Browsing Tag

bujang

Selepas berkahwin
Ibadah,

Benarkah segala amal kebaikan selepas berkahwin akan dapat pahala besar? Ini penjelasannya

SELEPAS berkahwin, kehidupan seseorang akan berubah. Jika sebelum ini sudah terbiasa melakukan suatu perkara sendiri, tetapi selepas diijab kabul, semua tugasan boleh dilakukan bersama-sama.

Bukan itu sahaja, pernikahan itu sendiri pada hakikatnya akan menutup pintu-pintu kemaksiatan, sekali gus membuka luas ruang keberkatan dan limpahan rahmat.

Masakan tidak, kita sudah melakukan salah satu sunah Nabi Muhammad SAW. Sudah tentulah ada imbalan yang menanti.

Namun begitu, masih ada lagi segelintir individu menyimpan persepsi bahawa apa sahaja perbuatan selepas berkahwin akan mendapat pahala yang besar.

Malah, ada yang mendakwa, ganjaran yang diraih atas setiap tindak-tanduk melebihi daripada orang bujang ataupun yang tidak berkahwin. Benarkah begitu?

Jika dikatakan solat dua rakaat orang berkahwin lebih baik daripada orang yang bujang, pernyataan itu sebenarnya silap sama sekali.

Baca juga Sanggup ikat perut demi majlis kahwin gah, ketahui mahar terbaik dalam Islam

Memetik artikel Irsyad Al-Hadith Siri ke-323: Kelebihan Solat Orang yang Berkahwin yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hadis masyhur yang memerihalkan perkara itu dinilai tidak sahih.

Selepas berkahwin

RIWAYAT yang menyatakan pahala bagi solat dua rakaat orang yang berkahwin lebih baik daripada orang bujang adalah hadis tidak sahih dan bathil. -FOTO: 123RF

“Ini kerana tidak terdapat perbezaan pada sudut kelebihan bagi orang yang berkahwin atau bujang dalam perihal menunaikan solat,” katanya sebagaimana dipetik dalam artikel tersebut.

Kenyataan itu turut disokong oleh pakar hadis, Dr Rozaimi Ramle. Malah, riwayat yang menceritakan tentang perkara itu berstatus palsu dan ada juga yang bathil (palsu).

Dalam laman sosial Facebook miliknya, beliau menegaskan, tiada satu pun dalil sahih menyatakan fadilat solat orang yang sudah berkahwin.

Tiada beza pahala khusus

Sementara itu, pendakwah Ustaz Adnin Roslan menjelaskan, tiada beza pahala khusus antara amalan orang berkahwin dengan mereka yang masih bujang.

“Cuma apabila seseorang itu sudah bernikah, maka banyak pahala apabila dibuat bersama suami isteri. Sebagai contoh, bersembang dengan isteri, cium isteri, bergurau senda bersama pasangan dan mengejutkan mereka. Semua itu berpahala.

Baca juga Lakukan amalan ini bersama, rahsia suami isteri bina ‘rumah’ di syurga

“Ia termasuklah apabila suami isteri berjimak. Perbuatan ini juga dapat pahala dan menggugurkan dosa,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Mudah kata, setiap tindak-tanduk yang baik dalam alam perkahwinan akan mendatangkan imbalan dan meluruhkan dosa.

Selepas berkahwin

SEGALA amalan baik dalam perkahwinan akan mendatangkan pahala dan menggugurkan dosa. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: 123RF

“Walaupun sekadar makan sama-sama, isteri masak untuk suami, kemas rumah dan sebagainya, itu termasuk perbuatan berpahala,” titip beliau.

Dalam pada itu, Ustaz Adnin yang juga Pengasas Tarbiah Sentap iaitu platform saluran tarbiah, dakwah dan hiburan Islamik, turut berkongsi tiga nikmat yang dikurniakan ALLAH SWT kepada pasangan yang berkahwin.

Jelas beliau, pasangan tersebut akan mengecapi as-Sakinah (ketenangan jiwa dan kedamaian), al-Mawaddah (perasaan saling menyayangi) dan al-Tarahum (kasihan belas suami isteri lahir dari hati yang tulus ikhlas).

Baca juga Ini Mitos-Mitos Dalam Perkahwinan Yang Perlu Diketahui

“Kepada anak muda dewasa yang berkemampuan dari segi kewangan, berkeupayaan dan sihat tubuh badan, segeralah sempurnakan sunnah Rasulullah SAW.

“Sedarlah bahawa berkahwin sebenarnya mewujudkan ketenangan, kasih sayang, kebahagiaan dan kedamaian bagi manusia, selain berperanan mengembangkan zuriat yang akan membanggakan Rasulullah SAW di hadapan umat lain pada hari kiamat kelak,” ujar beliau.

***Foto: Unsplash