Browsing Tag

berjenaka

Prank
Gaya Hidup,

Budaya ‘Prank’ Undang Dosa Dan Maksiat, Ini Sebabnya

no comment

DALAM kehidupan kita, bergurau senda menjadi perkara biasa bagi menghidupkan suasana ceria dan bahagia.

Perbuatan itu sering kali dilakukan saat bersama dengan insan yang begitu rapat dengan kita. Umpamanya adik-beradik, sahabat handai, sanak saudara dan lain-lain.

Masakan tidak, apabila mengenali seseorang dengan baik, sudah tentu kita sedia maklum tentang kegemaran dan perkara yang tidak disukainya.

Disebabkan itulah kita tidak kisah apabila kenalan rapat berjenaka atau melakukan prank kerana sudah ‘masak’ benar dengan sikap mereka walaupun kadangkala gurauan tadi berbunyi agak kasar.

Namun sejak akhir-akhir ini, trend bergurau senda atau prank dilihat semakin menjadi-jadi terutamanya melibatkan kandungan (content) yang dimuat naik dalam media sosial. Ia demi meraih tontonan dan tanda suka yang tinggi.

Perkara itu walaupun dilihat biasa pada pandangan sebilangan orang, namun hakikatnya terselit suatu dosa dan maksiat andai ia dilazimkan.

Baca juga 5 Tip Cara Bergurau Senda Tanpa Undang Kemarahan Pasangan

Apa tidaknya, trend tersebut seakan menjadi budaya yang dianggap normal oleh masyarakat dan menjadi hiburan terutama kepada anak-anak muda.

Demikian komentar pendakwah Adnin Roslan menerusi petikan video bertajuk ‘Budaya prank maksiat yang dilupakan’ yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

ADNIN

Dalam Islam, jelasnya, hukum asal prank yang bertujuan untuk bergurau senda adalah diharuskan. Ia selagi mana kita tidak melampaui batas.

“Begitupun, andai prank tersebut terdapat unsur-unsur haram seperti menipu, memburukkan, mengaibkan, menakut-nakutkan dan seumpamanya, maka berdosa hukumnya.

“Ketahuilah bahawa ia bukan dosa kecil, tetapi sebenarnya adalah dosa besar.

“Ya, memang kita ada ramai viewers dan like, tetapi semua itu belum menjamin kita untuk ke syurga ALLAH SWT,” katanya.

Baca juga Natijah April Fool Yang Dilarang Agama, Niat Bergurau Jangan Sampai Mengundang Dosa

Justeru, beliau memberi amaran tegas supaya masyarakat waima tokoh masyarakat, youtuber atau para pencipta kandungan media sosial agar berhenti daripada menjadikan prank sebagai content mereka.

Renungkanlah kalamullah ini yang mana ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Prank

ELAKKAN membuat kandungan media sosial yang berunsur ‘prank’ demi meraih tontonan dan tanda suka yang tinggi.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar bakat-bakat dan pengaruh yang dimiliki golongan itu digunakan dengan sebaiknya.

“Ajaklah orang ke arah kebaikan dan bukannya mempromosikan budaya-budaya maksiat,” sarannya.

Foto: Pexels, Unsplash & Freepik