Browsing Tag

Beramal sedikit kunci istiqamah

Mendahului imam
Isu,

Biar beramal sedikit, jangan terus tinggalkan begitu sahaja. Ini antara solusi ampuh untuk istiqamah

LAFAZ syukur sentiasa meniti pada bibir orang beriman tatkala berjaya menyempurnakan segala suruhan ALLAH SWT dengan penuh tawaduk.

Apatah lagi selepas berjaya mengharungi puasa Ramadan, bertarawih, bertadarus al-Quran, menunaikan zakat, menyudahkan puasa sunat enam Syawal, selain amalan yang dituntut dalam agama Islam.

Peluang keemasan yang terhampar sepanjang bulan mulia tersebut tidak disia-siakan begitu sahaja. Sebaliknya, ia digunakan dengan sebaiknya walaupun hanya sesaat.

Begitupun, apabila fasa Ramadan dan Syawal berlabuh, terdapat segelintir orang tanpa sekelumit rasa bersalah kembali kepada rutin hariannya sehingga adakalanya mengabaikan solat fardu. Al-Quran yang menjadi pendampingnya sepanjang Ramadan pula semakin dipinggirkan. Apatah lagi ibadah-ibadah lain.

Perlakuan tersebut seakan-akan menggambarkan bahawa madrasah Ramadan dan kemenangan yang diraikan ketika Syawal seakan-akan tidak berbekas dalam diri dan mendatangkan keinsafan.

Mengapa sukar benar untuk kita konsisten dalam hal ehwal ibadah? Bagaimana caranya untuk kita kekal istiqamah sebagaimana bulan Ramadan dan selepas melalui fasa Syawal?

Amalan berterusan dicintai ALLAH

Ketika dilontarkan persoalan itu, pendakwah Ustaz Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi menjelaskan, meskipun Ramadan sudah berlalu pergi dan Syawal juga bakal menutup tabirnya tidak lama lagi, namun segala amal ibadah perlu dilakukan dengan konsisten.

USTAZ AHMAD LUTFI

Buktinya, lihat sahaja ALLAH SWT menawarkan ganjaran yang begitu tinggi nilainya dengan sifat pemurah dan penyayang-NYA sepanjang Ramadan.

Kemudian, DIA juga menambah puasa sunat enam Syawal pada Hari Raya Aidilfitri dengan imbalan seumpama kita berpuasa selama setahun penuh, terangnya.

Baca juga Jom tunaikan puasa sunat 6 Syawal, ganjarannya umpama berpuasa sepanjang tahun

“Ia menunjukkan isyarat yang jelas bahawa kehidupan seorang mukmin itu perlu sentiasa istiqamah dalam zon ibadah dan amal soleh tanpa terputus sedikit pun.

“Ingatlah, keghairahan pesta ibadah Ramadan yang masih berbekas dalam hati dan mempengaruhi seluruh jiwa raga orang beriman itulah kesan bagi mereka yang benar-benar rindukan bulan penuh barakah tersebut.

“Bahkan, momentum ibadahnya terus mekar apabila mereka menyambungnya pula dengan puasa sunat enam pada bulan Syawal, selain konsisten dengan amal solehnya pada bulan-bulan berikutnya,” katanya ketika ditemubual Sinar Islam Plus secara maya baru-baru ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh ALLAH SWT adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Beramal sedikit kunci istiqamah

WALAUPUN tiada lagi puasa wajib selepas bulan Ramadan, ibu bapa disarankan supaya mendidik anak masing-masing supaya berpuasa sunat pada hari-hari yang disunatkan melakukan ibadah berkenaan.

Melihat ungkapan itu, Ustaz Ahmad Lutfi berkata, jelaslah bahawa sikap istiqamah itu begitu signifikan dalam kehidupan seorang hamba kepada Sang Pencipta.

Dalam konteks itu, ujar beliau, ibadah puasa mengajar kita supaya sentiasa melakukan ketaatan kepada-NYA secara terus-menerus.

Malah, ia perlu diinsafi kerana perilaku tersebut merupakan kunci kejayaan Muslim dalam menjalani kehidupannya di dunia yang berselirat dengan onak dan duri, sebelum mengecapi kebahagiaan yang kekal di alam akhirat kelak.

Mudah kata, istiqamah adalah keadaan konsisten atau beriltizam dalam menuruti sunah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW, selain berperilaku dengan akhlak yang diredai oleh SWT, ungkapnya.

“Paling penting, sikap serta tindakan seseorang yang istiqamah dengan amalan kebaikannya jauh daripada pengaruh hawa nafsu. Ini kerana mereka yang dikawal oleh hawa nafsu boleh mengakibatkan mata hatinya menjadi buta.

“Lantaran itu, sukar untuknya membezakan di antara yang sunah dan bid’ah serta yang baik dan buruk. Lebih menggerunkan apabila manusia itu kalah dalam perjuangan memerangi hawa nafsu, malapetaka besar akan menanti.

Baca juga Jangan Tunduk Pada Hawa Nafsu

“Ini kerana ia mampu mengubah ibadah seorang hamba untuk ALLAH SWT kepada ibadah yang menuruti hawa nafsu yang sentiasa cenderung mengarah manusia ke arah kesesatan dan kebatilan,” jelasnya.

 

Capai darjat istiqamah

Bukan mudah sebenarnya untuk sikap istiqamah bersemayam dalam diri. Perkara itu turut diakui oleh Ustaz Ahmad Lutfi.

Untuk kita sampai kepada darjat istiqamah sebenar-benarnya, jelas beliau, seorang Muslim perlu melalui dua peringkat iaitu al-taqwim iaitu melatih jiwa dengan memperelokkan anggota badan dan amal perbuatan supaya berpaksikan perasaan takut serta mengharapkan keredaan ILAHI.

Semua itu dilakukan sehinggakan amal kebajikan dan ketaatan tersebut dalam diimplementasikan dan menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian, terangnya.

Baca juga Empat tips kekalkan semangat beribadah selepas Ramadan 

Satu lagi peringkat, pendakwah itu menjelaskan, ia dipanggil sebagai al-iqamah iaitu mendisiplinkan jiwa dan menyucikan hati daripada akhlak tercela dan penyakit hati yang keji seperti iri hati, dengki, sombong, ujub, nifaq (sifat munafik) dan penyakit hati yang tercela.

“Selepas mencapai kedua-dua martabat tersebut, barulah seseorang Muslim dapat menjejakkan kaki ke darjat istiqamah yang merupakan antara ciri-ciri Muslim sejati bertakwa di sisi ALLAH SWT.

“Bayangkan apabila sikap itu bertapak kukuh dalam jiwa kita, maka amal ibadah tetap dilaksanakan dengan sebaik mungkin dalam 11 bulan Islam yang lainnya selepas Ramadan, manakala akhlaknya pula akan terus mantap dalam memerangi syaitan dan hawa nafsu semasa menelusuri pentas hidup yang penuh pancaroba,” jelasnya panjang lebar.

Seperkara lagi, penceramah itu mengingatkan agar kita beramal dengan penuh tulus dan ikhlas. Ini kerana ia adalah kewajipan setiap mukmin, selain antara prasyarat suatu amalan itu diterima oleh ALLAH SWT.

Andai seseorang itu kembali melakukan maksiat selepas berakhirnya Ramadan dan Aidilfitri, ia menjadi petanda bahawa ibadah puasa kita tidak diterima oleh ALLAH SWT?

Bagi menjawab persoalan itu, Sinar Islam Plus mendapatkan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor, Ustazah Noor Rashidah A Rahman.

USTAZAH NOOR RASHIDAH

Beliau kemudian mengajak kita merenung kembali pandangan yang pernah dinukilkan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali.

Ulama tersohor itu menyebut: “Sesiapa yang melakukan ketaatan kepada ALLAH dan selesai melaksanakannya, antara tanda diterimanya amalan tersebut adalah dia akan berterusan melakukan ketaatan yang lain selepas itu. Manakala antara tanda tertolaknya sesuatu amalan adalah apabila amalan itu diikuti dengan sesuatu maksiat. Apa sahaja kebaikan yang dilakukan selepas kejahatan, akan menghapuskan kejahatan tersebut dan sudah pasti yang terbaik adalah melakukan kebaikan selepas melakukan kebaikan yang lain.”

Berdasarkan pernyataan itu, jelas Ustazah Noor Rashidah, manusia memang sifatnya lemah dan sentiasa melakukan dosa kerana iman kita ada pasang surutnya.

“Apa yang terbaik adalah bersegera bertaubat atas segala dosa yang telah dilakukan dan berusaha sebaik mungkin bagi mengelakkan diri daripada terjerumus kembali ke kancah dosa dan maksiat,” tegasnya.

Didik hati konsisten beribadah

Dalam pada itu, pendakwah tersebut mengakui bahawa setiap insan sememangnya mudah berasa lelah dan jemu kerana itulah hakikat manusia.

“Lebih-lebih lagi apabila kita beribadah tanpa ilmu dan hanya mengikut musim-musim tertentu sahaja. Sedangkan, tugas ibadah itu adalah tugasan setiap saat selagi nyawa kita dipinjamkan oleh ALLAH SWT sebagaimana yang disebutkan dalam ayat 56, Surah al-Dzariyat.

“Ya, melakukan sebanyak mungkin ibadah itu sangat baik, tetapi andai tidak mampu, istiqamahlah dalam melaksanakannya walaupun hanya sedikit. Itu lebih bermakna dan bernilai,” ungkapnya.

Beliau sempat berkongsikan tip untuk mendidik hati agar kekal istiqamah beramal dan beribadah walaupun Ramadan sudah berlalu dan Syawal bakal meninggalkan kita.

Beramal sedikit kunci istiqamah

SEGERA bertaubat andai melakukan dosa dan kesalahan. Jangan tunggu atau menangguhkannya sehingga bulan Ramadan atau Syawal berikutnya.

Antara lain, pegawai hal ehwal Islam berkenaan menyuruh kita supaya memperbaiki niat dalam beribadah iaitu semata-mata kerana ALLAH SWT dan bukannya disebabkan terlalu mendambakan pujian dan kemuliaan daripada manusia. “Bukan itu sahaja, kita juga perlu beribadah dengan ilmu. Dengan kata lain, kita tahu sebab-musabab kita mengerjakannya dan untuk siapa kita buat. Jangan pula kita melakukan ibadah kerana ikut-ikutan tanpa ilmu dalam dada.

“Seperkara lagi, biarlah ibadah yang dilakukan mengikut kemampuan masing-masing. Usah memaksa diri untuk melaksanakan ibadah yang kita tidak mampu walaupun ramai sekali yang melakukannya,” pesannya sambil mengingatkan agar umat Islam mencari rakan-rakan yang boleh membantu diri bersikap istiqamah dan banyakkan berdoa kepada ALLAH SWT supaya mengekalkan perilaku tersebut.

ANEKDOT

KEMULIAAN sifat istiqamah

 – ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang berkata: Tuhan kami ialah ALLAH, kemudian mereka meneguhkan pendirian maka malaikat akan turun kepada mereka sambil berkata, janganlah kamu takut dan janganlah kamu berdukacita, serta bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Surah Fussilat, ayat 30)

– Seseorang yang istiqamah dalam amal ibadahnya akan selalu didatangi para malaikat dan ia merupakan satu keuntungan disebabkan malaikat itu membawa rahmat.

Beramal sedikit kunci istiqamah

BERDOALAH agar ALLAH SWT memberikan kita ketetapan hati untuk terus melaksanakan ibadah kepada-NYA dan beristiqamah dengan amalan mulia yang dilakukan.

– Individu yang konsisten dalam amal ibadahnya tidak mudah merasa takut kerana ia mempunyai keteguhan hati, kuat keyakinannya, kukuh pendiriannya dan besar harapannya kepada ALLAH SWT.

– Orang yang terus-menerus melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT tidak mudah merasa sedih terutama apabila kehilangan sesuatu kerana ia merasa semua itu adalah memang milik Sang Khalik.

– Mereka yang istiqamah juga mendapat balasan syurga yang telah dijanjikan oleh ALLAH SWT.

Sumber Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor, Ustazah Noor Rashidah A Rahman

Foto: 123rf, Bernama & Koleksi foto Sinar Harian