Browsing Tag

Bribe

pexels-cottonbro-5920937
Gaya Hidup, Isu, Pilihan Editor,

RASUAH : Penyakit Sosial Dilaknat Allah

no comment

HINA, kotor, dan jijik itulah kata-kata yang sesuai kita kaitkan dengan RASUAH. Perbuatan jenayah terkutuk ini bukan sahaja bahaya untuk masyarakat malah merupakan masalah besar bagi menjamin kelestarian, keadilan dan kemajuan sesebuah negara. 

Bagi orang Islam yang bertaqwa kepada Allah dan Rasul-Nya sudah pasti meyakini bahawa perbuatan ini merupakan satu dosa yang besar.

Banyak dalam lipatan sejarah telah membuktikan, bahawa rasuah boleh menghancurkan sistem keadilan sesebuah negara, melahirkan masyarakat yang lemah, dan melahirkan sifat pentingkan diri, malah ia boleh merubah sebuah pentadbiran menjadi kucar-kacir dan tidak efektif, disamping akan melahirkan lebih ramai orang jahat yang bertindak tidak berpaksikan al-Quran dan as-sunnah.

Dalam artikel yang disediakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, diterbitakan pada 22 April 2019 menjelaskan perkataan rasuah itu berasal daripada bahasa Arab al-risywah (الرِّشْوَةُ), yang memberi maksud ”sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau orang lain, agar hakim itu memenangkannya, atau agar hakim itu memutuskan hukum sesuai dengan apa yang diinginkannya.” (Lihat al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir, 3/411)

Dari segi istilah pula, al-risywah membawa maksud sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 22/219)

Manakala dalam di dalam Kamus Dewan edisi keempat membawa maksud, pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap, sogok, suap).

Pendekatan memerangi rasuah sewajarna di perkukuhkan di negara orang Islam dan haruslah dihidupkan kembali agar kita sama-sama dapat mencegah terhadap kejahatan rasuah.

Isu rasuah ini bukanlah satu isu yang baharu malah ia adalah satu isu yang Islam menegahnya dengan sekeras-kerasnya.

Walaupun perkataan RASUAH tidak disebut secara langsung dalam al-Quran, tetapi Allah s.w.t menerangkan kepada kita mengenai dosa amalan memakan harta orang lain secara batil.

Ia di fahami melalui pelbagai maksud, pengertian dan istilah, sebagaimana yang akan dijelaskan oleh para ulama dan ilmuan Islam dalam perbincangan mengenai isu rasuah.

Sebagaimana yang diungkapkan dalam al-Quran Surah al-Baqarah Ayat 188; 

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan cara yang tidak benar dan janganlah kamu membawa kes-kes harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui.”

Didalam kitab Al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Shari’ah wa al- Manhaj karangan Dr. Wahbah Zuhayli menisbahkan rasuah sebagai korupsi, beliau menjelasan ayat di atas dengan memberi korupsi kepada hakim supaya hakim memberi keputusan yang berpihak kepada si pemberi korupsi. Menurutnya ayat ini  adalah sejenis peringatan daripada Allah agar kita tidak melakukan korupsi kepada hakim dengan tujuan untuk mengambil harta orang lain dengan jalan haram seperti sumpah palsu dan saksi palsu.

Dr. Yusof al-Qardawi turut menyatakan dalam fatwanya, adalah haram hukumnya melakukan korupsi untuk membebaskan seorang tahanan penagih dadah walaupun memiliki alasan bahawa sang penagih dadah tersebut adalah satu-satunya yang menjadi sumber nafkah keluarga yang ramai di bawah tanggungannya.

Manakala  Sheikh Muhammad Ali al-Sobuni dalam kitab karangannya Sofwah al-Tafasir berkata: “Janganlah sebahagian kamu memakan sebahagian harta yang lain dengan cara yang tidak dihalalkan oleh Allah seperti kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim”

Kunci kejayaan pembanterasan rasuah dalam Islam adalah dengan melahirkan generasi yang celik dan menghayati al-Quran dan al-Sunnah agar kelak mereka boleh menjadi pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan contoh.

Ulama menyandarkan sifat rasuah seperti yang disebutkan pada sabda nabi SAW dengan  jelas mengenai kesalahan melakukan rasuah, seperti hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)

Dalam hadis lain yang turut diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الرَّاشِىَ وَالْمُرْتَشِىَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Riwayat Ahmad (6532, 6778, 6830), Abu Daud (3582) dan al-Tirmizi (1337)

Manakala dalam hadis lain Rasul SAW menegaskan perihal rasuah, seperti yang diriwayatkan dalam Hadis daripada Abu Harairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَعن اللهُ الراشي والمُرتشي في الْحُكْم

“Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam membuat keputusan”. 

Riwayat Ahmad

Berdasarkan petikan dalil daripada al-Quran dan al-Hadith maka sudah jelaslah bahawa rasuah bukan sahaja perbuatan jenayah malah merupakan satu dosa yang dibenci. Sudah jelas  bahawa rasuah merupakan amalan yang terkutuk dan dilaknat oleh Allah dan Nabi SAW. 

Islam mengharamkan perbuatan rasuah kerana ia menyebabkan kezaliman kepada masyarakat, orang yang tidak bersalah dihukum bersalah, menghapuskan peluang kepada mereka yang layak melakukan sesuatu tugas atau pekerjaan, berleluasanya amalan penipuan dan juga sebagai permulaan kepada perbuatan jenayah lain yang lebih dasyat.

Perbuatan rasuah boleh datang dalam pelbagai sudut termasuklah ; 

1. Yang meminta.

2. Menawar

3. Menerima suapan

4. Tuntutan palsu

5. Menyalah guna jawatan, untuk kepentingan diri, keluarga, dan golongan tertentu 

Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah satu contoh terbaik dalam membina keperibadiannya dalam mentadbir tampuk pemerintahan, beliau memulakannya dari dirinya sendiri terlebih dahulu, dengan mengembalikan hak orang ramai dan beliau hidup dalam kesederhanaan.

Umar juga melarang para pegawainya daripada menerima hadiah dari rakyat dan melarang rakyat memberikan hadiah kepada pegawai-pegawai kerajaan kerana menurut beliau itu adalah korupsi dan salah satu rupa bentuk rasuah.

Umar terkenal dalam pengawasan secara langsung dan menyeluruh dalam setiap urusan negara dari penyelewengan yang mungkin sahaja dilakukan pegawainya. Antara kekuatan Umar Bin Abdul Aziz ialah, beliau sangat istiqamah dalam mengamalkan dan memahami ayat al-Qur`an tentang Amar Makruf dan Nahy Munkar dan menjadi “living example” kepada masyarakat dan menteri-menteri di bawah seliannya. 

Kunci kejayaan pembanterasan rasuah dalam Islam adalah dengan melahirkan generasi yang celik dan menghayati al-Quran dan al-Sunnah agar kelak mereka boleh menjadi pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan contoh yang hidup sederhana serta seiringan perkataan dengan perbuatannya.

Semua pihak tidak kira pangkat atau harta seharusnya sama-sama berusaha dalam mendidik dan mengatasi gejala rasuah di kalangan masyarat

Pendekatan ini sewajarna di perkukuhkan di negara orang Islam dan haruslah dihidupkan kembali agar kita sama-sama dapat mencegah terhadap kejahatan rasuah. 

Rasuah merupakan wabak sosial yang perlu dibenteras sehingga ke akar umbinya. Semua pihak tidak kira pangkat atau harta seharusnya sama-sama berusaha dalam mendidik dan mengatasi gejala rasuah di kalangan masyarat kita sebelum ia menjadi parasit bagi keadilan, kemajuan dan kesejahteraan negara. Sesuai dengan firman Allah dalam Surah Ali-Imran pada ayat 104 :

وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ اُمَّةٌ يَّدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. (Surah ali-Imran:104).

 

 

Rujukan: 

-Ali Muhammad Muhammad As-Shallabi, Amir al-Mukminin Umar Bin Abdul Aziz, Ma`alim al-Tajdid wa al Ishlah al-Rasyidi `Ala Minhaj al-Nubuwah, (Kaherah: Dar al-Tauzi` wa al-Nasyr al-Islamiyah, 2007

– Analisis Strategi Membanteras Rasuah Menurut Islam Afriadi Sanusia & Sharifah Hayaati Syed Ismail, Universiti Malaya.

– AL-KAFI #1237: RASUAH SUDAH MENJADI BUDAYA RAKYAT MALAYSIA?

Rasuah merupakan wabak sosial yang perlu dibenteras sehingga ke akar umbinya.