Browsing Tag

bidayatul hidayah

Hati
Isu,

Ini cara layan sahabat yang dianjurkan Islam

SEMUA orang pastinya mempunyai sahabat. Umat Islam sangat digalakkan bersahabat dan beberapa cara layan sahabat juga ada dianjurkan oleh Islam.

Mungkin gelarannya berbeza sama ada sahabat karib, rakan sekerja mahupun teman serumah, namun semuanya tetap dianggap sahabat dan kita perlu berbaik dengan setiap seorang.

Pentingnya persahabatan bukan sekadar memenuhi kekurangan diri, bahkan untuk membantu diri dan orang lain dalam urusan agama dan kehidupan seharian.

Perihal adab bersahabat pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang berbunyi:

Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam satu majlis serta panggillah dia dengan nama yang paling disenanginya.” (Riwayat al-Tabrani)

cara layan sahabat

SAHABAT yang baik dalam Islam adalah mereka yang membantu kita untuk menjadi insan yang lebih baik.

Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali juga ada menghuraikan konsep bersahabat yang menepati syariat Islam di dalam kitabnya yang bertajuk Bidayatul Hidayah.

Menurutnya, ada 23 adab ketika bersahabat seperti yang diperincikan di bawah:

1.Mengutamakan sahabat dalam urusan harta. Jika tidak mampu, berikan lebihan harta ketika diperlukan.

2.Sentiasa menolong sahabat yang memerlukan pertolongan secepat yang boleh jika mampu dan tidak mengharapkan balasan.

3.Menyembunyikan rahsia sahabat.

4.Menutup segala aib sahabat.

5.Apabila mendengar seseorang mencela sahabatnya, jangan disampaikan perkara itu kepada sahabatnya.

6.Jika mendengar seseorang memuji sahabat, hendaklah ia menyampaikan perkara itu kepada sahabatnya.

7.Apabila sahabat sedang bercakap, beri perhatian dengan mendengar bersungguh-sungguh.

 

Baca juga 3 jenis sahabat ini perlu kita miliki… Ikuti panduan yang digariskan agama ini

 

8.Jauhkan diri daripada berbantahan dengan sahabat.

9.Memanggil sahabat dengan nama yang disukainya.

10.Apabila melihat kebajikan yang dilakukan sahabat, hendaklah memujinya.

11.Berterima kasih kepada sahabat atas sebarang kebaikannya.

12.Membela sahabat ketika dia diumpat.

13.Memberi nasihat dengan cara yang lemah lembut dan bahasa yang halus.

14. Memaafkan segala kesalahan yang dilakukan oleh sahabat dan jangan pula membalas dendam.

cara layan sahabat

JANGAN kata pasangan suami isteri sahaja, bukankah lebih baik jika dua sahabat juga dapat bersama-sama ‘to jannah’.

15.Mendoakan sahabatnya apabila ia duduk bersendirian baik ketika sahabatnya itu masih hidup atau sudah meninggal dunia.

16.Kekal berbuat kebajikan terhadap ahli keluarga sahabat selepas kematian sahabatnya.

17.Jangan menyusahkan sahabat dengan sesuatu. Pastikan dia sentiasa tenang dan senang hati.

18.Merasa bahagia apabila sahabat sedang gembira, dan merasa duka cita apabila sahabat dalam keadaan sedih.

19.Jujur ketika bersahabat. Menyamakan antara hakikat kecintaan yang wujud di dalam hati dengan apa yang nampak di luar, maka dengan itu barulah kecintaan itu dianggap benar. (Tidak berpura-pura, contohnya, depan lain, belakang lain)

cara layan sahabat

ISLAM adalah agama yang sangat mementingkan hubungan persaudaraan dan ikatan persahabatan juga tidak terkecuali. Rasulullah SAW sendiri sangat menjaga hati sahabat-sahabatnya.

20.Memberi salam ketika bertemu sahabat.

21.Jika sahabat hadir ke majlis, hendaklah luaskan ruang duduk jika mampu. Jika tidak mampu, hendaklah berpindah tempat duduk ke tempat yang lain.

22.Hendaklah bangkit menghantarkan sahabat (sampai ke pintu rumah) ketika dia keluar dari rumah.

23. Apabila sahabat sedang bercakap, hendaklah mendengar sehingga selesai tanpa menyampuk di tengah-tengah percakapannya. Tunggu sehingga dia selesai berbicara.

Baca juga Penuhi enam hak sesama Muslim, jamin keteguhan ukhuwah.

Semoga perkongsian ini disematkan dalam jiwa dan dijadikan amalan yang dapat mengukuhkan tali persahabatan anda bersama rakan-rakan.

Sumber: Buku Bidayatul Hidayah oleh Imam al-Ghazali

Foto: Pexels