Browsing Tag

Bukan halang ibadah

Berita Semasa,

Bukan halang ibadah, basmi kemudaratan kesihatan lebih utama – Ustaz Syed Shahridzan

JIKA tiada keperluan yang mendesak seperti mencari barang makanan atau ubat-ubatan, tidak perlulah kita keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Walaupun kita dibenarkan berbuat demikian, tetapi ia bukanlah atas dasar suka-suka.

Begitu juga dengan langkah penangguhan semua aktiviti di masjid dan surau. Ia bukannya bermakna kita dilarang melakukan ibadah, tetapi umat Islam sebenarnya boleh sahaja menunaikan solat di mana-mana.

Ketahuilah bahawa Islam sebenarnya ada kaedah berstruktur untuk mengelak kerosakan yang teruk berlaku. Jangan sampai tindakan yang kita lakukan memberikan risiko kepada orang lain yang berada di sekeliling kita.

Apakah maslahat di sebalik Perintah Kawalan Keselamatan itu menurut Islam?

Pendakwah dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed berkongsi ilmu tentang perkara itu menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Jom kita ikuti perkongsian beliau.

“Pergi ke pasar atau dibenarkan pergi ke kedai atas dasar keperluan bukan suka-suka untuk berjalan window shopping (cuci mata). Kawalan pergerakan bukan suruh pergi pasar atau kedai sewenang-wenangnya, tetapi untuk dapatkan barang keperluan.

Sementara itu, larangan ke masjid, ia tertakluk kepada masalahat dan maqasid syar’iyyah yang bertujuan untuk menjaga nyawa dan kesihatan umat supaya tidak semakin ramai yang terjebak.

Lagipun, tidak pergi ke masjid bukan bermakna tidak boleh melakukan solat. Dalam kitab fiqh banyak sebut keuzuran-keuzuran yang membenarkan tidak ke masjid.

Larangan bukannya menghalang umat untuk beribadah tetapi untuk menahan mafasadah (kerosakan) lebih teruk berlaku.

Dalam kaedah usul fiqh ada menyebut: “Membasmi kerosakan lebih utama daripada membawa kebaikan.”

Meskipun pergi ke masjid membawa banyak kebaikan, tetapi di sebalik perkumpulan manusia yang ramai di dalamnya boleh mendatang kemudaratan pada orang ramai, maka di sini membasmi kemudaratan ke atas kesihatan dan nyawa adalah lebih utama berbanding mengundang maslahat.

Jadi pergi ke pasar untuk dapatkan keperluan penting seperti makanan dan ubat-ubatan merupakan keperluan darurat, manakala pergi ke masjid bukanlah keperluan yang darurat serta hajiyat yang tinggi.

Bukan halang ibadah

SEBAIKNYA, belilah barang keperluan hanya apabila ada keperluan yang mendesak sahaja agar tidak memberi kemudaratan kepada diri dan orang lain.

Jikalau orang ramai tidak ke pasar, manusia akan lebih susah kerana tiada makanan dan barang keperluan yang lain. Namun demikian, jika masjid ditutup sementara, orang masih boleh meneruskan hidup dan beribadah di rumah masing-masing kerana ia bukan keperluan yang mendesak.

Zaman sekarang hujan lebat dan angin kencang pun tidak boleh dijadikan alasan tidak ke masjid kerana pada zaman dahulu, tiada kemudahan seperti payung, kereta dan keadaan jalan tidak seperti zaman sekarang yang canggih.

Zaman dahulu hujan turun jalan akan penuh lecak dan berlumpur dan ini menyukarkan dan membahayakan. Jadi sebab dan keuzuran berubah mengikut keadaan dan zaman.

Ingat, keuzuran disebabkan Covid-19 ini adalah keuzuran zaman kini yang kian meruncing. Ia bukan calang-calang keuzuran, malah melibatkan nyawa.

Kalau tidak sayangkan nyawa sendiri silakan, nak diri sendiri meninggal silakan…paling tidak tolong hargai susah payah orang yang ada anak dan isteri.

Tidak kasihankah pada anak-anak yang tidak berdosa terkena jangkitan akibat kedegilan kita? Tidak kasihankah kepada para petugas perubatan di hospital setiap hari tak cukup rehat, tidak jumpa keluarga, cuti dibekukan dan setiap hari mereka menangis bila melihat jumlah pesakit Covid-19 bertambah.

Kalau nak diri sendiri sakit silakan, tetapi tolong jangan libatkan orang lain.

Always put yourself in others shoes. If you feel that it hurts you, it probably hurts the other person too (Sentiasalah letakkan diri kita di tempat orang lain. Jika kita rasa ia menyakitkan kita, ia mungkin akan menyakitkan orang lain juga).

Semoga ALLAH melindungi diri kita semua.”

(Sumber: Facebook Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed)