Browsing Tag

bukan islam

anugerah maulidur rasul
Berita Semasa,

Besarkan anak angkat Islam, wanita Cina terima Anugerah Maulidur Rasul

SEORANG pesara guru tadika berbangsa Cina, Chee Hoi Lan dinobatkan penerima Anugerah Maulidur Rasul tahun ini menerusi kategori Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia, lapor Sinar Harian.

Chee, 83, dipilih atas jasanya membesarkan anak angkat, Rohana Abdullah, 22, yang beragama Islam sejak usia dua bulan selepas ditinggalkan oleh ibunya yang merupakan seorang pembantu warga Indonesia di tempat bekas guru itu bekerja.

Ketika membesarkan gadis tersebut, Chee berusaha memastikan anak angkatnya itu tidak tercicir dalam mendapatkan pendidikan sebagai orang Islam dengan mendaftarkan Rohana untuk Kelas Asas Fardu Ain (KAFA).

Anugerah itu dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/2022 Masihi di Pusat Dagangan Dunia pada Ahad lalu.

Baca juga Maulidur Rasul: Ini doa yang sering kali dilazimkan oleh Rasulullah SAW… 

anugerah maulidur rasul

BARISAN penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun 1444 Hijrah/2022 Masihi.

Penerima lain Anugerah Maulidur Rasul 2022 termasuk penyanyi dan pengacara Syazrina Azman, atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina (Ikon Aktivis Kemanusiaan); penerbit eksekutif penyiaran TV3 dan TV9 Ahmad Noor Sulaiman (Ikon Media Islam); Pengerusi Yayasan Zikay Khay Ibrahim (Ikon Korporat Islam); serta kaunselor berdaftar Hushim Salleh (Ikon Kaunselor dan Motivasi).

Sementara itu, tokoh korporat Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir diumumkan penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul tahun ini, manakala Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), Prof Datuk Dr Azizan Baharudin menerima anugerah bagi Ikon Sains dan Peradaban.

Chee bukan satu-satunya orang bukan Islam yang pernah menerima Anugerah Maulidur Rasul. Bahkan, lima tokoh berikut turut dapat pengiktirafan sama atas sumbangan mereka terhadap masyarakat, terutamanya dalam memartabatkan syiar Islam.

Disyorkan Wanita Israel Derma Buah Pinggang Sempena Hari Jadinya kepada Kanak-Kanak Gaza

5 tokoh bukan Islam ini juga pernah terima Anugerah Maulidur Rasul

anugerah maulidur rasul

TAN Sri Lee Lam Thye

1. Tan Sri Lee Lam Thye, aktivis sosial.
Sumbangan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dalam membina kesedaran kepentingan aspek keselamatan terhadap masyarakat tanpa mengira perbezaan kaum dan agama menyebabkan beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun 2019.

Bekas pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berkenaan juga pernah membangunkan buku panduan bagi membantu institusi tahfiz menangani isu keselamatan.

Baca juga Ziarahlah kenalan bukan Islam yang meninggal. Ini penjelasannya

DR Lim Swee Tin

2. Dr Lim Swee Tin, pakar bahasa Melayu.
Sasterawan negara, Dr Lim Swee Tin juga pernah menerima Anugerah Maulidur Rasul pada tahun 2016.

Pensyarah Kesusasteraan Melayu berbangsa Cina tersebut telah banyak menyumbang dalam bidang bahasa melalui kempen dan gerakan membantu masyarakat menguasai, mencintai serta memartabatkan bahasa kebangsaan.

MITHUN Jay Langgim

3. Mithun Jay Langgim, jurulatih pendaki.
Pada tahun 2015 pula, seorang jurulatih pendakian, Mithun Jay Langgim dipilih menerima Anugerah Maulidur Rasul.

Anugerah diberikan atas usahanya menyelamatkan 135 pendaki (105 pengembara, dua penjaga dan 28 pemandu gunung) yang terkandas di puncak Gunung Kinabalu selepas kejadian gempa bumi yang melanda Sabah pada 5 Jun tahun tersebut.

Baca juga Jangan seru penunggu hutan, dikhuatiri terpesong akidah

WEE Soon Yen

4. Wee Soon Yen, satu-satunya pelajar bukan Islam dapat A dalam mata pelajaran bahasa Arab.
Baru berusia 16 tahun ketika itu, Wee Soon Yen telah dipilih sebagai tokoh Maulidur Rasul pada tahun 2011 berdasarkan pencapaian akademiknya.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok di Kelantan berkenaan bukan saja memperolehi 8A dalam PMR, tetapi juga berjaya mendapat A dalam mata pelajaran bahasa Arab.

Sehingga kini, Wee merupakan satu-satunya pelajar bukan Islam yang mendapat A dalam bahasa Arab.

Baca juga Pelajar kurang pendengaran di Indonesia hafal al-Quran guna bahasa isyarat

TAN Swee Lian

5. Dr Tan Swee Lian, pegawai penyelidik MARDI.
Selain pakar dalam Pembiakan Tanaman dan Genetik, khususnya ubi kayu dan keledek, Dr Tan Swee Lian juga merupakan saintis penyelidikan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Antara sumbangan beliau termasuk membangunkan teknologi pengeluaran bagi menumbuhkan ubi kayu menggunakan tanah mineral dan gambut.

Atas khidmatnya dalam bidang pertanian negara, beliau dijadikan penerima Anugerah Persekutuan Kesateria Mangku Negara pada tahun 1993 serta Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun 2010.

Turut disyorkan 5 jutawan Muslim ini tidak pernah mendongak ke langit. Ini yang dilakukan oleh mereka…

Sumber: Sinar Harian, Astro Awani & Cilisos

Foto: Bernama, The Star & Google