Browsing Tag

Berselawat

Berita Semasa,

[SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL] Kalau tak berselawat, itu tandanya kita bakhil…

BIBIR begitu lancar tatkala melontarkan kata-kata untuk berbual. Malah, perbualan semakin rancak apabila topik yang disembangkan kena pada si empunya diri.

Namun begitu, apabila nama Nabi Muhammad SAW disebut, lidah seakan berat dan kelu pula untuk mengucapkan selawat ke atas baginda SAW.

Ya, begitulah sikap klise segelintir daripada kita. Walaupun nampak remeh, tetapi sebenarnya ia mendatangkan ganjaran kepada mereka yang berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sebaik sahaja nama baginda disebut.

Malah, ada pula orang di sekeliling menyatakan bahawa kita ialah orang yang bakhil apabila tidak berselawat apatah lagi jika nama Rasulullah SAW disebutkan.

Apakah benar memang ada hadis yang menyatakan sedemikian?

Sememangnya berselawat sangat digalakkan dan dituntut bagi setiap umat Islam kerana banyak fadilat yang bakal kita peroleh daripadanya.

Masakan tidak, Rasulullah SAW merupakan insan yang terpuji dan sebaik-baik manusia yang menjadi suri teladan buat kita.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-NYA sentiasa berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Menjawab persoalan di atas, memang ada hadis yang menyebut bahawa: “Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.”

Hadis berkenaan telah diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat Nabi Muhammad SAW. Antaranya Ali bin Abi Talib RA, al-Husain bin Ali dan Abu Hurairah RA.

Berselawat

Tambahan pula, riwayat atau hadis tersebut ada dinukilkan oleh Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, Imam al-Tirmizi (al-Jami’ atau sunannya), selain Imam Ahmad dan juga Imam al-Tirmizi yang meriwayatkan hadis seperti itu, tetapi dengan lafaz yang sedikit berbeza.

Ia sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Amat rugilah seseorang itu apabila disebutkan namaku tetapi dia tidak berselawat ke atasku.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)

Hadis berkenaan adalah sahih. Apa yang dimaksudkan oleh hadis tersebut, jelas al-Munawi, orang yang tidak berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW apabila mendengar nama baginda ialah orang yang bakhil terhadap dirinya sendiri.

“Ini kerana telah terhalang ke atasnya selawat ALLAH sebanyak 10 kali kepadanya apabila dia berselawat sekali ke atas Nabi Muhammad SAW,” jelas al-Munawi.

Menurut Imam Ibn Kathir: “Selepas menyebut berkaitan hadis daripada Ali dan juga hadis daripada Abu Hurairah itu menunjukkan akan dalil wajibnya berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW setiap kali mendengar nama baginda SAW. Ini merupakan pandangan sebahagian mazhab daripada ulama seperti al-Tahawi dan al-Halimi.” (Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 9/373)

Ia disifatkan bakhil kerana disebabkan apabila seseorang itu malas menjalankan ketaatan kepada ALLAH SWT (seperti berselawat). (Lihat: al-Qaul al-Badi’, 321)

Berselawat

SETIDAK-TIDAKNYA, berselawatlah sebaik sahaja selesai mendirikan solat fardu.

Melihat pandangan dan hujah di atas, jelaslah kita akan kerugian jika tidak berselawat ke atas nabi tatkala nama baginda disebut.

Andai kita tahu bahawa begitu banyaknya manfaat yang bakal diraih, pasti peluang itu tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

Memetik pandangan Al-Sheikh Abdul Kadir Al-Jelani Al-Hasani, Quddisa sirruhu dalam kitabnya, al-Safinah al-Qadiriyyah, beliau meriwayatkan Ibnu Farhun yang berkata: Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW itu mempunyai 42 kelebihan.

(Artikel berkaitan: [SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL]: Ada dua sunah nabi yang dilupakan…Ini yang perlu kita tahu dan amalkan)

Ia sebagaimana yang tertulis dalam kitab Hadaiq al-Anwar iaitu:

1. Melaksanakan perintah ALLAH.

2. Bersamaan dengan selawat ALLAH kepada Rasulullah SAW.

3. Bersamaan dengan selawat para malaikat.

4. Mendapat ganjaran 10 kali selawat daripada ALLAH atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada ALLAH bererti rahmat).

5. Dikurniakan oleh ALLAH 10 darjat atas tiap-tiap satu selawat.

6. Dituliskan oleh malaikat 10 kebaikan atas setiap selawat.

7. Dihapuskan oleh ALLAH 10 kejahatan atas setiap selawat.

Berselawat

8. Segala doa akan diperkenankan oleh ALLAH SWT.

9. Mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW.

10. Mendapat keampunan ALLAH dan akan ditutup segala keaiban.

11. ALLAH SWT akan menutupi segala dukacita.

12. Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah SAW.

13. Mendapat darjat al-Sidq.

14. Ditunaikan segala hajat.

15. Salam sejahtera pada hari kiamat.

16. ALLAH dan para malaikat akan berselawat ke atas individu yang berselawat.

17. Mendapat khabar gembira daripada ALLAH dengan balasan syurga.

18. Salam sejahtera pada huru-hara hari kiamat.

19. Rasulullah SAW akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan.

20. Mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa.

21. Mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu.

22. Tidak akan merasai fakir.

Berselawat

23. Terpelihara daripada dihinggapi sifat bakhil.

24. Mendapat kesejahteraan daripada doa Rasulullah SAW kepada yang berselawat.

25. Selawat akan menjemput setiap pengucapannya ke jalan syurga.

26. Menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak disebut padanya nama ALLAH dan Rasul-NYA atau daripada majlis-majlis lagha.

27. Berselawat menyempurnakan kalam pujian ALLAH apabila disebut (dalam doa), maka akan disambut selepas itu dengan kalimah selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

28. Selamat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari kiamat.

29. Disambut oleh ALLAH pada hari kiamat dengan kata-kata pujian yang lunak.

30. Mendapat balasan rahmat yang luas daripada ALLAH.

31. Mendapat keberkatan daripada ALLAH.

32. Mendapat kesempurnaan iman.

33. Kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW.

34. Mendapat hidayah ALLAH dan dikurniakan hati yang sentiasa hidup mengingati ALLAH.

35. Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan di hadapan Rasulullah SAW secara langsung.

36. Teguh pendirian dengan kebenaran.

37. Berselawat bererti kita menggunakan sebahagian hak-hak Rasulullah SAW ke atas diri kita. Di samping itu, ia dianggap sebagai mensyukuri nikmat ALLAH yang mengurniakan dan mengutuskan Rasulullah SAW kepada kita.

38. Berselawat juga bererti zikrullah dan bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH.

39. Berselawat bererti melengkapkan pengertian berdoa dan memohon kepada ALLAH, ke atas Rasulullah SAW dan kepada diri sendiri.

40. Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu adalah akan terjelma gambaran Rasulullah SAW dalam jiwanya.

41. Dikurniakan oleh ALLAH maqam seorang Syeikh dan Murabbi.

Berselawat

42. Mendapat kebahagiaan, ketenangan hidup di dunia dan akhirat.

Subhanallah, begitu banyaknya fadilat apabila kita berselawat. Amat rugi jika amalan ini dibiarkan begitu sahaja.

Sempena kelahiran Rasulullah SAW yang bakal disambut bermula Rabu malam Khamis ini, ayuh sama-sama kita membasahkan lidah dengan mempelbanyakkan selawat ke atas baginda.

Namun, janganlah pula hanya berselawat ketika Maulidur Rasul sahaja, tetapi sebaiknya biasakan diri kita untuk menjadikannya sebagai rutin dalam kehidupan kita.

Sumber: Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & laman web Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Foto: Freepik& 123rf