Browsing Tag

bersembang dalam tandas

bersembang telefon dalam tandas
Hukum,

Bersembang dalam telefon ketika dalam tandas, ini hukumnya yang perlu kita tahu

BERSEMBANG dalam telefon ketika dalam tandas, ini hukumnya yang perlu kita tahu…

Segelintir orang gemar membawa telefon bimbitnya ke mana-mana sahaja. Baginya, gajet itu begitu penting hinggakan tidak boleh berpisah langsung dengannya.

Malah, ada yang sanggup mengusung alat peranti itu masuk ke dalam tandas. Walhal, sudah tahu diri ingin ‘berhajat’ , tetapi tetap juga membawa telefon bimbit bersama.

Kadangkala ketika sedang membuang air, sempat pula orang itu menjawab panggilan telefon yang berdering. Tanpa segan silu mengakui dirinya berada di dalam tandas dan sedang ‘berhajat’!

“Aku dalam tandas ni, nak membuang. Ada apa kau telefon aku ni?”

Demikian antara bait-bait perbualan yang mungkin kita dengar secara tidak sengaja, apatah lagi jika berada dalam tandas awam.

Baca juga Tak boleh Masuk Tandas Ketika Sedang Azan?

Bolehkah sebenarnya kita bercakap-cakap dalam telefon ketika buang air di dalam tandas? Apakah hukumnya berbuat demikian?

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, antara adab tatkala masuk ke dalam tandas adalah tidak bercakap-cakap di tempat berkenaan.

Ini kerana katanya, ia adalah perbuatan yang dibenci oleh syarak.

Daripada Abu Said Al-Khudri RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiadalah dua orang membuang air dalam keadaan terbuka aurat dan berbual keduanya, maka sesungguhnya ALLAH SWT murka atas yang demikian itu.” (Riwayat Abu Daud)

Bersembang ketika dalam tandas

ELAKKAN bersembang atau bercakap dalam telefon ketika sedang melepaskan hajat di dalam tandas.

Jelas tokoh pendakwah berkenaan, murka yang dimaksudkan adalah bersangatan marah.

“Dalam kitab Syarah Sunan Abi Daud ada dinyatakan tentang perkara itu.

“Sementara itu, Syeikh Bujairimi pula berpandangan: “Dan tiada berkata-kata ketika kencing dan berak, ertinya diam ketika tunaikan hajat, maka tidak berkata dengan zikir dan lainnya dimakruhkan baginya yang demikian itu kecuali darurah.” 

“Ia sebagaimana yang dinukilkan oleh beliau dalam kitab Hasyiah Bujairimi,” katanya dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Baca juga Wajib tutup kepala ketika masuk ke tandas? Ini yang perlu kita tahu

Melihat kepada hujah berkenaan, Ustaz Azhar Idrus menegaskan, makruh bercakap apabila sedang membuang air sama ada di dalam tandas atau tidak.

“Tidak kiralah sama ada individu yang sedang bercakap dengan kita itu dekat atau jauh iaitu termasuklah mereka yang bercakap dengan menggunakan telefon,” katanya.

Baca juga Sentiasa tutup pintu tandas elakkan dari dibuka syaitan

Justeru, elakkanlah bercakap ketika berada di dalam tandas. Ia bukanlah tempat yang sesuai untuk kita berbual-bual.

Bukankah lebih manis jika kita bersembang di tempat yang sesuai? Hendak berbual pun lebih selesa dan tiada gangguan lain.

Dibimbangi perbualan kita atau perbualan dalam telefon kita tadi akan mengganggu orang lain untuk melepaskan ‘hajat’ terutama jika melibatkan tandas awam.

Sama-samalah kita prihatin dengan keadaan sekeliling ya.

Sumber: Instagram uaioriginal

Foto: Freepik