Browsing Tag

berita-semasa

Agama, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Amal zikir ringkas ini, dosa akan berguguran seperti daun

SETIAP manusia pastinya tidak lari daripada melakukan dosa besar mahupun kecil atau kesalahan selama hidupnya.

Kerana itu kita sebagai umat Islam haruslah sentiasa memohon keampunan daripada ALLAH.

Selain berdoa memohon ampun, kita turut digalakkan berzikir.

Rasulullah menganjurkan umatnya agar memperbanyak zikir mengingat ALLAH SWT.

Di antara zikir-zikir yang sering diajarkan Rasulullah salah satunya adalah tasbih.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Tasbih mempunyai keutamaan sebagai penggugur dosa bagi siapa saja yang sering melantunkannya untuk memuji
keagungan ALLAH. Dalam sebuah hadis disebutkan;

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بشجرة يابسة ةمعه أصحابه، فأخد بغصن من أغصانها فجعل ينفضه ويتحات الورق فقال صلى الله عليه وسلم: ألا يقول سبحان الله والحمد لله ولاإله إلا الله والله أكبر ليحتن الخطايا كما يتحات ورق هذه الشجرة

Dari Anas, bahwasanya: Rasulullah SAW melewati sebuah pohon bersama para sahabat, mengambil ranting dari ranting pohon itu, lalu beliau menggugurkannya, lalu dedaun itu gugur.

Doa belum makbul

Rasulullah SAW pun bersabda, “Ketahuilah mengucapkan Subhanallah wal hamdulillah wa laa ilaaha illaa Allah
wa Allahu Akbar itu dapat menggugurkan kesalahan-kesalahan sebagaimana daun pohon itu berguguran dari
pohonnya.” (HR. Thabrani)

Imam Thabari juga menyebutkan sebuah riwayat ketika ada seorang laki-laki bertanya kepada Sahabat Ali Ra
tentang apa makna Tasbih. Sayyidina Ali berkata, “Tasbih adalah mengagungkan Allah”.

Dalam Kitab Mu’jam Maqayis al-Lughah, disebutkan bahwa bertasbih bererti mensucikan ALLAH sebagai satu-satunya yang berhak disembah.

Maka dari itu, para ulama menyebut tasbih merupakan asas utama dari tauhid dan rukun-rukun keimanan.

Baca juga Hati-hati pakai jubah, dress. Wanita ‘bertelanjang’ tak cium bau Syurga 

Sedemikian besar dan agung makna tasbih, sehingga barang siapa yang mengucapkannya maka dosa-dosa yang
pernah dilakukan akan berguguran sebagaimana daun-daun gugur dari dahan pepohonan sebagaimana Rasulullah
jelaskan dalam hadisnya di atas. Wallahu’alam.

Justeru, amalkanlah zikir Subhanallah wal hamdulillah wa laa ilaaha illaa Allah wa Allahu Akbar sebanyak
mungkin dalam kehidupan seharian kita.

Moga ALLAH ampunkan dosa-dosa terdahulu kita sebelum dipanggil pulang ke tempat abadi.

Sumber: BincangSyariah.Com

Foto: Michael Burrows/Pexels

Gaya Hidup, Gaya Hidup, Isu, Panduan,

Hati-hati pakai jubah, dress. Wanita ‘bertelanjang’ tak cium bau Syurga

PAKAIAN merupakan satu perkara yang asas bagi setiap manusia.

Selain untuk menutup tubuh badan yang sedia kita maklum adalah aurat, ia juga sebagai penyeri penampilan seseorang untuk kelihatan lebih cantik dan bergaya.

Pada zaman sekarang, pakaian dikatakan perlulah mengikut trend dan fesyen. Maka ramailah anak-anak muda berlumba-lumba untuk memenuhi kehendak trend pada masa kini.

Bagi wanita, ramai juga dilihat memilih pakaian jubah dan dress labuh. Nampak cantik dan ayu namun waspada ia boleh mengundang azab ALLAH SWT.

Seperti perkongsian guru Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gebu, Penaga, Pulau Pinang, Mawaddah Mohd Noor ini benar-benar memberi manfaat kepada golongan wanita.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Menerusi posting di laman Facebooknya, memakai jubah perlu disertakan dengan seluar longgar atau kain yang tebal di dalamnya.

“Apabila memakai jubah atau dress labuh, please pakai kain yang agak tebal di dalamnya supaya tidak nampak lurah punggung dan bentuk panties yang dipakai.

“Kadang-kadang warna panties pun nampak dari pandangan luar apabila kain yang dipakai itu jarang dan nipis di dalam. Setakat kain yang nipis di lapisan dalam, ianya belum mencukupi.

“Sepatutnya pakai seluar panjang yang agak longgar dan tebal atau skirt labuh yang tebal di bahagian dalam jubah supaya tidak menampakkan bayangan tubuh si pemakai.

“Jangan terlalu rasa ‘biasa’ mempertontonkan bentuk punggung dan dada serta baby bump bagi ibu-ibu yang sedang hamil. Semua itu adalah aurat yang perlu dilindungi dari pandangan sesiapa pun. Sedarlah, semua itu bukanlah bahan pamer FOC untuk tatapan umum,” coretnya.

Ya! wanita masih perlukan lelaki. Impi yang menghargai, bukan mendera emosi

Menurut Mawaddah, pilihlah jubah yang tidak mengikut bentuk badan.

“Jangan lupa juga, saat memakai jubah pastikan jubah tidak mengikut bentuk badan (ketat) kerana jika demikian ia akan kelihatan seperti membalut sebiji buah cempedak atau nangka.

“Hodoh ‘bebenor’ bila melihatnya walaupun sesetengah orang amat ghairah melihatnya.

“Tidak kiralah gemuk atau kurus si pemakai itu. Ustazah atau tidak. Sama saja. Bukan itu yang diajar oleh agama.

“ALLAH Taala akan murka jika kita berpakaian ala-ala jahiliyyah. Sendat dan ketat.

“Lainlah kalau buah cempedak betul. Memanglah sangat sedap dan menjadi rebutan. Ingatlah, manusia ini dijadikan bukan sebagai rebutan. Tetapi manusia ini adalah khalifah untuk dimuliakan. Dan mulianya manusia itu dengan agamanya yang benar.

“Orang dulu-dulu, si pemakai jubah memahami tuntutan pemakaian jubah iaitu untuk melindungi dan memelihara aurat daripada dilihat dan terdedah. Malang sekali bila di zaman sekarang, jubah hanya dipakai kerana si pemakai hanya mahu nampak lebih trendy dan tampak allegant.

“Jom check dulu piawaian pemakaian jubah yang dipakai. Andai tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan, bersegeralah menukarnya kepada jubah yang lain sehingga menjadi sempurna menurut pandangan syariat,” ujarnya.

Baca juga Rambut wanita yang dipotong tetap aurat. Tak boleh diperlihatkan pada orang lain sesuka hati

Sebab itu Nabi S.A.W bersabda:

“Ada dua kelompok manusia penghuni Neraka yang belum pernah aku lihat: kaum laki-laki yang membawa cambuk seperti buntut sapi, mereka memukul manusia dengannya, dan kaum perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, selalu melakukan kemaksiatan dan mengajarkan kemaksiatannya kepada orang lain, kepala-kepala mereka bagaikan punuk unta yang miring, mereka tidak akan masuk ke dalam Syurga dan tidak akan mendapatkan wanginya, padahal wangian Syurga itu tercium dari jarak sekian dan sekian.” HR Muslim, no 2128.

Maka, inilah realiti yang sedang berlaku di akhir zaman ini. Semoga kita semua terhindar daripada bayangan ini.

Paling penting, semoga kita menuruti syariat dan ALLAH Taala sayang akan kita.

Semoga bermanfaat

Sumber: Mawaddah MN

Foto: Hasan Almasi/Unsplash

Agama, Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Tanam 4 pokok ini, ikhtiar pagar rumah dari gangguan makhluk halus

MENJADI tanggungjawab kita berusaha dan berikhtiar melindungi diri, ahli keluarga dari gangguan makhluk halus.

Antara amalan yang boleh dijadikan sebagai ‘memagar rumah’ ialah penghuninya memperbanyakkan membaca Al-Quran di dalam kediaman berkenaan.

Selain itu, ibadah-ibadah seperti solat sunat perlu dilakukan juga di rumah selain di masjid sebagai pendinding daripada gangguan syaitan.

Perkongsian daripada Ustaz Mohammad Yaakub Yusra menerusi paparan video di Murtadha TV ini boleh dijadikan panduan buat kita semua dalam usaha melindungi diri dan rumah daripada gangguan makhluk halus.

Ustaz Mohammad Yaakub Yusra

Katanya, terdapat beberapa jenis pokok yang elok tanam sebagai ikhtiar mengelakkan daripada gangguan tersebut.

Ustaz Yaakub berkata, makhluk halus seperti jin, iblis tidak menyukainya kehadiran pokok-pokok berkenaan dan berupaya ‘menawarkan’ sihir.

“Kalau orang nak sihir kita, ia susah untuk menembusi apabila ada pokok-pokok ini, dengan izin ALLAH.

“Bukan kita bergantung kepada pokok-pokok itu, tetapi ia adalah ikhtiar. ALLAH yang tetap yang menyembuhkan,” katanya.

Antara pokok tersebut adalah seperti berikut:

1)Pokok durian belanda

2)Pokok limau nipis

3)Pokok limau purut

4)Pokok bidara

Katanya, pokok-pokok itu tidak perlu bersaiz besar. Asalkan ia ditanam dan hidup, sudah memadai walaupun masih kecil.

Selain itu, Ustaz Yaakub juga berkongsi tip buat golongan wanita yang sedang dalam keadaan uzur syarie seperti haid dan nifas untuk berikhtiar mendapatkan perlindungan daripada gangguan dengan mandi menggunakan air daun bidara.

“Ketika dalam keadaan uzur, tubuh wanita akan lemah dan makhluk halus mudah menyerang.

“Untuk membuat air mandian menggunakan daun bidara, daunnya perlu diramaskan di dalam air dan dijadikan air mandi.

“Tiada ada jumlah daun tertentu diperlukan, 21, tujuh atau satu helai. Nilai tidak wajib, ia hanya alternatif sahaja,” katanya.

Sebelum mandi, kaum wanita menyatakan niat sebagai ikhtiar sebagai pendinding daripada makhluk yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada jasad dan dalaman.

Baca juga Tak Cukup Hanya Pasang Ayat Al-Quran Dalam Rumah Untuk Elak Gangguan

Justeru, tidak salah untuk berikhtiar selagi ia tidak melanggar batasan agama. Namun harus diingat, ia perlu dilakukan dengan kebergantungan sepenuhnya kepada ALLAH.

Sumber: Murtadha TV, Pejabat Mufti Wilayah

Foto: Min An/Pexels

Agama, Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Puasa bulan Muharam, puasa terbaik selepas Ramadan

BULAN Muharam ialah bulan yang pertama di dalam kalendar Hijrah. Ia merupakan antara bulan yang
suci dan dimuliakan.

Kita amat digalakkan untuk memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan ini kerana sebaik-sebaik
puasa selepas puasa Ramadan ialah puasa pada bulan Muharam.

Daripada Abu Hurairah RA. beliau berkata:

سُئِلَ أَيُّ الصَّلَاةِ أَفْضَلُ بَعْدَ الْمَكْتُوبَةِ وَأَيُّ الصِّيَامِ أَفْضَلُ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَقَالَ أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ صِيَامُ شَهْرِ اللَّهِ الْمُحَرَّمِ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah ditanya, solat apakah yang paling utama setelah solat maktubah
(wajib)? Dan puasa apakah yang paling utama setelah puasa Ramadan? maka Baginda menjawab:

Sebaik-baik solat setelah solat maktubah (wajib) adalah solat pada sepertiga akhir malam, dan
sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa di bulan Muharam. [HR Muslim, Hadis Sahih]

Demikian juga terdapat sebuah hadis daripada Ali RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Jika kamu ingin berpuasa selain bulan Ramadan, maka berpuasalah pada bulan Muharam, kerana
sesungguhnya ia bulan di mana ALLAH telah memberi taubat kepada kaumnya Musa dan memberikan
taubat kepada kaum yang lain.” [HR Tirmizi, Hadis Hasan Gharib]

Antara puasa sunat yang boleh dilakukan pada bulan Muharam ini ialah:

1. Puasa sunat Isnin dan Khamis

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku kebih suka amalanku
dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” (HR Tirmizi, hadis hasan gharib)

Dalam sebuah hadis yang lain, Saidatina Aisyah RA berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” (HR al-Tirmizi, hadis
hasan).

Jangan lupa follow kami di Instagram!

2. Puasa sunat Tasu’a

• Puasa Tasu’a berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu تِسْعَة (tis’ah) yang bermaksud sembilan.
• Puasa sunat ini dilakukan pada setiap 9 Muharam (kelmarin) dalam kalendar hijrah Islam.

Diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Abbas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud;

“Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke
sembilan (Muharam).” [HR Muslim, Hadis Sahih]

Lafaz Niat Puasa Sunat Tasu’a

نَوَيْتُ صَوْمَ تَاسُعَاء سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari Tasu’a pada hari esok kerana ALLAH Ta’ala”.

Ganti puasa

3. Puasa sunat ‘Asyura

• ‘Asyura berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu عَشَرَة (‘asyarah) yang bermaksud sepuluh.

• Hari ‘Asyura adalah hari yang ke sepuluh dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharam (semalam).

• Pelbagai peristiwa yang telah berlaku pada hari tersebut. Disebabkan itu, umat Islam menghormati hari ‘Asyura sepertimana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

• Terdapat nas khusus berkenaan puasa hari ‘Asyura. Daripada Abdullah Ibnu Abbas RA yang
bermaksud;

“Rasulullah SAW datang ke Madinah dan kemudian Baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura. Lalu Baginda berkata: “Apakah ini?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah hari ALLAH menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu Baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka Baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.” [HR al-Bukhari, Hadis Sahih]

Kata Ibnu Abbas r.a. apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata:
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ

Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari-hari yang lain melainkan hari ini iaitu hari ‘Asyura. [HR al-Bukhari, Hadis Sahih]

Daripada Abu Qatadah, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka
kata Baginda SAW:

أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.
[HR Muslim, Hadis Sahih]

Lafaz Niat Puasa Asyura;

نَوَيْتُ صَوْمَ عَشُرَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari ‘Asyura pada besok hari kerana ALLAH Ta’ala”.

4. Puasa sunat hari putih (Ayyamul Bidh)

Berdasarkan hadis, daripada Ibnu Milhan al-Qaisi daripada ayahnya, dia berkata;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Rasulullah ﷺ memerintahkan kami agar berpuasa pada hari putih (bidh) iaitu pada tiga
belas, empat belas, dan lima belas. Beliau berkata; hari-hari tersebut umpama setahun”.

(Hadis Sahih Riwayat Abu Daud)

Lafaz niat puasa sunat Ayyamul Bidh

نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana ALLAH Taala.

Baca juga Teladani hijrah Nabi Muhammad SAW yang penuh berstrategi dalam mendepani wabak Covid-19 yang menggerunkan

Justeru, marilah bersama-sama mengambil peluang ini untuk melazimi puasa sunat dalam bulan Muharam.

Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang yang dimasukkan ke dalam Syurga melalui pintu al-Rayyan sebagaimana yang tercatat di dalam hadis berikut;

Daripada Sahal bin Sa’d R.A, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud;

“Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk.” (HR Bukhari dan Muslim)

Sumber: Asma’ Harun

Foto: Monstera/Pexels

Agama, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Zikir untuk 100 kebaikan, dijauhkan 100 keburukan

SETIAP insan berlumba-lumba untuk mengecapi kebahagiaan dan kesenangan dalam kehidupan.

Oleh sebab itu, apa sahaja perkara yang dilakukan haruslah berlandaskan dan matlamat utamanya mendatangkan kebahagiaan.

Justeru, pendakwah, Asma’ Harun berkongsi satu zikir yang membantu mendatangkan kebaikan untuk kehidupan.

“Saya nak berkongsi ilmu yang tidak ternilai melebihi dunia dan isinya, satu zikir yang diajarkan Rasulullah SAW.

“Saya hanya menyampaikan, kita sama-sama beramal dengan istiqamah dan khusyuk. Mudah-mudahan akan merasai kemanisannya,” coret beliau di laman sosial Facebook.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Ujarnya, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa membaca

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Laa ilaaha illallahu wahdahuu laa syariika lahuu, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘alaa kulli syai’in
qodir.

“Yang beerti tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH Yang Maha Esa tidak ada sekutu bagi-
NYA. Milik-NYA kerajaan dan bagi-NYA segala puji dan DIA MAHA KUASA atas segala sesuatu.”

Latih anak berpuasa, ini cara berkesan ajar berperingkat ikut waktu solat

“Membaca zikir ini sebanyak 100 kali dalam sehari, maka baginya pahala seperti membebaskan 10 orang hamba, ditetapkan baginya 100 kebaikan dan dijauhkan daripadanya 100 keburukan.

“Dan baginya perlindungan daripada (godaan) syaitan pada hari itu hingga petang dan tidak ada orang yang lebih baik amalnya daripada orang yang membaca doa ini kecuali seseorang yang dapat mengamalkan lebih banyak zikir ini.” (HR Bukhari, hadis sahih)

Menurut beliau lima waktu yang boleh diamalkan zikir tersebut:
1. Boleh diamalkan pada bila-bila masa kerana Nabi SAW tidak menetapkan waktu.

2. Jika nak tetapkan untuk diri sendiri tiada masalah sebagai contoh:

  • 50 kali lepas Subuh dan 50 kali lepas Asar atau 20 kali selepas solat, asalkan cukup 100 kali.

3. Nabi Muhammad SAW menggalakkan membaca sebanyak maksudnya melebihi 100 kali sebagaimana penghujung Hadis.

Baca juga Mengapa Rasulullah membaca surah al-Sajadah hari Jumaat?

4. Wanita yang sedang dalam keadaan tidak suci, seperti haid dan nifas juga boleh mengamalkannya.

5. Membaca tanpa wuduk atau menghadap kiblat juga tiada masalah sambil melakukan tugasan juga dibolehkan.

Namun begitu suasana yang fokus tenang khusyuk sudah tentu lebih baik.

Semoga yang sedang dalam kesusahan, kebimbangan, ketakutan, kesedihan, kesempitan dan apa sahaja, ALLAH angkat segala musibah dan ujian, diberikan jalan keluar terbaik dunia dan akhirat.

Semoga ALLAH juga berikan kita kekuatan beramal dan istiqamah hingga diberikan Husnul Khatimah.

Selamat beramal!

Foto: Towfiqu barbhuiya/Unsplash

Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Mengapa Rasulullah membaca surah al-Sajadah hari Jumaat?

AS-SAJADAH adalah surah ke-32 dalam al-Quran, kitab suci agama Islam. Diturunkan di Mekah selepas surah Al-Mukminun.

Surah itu terdiri atas 30 ayat dan terdapat ayat sajdah (sujud) iaitu ayat ke-15.

Ia menyebutkan bahawa orang-orang yang beriman kepada ALLAH itu, apabila diingatkan kepada mereka tentang ayat ALLAH, mereka akan tersungkur sujud dan mengucapkan tasbih sambil memuji kepada Tuhan dengan tidak ada rasa sombong.

Dalam surah al-Sajadah juga terdapatnya ayat-ayat menghuraikan kunci-kunci ghaib yang dahulu
sudahpun disebutkan di penutup surah Luqman tentang kematian, alam akhirat, tentang kandungan
seorang ibu yang bakal melahirkan dan sebagainya.

Surah itu adalah satu surah kegemaran Nabi Muhammad SAW. Rasulullah selalu membaca dalam rakaat
pertama solat Subuh pada hari Jumaat.

Mengapa Rasulullah membaca surah al-Sajadah pada hari Jumaat?

1. Menurut Saidina Abu Hurairah, Rasulullah dilihat sering membaca surah al-Sajadah dan surah al-Insan
pada solat Subuh pada hari Jumaat.

Perkara itu direkodkan oleh al-Imam al-Bukhari yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada solat Subuh hari Jumaat, Rasulullah membaca surah al-Sajadah (Alif Lam Mim, Tanzil)
dan surah al-Insan (Hal Ata ‘alal insan). (HR al-Bukhari)

2. Melalui riwayat al-Tabrani pula, Rasulullah dikatakan konsisten membaca dua surah ini dalam solat
Subuh hari Jumaat. Timbul persoalan di sini, mengapa Rasulullah sering membaca kedua surah ini pada hari Jumaat?

Salah faham dalam agama

3. Sekiranya diperhatikan kedua surah ini secara umumnya menceritakan tentang perjalanan hidup manusia.
Di sini Rasulullah seolah ingin mengingatkan kita pada setiap minggu bahawa kitaran kehidupan kita
sentiasa perlu diingatkan dan diperhatikan semula.

4. Terdapat tiga tema utama disentuh ALLAH dalam kedua surah ini:

a. Yang pertama adalah tentang asal kejadian manusia. Ayat 7 hingga ayat 9 dari surah al-Sajadah menceritakan tentang asal usul manusia. Begitu juga dengan ayat kedua dari surah al-Insan ini. Seolah, setiap minggu Rasulullah mengajak kita mengimbas kembali tentang asal kejadian kita.

b. Yang kedua, surah ini mengingatkan manusia tentang jalan yang dipilih oleh mereka dalam kehidupan
mereka. Mukmin yang soleh akan memilih jalan yang baik lalu mereka sujud secara praktikal di dalam solat
subuh ini. Manakala manusia yang engkar, yang menjadi kufur dan fasiq akan menyesal di kemudian hari.

c. Yang ketiga, kedua surah ini turut mengingatkan manusia tentang pembalasan akan mereka terima
atas jalan yang dipilih di dunia. Sekiranya jalan baik yang dipilih, maka kebaikanlah diperoleh akhirat kelak.

Solat hujung waktu

5. Melalui dua surah ini, Rasulullah seakan ingin mengingatkan kita pada setiap minggu bahawa kita dijadikan oleh ALLAH atas tujuan yang jelas.

Yang merosakkan kehidupan kita adalah disebabkan perbuatan dan pilihan kita sendiri lalu ALLAH memberikan peringatan tentang azab yang akan kita hadapi atas pilihan kita sendiri.

6. Al-Imam Ibn Taimiyyah pula memberikan sedikit pandangan yang berbeza. Menurut beliau, Rasulullah
sering membaca surah ini pada hari Jumaat kerana ia mengingatkan manusia tentang apa yang akan berlaku pada hari Jumaat.

Baca juga Bersedekah, jaga silaturahim antara 10 amalan digalakkan, pada 10 hari pertama Zulhijjah

Kata Ibn Taimiyyah yang bermaksud: “Kedua surah ini mengandungi (dan mengingatkan kita) tentang apa yang telah dan akan berlaku pada hari Jumaat iaitu, pada hari Jumaat Adam dijadikan, hari ini juga akan berlakunya hari kiamat, manusia akan dihimpunkan juga pada hari Jumaat. Maka bacaan surah ini pada hari Jumaat adalah peringatan buat umat ini tentang apa yang telah dan akan berlaku.” (Majmuk Fatawa Ibn Taimiyyah)

Marilah kita mentadabbur surah ini bersama-sama semoga mendapat berkat dan pengajaran untuk dijadikan pedoman bagi menempuh kehidupan kita kelak.

Moga ALLAH membimbing kita semua.

Sumber: Telegram Dr Ahmad Sanusi Azmi

Foto: Abdulmeilk Aldawsari/Pexels

Berita Semasa,

Zikir juga dikira sebagai sedekah, ramai yang mengabaikannya

KADANGKALA terbit rasa iri hati tatkala melihat ramai orang yang berpeluang menyedekahkan harta benda miliknya. Hati merasakan begitu beruntungnya individu berkenaan berbuat demikian.

Sedangkan dirinya tidak mampu untuk bersedekah dengan begitu kerap. Apatah lagi memberikan nilai yang besar ketika melakukan infak berkenaan.

Ya, setiap orang mempunyai kehidupan yang berbeza. Begitu juga dengan kemampuan masing-masing.

Segelintir orang dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah, manakala ada pula yang hidup serba sederhana dan tidak kurang juga yang hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Namun begitu, semua orang bercita-cita juga untuk bersedekah bagi membantu mereka yang memerlukan atau paling tidak pun, memudahkan urusan orang lain.

Faktor kemampuan nampaknya tidak mengizinkan segelintir orang untuk bersedekah. Justeru apakah ada cara atau pendekatan lain untuk individu dalam situasi berkenaan berinfak?

Baca juga Jangan malas bersedekah, tak perlu tunggu Ramadan. 5 janji ALLAH orang rajin sedekah

Menjawab persoalan itu, Ahli Jawatankuasa Syariah Bank Rakyat, Prof Madya Dr Azman Mohd Noor menjelaskan, sebenarnya ada banyak cara untuk berbuat kebajikan. Ia termasuklah amalan berzikir.

DR AZMAN

Dalam sebuah riwayat hadis, katanya, diceritakan bahawa terdapat seseorang yang mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa orang berada solat dan berpuasa sama seperti dirinya. Namun, dia dapat berbelanja dengan duit mereka untuk bersedekah dan seumpamanya.

Lalu, ditanyakan kepada baginda bagaimana caranya untuk bersaing dengan orang berada tadi? Nabi Muhammad SAW lantas bersabda: “…Dan tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kalian kecuali orang yang melakukan hal yang sama seperti kalian lakukan. Kalian bertasbih, bertahmid dan bertakbir di setiap akhir solat sebanyak 33 kali…” (Riwayat al-Bukhari)

“Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa sebenarnya ada banyak cara untuk kita bersedekah.

“Antaranya bertasbih (Subnahallah), tahmid (Alhamdulillah) dan takbir (Allahu akbar). Malah, setiap ajakan kepada kebaikan, melarang orang lain daripada membuat dosa dan menasihati hal yang baik juga dikira sebagai sedekah,” ujarnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Pexels

 

Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Sumber haram antara punca ALLAH tak makbulkan doa hamba-NYA

BERDOA seakan satu kemestian bagi setiap orang Islam. Tambahan pula, umat Islam sememangnya disuruh untuk berdoa sebagaimana disebutkan dalam al-Quran.

Antaranya, ALLAH SWT berfirman: “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 55)

Bahkan, sesiapa yang tidak berdoa pula dianggap sebagai orang yang sombong kepada ALLAH SWT.

Ia sebagaimana disebutkan dalam satu ayat al-Quran yang berbunyi: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-KU, nescaya AKU perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-KU, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.” (Surah al-Ghafir, ayat 60)

Bukan itu sahaja, doa juga merupakan senjata orang mukmin. Hanya kepada-NYA sahajalah tempat kita memohon, mengadu dan meminta pertolongan.

Kadangkala puas kita berdoa memohon suatu hajat atau seumpamanya, namun ia masih belum lagi diperkenankan oleh-NYA.

Rupa-rupanya ia ada perkaitannya dengan sumber makanan atau apa yang kita pakai selama ini.

Baca juga Jangan Lupa Berdoa Ketika Senang, Ini Sebabnya 

Menurut Pengasas Elzar Group & MyClaaz. com serta Profesor Adjung di Universiti Selangor & Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Zaharuddin Abd Rahman, dalam hal itu, Nabi Muhammad SAW pernah bercerita tentang seorang pemuda yang bermusafir jauh di padang pasir.

DR ZAHARUDDIN

Sabda baginda SAW: “Seorang lelaki yang telah lama berjalan dan jauhnya perjalanan yang ditempuh hingga rambutnya kusut-masai dan berdebu. Dia menadahkan tangannya ke langit lalu berdoa: “Wahai Tuhanku!” Padahal, makanannya dari sumber yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diberi makan dengan makanan yang haram. Maka bagaimana mungkin ALLAH SWT akan memperkenankan doanya?” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis itu, katanya, ia jelas menunjukkan, walaupun bermusafir merupakan salah satu waktu mustajabnya doa, namun disebabkan oleh makanan, minuman dan pakaiannya yang datang daripada sumber haram, maka ALLAH SWT telah menolak doa hamba-NYA itu.

Doa tak dimakbulkan

PASTIKAN kita mendapatkan sumber yang halal untuk membeli keperluan hidup seperti makanan, pakaian dan lain-lain.

“Justeru, para ulama telah menghuraikan bahawa memang terdapat perkaitan antara harta yang kita peroleh, makanan yang kita makan, minuman yang diminum, pakaian yang digunakan serta memberi makanan daripada sumber tidak halal kepada anak akan memberi kesan kepada doa kita,” katanya.

Maka berhati-hatilah dalam bab ini. Jauhilah sumber yang haram dalam kehidupan kita. Sebaiknya, carilah sumber rezeki yang halal lagi baik supaya hidup kita akan terus berkat, bahkan mendapat rahmat-NYA.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Freepik & Pexels

Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Tidak boleh sakiti haiwan. Jika membela, penuhi hak beri makan, minum dan rehat

DI MALAYSIA, kes penganiayaan haiwan memang sering dilaporkan.

Ketahuilah, adab manusia tidak terbatas kepada manusia dan ALLAH sahaja, malah terhadap alam semesta
termasuk haiwan.

Firman ALLAH SWT dalam Surah Surah Al-Israa’, ayat 44: “Langit yang tujuh serta bumi dan segala isi
kandungannya memuji ALLAH. Dan tiada suatu pun kecuali ia menyanjung dengan memuji-NYA; akan tetapi
kamu tidak faham pujiannya.”

Ayat tersebut jelas memberitahu seluruh umat manusia bahawa binatang yang berkeliaran di bumi juga
memuji-NYA, walaupun pujian itu bukanlah dalam bentuk yang difahami manusia.

Justeru, nyahkanlah sikap suka mendera haiwan, sebaliknya, tanamkanlah sifat ihsan dalam diri kita.

Apakah maksud sebenar konsep ihsan terhadap haiwan yang diajar oleh Islam? Bagaimana pula jika terdapat haiwan yang memberi ancaman kepada kita?

Pendakwah, Mohd Fauzi Mustaffa menjelaskan, meskipun haiwan tiada akal, ciptaan ALLAH SWT yang satu itu juga
punya perasaan dan mahukan layanan yang baik.

Oleh sebab itu, katanya, ALLAH SWT merakamkan dalam al-Quran supaya kita berbuat baik dan ihsan kepada
semua yang ada di muka bumi ini, waima sesama manusia, haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan.

“Ketahuilah, ihsan kepada binatang itu adalah merangkumi semua jenis tidak kiralah sama ada haiwan
bernajis, tidak bernajis, halal atau haram dimakan.

“Dalam hadis banyak menceritakan tentang kucing. Walaupun si bulus itu haiwan tidak bernajis dan tidak boleh dimakan, tetapi kita perlu berbuat baik kepadanya.

“Begitu juga halnya dengan anjing yang termasuk sebagai haiwan najis mughallazah dan tidak boleh
dimakan,” katanya.

Menyambung hujah berkenaan, Mohd Fauzi menjelaskan konsep berbuat baik kepada haiwan terbahagi kepada dua
kategori. Seandainya kita membela atau memelihara binatang, penuhilah tiga hak haiwan iaitu dengan
memberi makanan, minuman dan rehat.

Ujar Mohd Fauzi, penuhilah hak-hak haiwan yang dipelihara dengan sebaiknya agar kita tidak berlaku zalim dengan
ciptaan ALLAH yang satu ini.

kerbau sawah

Jika kita membela kerbau untuk membajak sawah misalnya, wajib tunaikan semua hak tersebut. Tak boleh 24
jam bebankan kerbau berkenaan dengan membajak sawah saja.

“Sementelah, jika melibatkan haiwan yang tidak dipelihara, hak yang patut kita pelihara adalah jangan
sesekali menyakiti haiwan itu.

“Sekalipun tidak mahu memberikannya makanan, tetapi usahlah kita menyekatnya untuk makan seperti
mengurungnya. Berdosa berbuat demikian,” tegasnya.

Bukan itu sahaja, jelas agamawan itu, konsep ihsan turut diterapkan dalam agama ketika menyembelih
haiwan untuk dijadikan sumber makanan kita.

“Nabi Muhammad SAW berpesan, apabila ingin menyembelih binatang, maka sembelihlah ia dengan baik. Caranya adalah dengan menajamkan pisau supaya haiwan itu tidak berasa sakit.

“Seperkara, usah sesekali kita mengasah pisau di hadapan haiwan yang hendak disembelih kerana ia boleh menyakiti perasaannya. Perbuatan itu adalah dilarang.

“Ingatlah bahawa menyakiti haiwan bukanlah bermaksud kita menyeksa fizikalnya saja, tetapi juga
perasaannya,” katanya.

Tuturnya lagi, konsep ihsan juga diterapkan ketika menyembelih haiwan iaitu dengan cara menajamkan
pisau.

Begitu juga halnya dengan haiwan yang tidak boleh dimakan seperti binatang perosak atau jenis yang
mendatangkan mudarat kepada manusia. Seandainya dibunuh, terapkan juga konsep ihsan.

“Ertinya, jangan menyakiti atau menyeksa binatang tersebut. Sebaliknya, bunuh dengan baik iaitu sekali
buat, terus mati,” katanya.

Meneruskan perkongsian ilmunya, Mohd Fauzi kemudian menceritakan kisah penganiayaan terhadap haiwan
yang boleh dijadikan iktibar agar kita tidak berlaku zalim terhadap makhluk ALLAH SWT.

unta

Ketika dalam suatu perjalanan, Rasulullah SAW terlihat seekor unta yang sedang merintih dan mengalirkan
air mata. Baginda segera mendekatinya dan mengusap lembut bahagian belakang telinga hingga unta itu
tenang.

Lantas, baginda dalam nada yang tegas bertanyakan: “Siapakah pemilik unta ini?“ Maka, seorang lelaki
Ansar menjawab dengan jujur: “Sayalah pemilik unta ini, ya Rasulullah.”

Lalu, baginda SAW menegur lelaki itu: “Tidakkah kamu takut kepada ALLAH hingga kamu memperlaku binatang yang DIA berikan kepada kamu? Perutnya kamu laparkan, tubuhnya kamu letihkan dengan kerja paksa yang tiada henti dan di luar kemampuannya.“ (Riwayat Abu Daud)

Dalam sebuah hadis masyhur, ujar Mohd Fauzi, Rasulullah SAW telah memberi peringatan dan ancaman
terhadap seorang wanita yang tidak memberi makan dan minum kepada kucingnya ketika mengurungnya.
Bahkan, haiwan comel berkenaan turut tidak dilepaskan untuk mencari makanan sendiri.

Baginda SAW bersabda: “Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung hingga mati
kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.“ (Riwayat al-Bukhari)

Cintailah haiwan sebagaimana sayangnya Nabi Muhammad SAW kepada semua makhluk ciptaan ALLAH SWT.

Berdasarkan hadis berkenaan, sudah terang lagi bersuluh, kita dilarang keras menyakiti haiwan apatah
lagi mendera atau menyeksanya, ungkap Mohd Fauzi.

Namun apabila berdepan dengan haiwan yang boleh mengancam nyawa kita, Mohd Fauzi berkata, “Contohnya,
apabila ular masuk ke dalam rumah, Nabi Muhammad SAW berpesan agar kita tidak terus membunuhnya.
Sebaliknya, berilah amaran supaya ia keluar rumah.

“Ini kerana dikhuatiri ular tadi barangkali ialah jin yang menjelma dalam bentuk haiwan yang ditakuti
oleh manusia.

“Ketahuilah, dalam istilah perubatan Islam, ada penyakit yang dipanggil sebagai badi haiwan. Ia berlaku
apabila kita menyakiti binatang dengan sengaja yang menyebabkan badi tadi akan terkena kepada pelakunya mahupun keluarganya,” ujar beliau.

Sementara itu, fakta yang dilontarkan oleh Mohd Fauzi turut dipersetujui oleh pendakwah Ahmad Fuad
Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad.

Beliau menambah, salah satu bentuk penganiayaan terhadap haiwan termasuklah apabila kita menggunakannya
untuk tujuan kepercayaan syirik.

“Umpamanya, menggunakan dan mempercayai ikan puyu dapat menghalau serta memakan makhluk ghaib. Begitu juga mempercayai rawatan yang memindahkan sakit daripada manusia kepada seekor ayam misalnya. Semua ini termasuk antara perkara yang sangat zalim kepada haiwan kerana mempergunakannya,“ tegas beliau.

Bagaimana pula jika kita pernah menganiaya haiwan seperti melastik burung suatu ketika dulu tanpa
sengaja ketika diri masih jahil?

Menjawab persoalan itu, Da’i Fuad menjelaskan, taubat paling baik adalah dengan mengakui kelemahan dan
kesalahan diri, menyesal dengan kemaksiatan dilakukan dan berazam tidak mengulanginya.

“Satu lagi, lakukanlah infak atau sedekah jariah kepada haiwan-haiwan ’sebangsa’ dengan binatang yang
pernah kita sakiti. Beri makan sebagai tanda memohon maaf kepada haiwan tersebut. Lakukan semuanya ikhlas kerana ALLAH SWT.

“Walaupun haiwan itu tidak berakal, tetapi apabila kita memuliakan dan menghargainya, ALLAH SWT akan
memberi timbal balas yang baik kepada kita,“ pesannya.

Baca juga “Jangan bangga nikmat dunia, kematian menjemput anytime, anyway”- Ebit Lew nasihat jangan lalai

ANEKDOT

RASULULLAH SAW pencinta haiwan.

  • Nabi Muhammad SAW ialah rasul yang sangat menyayangi haiwan dan setiap makhluk yang dijadikan oleh
    ALLAH SWT dalam kehidupannya.
  • Oleh sebab kecintaan itulah, baginda meletakkan nilai kepada haiwan-haiwan tersebut.
  • Sikap itu dapat dilihat apabila Rasulullah SAW menamakan haiwan-haiwan yang selalu menjadi tunggangan
    baginda.
  • Antaranya dalam satu riwayat, disebutkan bahawa kekasih ALLAH itu meletakkan nama al-Murtajaz
    terhadap kuda tunggangannya. Nama itu diilhamkan oleh baginda SAW kerana keindahan warna putih kuda
    berkenaan, selain kekuatannya.
  • Sebab itulah menamakan haiwan tunggangan kita termasuk antara sunah Rasulullah SAW.

Kucing sangat gemar dengan kotak, ini sebabnya

  • Walaupun mungkin kita beli kereta yang sudah pasti ada jenamanya, tidak salah kita meletakkan nama
    kepadanya. Ia sebagaimana baginda SAW membubuh nama al-Qaswa kepada unta miliknya.
  • Bukan itu sahaja, Rasulullah SAW juga menyayangi kucing dan kambing.
  • Disebabkan sifat penyayang itu, baginda SAW begitu menjaga makan dan minum haiwan berkenaan serta
    mengehadkan tugasan binatang berkenaan mengikut kemampuan stamina masing-masing.
  • Andai kata seekor haiwan tunggangan baginda tidak mampu bekerja keras atau ke medan perang, maka
    Rasulullah SAW tidak akan menggunakan kuda tersebut untuk tujuan itu. Begitu juga dengan haiwan yang
    uzur dan tidak kuat dalam perdagangan.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Pexels

Tertukar anak sudah susu badan. Jadi anak susuan tak boleh kahwin
Berita Semasa,

Tertukar anak sudah susu badan. Jadi anak susuan, tak boleh kahwin

BARU-baru tular mengenai insiden melibatkan seorang usahawan produk kosmetik, Siti Suriani Wahiddin.

Wanita yang lebih dikenali sebagai Siti Jamumall itu mendedahkan bahawa anak keduanya yang baru lahir tertukar dengan bayi lain pada Sabtu.

Situasi tersebut secara tidak langsung telah menyebabkan Siti Jamumall menyusukan kedua-dua bayi termasuk anak yang tertukar terbabit.

Persoalannya, bagaimana nasib bayi yang telah menerima susu badan daripada wanita bukan ibu kandung?

Pendakwah bebas, Mohd Fikri Che Hussain berkata Islam ada jawapannya.

Menurut beliau Islam membenarkan seseorang ibu menyusukan bayi lain. Ini disebabkan dalam setengah keadaan ia adalah untuk memenuhi keperluan tertentu misalnya, ibu bayi tersebut meninggal dunia selepas bersalin ataupun ibu menghidap penyakit menghalangnya menyusukan anak.

Maka, keadaan sedemikian memerlukan wanita lain membantu memberi susu badan demi kelangsungan kehidupan bayi tersebut.

Islam menggalakkan perbuatan tersebut sebagai satu cara dalam melakukan kebajikan sesama manusia. Nabi Muhammad s.a.w sendiri mempunyai ibu susuan iaitu Tsuwaibah al-Aslamiyah dan Halimah al-Sa’diyah.

“Anak susuan ialah bayi berusia kurang dua tahun dan telah disusukan seorang wanita yang bukan ibunya sebanyak lima kali penyusuan penuh atau sehingga bayi kenyang.

“Anak susuan itu tidak dikhususkan kepada orang tertentu, tetapi secara umum sama ada bayi berkenaan merupakan anak angkat, anak saudara atau anak sesiapa sahaja yang diberikan susu badan sehingga kenyang,” katanya.

Hubungan anak susuan dengan ibu susuan

Menurut Mohd Fikri, jika seorang wanita menyusukan bayi lain, maka anak itu menjadi anak susuan dan dikira sebagai mahram dengan dua syarat:

Pertama
Penyusuan itu dilakukan ketika usia bayi di bawah dua tahun dengan kiraan kalendar Hijrah (Qamariyah).
Seandainya, penyusuan dilakukan kepada kanak-kanak berusia lebih dari dua tahun ia tidak mengakibatkan persoalan mahram dan dikira aurat orang asing sebagaimana biasa.

Kedua
Wanita itu telah menyusukan bayi tersebut sebanyak lima kali susuan pada waktu yang terpisah-pisah. Maka, penyusuan kurang daripada lima kali tidak membabitkan persoalan mahram.

Katanya, jika penyusuan telah memenuhi dua syarat di atas barulah bayi yang disusukan itu menjadi anak susuan.

Selain itu, berkaitan hukum mahram. Misalnya, bayi itu lelaki haram hukumnya mengahwini ibu susuan.

Pada masa sama, haram mengahwini perempuan yang pernah disusui ibu susuan itu termasuklah anak perempuan atau cucu perempuan.

Adakah anak susuan berhak ke atas harta selepas ibu susuan meninggal dunia?

Anak susuan tidak berhak ke atas harta peninggalan ibu susuan daripada aspek pembahagian pusaka.

Namun begitu, ia dibolehkan jika pemberian harta dalam bentuk hadiah atau wasiat yang tidak melebihi 1/3 dari keseluruhan harta ibu susuan.

Hubungan adik-beradik susuan sebagai mahram muabbad

Adik-beradik susuan daripada anak kandung ibu dan bapa susuan dikira sebagai mahram muabbad (kekal).

  • Selepas bayi itu menyusu daripada ibu susuan, mereka adalah mahram kepadanya secara kekal sebagaimana berikut:
  • Ibu yang menyusukan
  • Suami ibu susuan
  • Ibu bapa kepada ibu susuan
  • Ibu bapa kepada suami ibu susuan
  • Adik-beradik kepada ibu susuan
  • Adik-beradik kepada bapa susuan
  • Anak-anak dan cucu kepada ibu dan bapa susuan
  • Anak-anak dan cucu kepada ibu susuan
  • Anak-anak dan cucu kepada bapa susuan

Ini bermakna mereka tidak boleh berkahwin dan tidak batal wuduk jika bersentuhan dan batas aurat seperti adik-beradik kandung.

Namun dari segi mahram, hanya dengan ibu susuan, ayah dan adik beradik kandung daripada susuan yang sama sahaja.

Bagaimanapun, dengan ahli keluarga lain tetap bukan mahram seperti ibu saudara, ayah saudara, anak ibu saudara dan sebagainya.

Begitu juga dari aspek wali, ayah susuan tidak boleh menjadi wali kepada anak perempuan susuan kerana mereka perlu mendapatkan ayah kandung menjadi wali.

Sekiranya bapa kandung tiada atau tidak dapat ditemui, maka anak susuan tadi perlu menggunakan khidmat wali hakim.

Penting menjaga nasab dan kemuliaan keturunan

Adalah mustahak bagi kita menjaga nasab dan kemuliaan keturunan agar tidak berlakunya perkahwinan antara ahli keluarga anak susuan dan ibu susuan yang mahram.

Menurut Mohd Fikri, cara terbaik untuk menghindar perkahwinan antara ahli keluarga dan anak susuan yang mahram pada masa akan datang melalui:

a) Ibu susuan hendaklah memberitahu kepada suami atau keluarga terdekat bahawa telah menyusu bayi tersebut sejak usia masih kecil.

b) Hubungan silaturrahim antara ibu susuan dan anak susuan hendaklah tidak terputus.

c) Ibu susuan perlu bertindak menerangkan secara terperinci kepada ahli keluarga terdekat agar tidak berlaku percampuran perkahwinan dan kekeliruan pada masa akan datang.

Diharapkan korang yang pernah berdepan situasi ibu susuan harus mengambil berat langkah-langkah berkenaan.

Kad MyRadha’ah

Bagi mereka yang tinggal di Selangor, pendaftaran kad khas boleh dibuat bagi bayi yang menyusu daripada wanita bukan ibu kandung untuk mengelak masalah kekeliruan nasab.

Kad MyRadha’ah itu bertujuan merekodkan pendaftaran anak dan ibu susuan supaya anak susuan tidak berkahwin dengan saudara susuan, selain memperkenalkan identiti mereka dan menjaga keturunan umat Islam melalui proses nikah sah.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuka pendaftaran di setiap Pejabat Agama Islam Daerah bagi menggalakkan pendaftaran, sekali gus mengharapkan dapat menjaga dan memelihara nasab atau keturunan bagi ibu dan anak susuan.