Browsing Tag

bir

1
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Australia Beralih Minuman Tanpa Alkohol, Pilih Gaya Hidup Sihat Sejak Pandemik.

no comment

PERMINTAAN minuman tanpa alkohol semakin meningkat dan menjadi pilihan penduduk Australia. Ia sebagai alternatif gaya hidup yang lebih sihat sejak pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia bermula awal tahun lalu.

Salah satu cawangan kedai minuman beralkohol, Dan Murphy mengakui permintaan bagi produk tanpa alkohol melonjak dua kali ganda.

Syarikat pengeluar minuman keras Australia, BWS dan Dan Murphy menyatakan penjualan minuman tanpa alkohol meningkat dua kali ganda pada tahun lalu. Bir dan wain tanpa alkohol katanya telah menjadi salah satu produk mereka yang paling laris dijual.

Pengasas Sans Drink Australia, Irene Falcone berdiri di hadapan kedainya. Gambar: SmartCompany.

Pengusaha dan Pengasas Sans Drink Australia, Irene Falcone, berkata industri minuman tanpa alkohol telah “meletup” kerana permintaan yang sangat tinggi bagi penduduk di Australia sejak tahun lalu.

Falcone yang membuka kedai minuman tanpa alkohol keduanya di Australia setelah memulakan perniagaan dalam talian sejak Oktober 2020 berkata, syarikatnya tidak berniat untuk mengganggu industri minuman alkohol di Australia.

“Semasa wabak Covid-19, ramai orang Australia mengubah tabiat mereka kerana tindakan pencegahan yang paling ketat di seluruh dunia membataskan untuk mereka keluar rumah.

“Sekiranya anda ingin minum minuman beralkohol dan ingin berehat atau minum lebih, maka anda kini sudah tidak mempunyai banyak pilihan.

“Ketika ini ramai orang telah beralih untuk minum di rumah bagi mengekang peningkatan masalah kesihatan, secara tidak langsung meningkatkan pengambilan minuman tanpa alkohol,” kata Falcone.

Menurut satu kajian, pengambilan alkohol dalam kalangan gololongan muda dari sekolah menengah di New South Wales, Tasmania dan Australia Barat, berkurangan dengan penjualan minuman keras telah menurun sebanyak 17 peratus berbanding data keseluruhan sebelum pandemik.

Bukan hanya kuantiti tetapi kekerapan penggunaan alkohol juga menurun dalam kalangan orang muda di Australia, iaitu kejatuhan 34 peratus.

Minum di kedai bukan lagi gaya hidup normal bagi penduduk Australia. Gambar: TRT World

Pengambilan minuman alkohol telah menjadi sebahagian kehidupan masyarakat Australia dan memainkan peranan penting dalam kehidupan sosial di negara itu. Bahkan minuman keras diterima dalam hampir semua situasi sosial, bermula selepas waktu sekolah atau aktiviti kerja hingga majlis perkahwinan bahkan di majlis pengebumian atau majlis pra-kelahiran bayi.

Menurut Kajian Yayasan Promosi Kesihatan Victoria, meminum alkohol dapat memberi kesan ketenangan, menjalin hubungan sosial dan cara meraikan sesuatu kejayaan atau pencapaian.

Semasa zaman penjajahan di Australia, rum digunakan sebagai mata wang de facto (mata wang tidak rasmi) di samping mata wang lain.

Bagi rakyat Australia, Jess Stor, 27, kesan daripada wabak ini telah memudahkan dirinya untuk berhenti daripada tabiat mengambil minuman alkohol sejak Ogos tahun lalu.

“Saya adalah penggemar bir dan ketagihan minuman alkohol ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya selama ini. Saya mula minum alkohol sejak usia remaja dan selepas meninggalkan tabiat itu, kini keadaan mental saya jauh lebih seimbang berbanding dulu.

“Sungguh mengagumkan bagaimana apabila kita dapat meninggalkan tabiat itu, rasa masa depan kita lebih bermakna dan segala kehidupan yang kita lalui lebih segar dan gembira,” katanya.

Bukan hanya orang muda, tetapi juga warga Australia yang lebih berusia juga mengambil keputusan untuk berhenti mengambil minuman keras sejak pandemik berlaku.

Janene Young, 44, ibu kepada dua anak di Brisbane, berhenti minum alkohol dua tahun lalu setelah 27 tahun ketagihan meminum alkohol.

“Minuman alkohol lebih menambah perubahan emosi dan ia bukanlah ubat penahan sakit emosi. Saya tidak begitu baik, saya tidak dapat menjadi ibu dan isteri yang baik untuk anak-anak dan suami saya. Saya cepat murung, sangat cemas dan mudah tertekan sebelum ini.

“Namun semua itu berubah dan saya mendapat kembali kehidupan yang sudah lama saya tinggalkan sejak saya berhenti mengambil minuman akohol,” katanya.

Sumber: TRT World