Browsing Tag

beri hadiah

Adab terima hadiah
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

7 adab yang diajar Islam saat terima hadiah

TATKALA menerima pemberian daripada seseorang, ucapan terima kasih secara spontan akan terungkap dari bibir kita. Ya, itulah sebaik-baik ungkapan sebenarnya.

Ia sebagai tanda kita benar-benar menghargai pemberiannya. Apatah lagi ia melibatkan kiriman hadiah daripada insan-insan kesayangan kita sempena hari istimewa.

Ketahuilah, dalam hal penerimaan hadiah pun, Islam ada menggariskan adab berkaitan dengannya.

Menurut pendakwah terkemuka Azhar Idrus menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini, perihal tersebut banyak disebutkan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka.

AZHAR IDRUS

Antaranya, katanya, Imam al-Ghazali dalam Kitab al-Adab fiddiin menyatakan: “Segala adab penerima hadiah itu adalah menzahirkan kesukaan dengannya sekalipun sedikit dan berdoa bagi pemberinya apabila dia pergi dan menunjukkan gembira ketika dia hadir dan memberi balasan jika kuasa dan menyebut baik atasnya kalau mungkin dan meninggalkan tunduk kepadanya dan menjaga dari hilangnya agama sertanya dan jangan sampai tamak sertanya pemberian yang lain”.

Melihat kepada ungkapan tersebut, jelaslah terdapat tujuh adab yang dititikberatkan ketika menerima hadiah daripada orang lain.

Berikut perinciannya:

1. Menzahirkan rasa suka menerimanya walaupun kecil hadiah tersebut atau barangkali sedikit atau rendah nilainya.

Sesungguhnya, nilai hadiah itu bukan terletak kepada sedikit atau banyak jumlahnya, tetapi paling penting adalah keikhlasan dan tanda ingatan orang yang memberi hadiah tersebut.

Justeru, janganlah kita sekali-kali menunjukkan rasa tidak senang melihat hadiah yang kecil dan sedikit. Sebaliknya, pamerkanlah riak wajah gembira dan senang dengan pemberiannya sepertimana menerima hadiah yang tinggi nilainya.

Adab terima hadiah

UCAPKANLAH terima kasih dengan pemberian orang kepada kita.

Jika kita tidak mahu menerima hadiah yang sedikit itu, ia sebenarnya adalah tanda tidak berterima kasih dan tidak bersyukur kepada ALLAH SWT.

Baca juga Kebaikan Kecil Yang ‘Berbuah Manis’, Berikut Penjelasannya

2. Berdoalah yang baik-baik untuk insan yang memberikan hadiah.

Antara ucapan doa yang sangat elok diucapkan oleh penerima hadiah adalah Jazakumullah ahsanal jaza’ (Semoga ALLAH membalas akan kamu dengan sebaik-baik balasan).

Selain itu, boleh juga membaca doa yang berbunyi Jazakallahu khairan (Semoga ALLAH membalas akan kamu dengan kebaikan). Doa tersebut ada dinyatakan dalam Hadis Riwayat at-Tirmizi.

Apa-apapun, ia hendaklah diucapkan ketika orang yang memberi hadiah itu masih ada ataupun sudah berlalu pergi.

Menurut segelintir ulama, mendoakan insan berhati mulia itu di belakangnya adalah lebih afdal kerana lebih menjaukan daripada sifat riak.

Daripada Abu Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiada dari seorang hamba yang muslim mendoakan bagi saudaranya di belakangnya melainkan berkata malaikat; “Dan semoga kamu juga memperolehi seumpama itu”.” (Hadis Riwayat Muslim)

Adab terima hadiah

JANGAN lupa untuk mendoakan insan yang sudah memberikan hadiah kepada kita dengan doa yang baik.

Dalam satu riwayat yang lain menyatakan bahawa malaikat yang diwakilkannya mengucapkan amin dan kebaikan seumpamanya.

3. Menunjukkan rasa gembira menerima hadiah tersebut ketika di hadapan penerima.

4. Penerima membalas pemberian tersebut dengan hadiah atau seumpamanya jika berkemampuan ketika itu.

Sebaliknya, jika tiada daya berbuat demikian, maka usahlah berasa kecewa. Boleh sahaja dirinya membalas pemberian berkenaan pada waktu yang lain.

5. Penerima digalakkan memuji pemberi hadiah dengan ungkapan yang elok, tetapi tidak berlebih-lebihan.

Antara contoh ucapan yang elok seperti ‘kamu orang yang baik hati’ atau seumpamanya.

6. Tidak tunduk kepada yang memberi hadiah.

Mudah kata, jangan sampai penerima tadi tunduk kepada segala kehendak individu yang mengirimkan hadiah tersebut asbab pemberiannya itu.

Adab terima hadiah

ANDAI berkemampuan, balaslah hadiah yang diberikan ketika itu atau pada waktu lain.

7. Tidak hilang agamanya asbab menerima hadiah tadi.

Ingatlah, jangan sampai kita membelakangkan hukum agama dengan melakukan maksiat dan dosa kerana menerima hadiah seperti rasuah yang banyak berlaku pada zaman ini.

Rasulullah SAW sudah pun memberikan amaran agar umatnya tidak mendekati perbuatan rasuah.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA: “Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah dan yang menerima rasuah.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga RASUAH : Penyakit Sosial Dilaknat Allah

Dalam Hadis Riwayat Ibn Majah pula ada disebut bahawa ALLAH SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan menerimanya.

Dalam pada itu, Ustaz Azhar Idrus turut mengingatkan agar kita tidak sesekali menunjukkan tanda hendak menerima hadiah yang lain pula selepas menerima pemberian pertama.

“Perbuatan tamak itu dilarang oleh agama. Oleh sebab itu, jika penerimanya itu yakin bahawa tujuan hadiah diberikan supaya dia melakukan suatu perbuatan yang dilarang syarak, maka hendaklah dia menolak pemberian tersebut.

“Andai pemberi hadiah tersebut dikenali dengan kebanyakan hartanya yang haram, harus untuk menerima pemberiannya. ia melainkan kita sudah mengetahui bahawa hadiah itu jelas datangnya daripada hartanya yang haram, dengan syarat pemberian itu bukanlah berupa rasuah dan seumpama dengannya. Demikianlah pandangan ulama Mazhab Syafie yang disebut dalam Kitab Hasyiah al-Qaiyubi,” tegasnya.

Foto: 123rf, Pexels & Unsplash