Browsing Tag

Bersin

Penuhi enam hak sesama Muslim
Isu, Uncategorized,

Penuhi enam hak sesama Muslim, jamin keteguhan ukhuwah.

PENUHI enam hak sesama Muslim, jamin keteguhan ukhuwah

Tahukah anda bahawa wujudnya hak tertentu yang perlu dipenuhi oleh setiap Muslim terhadap satu sama lain?

Islam sememangnya agama yang mementingkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang sesama Muslim. Betapa syumulnya Islam meliputi seluruh aspek kehidupan manusia sehinggakan hak sesama saudara seagama juga pernah digariskan Nabi SAW sendiri dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA:

Hak muslim ke atas muslim enam perkara: Dikatakan (sahabat bertanya): Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah berkata: Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya. Apabila kamu diundang maka penuhilah. jika apabila dia meminta nasihat kepadamu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa: يرحمك الله). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke kubur.” (Hadis riwayat Muslim)

Penuhi enam hak sesama Muslim

MUNGKIN enam hak yang disebutkan itu nampak kecil tetapi kesannya besar menguatkan talian ukhuwah sesama umat Islam.

Enam hak sesama Muslim yang patut dipraktikkan adalah seperti berikut:

1. Mengucapkan salam
Mengucapkan salam adalah antara identiti umat Islam. Apabila seorang Muslim bertemu dengan saudaranya sama ada yang dikenali atau tidak, hendaklah dia mendahuluinya dengan salam.

Hukum mengucapkan salam adalah sunat muakkad, manakala hukum menjawabnya pula adalah wajib.

Selain menjadi suatu doa yang dapat menggugurkan dosa, perbuatan memberi salam juga menjadi pengikat tali persaudaraan sesama kaum Muslimin.

Baca juga Apabila berjabat tangan, genggamlah lama sedikit kerana itu lebih baik

2. Memenuhi undangan
Niat baik dan penghormatan yang diberikan saudara yang menjemput hendaklah dipenuhi melainkan ada keuzuran dan hal yang tidak dapat dielakkan.

Namun, haruslah diingat undangan tersebut bukanlah untuk tujuan atau tempat-tempat yang berunsur maksiat.

3. Saling menasihati
Lumrah sebagai manusia terkadang alpa dalam kemaksiatan dan dosa, maka sebagai seorang Muslim yang mencintai saudaranya hendaklah kita memberikan nasihat dengan cara yang baik, jujur dan ikhlas serta tidak mengaibkan atau mengguris perasaannya.

Penuhi enam hak sesama Muslim

MASIH ramai yang menggunakan frasa Inggeris, ‘Excuse me’ apabila bersin. Sebaliknya, gunakanlah perkataan yang telah diajarkan oleh Nabi SAW.

4. Mendoakan ketika bersin
Jika seorang Muslim bersin dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’, maka kita hendaklah mengucapkan ‘Yarhamukallah’ (bagi lelaki) atau ‘Yarhamukillah’ (bagi perempuan) sebagai rasa syukur kepada ALLAH SWT.
Ini bertepatan dengan saranan hadis Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW:

Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah ia menyebut ‘Alhamdulillah’. Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya ‘Yarhamukallah’. Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) ‘Yarhamukallah’ maka hendaklah menyebut ‘Yahdikumullah wa Yuslih baalakum’. (Hadis riwayat al-Bukhari)

5. Menziarahinya ketika sakit
Apabila seorang Muslim itu sakit hendaklah kita datang menziarahinya lebih-lebih lagi jika dia adalah saudara terdekat atau sahabat kita sendiri.

Ketika menziarahinya, pastikan kita ingat adab-adab yang perlu diamalkan agar kehadiran kita tidak menambahkan beban dan kesusahan kepada pesakit.

Doakanlah kesembuhan baginya serta berilah motivasi kepadanya agar bersabar dengan ujian ALLAH SWT.

Baca juga Ikhlaskan hati, usah mengeluh menjaga orang sakit kerana ganjaran besar menanti

6.Mengiringi jenazah

Mengiringi jenazah itu bukan sahaja mengandungi doa, malah ia sebagai penghormatan terakhir bagi orang yang meninggal.

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah pernah bersabda:

Sesiapa yang menziarah jenazah seorang Muslim dengan penuh perasaan keimanan, dia tetap ada bersama mayat sehinggalah mayat tadi disolatkan dan turut serta sehingga selesai ia dikebumikan, maka dia pulang dengan mendapat dua qhirat. Setiap satu qhirat ganjarannya sama seperti gunung Uhud. Dan sesiapa yang solat jenazah, kemudian dia pulang tanpa menunggu sehingga mayat tersebut dikebumikan, sesungguhnya dia mendapat satu qhirat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sematkan azam agar dapat melaksanakan keenam-enam hak ini kerana kita hidup di dunia bukannya berseorangan. Sebaliknya ALLAH mencipta manusia dengan pelbagai bangsa, bersuku-suku dan berpuak-puak supaya kita dapat saling kenal mengenali.

Foto: Freepik & Pexels

Berita Semasa,

Gantikan ungkapan ‘excuse me’ kepada ‘Alhamdulillah’ ketika bersin, besar manfaatnya

SELEPAS bersin, segelintir orang suka menuturkan perkataan excuse me sebagai tanda memohon maaf kepada orang di sekelilingnya.

Barangkali ada orang yang kurang selesa dengan keadaan itu. Apa tidaknya, kadangkala ada titisan cecair dari mulut atau hidung kita turut terkeluar sama yang mungkin terkena pada orang lain.

Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang mana kita semua sedang berdepan dengan koronavirus (Covid-19).

Langkah-langkah pencegahan perlu diambil dengan memakai topeng muka dan sentiasa membasuh tangan atau memakai hand sanitizer bagi mengelakkan kita terkena virus berkenaan.

Dalam Islam, bersin sebenarnya merupakan satu nikmat semula jadi yang diberikan ALLAH SWT kepada setiap insan.

Bahkan, ALLAH begitu menyukai orang yang bersin kerana dengan bersin itu, ia dapat mengeluarkan penyakit daripada tubuh badannya.

Ia sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH SWT menyukai bersin dan membenci menguap.” (Riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam Ibnu Hajar, maksud ALLAH SWT menyukai orang yang bersin kerana bersin dapat meringankan badan dan membuka liang-liang roma. (Lihat Fath al-Bari li Ibnu Hajar, 10/607)

Oleh sebab bersin merupakan anugerah ALLAH, Islam sebenarnya mengajar umatnya etika dan adab ketika bersin menerusi apa yang telah disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW, utusan ALLAH.

Berikut adalah adab ketika bersin menurut Islam yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian:

1. Seseorang yang bersin hendaklah mengucapkan kalimah tahmid iaitu Alhamdulillah atau Alhamdulillahi ala kulli hal. 

2. Seseorang yang mendengar orang yang bersin dan menyebut kalimah tahmid hendaklah menjawab Yarhamukaallah. 

3. Kemudian orang yang bersin itu membalas dengan Yahdikumullah wa yuslih baalkum. 

4. Sekiranya orang yang bersin itu melebihi tiga kali, maka yang mendengarnya hendaklah mendoakan kesembuhan ke atasnya.

5. Seseorang yang bersin itu sebaiknya menutup mukanya dan tidak menghalakan mukanya ke arah orang ramai dan juga makanan. Ia bagi mengelakkan jangkitan kuman kepada orang lain.

Abu Hurairah RA meriwayatkan: “Bahawasanya apabila Nabi Muhammad SAW bersin, baginda menutup wajah dengan tangan atau kainnya sambil merendahkan suaranya.” (Riwayat al-Tirmizi) 

Sesungguhnya, begitu cantik aturan yang telah digariskan oleh Islam. Malah, kebanyakan saranan pakar tentang aspek kebersihan ketika bersin juga sama dengan anjuran Islam.

Jadi selepas ini, apa kata kita gantikan perkataan excuse me tadi dengan ucapan Alhamdulillah ketika bersin.

Orang yang mendengar kita bersin pula akan menyambutnya dengan kalimah tahmid juga. Alangkah seronoknya kita saling mendoakan sesama kita.

(Sumber: Al-Kafi #1683: Adab-Adab Ketika Bersin, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)