKAU ialah engkau dan aku ialah aku’ ketika ALLAH SWT berfirman bertanyakan ‘Siapakah engkau dan siapakah aku?’.

“ALLAH SWT kemudian memenjarakan nafsu dalam neraka Juu’ (neraka yang penuh dengan rasa lapar) beberapa ketika. Apabila ALLAH SWT berfirman: ‘Siapakah engkau dan siapakah aku?’

“Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata; ‘Aku ialah hamba-MU dan ENGKAU ialah Tuhanku’,” katanya.

Daripada kisah itu, ujar PU Faiz, jelaslah nafsu manusia boleh menjadi suci dan bersih apabila kita mendidik dan mentarbiahnya.

Justeru, sarannya, umat Islam wajib menggunakan kesempatan di bulan Ramadan yang bakal menjengah. Bulan ke-9 dalam takwim Islam itu katanya, terkandung fadilat yang bukan calang-calang dan tidak dapat diraih dalam bulan-bulan Islam yang lain.

Baca juga 24 Rancangan Berunsur Kerohanian Bakal di Tayangkan Di TV AlHijrah Ramadan dan Syawal Tahun ini

700 kali ganda pahala

ALLAH YANG MAHA PENGASIH dan PENYAYANG itu ujar PU Faiz juga MAHA PEMURAH dan MENGASIHANI.

Kecintaan-NYA itu membuatkan DIA menganugerahkan kelebihan kepada setiap amalan sunat yang dikerjakan umat-NYA dibalas pahala seumpama amalan yang wajib!

“Bahkan, satu kewajipan itu akan memperoleh ganjaran berlipat-lipat kali hingga 700 kali ganda sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis masyhur,” ujar beliau.

Rasulullah SAW bersabda: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya 10 kali ganda serupa dengannya sehingga 700 kali ganda.” ALLAH SWT berfirman: “Melainkan puasa, kerana ia untuk-KU dan AKU sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-KU”…” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ramadan


JANGAN lepaskan peluang untuk menunaikan solat sunat tarawih dan witir sepanjang Ramadan kerana banyak ganjaran pahala yang dijanjikan sebagaimana disebutkan dalam nas.

Justeru, PU Faiz yang juga Mudir Pondok Maahad Rumi Sufi Jawi di Sungai Buloh, Selangor menyarankan agar kita semua melakukan ibadah dengan penuh ikhlas kerana ALLAH SWT.

“Antara hikmah Ramadan yang dikehendaki-NYA adalah selain melakukan banyak ibadah, ketaatan kita kepada ALLAH SWT juga perlu meningkat.

“Jangan jadi orang yang banyak beribadah dan ‘berkaki’ maksiat. Umpamanya, lakukan solat tarawih 20 rakaat, sedekah beribu-ribu dan lain-lain, tetapi jika tidak ikhlas ibadahnya disebabkan ada unsur riak, sum’ah (mengingatkan orang tentang segala perbuatan baik yang pernah dilakukan agar diketahui orang untuk mendapat penilaian baik) dan takkabbur, semua amalan tadi bagaikan debu berterbangan,” tegasnya.

Sebaiknya, beliau mengingatkan umat biarlah Ramadan ini mendidik kita kembali kepada fitrah dengan menyucikan diri dan nafsu daripada sifat yang dibenci oleh ALLAH SWT.

Jihad lawan nafsu

Dalam kemuliaan bulan Ramadan, mengapakah masih ada sebilangan umat Islam yang tetap melakukan maksiat?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Mohd Fauzi Mustaffa menjelaskan, sikap itu sebenarnya didorong oleh nafsu yang ada dalam diri setiap insan.

MOHD FAUZI

“Nafsu merupakan kehendak diri yang tidak terkawal tanpa dibimbing oleh agama. Ingatlah, kita tidak boleh buang nafsu begitu sahaja kerana ia fitrah seorang manusia. Sebaliknya, nafsu perlu dididik supaya kita makan dan minum mengikut sunah, melakukan seks menurut syariat dan sebagainya supaya nafsu kita terkawal.

“Apabila syaitan diikat dan ditambat sepanjang Ramadan, barulah kita sedar sebenarnya selama ini kita berperang dengan nafsu sendiri. Justeru, apa yang mendorong kita berbuat tidak baik ketika Ramadan itu sebenarnya datang daripada bisikan nafsu.

“Ya, memang nafsu sentiasa mendorong kita ke arah yang tidak baik. Namun begitu, ALLAH SWT telah mengurniakan kita akal dan jasad yang boleh memandu kita berfikir tentang tindakan yang terbaik buat diri,” ujarnya.

Seperkara lagi, ujar agamawan itu, asbab syaitan ditambat juga membuatkan umat Islam sebenarnya mudah untuk beramal ibadah.

Paling istimewa, beliau menambah, Ramadan adalah bulan keampunan. Ia banyak disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW.

“Umpamanya, siapa yang berpuasa, pada penghujung hadis berkenaan, tertera sabda baginda yang menyatakan, dosa terdahulu akan diampunkan. Begitu juga dengan hadis yang memerihalkan sesiapa yang mendirikan malam dengan solat tarawih pada bulan Ramadan, pada penghujung hadis itu turut dinyatakan dosanya terdahulu akan diampunkan.

“Pendek kata, keampunan itu senang untuk diraih. Pada masa sama, kita tidak mahu tergolong menjadi orang yang berpuasa, tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga disebabkan suka mengumpat dan fitnah. Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan berkenaan,” katanya.

‘Rasulullah SAW banyak bersedekah, baca al-Quran, bertadarus’

Tiada apa lagi yang dinanti-nantikan oleh umat Islam selain bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan ini. Sudah tentulah kita semua ingin melipat gandakan amalan demi mengharapkan rahmat dan keampunan-NYA.

Masakan tidak, pintu kebaikan dibuka seluas-luasnya pada bulan penuh barakah itu, selain pahala berganda bagi sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadan dengan ibadah dan amal kebajikan.

Pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, Rasulullah SAW juga tidak mensia-siakan peluang itu begitu sahaja. Banyak amalan yang sering dilazimkan oleh baginda sepanjang Ramadan yang wajar kita contohi.

DA’I SYAFIQAH

Antaranya, Nabi Muhammad mempelbanyakkan sedekah. Ketahuilah, sifat murah hati sangat dituntut untuk diamalkan dan pahalanya akan digandakan pada bulan Ramadan.

“Apatah lagi andai kita mengamalkan sedekah dengan memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa.

“Bukan itu sahaja, baginda SAW juga akan membaca al-Quran dan bertadarus bersama Malaikat Jibril AS pada bulan Ramadan iaitu bulan diturunkan al-Quran. Malah, amalan itu turut dilakukan oleh para salafus soleh dan ulama berbanding ibadah sunah yang lain,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Bukan itu sahaja, ujar beliau, Rasulullah juga akan menghidupkan dua pertiga malam sepanjang Ramadan. Apa tidaknya, pada bulan itulah tersembunyi malam lailatulqadar yang mana segala amalan yang dilakukan akan dilipat gandakan pahalanya sebanyak 1,000 bulan.

Daripada Aisyah RA, beliau menyatakan bahawa apabila masuk 10 akhir Ramadan, Rasulullah SAW akan mengetatkan kain sarungnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya. (Sahih al-Bukhari)

“Barangkali sebelum ini, kita sukar untuk bangun malam dan beriktikaf. Jadi, inilah waktu yang paling tepat untuk memulakannya walaupun dengan sekecil-kecil amalan. Semoga kita bakal dipertemukan dengan malam lailatulqadar.

“Satu lagi, jangan lupa banyakkan berdoa dengan bersungguh-sungguh sepanjang bulan Ramadan ini. Ini kerana banyak waktu mustajab berdoa antaranya ketika waktu sahur, sepanjang berpuasa dan ketika berbuka,” katanya.

Da’i Syafiqah juga menitipkan pesan agar kita mengambil peluang Ramadan kali ini dengan bersungguh-sungguh dengan mengamalkan sunah-sunah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

“Lakukanlah walaupun sekecil-kecil sunah kerana ia tetap akan mendapat kebaikan di sisi ALLAH. Penting untuk kita berusaha istiqamah melakukannya walaupun Ramadan sudah meninggalkan kita,” katanya.

Ramadan

TADARUS al-Quran bersama insan tersayang antara amalan yang boleh dilakukan untuk menghidupkan bulan Ramadan yang penuh barakah ini.

Renungkanlah sabda baginda SAW: “Barang siapa yang mencintai sunahku, bererti dia mencintai aku dan orang-orang yang mencintaiku kelak akan masuk syurga bersama-sama aku.”

ANEKDOT

KEUTAMAAN menjamah kurma ketika berbuka dan bersahur

– Disunatkan bagi orang yang berpuasa untuk memulakan iftarnya dengan ruthab (kurma setengah matang).

– Jika tiada, mulakan berbuka dengan air putih. Anas RA berkata: “Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada kurma, maka baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka, baginda meminum beberapa teguk air.” (Riwayat at-Tirmizi)

– Baginda SAW menggalakkan umatnya memakan kurma mengikut jumlah yang ganjil iaitu satu, tiga, lima, tujuh ataupun 11 biji.

Ramadan


BIASAKAN diri memakan kurma ketika berbuka dan bersahur sebagaimana sunah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

– Sebaiknya, contohi adab makan kurma sebagaimana Rasulullah SAW. Baginda mengambil dan memegang buah itu dengan tiga jari. Kemudian, baginda masukkan ke dalam mulut dan kunyah.

– Apabila biji dikeluarkan dari mulut, baginda akan mengambilnya dengan dua jari. Biji tersebut kemudian diletakkan pada tempat selain daripada bekas kurma yang diambilnya tadi. Itu juga cara untuk menjaga kebersihan.

– Jika makanan sudah terhidang, maka disunatkan untuk menjamah makanan terlebih dahulu.

– Selepas selesai, barulah bersegera menunaikan solat Maghrib. Namun begitu, disarankan untuk tidak berlebihan dan bersederhanalah ketika makan mengikut kadar yang perlu bagi membantu mencapai kekuatan untuk beribadah dan bukannya makan hingga menyebabkan bertambah malas dan culas dalam beribadah.

Baca juga Fakta Tentang Kurma Yang ‘Diistimewakan’

GANJARAN bagi orang yang berpuasa

– Orang yang berpuasa akan masuk ke dalam syurga melalui satu pintu ar-Rayyan.

– Apabila kita berpuasa, ia akan menjadi perisai yang menjaga diri kita daripada penyakit-penyakit zahir dan batin.

– Bau yang keluar daripada mulut orang yang berpuasa itu lebih disukai ALLAH. Malah, di sisi ALLAH, ia lebih wangi daripada wangian kasturi.

– Orang yang berpuasa itu ada dua waktu kegembiraan iaitu ketika berbuka dan tatkala bertemu dengan Tuhan-NYA.

Sumber: Pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah

Foto: Freepik