Browsing Tag

berguru dengan media sosial

Media sosial
Isu,

Ini hukumnya apabila kita ‘berguru’ dengan media sosial

LAMBAKAN maklumat kini boleh diperoleh menerusi media sosial walaupun pada awalnya ia hanya sekadar wadah untuk berinteraksi sosial.

Sifatnya yang mudah diakses, selain laras bahasa yang santai digunakan oleh pemilik akaunnya membuatkan ia menjadi pilihan ramai untuk menjadi rujukan utama.

Tidak keterlauan jika dikatakan ada yang menjadikan media sosial sebagai ‘guru’ mereka.

Bagaimanapun, belajar menerusi saluran internet itu tidak membuatkan orang berjaya begitu mudah. Namun, tidak dinafikan ia dapat membantu kita untuk memahami suatu perkara bergantung kepada kefahaman masing-masing.

Begitupun, dalam perihal agama, tidak memadai andai kita hanya bergantung semata-mata kepada media sosial, sebaliknya memerlukan pembimbing ataupun murabbi untuk memandu kita ke jalan yang diredai ALLAH SWT.

Apakah hukum ‘berguru’ dengan media sosial? Benarkah orang yang tiada guru, maka syaitanlah yang akan ‘memimpin’ mereka?

Ciri-ciri guru

Membuka bicaranya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus secara maya, Penolong Pendaftar Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan, Ustazah Shalwati Ramli menjelaskan, Islam sememangnya menyuruh umatnya supaya menggali ilmu dan menambah pengetahuan dengan berguru.

USTAZAH SHALWATI

Bahkan, katanya, Rasulullah SAW menerangkan betapa pentingnya menuntut ilmu.

Baca juga Adab merupakan syarat penting dalam menuntut ilmu, ini penjelasannya

Dalam mukadimah kitab Sahih Muslim daripada Muhammad Ibn Sirin misalnya, Imam Muslim meriwayatkan: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka kamu lihatlah daripada siapakah kamu mengambil agama kamu.”

Melihat ungkapan itu, jelaslah bahawa berguru dalam menuntut ilmu begitu signifikan terutama perihal agama yang bukan sekadar bersangkut paut dengan duniawi semata-mata, tetapi juga ukhrawi.

“Meskipun kini zaman online, tetapi menuntut ilmu yang jelas sanadnya adalah suatu kewajiban. Media sosial seperti Facebook, Twitter, TikTok dan ceramah menerusi YouTube hanyalah sekadar medium untuk memperluaskan wawasan saja.

“Apabila terdapat perkara kurang jelas atau difahami, maka di sinilah pentingnya guru supaya kita dapat bertanyakan kepadanya,” katanya baru-baru ini.

Dalam hal itu, Ustazah Shalwati turut menukilkan pesanan Imam al-Syafie yang mengungkapkan: “Bersabarlah kamu dalam perjalanan jauh demi menemui gurumu, sesungguhnya lautan ilmu itu diperoleh menerusi perjalanan kamu menemuinya. Sesiapa yang tidak berasa kepahitan menuntut ilmu sedetik, ia pasti menelan kehinaan dek kejahilan sepanjang hayatnya.”

Syaitan jadi pembimbing?

Kepada satu soalan, pegawai hal ehwal Islam kanan itu menjawab: “Orang yang layak menjadi guru kita ialah seseorang yang memiliki ciri-ciri murabbi, mualim, muaddib (pemupuk akhlak) dan mursyid. Ibu bapa layak menjadi guru kita kerana kerana mereka dulu yang membimbing sebelum kita mengenal huruf.”

Media sosial

APA jua saluran yang digunakan untuk menggali ilmu, pastikan ia datang daripada sumber yang benar dan sahih. -FOTO: FREEPIK

Dalam pada itu, beliau turut memperbetulkan persepsi sebilangan orang yang menganggap pernyataan ‘orang tidak berguru, gurunya ialah syaitan’ datang daripada petikan hadis.

Baca juga Buat dosa dahulu, taubat kemudian… antara tipu daya syaitan

Sebetulnya, jelas beliau, frasa berkenaan merupakan bait mutiara masyhur yang tersebar dalam kalangan ahli sufi berbunyi; ‘Sesiapa yang tidak mempunyai syaikh atau guru, maka gurunya adalah syaitan.’

“Ini merupakan kesilapan orang awam yang jahil daripada sebahagian kelompok sufi untuk menarik manusia bergabung dengan kumpulan mereka, selain mengikuti golongan itu bidaah dalam kesesatan.

“Suka saya ingatkan, sebagai penuntut ilmu, kita harus mempunyai guru supaya segalanya dapat dipelajari dengan sebaiknya dan mengikut sumber yang betul.

“Sewajarnya menuntut ilmu dimulakan dengan talaqqi dan mengambil daripada perkataan-perkataan yang disebut oleh guru secara syafawi (lisan). Demikianlah yang dilakukan oleh generasi awal Islam dalam kalangan sahabat yang mengambilnya daripada Rasulullah SAW. Begitu juga generasi seterusnya,” ungkapnya.

Meskipun era milenial semakin canggih sehinggakan terdapat sebilangan yang mencari ilmu agama dan beramal melalui ceramah disampaikan di laman sosial seperti Facebook, TikTok dan sebagainya, Ustazah Shalwati mengingatkan agar semua orang mengambil kira dampaknya.

Media sosial

JIKA mempelajari al-Quran, lebih baik jika dilakukan secara bersemuka agar guru boleh mendengar bacaan, sekali gus memperbetulkan kesilapan kita, selain bersoal jawab dan membimbing anak murid. -FOTO:

Rasulullah SAW bersabda: “Menuntutlah ilmu sebelum kamu bertemu dengan masanya orang yang berbicara ilmu yang hanya bermodalkan prasangka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kesungguhan timba ilmu

Berdasarkan hadis berkenaan, beliau menjelaskan, sesiapa yang menimba pengetahuan hendaklah menuntutnya bersungguh-sungguh daripada mereka yang benar-benar fasih dan sahih dalam suatu ilmu yang disampaikan.

Baca juga Beramal tanpa ilmu dan kefahaman, betul ke amalan kita tak akan diterima…

Andai tersilap percaturan, ia dikhuathiri akan menjerumuskan diri ke dalam ajaran yang salah, apatah lagi mempelajari agama Islam tanpa guru menyebabkan kita tidak memahami inti patinya kerana tiada keteguhan ketika belajar.

“Sebab itulah hukum belajar agama tanpa guru dilarang dalam agama. Benar, tidak salah untuk mempelajari ilmu agama menerusi media sosial, tetapi pastikan guru atau penceramah itu berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah yang berasal dari golongan yang haq (benar) dan Ahli Sunah Waljamaah,” ungkapnya.

Adakah orang yang menggali pengetahuan menerusi media sosial juga akan mendapat ganjaran dipayungi malaikat seperti mereka yang menghadiri majlis ilmu?

Menjawab persoalan itu, Ustazah Shalwati menjelaskan, kelebihan orang yang menuntut ilmu begitu banyak tanpa mengira bagaimana cara mereka menimbanya dan semuanya bergantung kepada niat masing-masing.

Media sosial

JIKA berpeluang menghadiri majlis ilmu, bersungguh-sungguhlah menimba pengetahuan dan jaga adab sebagaimana dianjurkan oleh agama Islam. -FOTO: UNSPLASH

“Jika baik niatnya, maka ALLAH SWT akan memberikan imbalan yang besar buat mereka. Sama juga halnya dengan individu yang berusaha menimba pengetahuan secara maya ataupun online.

Baca juga Apa gunanya kedekut ilmu yang ALLAH beri? Lebih baik berkongsilah, ada juga manfaat dan pahala pun mengalir sama

“Usaha dan niatnya itu sudah ada, maka limpahan rahmat tersebut akan sentiasa diberikan buatnya. Malaikat akan sentiasa memayungi golongan yang menuntut ilmu, di samping rahmat ALLAH SWT,” ujarnya.