Browsing Tag

bergaduh

bergaduh
Aqidah,

Orang yang bergaduh, amal tidak diangkat ALLAH sehingga berdamai

RUPANYA orang yang bergaduh, amalnya tidak diangkat kepada ALLAH sehingga mereka berdamai.

Islam sangat menitikberatkan pertalian persaudaraan dan kasih sayang sesama manusia. Bahkan, ALLAH SWT sudah menyatakan dengan jelas dalam al-Quran bahawa orang yang beriman itu adalah bersaudara:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu serta bertaqwalah kepada ALLAH supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Walau serapat mana pun kita dengan seseorang waima pasangan, ahli keluarga atau sahabat handai, adakalanya akan berselisih juga sebagaimana disebut dalam pepatah sedangkan lidah lagikan tergigit.

bergaduh

KITA dituntut oleh ALLAH SWT agar menjaga pertalian ukhuwah sesama saudara Islam. Foto: Unsplash

Baca juga Hanya Kerana Lidah, ALLAH Akan Mencampakkan Muka Seseorang Dahulu Ke Dalam Neraka

Pendek kata, tersilap bicara, perbezaan pendapat dan melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, semua itu boleh membawa kepada perbalahan. Namun, apabila bertengkar, janganlah sampai tidak bertegur sapa selama berhari-hari lamanya.

Mengertilah, tiada siapa pun yang kalis daripada melakukan kesilapan. Sebaliknya, belajarlah untuk memohon maaf serta memaafkan sesama saudara Islam.

Baca juga Haram berbohong, kecuali dalam 3 keadaan ini

Malah, Rasulullah SAW sendiri menegah perbuatan bertengkar antara satu sama lain, terutamanya mereka yang seagama.

Hal itu jelas sepertimana dinyatakan dalam hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang tidak bertegur saudaranya selama setahun sama seperti dia telah menumpahkan darahnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Saudara yang dimaksudkan dalam hadis itu adalah daripada agama yang sama, manakala mengalirkan darah dalam hal tersebut berkait dengan bertambahnya dosa. (Rujuk, Aun al-Ma’bud, 13/176)

Turut disyorkan 8 perbuatan yang boleh membatalkan pahala amal soleh, sama-sama kita berwaspada

BAYANGKAN amal ibadah yang kita lakukan dengan penuh kesungguhan ditunda oleh ALLAH SWT semata-mata kerana pertengkaran yang tidak diselesaikan. Foto: Pexels

Baca juga Jangan panik, kalut, 10 perkara perlu buat apabila ahli keluarga meninggal dunia

Bukan setakat itu, bahkan dikatakan ALLAH SWT akan menangguhkan penerimaan amal dan keampunan daripada dua orang Muslim yang bermusuhan sehinggalah mereka berdamai.

Dari Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Pintu syurga dibuka setiap hari Isnin dan Khamis. Maka diampuni ALLAH dosa setiap hamba-NYA yang tidak musyrik, kecuali orang yang bermusuhan dengan saudaranya (sesama Muslim). Maka dikatakan, tunggulah dahulu kedua orang ini berdamai! Tunggulah kedua orang ini berdamai! Tunggulah kedua orang ini berdamai!” (Hadis Riwayat Muslim)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelaslah bahawa agama suci itu melarang keras kita bergaduh sama sekali dengan saudara seagama.

Turut disyorkan 4 tanda mati jiwa yang menjauhkan kita dengan ALLAH SWT

MENGALAH bukan ertinya kita kalah ataupun salah. Sebaliknya, ia adalah langkah matang bagi mengelakkan perselisihan berlanjutan. Foto: Unsplash

Malah, pernyataan ‘tunggu sehingga berdamai’ pula ditekankan sebanyak tiga kali, sekali gus memberi peringatan bahawa amalan orang yang bergaduh akan ditunda dan tidak diangkat kepada ALLAH SWT sehinggalah mereka berbaik semula.

Jika ALLAH begitu menyukai orang yang menyambung silaturahim dan berbuat baik kepada orang lain, bayangkan betapa DIA menyukai sekiranya kita menjadi orang yang terlebih dahulu mengalah dan menamatkan permusuhan.

Ingatlah, mengalah bukan bererti kalah, tetapi kadangkala ia merupakan pendekatan terbaik untuk menjaga hati demi kebaikan bersama dan menghindari daripada perdebatan yang berlanjutan.

Baca juga Hidup di dunia jangan kedekut sangat, malaikat doakan kecelakaan pada golongan ini…ingat tu

Sumber: Tzkrh & Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Pexels & Unsplash