Browsing Tag

body shaming

body shaming
Gaya Hidup,

Sesuka hati ‘body shaming’ ibarat menghina ciptaan ALLAH

JANGAN sesuka hati ‘body shaming’ atau menghina orang lain kerana diibaratkan menghina ciptaan ALLAH.

Walaupun berbeza dari segi rupa paras dan fizikal, setiap manusia yang diciptakan oleh ALLAH SWT adalah sebaik-baik ciptaan.

Bagi kita yang dilahirkan dalam keadaan cukup sifat dan anggota badan, sepatutnya kita bersyukur kerana dijadikan dengan penuh sempurna oleh-NYA.

Namun, entah mengapa ada segelintir orang yang tergamak untuk mencela orang lain sedangkan kita semua berasal daripada tanah yang sama.

Baca juga Jangan mencari kesalahan orang lain. Sifat berburuk sangka hanya membawa jalan menuju dosa dan fitnah!

Sedarkah kita perbuatan memburukkan fizikal seseorang atau ‘body shaming’ seperti yang digelar masyarakat kini juga diibaratkan sebagai penghinaan kepada ALLAH yang menciptakannya?

Bahkan, ia suatu perbuatan terkutuk yang tidak diamalkan oleh para mukmin sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Seorang Mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

body shaming

JIKA dibiarkan berlarutan, penghinaan terhadap fizikal seseorang boleh membawa kepada penyakit seperti kemurungan, bulimia dan Body Dysmorphic Disorder (BDD).

Perlakuan ini bukan sahaja bernanah dalam masyarakat kita, malah ia sudah berleluasa sejak zaman baginda SAW lagi menerusi sebuah kisah yang tertulis dalam hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban.

Diceritakan bahawa sebahagian sahabat pernah mentertawakan Saidina Abdullah bin Mas’ud kerana beliau memiliki betis yang sangat kurus.

Lantas, Rasulullah SAW menegur perbuatan tersebut dengan berkata: “Demi ALLAH yang jiwaku berada di tangan-NYA, kedua betis beliau (yang kamu ejek itu) lebih berat timbangannya dari Bukit Uhud.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam kisah lain, seorang sahabat pernah mencerca Saidina Bilal dengan menyebut kulit Bilal yang hitam. Tindakan sahabat ini ditegur oleh Rasulullah SAW: “Sesungguhnya engkau memiliki sifat Jahiliyah! (kerana mengejek sahabatmu).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Baca juga Haram lakukan ‘prank’ yang melampau sehingga mengaibkan orang

Kedua-dua hadis berkenaan menjelaskan bahawa perbuatan menghina orang lain dengan menyebut kekurangan tubuh mereka ditegah oleh Nabi SAW.

Ketahuilah, Islam melarang keras kita mengejek mahupun mencela orang lain. Sekalipun individu berkenaan ialah musuh kita atau orang bukan Islam.

body shaming

KITA semua diciptakan ALLAH SWT dengan kelebihan masing-masing.

ALLAH SWT sendiri pernah melarang kita daripada mengeluarkan perkataan kaji serta mengejek orang lain. Firman ALLAH: “…Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (jadi fasik) setelah beriman. Dan barang siapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surat al-Hujurat, ayat 11)

Oleh itu, berhati-hati dengan sebarang ungkapan yang timbul dari bibir kita, terutamanya jika ia melibatkan bercerita tentang orang lain kerana dibimbangi boleh mengundang dosa.

Sebaik-baiknya, panjatkan kesyukuran kepada ALLAH SWT apabila menyaksikan kecacatan atau kelemahan pada fizikal manusia kerana tidak dijadikan sedemikian rupa.

Foto: Pexels & Unsplash