Browsing Tag

bersedekah

Bersedekah
Gaya Hidup,

6 kehebatan iringi Muslim yang bersedekah

SEBUT sahaja bersedekah, kita akan berkira-kira untuk memberi. Adakalanya terfikir juga, duit kita hanya cukup untuk berbelanja pada hari tertentu.

Sebagai umat Islam, kita perlu menghindarkan diri daripada bersifat bakhil. Bersedekah mampu memupuk rasa berkorban untuk orang lain.

Bersedekah dapat membina kasih sayang dan mengeratkan silaturahim antara manusia lebih-lebih sesama Muslim.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap ALLAH, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al Hujurat, ayat 10)

Baca juga Utamakan sedekah pada keluarga dahulu, berikut 10 fadilat melaksanakannya

Fadilat bersedekah

1. Menghapuskan dosa.

Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Tidak kira dosa kecil atau besar. Cara terbaik menghapuskan dosa adalah dengan bertaubat, bahkan dengan melazimkan diri bersedekah juga mampu membatalkan dosa silam.

2. Menambah rezeki.

Ungkapan ‘jangan tunggu kaya baru nak kaya untuk bersedekah, tetapi teruslah bersedekah sehingga mencapai kekayaan. Rezeki adalah kurniaan ALLAH yang dipinjamkan oleh-NYA buat sementara.

Bersedekah

RAMAI yang bimbang wang akan habis apabila bersedekah, namun ketahuilah rumus perkiraan ALLAH SWT tidak sama dengan manusia. DIA menjanjikan untuk memberi lebih banyak rezeki kepada mereka yang mendermakan hartanya ke jalan-NYA. -FOTO: 123RF

Justeru ALLAH mengurniakan rezeki yang lebih kepada orang yang bersyukur (bersedekah).

Firman ALLAH: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya AKU akan menambah (nikmat) kepada kamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-KU), maka pasti azab-KU sangat berat,” (Surah Ibrahim, ayat 7)

3. Memanjangkan umur.

Bersedekah dapat memanjangkan umur. Amalan ini akan berterusan dan rasa seronok dalam diri untuk bersedekah dan membantu orang lain. Dengan izin ALLAH, jangka umur individu yang selalu bersedekah akan lebih panjang.

Baca juga Sedekah Benteng Diri Daripada Api Neraka

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekahnya orang Muslim itu dapat menambah umurnya, dapat mencegah kematian yang buruk, ALLAH akan menghilangkan darinya sifat sombong, kefakiran dan sifat bangga pada diri sendiri.”

4. Mendekatkan diri dengan ALLAH.

Setiap hamba ALLAH perlu sentiasa bersyukur dan tidak takbur dengan harta yang ada. Amalan sedekah akan mengikis sifat negatif itu, bahkan hati akan lapang selalu dan kasih ALLAH melimpah buat kita.

5. Mendatangkan ketenangan jiwa.

Berkongsi rezeki dengan orang lain akan menghadirkan jiwa yang lebih tenteram. Walaupun tidak kaya harta dengan bersedekah ALLAH menjanjikan ketenangan buat hamba-NYA.

Baca juga Jangan sesekali ungkit pemberian sedekah yang diberikan. Rosak pahala…

Untuk orang kaya pula, harta yang banyak hanya akan mendatangkan kerisauan andai tidak diurus dengan betul.

Bersedekah

ALLAH SWT menjanjikan ganjaran dan kemuliaan kepada orang yang gemar menginfakkan hartanya ke jalan-NYA, malah amalan itu turut mendatangkan ketenangan jiwa kepada pelakunya. -FOTO: 123RF

6. Pelindung daripada bencana dan penyakit.

Rasulullah SAW bersabda: Bersegeralah bersedekah sebab bala bencana tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala bencana dan yang paling ringan ialah penyakit kusta dan sopak.” (Riwayat al-Baihaqi dan al -Tabarani)

***Artikel ditulis oleh Quszaini Abd Manan, Guru Bahasa Arab, Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan, Ipoh, Perak

6385611_l
Gaya Hidup,

Ustaz Abdullah Khairi berkongsi Kisah Teladan Tentang Kebaikan Bersedekah

no comment

MENERUSI Facebooknya, pendakwah Ustaz Abdullah Khairi Haroon berkongsi satu kisah teladan tentang kebaikan bersedekah.

Beliau berkata, kisah tersebut berlaku pada zaman Nabi Musa AS mengenai sepasang suami isteri yang hidup dengan kemiskinan namun mereka menghadapinya dengan penuh kesabaran.

Tulis agamawan itu lagi, mereka telah mengadu mengenai keadaan hidup dan meminta supaya Nabi Musa berdoa kepada ALLAH tentang situasi yang dihadapi.

Menurutnya, akhirnya permintaan mereka dikabulkan ALLAH dengan syarat kekayaan itu hanya kekal selama setahun sahaja dan mereka menerima khabar tersebut dengan penuh gembira.

Selang beberapa hari, rezeki pasangan itu melimpah ruah dan datang dari jalan tidak diketahui arahnya. Keadaan hidup mereka berubah sekelip mata dan menjadi orang terkaya di kawasan itu.

“Si isteri memberitahu sang suami bahawa dalam tempoh setahun ini mereka akan memberi makan kepada orang miskin dan menyantuni anak yatim selagi masih diberi kesempatan kerana setahun setahun kemudian mereka akan kembali miskin.

“Suaminya berlapang dada dan menyambut baik keputusan si isteri. Katanya, harta ini akan digunakan untuk membantu orang yang memerlukan,” ujarnya.

Cerita Ustaz Abdullah Khairi lagi, suami isteri tersebut menggunakan harta yang melimpah itu untuk membina tempat persinggahan para musafir dan menyediakan makanan secara percuma kepada fakir dan miskin.

Setahun pun berlalu dan mereka tetap sibuk menyediakan makanan sehingga terlupa bahawa sudah setahun lebih menjadi orang kaya dan semua itu bakal berakhir.

Nabi Musa berasa sangat hairan melihat keadaan mereka yang masih tetap kaya. Baginda bertanyakan ALLAH SWT, lalu dijawab: “Wahai Musa, AKU telah membuka satu pintu rezeki kepada mereka, tetapi mereka membuka beberapa pintu rezeki untuk hamba-hamba-KU.

“Wahai Musa, maka AKU akan kurniakan lebih lama kekayaan itu pada mereka.”

“Wahai Musa, AKU sangat malu jika ada hamba;KU yang lebih mulia dan lebih pemurah daripada AKU.”

Nabi Musa menjawab: “MAHA SUCI ENGKAU YA ALLAH, betapa MAHA MULIA urusan-MU dan MAHA TINGGI KEDUDUKAN-MU.”

Justeru Ustaz Abdullah Khairi berkata, kehidupan ini bukanlah satu perlumbaaan untuk menjadi yang terbaik, sebalik bagaimana untuk berbuat baik kepada insan sekeliling.

 

Perbanyakkan amalan bersedekah nescaya semakin bertambah rezeki.

“Jom perbanyakkan amalan bersedekah. Sesungguhnya jangan tunggu duit banyak untuk bersedekah tetapi mulai dengan berapa yang ada dahulu pastinya rezeki akan akan semakin bertambah-tambah,” katanya.