Browsing Tag

beriman

nikmat kubur
Isu,

Ada nikmat kubur buat orang beriman

KITA sering mendengar tentang azab tatkala di alam barzakh sebagai peringatan hidup di dunia tidak berkekalan, sebaliknya semua manusia akan kembali menghadap Yang Maha Pencipta akhirnya jua. Namun, tahukah anda bahawa wujudnya juga nikmat kubur?

Alam kubur ialah alam ghaib yang tiada siapa dapat menceritakannya melainkan bagi mereka yang pernah melaluinya sahaja.

Begitu pun, sebagai umat Islam, kita wajib mempercayainya kerana alam akhirat telahpun dijanjikan oleh ALLAH bakal dilalui oleh kita semua.

Seperti yang dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, manusia yang beriman dan taat kepada ALLAH akan diperlihatkan nikmat kubur sebagaimana yang diceritakan dalam hadis:

Baca juga Air Kencing Yang Menyumbang Azab Kubur, Berikut Penjelasannya

1. Kubur diterangi dan dilapangkan

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

Apabila mayat (atau seseorang daripada kamu) telah dikuburkan, datanglah kepadanya dua malaikat hitam kebiru-biruan, seorang daripada keduanya dikenali dengan Malaikat Munkar dan seorang lagi dengan Malaikat Nakir. Keduanya berkata: “Apakah yang hendak engkau katakan mengenai lelaki ini?”

“Dia berkata: “Dia adalah hamba ALLAH dan utusan-NYA. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain ALLAH , dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba-NYA dan utusan-NYA.” Keduanya berkata: “Sungguh, kami telah tahu bahawa engkau akan mengatakan demikian itu.” Kemudian dilapangkan baginya di dalam kuburnya sepanjang 70 hasta kali 70 hasta. Kemudian diberi cahaya baginya di dalamnya. Kemudian, dikatakan kepadanya: “Tidurlah engkau.””(Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Hibban)

2. Diperlihatkan nikmat syurga

Setiap seorang daripada kamu, manakala telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga maka (akan diperlihatkan seperti) ahli syurga dan jika dia ahli neraka maka daripada ahli neraka. Dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baca juga Ustaz Ebit senaraikan 6 perkara perlu pelihara jaminan Muslim ke syurga

3. Direhatkan dari kepayahan dunia

Dari Ma’bad bin Ka’ab bin Malik dari Abu Qatadah bin Rabi’i bahawa ia menceritakan, pada suatu ketika, lalu satu jenazah di hadapan Rasulullah, maka Baginda bersabda:“Mustariih dan Mustaraah.”

Kemudian, para sahabat bertanya:“Apa yang dimaksudkan dengan mustariih dan mustaraah?”

Kemudian, Baginda menjawab: “Mustariih adalah seorang hamba yang beriman akan beristirehat dari kepayahan dunia. Mustaraah pula adalah berkenaan dengan seorang hamba yang fajir (berbuat kezaliman, derhaka kepada Allah). Justeru, seluruh negeri, hamba dan binatang boleh beristirehat dari sifat fajirnya (kezaliman).” (Hadis riwayat Muslim)

nikmat kubur

TIADA lagi kepayahan dunia yang perlu dihadapi oleh sebahagian manusia yang bersungguh-sungguh mencari keredaan ALLAH SWT.

4. Para malaikat memberi salam

Firman ALLAH SWT:
(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: “Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 32)

Azab dan nikmat kubur adalah perkara ghaibiyyat yang tidak mungkin dikiaskan dengan hukum dunia semata-mata berdasarkan penglihatan atau pancaindera kerana sifat alam tersebut yang sangat berbeza dengan alam dunia.

Namun, yakin terhadap alam akhirat termasuk dalam rukun iman yang perlu ada dalam diri sesiapa sahaja yang bergelar Muslim.

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan yang berjaya meraih nikmat di akhirat kelak. Insya-ALLAH.

Sumber: Al-Afkar #64: Bentuk-bentuk nikmat kubur

Foto: Unsplash