Browsing Tag

bersugi

memberus gigi bersiwak
Dalam Negara,

Samakah memberus gigi dan bersiwak?

SAMAKAH memberus gigi dan bersiwak?

Islam amat mementingkan kebersihan dan kesucian diri. Kesucian itu pula bukan sahaja disyaratkan ketika beribadah, malah perlu dipelihara setiap masa dalam kehidupan.

Dari sudut kesihatan jasmani, satu ajaran Rasulullah SAW berkaitan penjagaan diri yang mahsyur adalah amalan bersiwak. Bahkan, Nabi bersabda,

Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Baca juga ‘Contohi Rasulullah yang sentiasa amalkan kebersihan dalam setiap aspek kehidupan baginda’

Dalil berkenaan jelas menyebut tentang siwak atau bersugi. Pun begitu, kebanyakan orang zaman kini lebih biasa memberus gigi untuk menjaga kebersihan diri. Apalagi kayu sugi pula bukan didapati di semua tempat.

Persoalannya, adakah bersiwak sama dengan perbuatan menggosok gigi? Bolehkah kita mendapat pahala sunnah bersiwak walaupun bersugi tanpa kayu siwak?

Baca juga Makruh gosok gigi selepas waktu fajar ketika puasa? 

bersiwak

KAYU sugi berasal daripada pohon ‘Salvadora Persica’ yang juga dikenali sebagai pohon Arak (أراك) dalam bahasa Arab. Foto: 123RF

Apa itu siwak atau bersugi?

Ulama menyebut bahawa siwak adalah perbuatan menggosok dengan menggunakan alatan seperti kayu atau seumpamanya untuk menghilangkan perubahan (bau atau warna) disusuli niat kerana Allah SWT. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 1/270)

Selain itu, hukum bersiwak adalah sunat setiap kali sebelum solat fardu berlandaskan hadis Rasulullah SAW yang disebutkan di atas.

Manfaatnya adalah untuk memastikan gigi dan mulut dalam keadaan bersih setiap kali menghadap Allah SWT.

Turut disyorkan Hilangkan kekotoran dulu sebelum istinjak, ini cara yang betul

ADAKAH memberus gigi dikira memenuhi tuntutan bersiwak dalam agama? Foto: Unsplash

Jika diamati, bersiwak adalah serupa dengan perbuatan menggosok gigi, iaitu membersihkan mulut daripada kotoran.

Perbezaannya hanya pada alat yang digunakan, iaitu siwak khusus menggunakan kayu siwak, manakala menggosok gigi tidaklah menggunakan kayu tersebut.

Namun, pandangan yang dikeluarkan pihak Mufti Wilayah Persekutuan adalah memberus gigi juga dianggap tuntutan sunnah kerana menepati maksud bersiwak.

Pendapat ini berdasarkan mazhab Syafie yang melihat perlakuan bersiwak sama seperti menggosok gigi kerana kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama.

Baca juga Air Kencing Yang Menyumbang Azab Kubur, Berikut Penjelasannya

TUJUAN bersugi adalah supaya mulut kelihatan bersih dan berbau segar. Foto: Unsplash

Baca juga Bukan saja kena bersih daripada kekotoran, tetapi hati juga kena bersih. Itu cerminan orang bertakwa

Tatacara bersugi

Antara kaedah bersugi yang afdal adalah menggunakan tangan kanan ketika melakukannya.

Apabila menggosok, mulakan dari bahagian kanan gigi sebelum ke kiri dengan cara melintang. Manakala, berus gigi geraham hingga ke gigi kacip menggunakan gerakan atas dan bawah.

Seterusnya, berus pula bahagian sebelah dalam gigi pada bahagian atas serta bawah bermula dari kanan dan diikuti sebelah kiri. Setelah itu, lidah dgosok dari pangkal lidah ke hujung sama ada cara melintang atau membujur. (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/30)

Baca juga 12 amalan ringkas Rasulullah SAW. Rupanya senang nak dapat pahala

AMALAN bersugi dipercayai telah dipraktikkan sejak 7,000 tahun dahulu. Foto: Google

Selain itu, sebahagian ulama juga menyarankan membaca doa berikut ketika mula menggosok, iaitu:

اللَّهُمَّ بَيِّضْ بِهِ أَسْنَانِي وَشُدَّ بِهِ لَثَاتِي وَثَبِّتْ بِهِ لَهَاتِي وَبَارِكْ لِي فِيهِ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Ertinya: Ya ALLAH putihkanlah gigiku dengan sebab bersiwak ini, mantapkanlah gusiku, kukuhkan dengan sebab anak tekakku dan berkatilah aku padanya. Wahai TUHAN YANG MAHA PENYAYANG. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 1/283)

Bagi kayu sugi pula, penggunaan akar pokok arak ( أراك ) sangat digalakkan kerana ia digunakan oleh Rasulullah SAW dahulu.

Kesimpulan, daripada pandangan mazhab Syafie, fungsi menggosok gigi dan bersiwak adalah sama.

Oleh itu, jika anda menggosok gigi dengan menggunakan alatan yang kesat seperti kayu dan berus gigi dan disertai dengan niat, maka anda telah dikira mengikut tuntutan yang sama dengan bersiwak.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF, Google & Unsplash