Browsing Tag

Buku amalan

Buku amalan
Isu,

Benarkah buku amalan diangkat pada awal Muharam? Berikut perinciannya

“BENARKAH buku amalan kita selama setahun akan diangkat pada awal Muharam?”

Demikian antara persoalan popular yang sering kali dilontarkan apabila memasuki bulan Muharam iaitu ketika tahun baharu Hijriah.

Memperbetulkan tanggapan itu, pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau Da’i Fuad menjelaskan, ia sebenarnya bukan merujuk kepada buku amalan, sebaliknya melibatkan ‘buku pencapaian dan kehidupan’ pada tahun berkenaan.

“Sudah tentu kita mahu menutup dan membuka buku kehidupan dalam keadaan baik serta tiada unsur kemaksiatan,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

DA’I FUAD

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Baca juga Empat amalan kecil tetapi besar ganjarannya

Berdasarkan hadis itu, ujar Da’i Fuad, jelas bahawa umat Islam dianjurkan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis kerana pada waktu itu, buku catatan amalan kita diangkat.

“Cuma, pada bulan Muharam ini, kita wajar menjaga buku pencapaian kehidupan. Lebih elok dimulakan dengan baik pada tahun baharu dan ditutup dengan pencapaian cemerlang pada akhir tahun. “Buku ini memberi makna besar kepada diri setiap insan,” ungkapnya.

Mengapa pentingnya membaca doa akhir dan awal tahun?

Menjawab persoalan itu, Da’i Fuad menjelaskan, ia mempunyai kaitan dengan memulakan tahun baharu dengan memohon keberkatan, kerahmatan dan kasih sayang ALLAH SWT.

Rahmat melimpah

“Ia adalah adab dan permintaan kita. Doa akhir tahun dan awal tahun sebenarnya permintaan kepada ALLAH supaya DIA menurunkan lebih banyak rahmat, kejayaan dan rezeki yang halal melimpah-ruah.

Baca juga 7 Teknik berdoa yang bakal menjemput Rahmat ALLAH

“Ia sama seperti kehidupan kita. Setiap kali memulakan sesuatu, kita mahu mendahuluinya dengan langkah kanan. Sama juga halnya dalam perkara ini,” ungkapnya.

Buku amalan

BACALAH doa akhir dan awal tahun sebagaimana yang dianjurkan agar kita dapat membuka lembaran tahun baru Hijriah dengan baik.

Berbicara tentang kelebihan Muharam, beliau menukilkan pandangan al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali yang menyatakan, ia dinamakan sebagai bulan ALLAH bagi menunjukkan kemuliaannya.

“Jelas ulama berkenaan, ALLAH sama sekali tidak akan menisbahkan diri-NYA kepada makhluk-NYA kecuali kerana ada keistimewaan atas ciptaan-NYA itu.

“Bahkan, al-Imam an-Nawawi Rahimahullah juga menyatakan, dalam keadaan yang sangat jelas bahawa ALLAH memberikan banyak manfaat dan fadilat untuk mereka yang beramal dalam bulan Muharam.

“Dalam bulan Muharam juga, ada Hari Asyura (10 Muharam) dan Tasu’a (9 Muharam). Terdapat banyak pandangan para ulama berkaitan kelebihan hari berkenaan. Meskipun ada perbezaan pendapat berkaitan status riwayat tentangnya, tetapi jelas terlalu banyak peristiwa yang menceritakan ALLAH menyelamatkan para anbia, orang soleh dan insan-insan yang hebat,” katanya lagi.

Foto: Freepik