Browsing Tag

berita-semasa

Taasuber
Berita Semasa,

Taasuber, tidak perlu fanatik melampau kepada individu, tetapi taasublah kepada kebenaran

MUTAKHIR ini hangat di media sosial mengenai kisah-kisah pentaasub (pentaksub) atau fanatik yang dikatakan agak melampau menyokong idola yang mereka agungkan.

Tidak kira sama ada individu tersebut dalam kalangan selebriti, agamawan mahupun figura biasa, ketahuilah perbuatan tersebut dilarang sekeras-kerasnya dalam agama Islam.

Isu yang tidak pernah lekang ini juga pernah dibahas oleh penceramah bebas terkenal, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menerusi satu artikel yang disiarkan di laman portal tempatan.

Katanya, setiap pendakwah, termasuk pemimpin (parti) politik, yang melakukan apa juga kerja-kerja kebajikan, biarlah ikhlas dalam perjuangan yang benar-benar membawa imej Islam ini.

“Bukannya berpura-pura, penuh hipokrit, kerana yang akan menerima padahnya nanti, selain diri sendiri, lebih besar lagi adalah agama suci kita,” tegasnya.

Tambahnya lagi, jangan terlalu taasub kepada manusia atau individu (parti) tertentu, tetapi kepada kebenaran, tidak kira siapa. Neraca kita adalah apa yang benar, apa yang salah, bukan siapa atau siapa yang benar, siapa yang salah.

PROF Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

“Jangan kerana terlalu suka kepada seseorang, sehingga tidak nampak antara hak dan batil. Kita ada akal yang ALLAH kurniakan, nilaikan dengan mata hati. Seperti mana artikel yang saya sebelum, berjubah, berkopiah, bersongkok, tidak semestinya tidak rasuah, salah laku dan salah guna kuasa.

“Saya cukup bimbang dengan ‘trend’ yang berlaku hari ini, pantang dikritik dan disentuh sedikit figura-figura tertentu, maka akan ‘diserang’ oleh pentaasub-pentaasub. Ini bukan cara kita. Nilai dahulu, apa yang benar dan apa yang salah.

ARTIKEL BERKAITAN 

“Taasub sehingga tidak dapat membezakan mana benar, mana salah, adalah sangat bahaya.
Mempertahankan sesuatu tanpa menoleh lagi. Al-Quran memberi peringatan terhadap mereka yang terlampau taasub kepada orang tertentu yang menjurus kepada kebatilan dan kesesatan.

“Taasub atau fanatik ini juga merentas setiap anutan agama bukan sahaja di dalam Islam. Setiap agama ada golongan yang taasub. Hakikatnya, ia juga boleh menyebabkan huru-hara dalam masyarakat.

“Mereka yang taasub boleh bertindak ganas bagi mempertahankan anutan dan apa yang mereka bawa walau salah. Ingatan sekali lagi, jadilah manusia yang taasub kepada kebenaran, bukan kepada orang,” ujarnya.

AL-QURAN memberi peringatan terhadap mereka yang terlampau taasub kepada orang tertentu yang menjurus kepada kebatilan dan kesesatan. -Foto: Canva

Logik akal ‘taasuber’

Sementera itu, pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung menerusi satu hantaran di laman Facebook turut menyeru masyarakat agar jauhkan diri daripada menjadi pentaasub.

“….masyarakat dilarang berkongsi dan mengulas perbahasan agama di mana asatizah mengkritik pendapat satu sama lain.

Baca Juga Tegur kesalahan secara terang-terangan dikira mengaibkan orang lain?

“Ini kerana menurut logik taasuber, semua ini adalah membuka aib dan menyebarkan berita yang tidak pasti. Para penjenayah dan ahli politik ada sumbangan mereka dan jangan kerana satu kesalahan mereka maka kita lupakan kebaikan yang pernah mereka buat.

“Namun, tiada masalah untuk mana-mana portal hiburan melaporkan selebriti curang, selebriti bergaduh, skandal selebriti, menonjolkan selebriti berpakaian tidak senonoh dan sebagainya kerana menurut logik taasuber, semua itu bukan aib tetapi fakta yang perlu diketahui masyarakat sebagai kesedaran dan hiburan.

FIRDAUS WONG

“Kejahilan itu juga suatu aib yang perlu ditutup maka jikalau menurut logik taasuber, maka jangan komen apa-apa menunjukkan kejahilan diri kerana haram menyebarkan aib orang lain apatah lagi membuka aib sendiri.

“Proses mendidik masyarakat tidak taasub adalah satu proses berterusan. Bukan mudah tetapi itulah sunah dalam berdakwah.

Turut Disyorkan Umur pendek, hati gelap bila tonton video lucah

‘Saya mahu mendidik masyarakat jauhi taasub pada sesiapapun, organisasi apa sekalipun baik parti politik, NGO dan sebagainya kecuali kepada Rasulullah SAW dan juga taasub pada prinsip.

“Prinsip kebenaran berdiri dengan sendirinya tidak dimiliki secara mutlak oleh mana-mana individu atau organisasi. Para pendakwah, jangan kerana takut dikecam maka kita tidak terus mendidik. TERUSKAN..,” kongsinya.

pasar percuma terengganu
Berita Semasa,

‘Daripada rakyat kepada rakyat’, Pasar percuma di Terengganu bantu golongan kurang mampu

SABTU lalu, sebuah pasar percuma telah diadakan di Marang, Terengganu memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pelbagai barangan tanpa sebarang bayaran.

Program itu merupakan inisiatif sekumpulan sukarelawan yang berhasrat membantu masyarakat dalam menghadapi kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup, seperti yang dilaporkan Bernama.

Pengasas program Pasor Percuma Ganu Kite! Dr Muhammad Salehuddin Sulaiman berkata, program yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang di Bukit Payong disertai 35 sukarelawan yang menyumbang pelbagai jenis barangan termasuk susu bayi, mainan kanak-kanak, baju dan buku.

Baca juga Dilema Sedekah Barangan Dan Pakaian Lama, Bimbang Amalan Itu Tidak Diterima. Ini Penjelasannya

Selain itu katanya, program Pasor Percuma Ganu Kite! yang diadakan selama dua jam bermula 10 pagi itu turut memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan bihun secara percuma.

“Ini merupakan kali ke-23 kita adakan pasar percuma sejak 2017. Konsep yang kita buat adalah ‘daripada rakyat kepada rakyat’… kita membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan.

“Para penyumbang pula terdiri daripada rakan-rakan saya dan mereka juga mengajak kenalan mereka untuk menyertainya. Kami juga menghebahkan program ini dalam media sosial untuk menarik lebih ramai penyumbang,” katanya ketika ditemui pemberita di SK Padang Mengkuang.

pasar percuma terengganu

SUKARELAWAN sentiasa diperlukan bagi menyumbang barangan sepanjang pasar dijalankan.

Beliau berkata program itu menerima sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran 1,000 pengunjung termasuk kanak-kanak yang tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan pelbagai barangan yang mereka perlukan.

Seorang penyumbang Ang Meng Siew, 40, berkata selain gembira dapat membantu masyarakat, acara seumpama ini juga memberikan kepuasan buat dirinya apabila pelbagai barangan dari rumahnya yang masih elok seperti mainan anak-anaknya, telah bertukar pemilik.

“Kali pertama saya sertai program ini pada 2020. Apabila kita dapat memberi ia bukan sahaja menggembirakan hati penerima tetapi kita sendiri pun rasa gembira.

Baca juga Jangan terlalu lokek, tak kurang sedikit pun harta kita kalau bersedekah atau berwakaf

“Saya juga dapat mendidik anak-anak untuk berkongsi rezeki dengan orang lain, barangan antaranya mainan dan kasut mereka yang tidak lagi digunakan kini telah menjadi milik orang lain dan tidak dibuang begitu sahaja,” katanya yang menyumbang kasut, baju dan mainan kanak-kanak.

pasar percuma terengganu

SELAIN barangan terpakai yang masih elok seperti pakaian, buku dan pinggan mangkuk, sumbangan melibatkan perkhidmatan, contohnya servis rundingan dan gunting rambut juga dialu-alukan oleh penganjur program.

Dalam pada itu, seorang pengunjung Minah Musa, 71, berkata beliau sangat gembira kerana dapat membawa pulang pelbagai barangan seperti beras dan minyak masak secara percuma yang sekaligus dapat mengurangkan perbelanjaan keluarganya untuk minggu ini.

“Mak cik tahu mengenai program ini melalui anak saudara yang turut membawa mak cik ke sini. Syukur sangat kerana ada yang prihatin dengan nasib penduduk kampung seperti mak cik.

Baca juga Bersedekah pada hari Jumaat sangat dianjurkan Islam, tetapi jangan bertangguh untuk lakukan amalan mulia itu pada hari lain

“Lagipun mak cik ini orang susah tiada pendapatan tetap dan setiap bulan hanya mengharapkan duit belanja daripada anak-anak tetapi mereka pun tidak dapat banyak memberi kerana hanya kerja biasa-biasa sahaja. Jadi apabila ada yang sudi beri sumbangan memang mak cik sangat hargai,” kata ibu kepada 10 orang anak itu.

Program Pasor Percuma Ganu Kite! yang seterusnya dijangka diadakan lagi pada bulan 11 nanti.

 

‘Daripada rakyat kepada rakyat’, Pasar percuma di Terengganu bantu golongan kurang mampu

Foto & Sumber: Bernama & Pexels

palestin israel silwan
Antarabangsa,

Cuba halau penduduk Palestin, tindak-tanduk Israel ‘diperhati’ mata-mata gergasi

Cuba halau penduduk Palestin, tindak tanduk Israel ‘diperhati’ mata-mata gergasi…

SEKUMPULAN pelukis telah melakar mata-mata gergasi di seluruh kejiranan Silwan di kawasan Timur Baitulmuqaddis.

Lukisan berkenaan yang menghiasi dinding-dinding rumah rakyat Palestin di sana begitu besar sehingga sesiapa sahaja yang melalui Silwan pasti terasa seolah-olah diperhatikan.

Mana tidaknya, mural mata itu sememangnya diwujudkan sebagai suatu peringatan buat rejim Zionis bahawa ramai menyedari ketidakadilan yang sedang berlaku di kejiranan tersebut.

Menurut penduduk Palestin di Silwan, pihak berkuasa Israel sedang berusaha untuk menghalau mereka keluar daripada kawasan tersebut.

Baca juga 5 daerah di Palestin yang diranapkan dengan kejam, kini berganti bangunan milik Israel

palestin israel silwan

MATA-mata terbuka luas yang ada sekitar kejiranan Silwan menimbulkan perasaan seolah-olah diperhatikan bagi mereka yang melalui kawasan berkenaan.

Mengulas tentang lakaran mata gergasi berkenaan, Pengarah Pusat Kreatif Madaa-Silwan, Jawad Siyam berkata, “(Lukisan) mata yang sedang merenung itu memberi mesej kepada orang ramai bahawa kami nampak (sedari kewujudan) mereka dan mereka juga boleh nampak (sedari kewujudan) kami.

“Apa yang ingin kami katakan adalah kami ada di sini dan kami cintakan tanah serta rumah kami.”

Sejak tahun 2015, pusat berkenaan telah bekerjasama dengan pelbagai artis dari Amerika Syarikat untuk menghasil serta memelihara mural-mural tersebut menerusi projek seni yang dinamakan “I Witness Silwan” (Saya Saksikan Silwan).

Selain pancaindera menggambarkan mata-mata penduduk Palestin dan pemimpin antarabangsa, mural berkenaan juga menampilkan simbol kebangsaan seperti burung ‘goldfinch’ dan bunga popi.

Baca juga Wanita Israel Derma Buah Pinggang Sempena Hari Jadinya kepada Kanak-Kanak Gaza

palestin israel silwan

SUDAH hampir satu abad berlalu sejak konflik Palestin-Israel bermula pada tahun 1948 namun jalan penyelesaiannya masih tidak kelihatan.

Menurut penganjurnya, projek itu bertujuan mengetengahkan konflik yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin di kejiranan Silwan berhampiran Kota Lama Baitulmuqaddis.

Israel mula menduduki Baitulmaqdis selepas perang Timur Tengah pada tahun 1967 dan merampas kota suci itu sebagai ibu kotanya. Dalam masa sama, rakyat Palestin menuntut bahagian timur Baitulmuqaddis untuk dijadikan ibu negara bagi wilayah mereka pada masa hadapan.

Baca juga Operasi ‘BREAKING DAWN’ Zionis jarah nyawa rakyat Palestin

Walau bagaimanapun, rundingan damai antara kedua belah pihak menemui jalan buntu sejak beberapa tahun lalu.

Sejak pendudukan Israel di kota suci itu, penduduk Palestin sekitar Baitulmuqaddis Timur menghadapi pelbagai ancaman termasuk penangkapan, pencerobohan dan serbuan rumah daripada pihak rejim berkenaan.

Sehubungan itu, pihak penganjur juga berharap Projek Silwan dapat menentang usaha penduduk Israel untuk meningkatkan kehadiran Yahudi di kawasan seperti Silwan yang mempunyai majoriti penduduk berbangsa Arab atau Palestin

Foto dan Sumber: The Arab Weekly & TRT World

hina islam
Berita Semasa, Dalam Negara,

Hati-hati, berdosa mendedahkan aib sendiri

HATI-HATI, hukumnya berdosa bagi sesiapa yang mendedahkan aib sendiri.

Kebiasaanya apabila melakukan kesalahan, seboleh-bolehnya kita ingin menyembunyikan perkara itu kerana sememangnya fitrah manusia memiliki perasaan malu.

Namun, entah apa yang berlaku pada generasi kini apabila muncul segelintir golongan yang bukan sahaja tidak kisah menzahirkan dosa yang dilakukan, malah begitu berbangga dengan perbuatan tersebut.

Lebih parah, platform media sosial digunakan untuk menayangkan kepada khalayak ramai pekung di dada yang sudah habis terbuka.

Baca juga Tiga benda yang kita tidak boleh tunjuk di media sosial

Baru-baru ini, tular di alam maya isu seorang wanita Islam yang dikatakan menghina agama Islam melalui persembahan komediri (stand-up comedy) di sebuah kelab komedi bertempat di ibu kota.

Dalam sebuah video berdurasi 54 saat, pelawak wanita berkenaan yang pada mulanya tampil lengkap berbaju kurung dan tudung bertindak menanggalkan pakaian di atas pentas selepas mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran.

Tindakan wanita tersebut bukan sahaja menerima kecaman daripada warganet, bahkan termasuk komuniti pelawak tempatan yang mengatakan bahawa persembahan terbabit tidak peka dengan sensitiviti umat Islam.

hina islam

KEMUDAHAN internet yang ada kini menyebabkan senang berlakunya fitnah apabila perkara yang tidak sepatutnya dikongsikan bersama orang luar.

Sebagai Muslim, kita sering diingatkan supaya tidak memperlihatkan aib diri dan orang lain kerana dikhuatiri boleh membawa kepada fitnah yang akhirnya mencela diri sendiri.

Ketahuilah ALLAH sudah pun membantu menutupkan aib hamba-hamba-NYA, jadi di mana letaknya akal dan kewarasan bagi mereka yang sebaliknya berbangga menghebohkan pula perbuatan keji tersebut.

Baca juga Wajib jaga aib orang, aib sendiri apatah lagi

Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan ditutupi segala kesalahannya kecuali orang-orang yang berbuat maksiat dengan terang-terangan.

Masuk dalam kategori berbuat maksiat terang-terangan adalah apabila seorang berbuat dosa pada malam hari kemudian, ALLAH SWT telah menutupi dosanya, lalu, dia berkata (kepada temannya): Hai Fulan! Tadi malam aku telah berbuat ini dan itu.

ALLAH SWT telah menutupi dosanya ketika di malam hari sehingga dia bermalam dalam keadaan ditutupi dosanya, kemudian, di pagi hari ia sendiri menyingkap tirai penutup ALLAH SWT dari dirinya.” (Riwayat Muslim)

Baca juga Amalkan 5 cara ini untuk hindari fitnah akhir zaman

hina islam

USTAZ WADI ANNUAR

Mengulas tentang isu ini, pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar berkata, antara golongan yang sukar mendapatkan pengampunan dan rahmat ALLAH SWT termasuk mujahir, iaitu mereka yang melakukan maksiat kepada Tuhan lalu dedahkan kepada orang ramai tentang perbuatan dosa tersebut.

“Kamu sudah melakukan dosa besar dan ALLAH telah menutup aib itu, tetapi kamu pula mengumumkan di hadapan ratusan ribu orang serta dikongsi jutaan manusia yang melihatnya.

“Kamu nak cabar siapa? Kamu nak mempermainkan siapa? Apakah kamu hendak beritahu bahawa walaupun bergelumang maksiat dan dosa, tetapi hidup penuh nikmat serta kebahagiaan?” katanya.

hina islam

BERTAUBATLAH kepada ALLAH bagi mereka yang sudah terjebak dengan perbuatan keji membuka keaiban diri dan orang lain.

Bak kata pepatah Melayu, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”, wanita terbabit menerima padah gara-gara perbuatannya apabila dia didakwa oleh mahkamah di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Mengikut seksyen berkenaan, seseorang individu boleh didakwa jika cuba menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian permusuhan, niat jahat, atau menjejaskan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.

Baca juga Hati-hati dengan ‘content’ persenda agama, akidah boleh runtuh kerananya

Sekiranya disabitkan atas kesalahan tersebut, mereka boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun, tetapi tidak melebihi lima tahun.

Oleh itu, berhati-hatilah dan gunakan akal yang waras disertai keimanan sebelum berbicara dan melakukan sesuatu.

Sumber: Astro Awani & Kosmo

Foto: Pexels & I Love Borneo

zamzam
Berita Semasa, Dalam Negara,

Jangan beli air zamzam secara runcit, mungkin tidak tulen

ORANG ramai dinasihatkan supaya tidak membeli air zamzam yang dijual secara runcit di negara ini kerana tidak dapat dipastikan ketulenannya.

Seperti yang dilaporkan Sinar Harian, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan mana-mana individu membawa keluar air zamzam dalam kuantiti yang banyak kecuali melibatkan agensi umrah dan haji.

zamzam

DATUK AHMAD MARZUK SHAARY

“Memang jemaah tidak boleh membawa pulang air zamzam melalui bagasi tetapi ada agensi yang mengendalikannya dan TH akan menguruskan bagi pihak jemaah.

“Jemaah akan mendapatkan air zamzam tersebut sebaik tiba di tanah air. Jadi, tidak timbul isu mengenai perkara ini (tidak dibenar bawa pulang),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 11 mangsa ribut dan kebakaran di Mukim Siti Manis, Kijang semalam.

Baca juga 10 awal Zulhijjah, hari yang lebih baik daripada jihad

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan penjualan air zamzam secara runcit di Malaysia.

“Logiknya, orang perseorangan pun tak dibenarkan bawa balik sendiri dan yang berniaga ini tiada kepastian dari segi ketulenan dan sebagainya.

Kerajaan menasihatkan supaya tidak membeli air zamzam yang dijual secara runcit di Malaysia,” ujarnya.

Memetik laporan Bernama, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) pula memaklumkan, tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zamzam.

zamzam

IKLAN yang dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM melarang penjualan air zamzam di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, “Justeru itu, air zamzam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya,” katanya.

Menurut beliau, hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan sejak 2012 sehingga kini, nilai rampasan ke atas air zamzam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20.

Melalui pemantauan BKMM terhadap platform atas talian pula pada 2021 dan 2022, sebanyak 23 dan 40 iklan air zamzam masing-masing telah dipadam daripada media sosial.

Baca juga Saintis Jepun Temui Rahsia dan Akui Keajaiban Air Zamzam

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara melebihi dua tahun.

Kata Dr Noor Hisham lagi, “KKM menasihati orang ramai agar tidak membeli air zamzam dari mana-mana kedai atau platform dalam talian terutamanya pada musim haji ini kerana dikhuatiri ia air zamzam tiruan.

Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penjualan air zamzam di kedai atau platform dalam talian ke Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melalui laman sesawang aduan awam KKM di http://moh.spab.gov.my; atau Facebook BKKM di https://www.facebook.com/BKKMHQ.

Sumber: Sinar Harian & Bernama

Foto: Facebook

pastikan kesahihan visa furada
Istimewa Panggilan Baitullah,

Pastikan kesahihan visa furada yang ditawarkan

UMAT Islam di negara ini dinasihatkan supaya lebih teliti dan berhati-hati sebelum menggunakan khidmat mana-mana pihak yang menawarkan visa furada bagi menunaikan ibadah haji.

Memetik laporan Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ini bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menawarkan pakej haji palsu.

visa furada

DATUK IDRIS AHMAD

“Visa furada adalah visa yang tidak berkaitan dengan Tabung Haji (TH). Kita harapkan biar ‘verify’ (sahkan) elok-elok. Kita tak mahu nanti apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, bebannya nanti diletakkan pada TH.

Sebab itu kita harapkan supaya apa sekalipun, pastikan supaya visa itu memang tulen dan ada penerbangan dan penginapan di sana. Itu yang kita harapkan kepada mereka kalau ditawarkan dengan visa furada ini,” katanya kepada Bernama.

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa melibatkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

visa furada

DATUK SERI SYED SALEH

Seperti yang dilaporkan Berita Harian, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman pula berkata TH sering mengingatkan risiko haji furada, apatah lagi dengan senario musim haji tahun ini yang menyaksikan pelbagai syarat ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Saya harap kita faham situasi ini dan Kerajaan Arab Saudi juga telah menyatakan supaya kita harus berhati-hati kerana memang ada pihak tertentu yang menawarkan pakej haji palsu.

Baca juga Wanita UK ini kongsi tip, panduan haji yang beri inspirasi kepada bakal jemaah di Twitter

“Ini berlaku secara peringkat antarabangsa dan di Malaysia, kita juga dapati ada agensi yang bukan dilesenkan dan tidak diiktiraf TH yang menawarkan pakej kononnya visa furada. Jadi saya harap umat Islam di Malaysia tidak seharusnya terpedaya dengan iklan-iklan yang dikeluarkan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji Malaysia.

visa furada

ADA juga beberapa pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menawarkan khidmat visa furada yang palsu.

Syed Saleh turut mengingatkan individu atau syarikat yang menawarkan visa furada tanpa lesen bahawa mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta TH, iaitu kesalahan mengiklan atau mengendalikan haji tanpa mempunyai lesen daripada TH.

“Kita dapati ramai yang terpedaya dengan skim dan iklan terbabit, jadi berhati-hatilah,” katanya turut menyarankan rakyat Malaysia memilih dalam kalangan 20 agensi pelancongan atau dikenali sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk mengendalikan ibadah haji secara pakej.

Syarikat PJH menyediakan pelbagai pakej dengan harga RM35,000 ke atas dan ia kuota yang sememangnya diperoleh untuk TH dan Malaysia.

Baca juga Warga Indonesia berbasikal 5000 km untuk tunaikan haji

Sebelum ini, Bernama melaporkan hasil tinjauan menerusi media sosial mendapati promosi berkaitan visa furada semakin rancak dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjanjikan bakal jemaah berlepas pada 5 Julai.

Promosi itu agak meragukan kerana Arab Saudi telah menetapkan penerbangan terakhir bagi haji adalah pada 4 Julai apatah lagi ia semakin hampir dengan Hari Wukuf.

Sumber: Bernama & Berita Harian

Foto: Freepik

Jemaah Haji
Berita Semasa, Dalam Negara,

Bakal jemaah haji positif Covid-19 perlu lalui prosedur

BAKAL jemaah haji perlu menjalani prosedur saringan sebelum menjalani ibadah haji bagi memastikan mereka bebas daripada Covid-19.

Seramai 14,306 jemaah Malaysia akan menunaikan ibadat haji di Arab Saudi pada tahun ini dan mereka dijadualkan tiba di Madinah serta Makkah secara berperingkat.

Terbaharu, penerbangan kumpulan ketujuh (KT07B) melibatkan 297 jemaah haji tempatan telah selamat tiba di Madinah semalam.

Ketika ini dianggarkan 1,172 jemaah haji sudah berada di Tanah Suci sejak penerbangan kumpulan pertama pada Sabtu lalu.

jemaah haji positif

IDRIS AHMAD

Sepanjang proses dijalankan, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad mengingatkan agar bakal jemaah haji sentiasa mematuhi kawalan kendiri dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, terutamanya ketika mengadakan kenduri doa selamat.

Seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, beliau berkata demikian susulan tiga jemaah haji dalam kumpulan pertama yang didapati positif penyakit C ovid-19.

“Saya harap bakal jemaah haji lebih berjaga-jaga sewaktu penganjuran kenduri sebelum bertolak. Hendak buat kenduri tidak salah.

Tetapi perlu sentiasa jaga SOP, kita bimbang jadual penerbangan bakal jemaah akan terjejas. Ini kerana saya dimaklumkan terdapat bakal jemaah haji yang positif, disyaki dijangkiti sewaktu kenduri,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Memanah Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama (MESMA) Peringkat Kebangsaan pada Ahad lalu.

Baca juga 6 ciri dalam aplikasi Muslim Pro ini bakal bantu jemaah haji

Tambah Idris, bakal jemaah haji tidak perlu bimbang jika mereka didapati positif Covid-19 kerana masih berpeluang untuk mengerjakan haji pada musim ini memandangkan jadual penerbangan terakhir pada Julai.

“Jika mereka positif, mereka ada masa lagi (untuk mengerjakan haji) kerana penerbangan akhir kita (mungkin) pada 2 atau 3 Julai nanti. Sekiranya sudah sihat Insya-ALLAH mereka boleh terbang (ikut kumpulan lain).

“Tidak akan ada (penerbangan tambahan) kecuali satu kapal terbang positif (Covid-19), boleh buat (penerbangan tambahan). Jika seorang atau dua itu mungkin tidak ada masalah, TH (Lembaga Tabung Haji) boleh uruskan,” jelasnya.

Jemaah haji Covid positif

IBADAH haji tahun ini hanya boleh dilaksanakan oleh 1 juta jemaah seperti yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman pula berkata, bakal jemaah haji yang positif hendaklah segera memaklumkan kepada pihak TH.

Prosedur terbaru Kerajaan Arab Saudi menetapkan bahawa jemaah yang mempunyai ujian PCR negatif sahaja yang dibenarkan untuk menunaikan fardu haji.

Baca juga Kos ibadah haji tahun ini dijangka meningkat

“Ini supaya kita boleh menasihati mereka dan membuat perancangan yang seterusnya supaya dapat membantu mereka juga untuk menunaikan fardu haji pada tahun ini,” ujarnya ketika ditemui media di Pusat Konvensyen Movenpick pada Sabtu lepas.

Selain itu, dalam situasi jemaah berpasangan di mana salah seorang dijangkiti Covid-19, pilihan diberikan sama ada mahu meneruskan secara solo atau menunggu giliran seterusnya untuk pergi bersama.

Sumber: Sinar Harian & Harian Metro

Foto: BERNAMA & Pexels

bon odori
Berita Semasa, Dalam Negara,

Umat Islam tidak seharusnya sertai festival Jepun, Bon Odori

UMAT Islam tidak seharusnya sertai mana-mana program membabitkan soal agama dan akidah. Demikian kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berhubung Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini.

bon odori

IDRIS AHMAD

Katanya, kajian yang dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mendapati sambutan perayaan Jepun berkenaan mempunyai unsur-unsur keagamaan.

“Kita nasihatkan kepada semua orang Islam supaya tidak sertai program ini. Ada banyak lagi program lain yang boleh disertai,” katanya pada sidang media.

Baca juga Islam pesat berkembang di kawasan setinggan Brazil

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor pula meminta umat Islam agar tidak menghadiri acara itu kerana dibimbangi boleh membawa kepada syirik.

“Festival ini ada kaitan dengan mengingati roh atau semangat nenek-moyang maka dikhuatiri boleh menyebabkan syirik. Orang Islam perlu sentiasa pelihara kemurnian akidah mereka,” ujarnya seperti yang dilaporkan agensi berita, BERNAMA.

Bon odori

POSTER festival keluaran pihak penganjur yang menampilkan watak berhijab dikritik sebahagian warga maya.

Menurut Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Muhammad Najhan Shahir Halim, menyertai atau terlibat dalam pesta berkenaan boleh menggugat keimanan seorang Muslim.

“Malah, kita juga dilarang menyerupai golongan bukan Islam pada sudut yang melanggari akidah dan syariat,” katanya lagi.

Muhammad Najhan bagaimanapun meminta umat Islam agar menghormati budaya serta kepercayaan agama lain. Malah, Bon Odori adalah antara perayaan pelbagai agama yang hidup harmoni dan aman selagi ia tidak mencampuri urusan umat Islam dan ajarannya.

Baca juga Islam pesat berkembang di kawasan setinggan Brazil

Bon Odori di Malaysia

Dipetik daripada sebuah laporan berita The Star, Bon Odori adalah sebuah festival musim panas terkenal di Jepun melibatkan nyanyian dan tarian, diiringi rentak dram serta alunan seruling.

Bon Odori

SETIAP tahun, Festival Bon Odori di Malaysia dihadiri ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Di Malaysia, festival tersebut telah diadakan sejak tahun 1977 bertujuan mengeratkan hubungan antara negara Malaysia dan Jepun dengan pameran makanan, seni dan tarian Jepun.

Menurut laman web salah satu penganjur acara, The Japan Club of Kuala Lumpur, Bon Odori yang dimulakan oleh ekspatriat Jepun telah berkembang menjadi pesta tahunan disertai lebih 35 ribu orang setiap tahun.

Acara berkenaan memberi peluang kepada orang ramai merasai makanan Jepun daripada deretan gerai jualan di samping melihat persembahan dram serta menyertai tarian Bon Odori.

Bon odori

KEMUNCAK acara yang melibatkan persembahan tarian Bon Odori pada sebelah malam menjadi penyebab mengapa umat Islam tidak disarankan menyertai acara oleh pihak agama.

Secara tradisinya, Bon Odori adalah upacara Buddha Jepun bersifat tarian yang telah disambut sejak 500 tahun dahulu bertujuan menyeru semangat orang yang sudah mati.

Sebuah artikel daripada laman web Kementerian Luar Negeri Jepun pula mengatakan, tarian Bon Odori yang asalnya adalah sebahagian daripada upacara untuk menghormati roh nenek moyang tetapi kini dianjurkan lebih kepada memupuk semangat kekeluargaan.

Festival tetap dilaksanakan

Susulan kenyataan Idris, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihaknya akan merujuk pihak berkuasa agama negeri serta pihak Kedutaan Jepun bagi mendapatkan maklumat terperinci.

Bon odori

AMIRUDIN SHARI

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya tidak menerima sebarang nasihat atau pandangan berkaitan penganjuran festival itu sebaliknya menganggap ia sebagai acara kebudayaan.

“Kita perasan informasi (larangan menyertai festival) itu datang beberapa hari lalu menerusi Wikipedia, malah sebelum ini, tidak timbul isu mengenai festival itu,” katanya selepas pelancaran Majlis Penasihat Kesihatan Awam Negeri Selangor (SELPHAC) semalam.

Amirudin berkata pihaknya akan tetap meneruskan Festival Bon Odori tersebut untuk memberi ruang kepada penganut agama lain menyambutnya seperti mana-mana perayaan yang disambut dalam negeri itu.

FESTIVAL Bon Odori di negara ini begitu popular sehinggakan bas khas ke lokasi acara juga ada disediakan buat kemudahan pengunjung.

Kerajaan negeri Pulai Pinang juga tidak bercadang untuk membatalkan penganjuran pesta berkenaan yang dijadual berlangsung di Padang Kota Lama pada 30 Julai nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin menjelaskan, acara Bon Odori dalam konteks Pulau Pinang tidak mengandungi elemen pemujaan atau upacara keagamaan tertentu.

“Sambutan itu akan tetap diteruskan sebagai meraikan hubungan antara negara Jepun dan Malaysia yang terjalin sejak sekian lama.

“Kami melihat sambutan Bon Odori yang dianjurkan di negeri ini memupuk semangat kekeluargaan selain merangsang ekonomi,” katanya melalui sebuah laporan berita oleh Harian Metro.

Sumber: The Star, Harian Metro

Foto: The Japan Club of Kuala Lumpur

Panduan,

Mengapa iblis tidak mendapat pengampunan daripada ALLAH YANG MAHA ESA? Ini punca-puncanya…

MANUSIA tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Demi membetulkan segala khilaf, taubat adalah kunci utama untuk kembali ke jalan yang benar. Biarpun sebesar manapun dosa yang telah dilakukan, nescaya ALLAH SWT akan mengampunkannya.

Meskipun manusia lain memandang kita sebagai pendosa, namun ALLAH melihat perkara sebaliknya. Hal tersebut sudah dinyatakan dalam Surah Az-Zumar, ayat 53 hingga 54.

ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah. Hai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya DIALAH YANG MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA PENYAYANG dan kembalilah sebelum datang azab kepadamu, kemudian kamu tidak lagi dapat ditolong.”

 

Baca juga: Rasulullah saw menyayangi umatnya sehingga di akhirat contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

Baca juga: Ganjaran besar dan berpanjangan di dunia juga di akhirat dengan berwakaf al-Quran berikutfadilat-fadilat lain

 

Bagi orang yang berdosa, janganlah malu untuk datang kepada ALLAH meminta ampun. Sesungguhnya ALLAH MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG.

Pintu taubat sentiasa terbuka buat sesiapa sahaja, namun mengapa ALLAH tidak mengampuni iblis?

Menurut Abu Al-Lais As-Samarqandi dalam kitabnya, Tanbih Al-Ghafilin menjelaskan, terdapat kesalahan iblis yang membuatkan taubat ‘mereka’ tidak boleh diterima.

Pertama: Iblis laknatullah tidak mahu mengakui kesalahannya.

Kedua: Iblis tidak menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan

Ketiga: Iblis tidak mahu segera bertaubat

Kempat: Berputus asa daripada rahmat ALLAH

Kesalahan iblis yang tidak mahu bersujud kepada Nabi Adam padahal itu adalah perintah ALLAH kepada semua malaikat.

Namun, disebabkan angkuh, sombong dan merasa diri lebih baik berbanding Nabi Adam, maka iblis menolak perintah ALLAH.

ALLAH berfirman dalam Surah Al-A’raf, ayat 12: “Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika aku menyuruhmu? Iblis menjawab: Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia engkau ciptakan daripada tanah.”

Hal tersebut lantas membuatkan iblis sebagai makhluk yang dimurkai dan diusir dari syurga.

Biarpun sering bergelumang dengan dosa, iblis pernah menyatakan hasratnya untuk bertabat kepada Nabi Musa. Perkhabaran itu diterima dengan penuh gembira sehinggakan Nabi Musa segera mengambil wuduk dan solat.

Dikisahkan Ibnu Umar bahawa iblis mendatangi Nabi Musa lalu berkata:“Wahai Musa, engkau dipilih ALLAH dengan risalahnya, aku ini makhluk ALLAH juga, aku ingin bertaubat, kerana itu mohonlah syafaat agar ALLAH mengampuniku.”

Nabi Musa kemudiannya menyampaikan niat iblis, lalu ALLAH berfirman:“Wahai Musa aku penuhi permintaanmu, tapi katakan kepada iblis agar dia bersujud pada kuburan Adam terlebih dahulu.”

Mendengarkan syarat tersebut iblis lalu berkata:“Dulu ketika Adam masih hidup, aku tidak mahu bersujud kepadanya. Mana mungkin aku harus bersujud kepadanya setelah dia mati.”

Masih disebabkan keangkuhan dan kesombongannya membuatkan iblis pun sekali lagi gagal mendapat pengampunan ALLAH.

Kegagalan itu mengakibatkan iblis menerima balasan menjadi isi neraka pada hari pembalasan kelak.

Oleh itu, sebagai manusia, kembalilah bertaubat ke jalan ALLAH. Biar sebesar mana dosa yang dilakukan, selagi tidak syirik kepada SANG PENCIPTA, selagi itu pintu taubat ALLAH sentiasa terbuka.

Sebagai manusia, bertaubatlah ke jalan ALLAH kerana pintu taubat-Nya sentiasa terbuka.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram 

Foto: Francesco Paggiaro & Alena Darmel/Pexels

Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Jaga aib sendiri, orang lain. Tidak ada orang yang tak berdosa

RASULULLAH SAW melarang seseorang untuk membuka aib dirinya sendiri kepada orang lain.

Sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Setiap umatku dimaafkan kecuali orang yang terang-terangan (melakukan maksiat). Dan termasuk terang-terangan adalah seseorang yang melakukan perbuatan maksiat di malam hari, kemudian di paginya ia berkata: Wahai fulan, kemarin aku telah melakukan ini dan itu – padahal ALLAH telah menutupnya- dan di pagi harinya ia membuka tutupan ALLAH atas dirinya.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Bahkan Rasulullah memberikan khabar gembira bagi orang-orang yang menutup aib saudara-saudara mereka, dengan menutup aib mereka di dunia dan akhirat.

Seperti dalam hadis sahih; “Dan barang siapa yang menutup aib seorang muslim, nescaya ALLAH menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim).

Islam mengkehendaki kesalahan dan keburukan yang dilakukan oleh orang Islam disembunyikan dan tidak boleh diheboh-hebohkan.

Tidak ada orang yang tidak berdosa, dan tidak ada orang yang tidak melakukan kesilapan.

Cuma bezanya, banyak atau sedikit, besar atau kecil, teruk atau tidak, kelihatan atau tidak kelihatan.

Taubat

LAFAZ istighfar perlu senada dengan niat dalam hati untuk meninggalkan perbuatan dosa dan diiringi penuh rasa penyesalan.

Bagi orang yang bijaksana, ia memandang pada dalam dirinya dan bertaubat dari dosa-dosanya dan membetul kesilapan-kesilapannya.

Dia menutup keaiban orang lain, dia menjaga harga diri sendiri dan harga diri orang lain.

Keaiban sesama Islam apabila didedahkan, maka bukan saja hilang kehormatannya malah sehingga orang bukan Islam tidak lagi menghormati masyarakat Islam.

Baca juga Rasulullah SAW menyayangi umatnya sehingga di akhirat. Contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

Usah kita menagih penghormatan daripada orang bukan Islam jika kita sesama agama sendiri tidak mengamal dan menghayati amalan hormat menghormati dalam erti kata sebenar yang dituntut oleh Islam.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Fb Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

Foto: peoplecreations/freepik