Browsing Tag

Bertunang

Bertunang
Gaya Hidup,

Usah berlebih-lebihan adakan majlis bertunang, ikuti panduan syariat ini

BARANGKALI ada pasangan yang bakal bertunang pada hujung minggu ini. Masakan tidak, cuti agak panjang berbanding biasa dek kerana sambutan Tahun Baharu Cina.

Sudah tentu ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung berkumpul bersama-sama keluarga tercinta.

Berbicara tentang majlis pertunangan, laman web Addeen menjelaskan, hukum bertunang adalah sunat menurut Imam Syafie.

“Maka tidak menjadi kesalahan sekiranya kita melakukan sedikit majlis untuk mengisytiharkan kepada umum bahawa kita sudah bertunang.

“Ini bagi mengelakkan ada pertindihan hajat dua lelaki kepada wanita yang sama,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web addeen.my.

Perkara itu ada dinyatakan secara jelas dalam sebuah hadis yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seorang mukmin adalah saudara mukmin yang lain. Maka tidak halal bagi kamu membeli barang yang telah dibeli orang lain dan meminang seorang wanita yang telah dipinang orang lain, sehingga ia membatalkannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Haram tuntut pemberian hadiah jika putus tunang. Ramai yang keliru tentang hal ini

Bagaimanapun, timbul tanda tanya berhubung majlis pertunangan itu sama ada ia boleh dilakukan secara besar-besaran atau tidak. Ini kerana ada majlis sebegitu dilihat gah dengan kehadiran ramai tetamu dan ada pelamin bagaikan satu majlis perkahwinan!

Apa pula pandangan Islam apabila kita mengadakan majlis pertunangan secara besar-besaran?

Sinar Islam Plus merujuk kepada artikel Al-Kafi #819: Hukum Bertunang Besar-Besaran yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Bertunang

USAH mengadakan majlis pertunangan secara berlebih-lebihan hingga membawa kepada pembaziran. -FOTO: 123RF

Ikut kemampuan

Artikel tersebut menyebut, tidak digalakkan untuk mengadakan majlis bertunang secara besar-besaran.

“Namun, jika ada kemampuan, dibolehkan untuk berbuat demikian. Sebaliknya, jika tidak mampu, maka tidak perlulah.

“Walaupun begitu, kami lebih cenderung supaya tidak dilakukan secara berlebih-lebihan sehingga membawa kepada pembaziran,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web berkenaan.

Paling penting, barakah dan doa yang menjadi matlamat utama untuk dicapai.

“Jika hanya sekadar jamuan dan makan makanan serta niat menunjuk-nunjuk, maka itu tidak memberi banyak manfaat.

Baca juga Tuntut Balik Cincin Selepas Putus Tunang, Ketahui Pandangan Agama Dalam Hal Ini

“Seperkara lagi, kami cadangkan agar pertunangan yang dilangsungkan sebaiknya dipendekkan tempoh masanya iaitu hanya beberapa minggu atau sebulan dua. Ini kerana matlamat asal adalah perkahwinan dan mengelak sebarang bentuk serta pintu yang membawa kepada maksiat,” katanya.

Meskipun terdapat sebahagian ulama menyatakan, sembunyikan pertunangan sesuatu yang digalakkan, namun begitu, portal Baitul Muslim menjelaskan, kebanyakan pendapat lebih cenderung dengan keperluan ia dihebahkan.

“Tujuannya bagi mengelakkan berlakunya pinangan atas pinangan yang mana ia jelas dilarang dalam Islam.

Bertunang

SEBAIKNYA, tempoh bertunang dipendekkan kerana matlamat asal dalah perkahwinan dan mengelak sebarang bentuk serta pintu yang membawa kepada maksiat. -FOTO: 123RF

“Namun, janganlah berlebih-lebihan dalam menghebahkannya serta menyambutnya kerana pertunangan hanyalah janji kepada perkahwinan dan ia boleh diputuskan.

“Oleh yang demikian, bersederhana dalam pertunangan lebih dituntut. Pada masa sama, dibolehkan juga merahsiakan ikatan tersebut untuk mengelak hasad dengki dan sebagainya selagi mana tidak timbul fitnah,” katanya sepertimana dipetik menerusi laman web baitulmuslim.com.

Ikut syariat

Kepada mereka yang bakal bertunang, ikutilah panduan mengikut syariat sepertimana dipetik menerusi laman web Addeen.my.

Berikut perinciannya:

1. Mengadakan majlis pertunangan secara sederhana dan tidak membazir.

2. Elakkan diri daripada bergambar berdua-duaan selepas majlis pertunangan, praperkahwinan ataupun ketika tempoh bertunang.

Baca juga Bonceng motosikal bersama orang bukan mahram, elakkanlah walaupun individu itu tunang sendiri

3. Percepatkan tarikh pernikahan. Pertunangan yang dijaga akan mendatangkan keberkatan pada berkahwinan.

4. Hindari diri daripada bertemu berdua-duaan. Ingatlah, bertunang bukan lesen untuk bebas berjumpa.

5. Biarlah hanya keluarga terdekat yang menghadiri majlis pertunangan tersebut kerana ia bukan ikatan suami isteri.

Apa jua yang kita mahu lakukan, bersederhanalah dalam setiap perkara termasuklah ketika bertunang. Paling penting, matlamat utama bertunang untuk saling mengenali pasangan dan melakukan persiapan menuju gerbang perkahwinan tercapai.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus

***Foto: Freepik