Browsing Tag

berbisik

Berbisik-bisik
Isu,

Haram berbisik-bisik di hadapan orang lain, berikut perinciannya

“TAK baik berbisik-bisik depan orang lain. Jangan buat begitu.”

Demikian larangan yang sering kali kita dengar daripada orang di sekeliling. Masakan tidak, apabila kita melihat perkara itu terjadi di depan mata, sudah tentulah menimbulkan rasa curiga yang tinggi.

“Mereka mengata aku ke?”

“Mengapa mereka tak ajak aku berborak sama?”

Ya, barangkali itulah yang terbit daripada sanubari kita. Perasaan tersebut sukar ditepis dan membuatkan kita berkecil hati.

Ternyata perkara itu ada benarnya. Malah, agama Islam turut melarang umatnya daripada berbuat demikian.

Memetik hantaran di laman sosial Facebook Kolej Islam As-Sofa, berbisik-bisik sesuatu rahsia yang terdapat orang ketiga di sisinya adalah haram.

Ia bertepatan dengan hadis diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jika ada tiga orang, maka janganlah dua di antaranya berbisik-bisik dan meninggalkan yang satu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Ini kerana perkara tersebut boleh menimbulkan syak wasangka sesama manusia dan mendatangkan rasa sedih mahupun mencetuskan rasa sakit hati pihak ketiga yang berada bersamanya.

Berbisik-bisik

BERBISIK boleh menimbulkan syak wasangka sesama manusia dan mendatangkan rasa sedih. -GAMBAR HIASAN

“Apabila dua orang bercakap dengan bahasa atau dialek tidak difahami oleh orang ketiga yang ada bersama mereka, makruh hukumnya apabila berbisik,” katanya.

Namun begitu, Kolej Islam As-Sofa menjelaskan, terdapat pengecualian bagi mereka yang berbisik-bisik tanpa kehadiran orang ketiga jika membincangkan hal-hal kebaikan seperti menyuruh bersedekah atau melakukan perancangan mendamaikan manusia yang bertujuan semata-mata mencari keredaan ALLAH SWT sebagaimana disebutkan dalam ayat 114, Surah an-Nisa’.

“Begitu juga halnya jika terdapat dua orang berbual secara berbisik-bisik sekiranya di sampingnya terdapat kehadiran melebihi tiga atau empat orang.

“Hal itu kerana situasi itu telah menghilangkan rasa curiga dan syak wasangka pihak ketiga,” katanya.

Baca juga  Jangan mencari kesalahan orang lain. Sifat berburuk sangka hanya membawa jalan menuju dosa dan fitnah!

Jaga hati orang lain

Sinar Islam Plus turut memetik artikel Irsyad Al-Fatwa Siri ke-622: Hukum Berbisik-Bisik yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menurut artikel tersebut, larangan tersebut menunjukkan betapa pentingnya menjaga hati antara satu sama lain dalam menjaga ukhuwah.

“Perbualan secara berbisik menyebabkan pihak ketiga akan berasa hati kerana tidak diperlukan dalam perbincangan antara mereka selain rasa tidak layak dan keseorangan.

“Menurut Tadudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, etika dalam perhimpunan majlis adalah menunjukkan sikap keramahan, perbualan yang memberi manfaat dan menyenangnya. Sementara itu, berbisik kategori makruh apabila dua orang bercakap dengan bahasa atau dialek yang tidak difahami orang ketiga yang bersama mereka,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel berkenaan.

Berbisik-bisik

ISLAM mengajar umatnya supaya menjaga hati orang lain dan tidak sesekali menyakiti mereka. -GAMBAR HIASAN

Sementara itu, laman web stebisigm.ac.id menjelaskan, perbuatan berbisik itu sebenarnya berasal daripada syaitan.

Ia bersandarkan kepada firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah daripada (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita, sementara bisikan itu tidak dapat membahayakan mereka walau sedikit pun melainkan dengan izi ALLAH, dan kepada ALLAH jualah seharusnya orang-orang yang beriman bertawakal.” (Surah al-Mujadalah, ayat 10)

Berdasarkan ayat itu, stebisigm.ac.id menjelaskan, ALLAH SWT menerangkan apa yang dikehendaki syaitan dengan perbuatan berbisik-bisik tersebut.

Baca juga Ustazah Asma’ Kongsi Doa Elak Daripada Gangguan Syaitan

“Jika orang mukmin melewati orang musyrik, lantas mereka berbisik-bisik iaitu berkata-kata dengan sangat rahsia dengan tujuan agar orang mukmin berasa sedih dan berkata kepada diri sendiri bahawa orang kafir ingin berbuat jahat kepada kita atau ungkapan yang serupa.

“Ini kerana musuh-musuh orang mukmin dalam kalangan orang munafik dan kafir sentiasa berusaha melakukan pelbagai perkara yang boleh menyakiti dan menyedihkan mereka. Itulah jua yang dikehendaki oleh syaitan,” ungkapnya.

Justeru, elakkan diri kita daripada melakukan perkara yang boleh menyinggung perasaan dan menyakiti hati sesama Muslim serta perkara menyebabkan syak wasangka.