Browsing Tag

Berdoa

Lama berdoa
Ibadah,

Sudah lama berdoa, tapi tidak dimakbulkan? Ketahui cara ALLAH terima doa kita

Sudah lama berdoa, tapi tidak dimakbulkan? Ketahui cara ALLAH terima doa kita

RAMAI tidak tahu cara ALLAH terima doa kita. Malah kadangkala kita sudah lama berdoa, tetapi tiada apa-apa perubahan seolah-olah hajat hati tidak ‘sampai’ kepada-NYA.

Andai semuanya mengerti, sudah pastilah tidak akan kedengaran keluhan mengenai persoalan apa yang dihajatkan itu tidak dikabulkan.

Benar, kita memang dituntut untuk berdoa kerana ia dianggap sebagai satu ibadah. Malah, perbuatan itu menunjukkan tanda kebergantungan seorang hamba kepada Sang Khalik.

Perintah untuk berbuat demikian memang jelas disebutkan dalam al-Quran menerusi Surah al-Ghafir, ayat 60 yang bermaksud: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-KU, nescaya AKU perkenankan doa permohonan kamu.”

Malah, mereka yang tidak berdoa dianggap sebagai orang angkuh kerana seolah-olah berasakan diri tidak memerlukan pertolongan ALLAH SWT.

Baca juga Jangan sombong, berdoalah hanya ALLAH SWT mampu memenuhi kehendak manusia

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi Maktabah Albakri menjelaskan, terdapat sebuah hadis yang membicarakan perihal cara ALLAH menerima doa kita.

DR ZULKIFLI

Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim itu berdoa (dengan doa) yang tidak mengandungi dosa dan bukan bertujuan memutuskan silaturahim, melainkan ALLAH SWT akan memakbulkannya (doa itu) dengan tiga cara; sama ada ALLAH akan memakbulkan doanya sesegera mungkin, atau ALLAH SWT menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, atau ALLAH SWT akan menjauhkan daripadanya kejelikan.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Berdasarkan ungkapan hadis berkenaan, Dr Zulkifli menjelaskan, terdapat empat cara ALLAH SWT menerima doa para hamba-NYA iaitu seperti berikut:

1. ALLAH SWT akan memberikan kepada hamba-NYA di dunia sebagaimana yang diinginkan olehnya.

Bagaimanapun, terdapat dua cara Yang MAHA BERKUASA mengabulkannya iaitu sama ada permintaan hamba tadi terus dimakbulkan ataupun ditangguhkan kepada tempoh waktu tertentu sebelum akhirnya diperkenankan.

Baca juga Sebab musabab doa kita kita tidak dimakbulkan oleh ALLAH YANG MAHA ESA. Ini yang selalu kita tak perasan

2. ALLAH SWT akan menyimpan doa tersebut pada hari akhirat kelak.

Ini kerana DIA MAHA MENGETAHUI bahawa hamba tersebut lebih memerlukannya di sana.

Lama berdoa

SENTIASA berdoa memohon keampunan dan keredaan ALLAH SWT sebagai salah satu ikhtiar agar diberikan tempat di dalam syurga. Foto: 123rf

3. ALLAH SWT akan menjauhkan hamba tersebut daripada perkara-perkara yang buruk atau musibah berlaku terhadapnya.

4. ALLAH SWT tidak memperkenankan doa berkenaan kerana lebih baik individu itu berkeadaan sedemikian.

Berdasarkan ilmu ALLAH SWT, barangkali keadaan itu lebih baik bagi hamba tersebut.

Makna tidak memakbulkan di situ adalah DIA sebenarnya memperkenankan ke arah yang lebih baik.

Meskipun demikian, usahlah sesekali kita berputus asa dalam bermunajat kepada-NYA.

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu menegaskan, amalan mulia tersebut merupakan satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam.

Baca juga Berdoa tidak perlukan lafaz khusus dan skrip

“Terdapat banyak nas sahih daripada al-Quran dan as-Sunnah yang menerangkan tentang kepentingan berdoa kepada ALLAH SWT.

“Bukan sekadar ibadah dan juga perintah, tetapi ALLAH SWT turut memberikan jaminan bahawa DIA akan memustajabkan sebarang permintaan hamba-NYA.

Lama berdoa

DOA merupakan senjata ampun orang mukmin dan menjadi medium untuk kita mengadu serta memohon pertolongan ALLAH SWT. -Foto: 123rf

“Bahkan, ALLAH SWT sangat menyukai orang yang berdoa,” ungkapnya.

Justeru, jangan sesekali tinggalkan doa. Itulah cara untuk kita mendapat sumber kekuatan diri dengan mengadu, bergantung harap dan meminta pertolongan daripada-NYA.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Berdoa
Gaya Hidup,

Usah Segan Berdoa Minta Suatu Perkara Pada ALLAH

ADAKALANYA bibir begitu mudah menuturkan kata-kata berbentuk doa dalam perkara yang dianggap sebagai remeh-temeh.

“YA ALLAH, teringinnya hendak makan durian. Berilah aku nikmatinya.”

“Kurniakan aku kemampuan hendak beli kereta besar, ya ALLAH. Sesungguhnya ENGKAU MAHA BERKUASA atas segalanya”

Demikianlah monolog kita dalam hati yang kadangkala terbit tanpa disengajakan. Benar, kadangkala kita seolah-olah menyimpan harapan dan impian tanpa sedar berdoa tentangnya.

Kadangkala kita benar-benar memaksudkannya dan meminta semuanya kepada ALLAH.

Pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, jangan sesekali kita berasa segan untuk berdoa dan meminta urusan dunia yang spesifik kepada ALLAH SWT tidak kiralah pada waktu-waktu dan tempat mustajab berdoa.

MUHAMMAD FAHMI

“Ia termasuklah hendak minta supaya dapat beli rumah atau mampu memakai Mercedes Benz, Countryman, BMW dan seumpamanya. Berdoa pada ALLAH SWT,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapannya di Twitter miliknya baru-baru ini.

Menyambung hujah, ujar beliau, menjadi amalan para ulama silam berdoa sehinggakan hendak memakan buah anggur pun, mereka tetap berbuat demikian.

Katanya, Imam al-Laits bin Sa’d menceritakan, beliau pernah melihat seorang lelaki sedang duduk berdoa.

Al-Laits menyatakan bahawa lelaki tersebut mengatakan: “Wahai Tuhan, wahai Tuhan, sehingga terputus nafasnya (tercungap-cungap). Kemudian dia berkata: “Ya Hayyu, Ya Qayyum” (wahai Tuhan YANG MAHA HIDUP, wahai Tuhan YANG MAHA MENGURUS TADBIR), sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata: “Ya ALLAH, ya ALLAH”, sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata: “Wahai Tuhan YANG MAHA PEMURAH, wahai Tuhan YANG MAHA PENYAYANG”, sehingga terputus nafasnya. Kemudian dia berkata lagi: “Wahai Tuhan YANG MAHA PENYAYANG dari kalangan yang penyayang”, sehingga terputus nafasnya.

Setelah selesai menyebut semua itu, lelaki tersebut kemudia berkata: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku teringin sangat kepada buah anggur, berilah kepadaku untuk aku memakannya. Sesungguhnya dua helai pakaianku juga telah lusuh, berilah pakaian kepadaku.”

Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir 

Dipendekkan cerita, Al-Laits kemudian berkata: “Aku terus melihat sebuah bekas yang penuh berisi anggur dan dua helai pakaian yang diletakkan di situ.”

Berdoa

DOA merupakan senjata bagi orang Mukmin.

Ujar Muhammad Fahmi, kisah itu sebenarnya agak panjang. Namun, fokus utamanya adalah tawassul lelaki berkenaan dengan nama-nama dan sifat ALLAH SWT tersebut terbukti mustajab.

“Walaupun permintaannya nampak pada perkara biasa sahaja, namun para ulama terdahulu sentiasa melazimi ibadah berdoa.

“Lelaki yang dimaksudkan itu sebenarnya ialan Ja’far al-Sadiq iaitu salah seorang ulama keturunan Nabi Muhammad SAW daripada jalur al-Husain bin Ali RA,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan agar kita tidak memandang enteng dengan peranan doa.

Paling tidak pun, sekurang-kurangnya luangkan sedikit masa kita selepas solat untuk berdoa.

Foto: Freepik, Unsplash & Pexels

Berdoa
Gaya Hidup,

Jangan Lupa Berdoa Ketika Senang, Ini Sebabnya

no comment

PERASAN atau tidak, saat dirundung kesedihan mahupun kesusahan, bibir mudah benar mengungkapkan doa supaya ditenangkan hati dan dilapangkan dada menghadapi semuanya.

Ketika itu, mulut kita tanpa henti merintih dan mengadu kepada YANG MAHA ESA dengan bersungguh-sungguh.

Masakan tidak, ada segelintir orang lebih selesa berbuat demikian berbanding berkongsi masalah dengan insan di sekeliling mereka.

Namun, tatkala hidup dilimpahi kesenangan, ungkapan doa kepada-NYA pula semakin dipinggirkan. Adakalanya langsung tidak berdoa.

Pendakwah Muhammad Fahmi Rusli mengingatkan agar kita tetap terus berdoa waima hidup dihimpit kesempitan mahupun kesenangan.

MUHAMMAD FAHMI

Ujar beliau, salah satu fiqah dalam berdoa ialah kita berdoa sewaktu senang. Ia sama keadaannya sebagaimana kita berdoa saat berada dalam kesusahan.

“Ramai manusia ini apabila dia dalam keadaan senang, dia abaikan berdoa atau sekurang-kurangnya berdoa, tetapi tidak bersungguh.

“Namun saat dalam kesusahan, begitu bersungguh dia berdoa, menangis, berdoa berulang kali, rayu dan terus merayu.

“Sedangkan antara faktor ALLAH SWT menolong kita saat kita susah ialah kita banyak mengingati ALLAH saat kita senang,” katanya sebagaimana dipetik daripada ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Baca juga 4 Golongan Yang Mendapat Doa Malaikat

Fakta itu, jelas Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, ia bertepatan dengan maksud sebuah hadis masyhur.

Hadis yang dimaksudkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Kenalilah ALLAH semasa senang, nescaya DIA akan mengenali kamu semasa kamu susah.” (Riwayat Hakim)

Berdoa

INGATLAH ALLAH SWT pada setiap waktu, nescaya DIA akan mengingati dan mengenali hamba-NYA.

Dalam pada itu, agamawan itu turut mengemukakan pandangan Ibn al-Qayyim tentang perihal insan yang berdoa dan mengingati ALLAH SWT.

Ibn al-Qayyim menukilkan sebuah atsar yang menyebut: “Seorang hamba yang taat, yang sentiasa mengingati ALLAH apabila kesulitan menimpanya, atau apabila dia meminta sebarang hajat, maka para malaikat akan berkata: “Wahai Tuhan, ini adalah suara yang dikenali daripada seorang hamba yang dikenali.” (Rujukan al-Wabil al-Sayyib, Ibn al-Qayyim (87))

Justeru, apa jua keadaan kita, jangan sesekali lupa memanjatkan doa. ALLAH SWT suka mendengar rintihan hamba-hamba-NYA. Itu tanda kita berserah dan bergantung harap hanya kepada-NYA.

Sumber: Twitter @fahmirusliMFR

Foto: 123rf & Freepik