Browsing Tag

bismillah

Amalan tahunan diangkat
Isu,

Ada sebab mengapa Surah at-Taubah tiada lafaz bismillah

AL-QURAN dianggap sebagai an-nur bagi orang Islam. Masakan tidak, sifatnya bukan sekadar memberikan cahaya keimanan kepada penganut agama suci itu, tetapi juga ‘menyuluh’ orang yang berada di dalam kegelapan dan kekufuran.

Bahkan, barang siapa yang membaca, menghayati isi kandungannya dan beramal dengannya, al-Kitab itu berupaya menjadi penerang jiwa mereka.

Ia sebagaimana disebutkan dalam firman ALLAH SWT menerusi Surah Fussilat, ayat 44 yang bermaksud: “…Katakanlah, “al-Quran adalah petunjuk dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman. Bagi orang-orang yang tidak beriman, pada telinga mereka itu ada sumbatan, dan (al-Quran) itu merupakan kegelapan buat mereka…”

Benarlah, mukjizat agung Nabi Muhammad SAW begitu mulia. Malah, ia menjadi rujukan ramai untuk mengemudi kehidupan kita di dunia yang fana ini sebelum kekal di alam akhirat kekal abadi.

Jika diteliti, daripada 114 surah yang terkandung di dalamnya, hanya Surah at-Taubah tidak disertakan dengan lafaz Bismillah pada permulaannya. Ia tidak sepertimana surah-surah yang lain.

Mengapakah kalimah mulia itu ditiadakan dalam Surah at-Taubah? Apakah inti pati penting dan ibrah yang boleh diambil dalam surah berkenaan?

Pengampunan

Sinar Islam Plus mendapatkan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah untuk mengajak beliau berbicara lanjut tentang keunikan surah berkenaan.

SHARIFAH FADYLAWATY

Jelas beliau, Surah at-Taubah merupakan surah kesembilan yang diturunkan pada akhir tahun 9 Hijrah. Ia terdiri daripada 129 ayat dengan 2,497 kalimah dan 10,887 huruf di dalamnya.

“Walaupun tergolong sebagai surah Madaniyyah kerana diturunkan di Madinah, tetapi terdapat dua ayat yang terakhir pada surah ini turun di Makkah,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Sesuai dengan namanya at-Taubah yang bermaksud pengampunan, ujar ahli akademik itu, kalimah tersebut diulang sebanyak 17 kali dalam surah berkenaan.

Jelas beliau, Ibn Kathir menyatakan, Surah at-Taubah diturunkan selepas Perang Tabuk yang melibatkan orang Islam dan tentera Romawi. Itulah perang terakhir Rasulullah SAW sebelum kewafatan baginda.

Baca juga Amalkan Surah Al-Maidah Pada Waktu Duha, Ada 45 Nasihat Bernilai Terkandung Di Dalamnya

“Dalam Tafsir al-Qurtubi, Imam Qurtubi ‘menaqalkan’ kenyataan Imam al-Qusyairi Abu Nasr Abd al-Rahim yang menyebut bahawa permulaan surah ini menceritakan berkenaan golongan kuffar yang melanggar perjanjian terhadap orang Islam. Kandungan surah ini juga mendedahkan rahsia sikap golongan munafik.

“Sewaktu Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin melakukan persiapan menghadapi perang terakhir ini, mereka berdepan dengan kesulitan kerana sedang menghadapi musim panas.

Surah at-Taubah


DINAMAKAN Surah at-Taubah kerana perkataan berkaitan taubat disebut tidak kurang dari 17 kali. Ia sekali gus memberi isyarat bahawa ALLAH SWT sentiasa memberi peluang kepada semua hamba-NYA yang memohon keampunan-NYA termasuk menerima taubat golongan musyrik.

“Dalam keadaan tersebut, orang munafik tidak dapat menyembunyikan sifat nifaq (tidak selari di antara perlakuan dan ucapan) mereka. Situasi tersebut merupakan ujian kepada orang beriman untuk melihat sejauh mana keimanan dan kepatuhan mereka kepada ALLAH SWT,” ungkapnya.

Larangan terhadap kaum Musyrikin

Di sebalik penurunan surah yang begitu signifikan itu, terdapat hikmah bernilai yang terselit di dalamnya, ungkap beliau.

Jelas Sharifah Fadylawaty, Nabi Muhammad memerintahkan Saidina Abu Bakar untuk mengetuai rombongan umat Islam menunaikan haji di Makkah.

Pada masa sama, baginda mengutuskan Saidina Ali untuk menyertai rombongan khalifah Islam pertama itu supaya membacakan inti pati Surah at-Taubah kepada kaum Musyrikin di sana.

“Antara yang dibacakan termasuklah larangan mengerjakan haji selepas tahun berkenaan (selepas 9 Hijrah) terhadap kaum Musyrikin, di samping pensyariatan hukum yang lain meliputi peperangan dan perdamaian, hukum kenegaraan, kewajipan menafkahkan harta dan orang yang berhak menerimanya serta muamalat dengan orang Musyrikin dan ahli kitab.

“Sebelum turunnya surah ini, orang Musyrikin dibenarkan menunaikan ibadah mereka di Kaabah. Namun, sebahagian daripada mereka melakukan tawaf tanpa pakaian.

Surah at-Taubah


SURAH at-Taubah mengandungi 129 ayat dengan 2,497 kalimah dan 10,887 huruf di dalamnya.

“Apabila wahyu berkenaan tiba, orang Musyrikin tidak lagi dibolehkan melakukan ibadah di Baitillahil Haram pada tahun-tahun seterusnya,” katanya.

Satu perkara yang menarik tentang Surah at-Taubah adalah ketiadaan lafaz bismillah pada permulaan surah. Ia tidak sepertimana surah-surah lain dalam al-Quran.

Ketika diajukan persoalan tersebut, pensyarah itu menjelaskan, ini kerana surah berkenaan merupakan penegasan terhadap pernyataan perang dan pemutusan hubungan dengan kaum Musyrikin.

Sedangkan, kalimah basmalah sebenarnya merujuk kepada simbol perdamaian dan kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib, terangnya.

“Dalam tafsir al-Qurtubi, lafaz Basmalah tidak ditulis pada Surah at-Taubah kerana wahyu daripada Malaikat Jibril AS tidak didatangkan dengan lafaz berkenaan ketika ayat ini diturunkan.

“Maka disebabkan itu, umat Islam tidak dituntut oleh syarak untuk membaca Bismillahir Rahmanir Rahim tatkala membaca surah tersebut. Ini kerana tidak ditulis padanya kalimah berkenaan dalam al-Quran.

Begitupun, kita digalakkan untuk membaca lafaz Ta’awuz (bacaan a’uzubillahi minassyaitonir rojiim) pada permulaan bacaan Surah at-Taubah,” ungkapnya sambil berpesan supaya umat Islam mengamalkan ayat 128 dan 129 surah berkenaan yang boleh menjadi pendinding diri dan mengelakkan daripada mati mengejut.

Kenyataan Sharifah Fadylawaty turut disokong oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhari.

DR MOHD HASRUL

Selain asbabun nuzul yang bersangkutan dengan pembatalan perjanjian antara Rasulullah SAW dan kaum Musyrikin Makkah, ayat 14 surah berkenaan pula mempunyai perkaitan rapat dengan suku Khuzaah membunuh Bani Bakr di Makkah.

“Berdasarkan sejarah, peristiwa ini terjadi ketika kaum Quraisy mengadakan perjanjian genjatan senjata di Hudaibiyah bersama dengan Rasulullah SAW.

“Ketika itu, suku Khuzaah menjadi sekutu Rasulullah SAW. “Pada masa sama, peperangan masih berlaku di antara suku Khuzaah dan Bani Bakr. Orang Quraisy secara bersembunyi membantu Bani Bakr untuk memerangi suku Khuzaah. Maka, ayat ini memerintahkan umat Islam memerangi Musyrikin yang melanggar perjanjian tersebut,” jelasnya.

Nama lain

Menyambung hujah, Dr Mohd Hasrul kemudian mengungkapkan keistimewaan Surah at-Taubah.

Darjah kemasyhurannya boleh diukur apabila surah berkenaan mengandungi tujuh nama, terangnya.

Buktinya, Imam al-Khatib al-Syirbini menyebut di dalam tafsirnya bahawa nama-nama lain surah al-Taubah adalah Bara’ah, al-Muqashqishah, al-Buhusah, al-Muba’sirah, al-Hafirah, al-Fadhihah dan surah al-‘Azab.

Baca juga Amalkan Surah Al-Maidah Pada Waktu Duha, Ada 45 Nasihat Bernilai Terkandung Di Dalamnya

“Nama-nama surah merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan makna yang terkandung di dalam surah tersebut,” katanya.

Menariknya, inti pati yang terkandung pada surah berkenaan boleh dilihat pada nama yang diberikan padanya, ungkap beliau.

Misalnya, menurut Muhammad Fuad Abd al-Baqi dalam al-Mu’jam al-Mufahras li Alfaz al-Quran al-Karim, surah tersebut dinamakan sebagai at-Taubah kerana perkataan berkaitan taubat disebut tidak kurang dari 17 kali.

Hal itu mengisyaratkan bahawa ALLAH SWT sentiasa memberi peluang kepada semua hamba-NYA yang memohon keampunan-NYA termasuk menerima taubat golongan musyrik.

Surah at-Taubah

MESKIPUN tiada lafaz bismillah pada permulaan Surah at-Taubah, umat Islam tetap digalakkan untuk membaca Ta’awuz sebelum membacanya.

Bara’ah mengandungi makna pemutusan hubungan atau ikatan perjanjian yang telah disepakati antara kaum Muslimin dengan kaum Musyrikin.

“Selain Bara’ah, namanya yang lain ialah al-Fadihah yang bermaksud membuka rahsia kerana surah ini telah membuka rahsia golongan munafik seperti kekufuran dan niat buruk yang ada dalam hati mereka,” ujarnya.

Kepada satu soalan, Dr Mohd Hasrul menjelaskan: “Tidak kiralah surah mana sekalipun, pasti fadilatnya akan diraih dengan mendapat 10 ganjaran pahala bagi pembacaan setiap hurufnya.

“Sepertimana surah-surah yang lain, kita boleh mengambil ibrah daripada Surah at-Taubah menerusi peristiwa yang menjadi latar belakang kepada turunnya surah ini sebagai pendorong menguatkan jiwa-jiwa orang yang beriman.

“Antaranya seperti kisah para nabi dan orang soleh. Sheikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (1417 Hijrah) menukilkan ungkapan ulama salaf soleh bahawa: “Cerita-cerita merupakan tentera daripada tentera-tentera ALLAH SWT, ALLAH SWT menguatkan dengannya akan hati-hati para wali-NYA”.

“Dikatakan bahawa ungkapan ini pernah disebut oleh Imam al-Junaid al-Baghdadi (298 Hijrah) yang merupakan ulama besar salaf soleh dalam bidang tasawuf.”

Di samping itu, ujar ahli akademik berkenaan, tiada masalah seandainya umat Islam mahu menjadikan ayat al-Quran sebagai wasilah untuk memohon sesuatu daripada ALLAH SWT.

“Amalan-amalan ini mungkin adalah tajribah (pengalaman) seseorang terutamanya ulama atau orang soleh yang memilih mana-mana ayat al-Quran untuk dibaca dan diimplementasikan dalam bentuk doa. Ia dikenali sebagai tawassul dengan ayat al-Quran.

Surah at-Taubah

UMAT Islam dibenarkan untuk menjadikan ayat al-Quran sebagai wasilah untuk memohon sesuatu daripada ALLAH SWT atau membacanya dan diimplementasikan dalam bentuk doa.

“Apa pun, kita dibenarkan bertawassul dengan ayat al-Quran dengan niat berdoa untuk menyembuhkan penyakit,” katanya mengakhiri bicara.

ANEKDOT
HIKMAH penurunan Surah at-Taubah
  • Mengukuhkan keyakinan kepada orang beriman bahawa ALLAH SWT sentiasa menjaga dan melindungi mereka, di samping balasan baik yang dijanjikan ke atas ketaatan orang beriman kepada-NYA.
  • Menyedarkan orang beriman terhadap tanggungjawab perlu dilaksanakan iaitu menginfakkan sebahagian rezeki yang dianugerahkan kepada mereka.
  • Memotivasikan dan menginspirasikan orang beriman agar mencontohi kisah-kisah hijrah, Perang Hunain dan Perang Tabuk yang memanifestasikan pengorbanan dan perjuangan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan umat Islam dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi ini.
  • Mendorong keimanan dan ketakwaan orang beriman kepada ALLAH SWT kerana surah itu menjelaskan sifat dan tingkatan darjat kaum muslimin di sisi-NYA.

Sumber: Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah

Foto: 123rf & Freepik