Browsing Tag

berakad

Akad dalam Islam
Iqtisad,

Perkara yang dibenarkan dan tidak boleh dilakukan ketika berakad dalam Islam

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

MANUSIA mempunyai kehendak dan keinginan yang berbeza. Maka sudah tentu perbezaan kehendak dan keinginan ini akan membuahkan tuntutan yang berbeza apabila melakukan sesuatu akad.

Tuntutan khas yang diingini itu kebiasaannya akan dinyatakan dalam bentuk syarat dalam akad yang dilakukan. Persoalannya adakah pihak yang berkontrak bebas sepenuhnya untuk meletakkan apa jua syarat asalkan ada kerelaan (taradhi) antara kedua-dua pihak?

Dalam penulisan sebelum ini, saya ada menyatakan bahawa dalam al-Quran dan hadis, yang ada hanyalah prinsip dan dasar umum sahaja; dan antaranya ialah prinsip taradhi.

Meskipun ALLAH menyebut dalam Surah an-Nisa’, ayat 29 tentang prinsip taradhi yang menjadi asas halal dan sahnya sesuatu urus niaga, tetapi prinsip ini bukan boleh diamal atau difahami secara sendirian tanpa dibaca bersama dengan prinsip-prinsip lain.

Sebagai contoh, kita tidak boleh berhujah bahawa berdasarkan prinsip taradhi, kita bebas untuk mensyaratkan bayaran tambahan ke atas pihak yang mahu meminjam wang daripada kita (qard).

Akad dalam Islam

JIKA ingin berkontrak dengan pihak lain, ketahui hak masing-masing sebelum berakad.

Ini kerana bayaran tambahan itu adalah riba dan ia diharamkan dalam Islam. Pengharaman ini disebut secara jelas dan nyata dalam al-Quran dan al-Sunnah. Dalam surah al-Baqarah, ayat 275, ALLAH berfirman yang maksudnya: “ALLAH telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”.

Baca juga Ketahui Hak Dan Liabiliti Kita Dalam Akad Sewaan  

Antara hadis yang menyebut tentang haramnya riba adalah apa yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa Rasulullah SAW mengutuk orang yang makan harta riba, yang memberikan riba, penulis transaksi riba dan kedua saksi transaksi riba. Mereka semuanya sama (berdosa).” (Hadis riwayat Muslim)

Jadi, mana-mana syarat yang bertentangan dengan apa yang ditegaskan dalam al-Quran dan hadis adalah tidak dibolehkan. Secara mudah dalam memahami syarat yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah adalah apabila larangan tersebut dinyatakan secara jelas dalam kedua-dua sumber utama hukum hakam dalam Islam.

Namun, apabila al-Quran dan as-Sunnah diam mengenainya, yakni tidak dinyatakan secara jelas dan nyata, bagaimanakah kita mahu menentukan kedudukan syarat tersebut?

Jika kita meneliti beberapa hadis Rasulullah SAW, memang terdapat hadis yang melarang perletakan syarat dan ada juga yang menunjukkan boleh meletakkan syarat.

Antaranya ialah hadis Barirah yang diriwayatkan oleh Aisyah, menyatakan bahawa semua syarat yang tiada dalam kitab ALLAH maka ia batil sekalipun seratus syarat. Sementara dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Orang-orang Islam itu terikat atas syarat-syarat mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram”.

Baca juga Patuhi Akad Wakalah Ketika Urus Ibadah Korban

Apabila ada hadis-hadis yang mempunyai maksud yang bertentangan, para ulama akan berlaku khilaf dalam isu berkaitan. Masing-masing mempunyai pegangan dan kaedah tersendiri dalam menentukan mana satu syarat yang dibolehkan dan mana satu yang tidak dibolehkan.

Akad dalam Islam

Secara ringkas, berpandukan kepada perbahasan para ulama tentang isu syarat dalam akad, saya rumuskan begini:

1. Mana-mana syarat yang bertentangan dengan nas al-Quran dan as-Sunnah dan yang membawa kesan yang berbeza dengan matlamat/kehendak asal sesuatu akad (muqtada akad) adalah syarat yang tidak dibolehkan.

2. Mana-mana syarat yang tidak bertentangan dengan nas al-Quran dan as-Sunnah, serta tidak menafikan matlamat/kehendak asal akad, syarat yang menguatkan lagi akad berkenaan seperti syarat ada jaminan (kafalah)serta yang tidak bertentangan dengan uruf yang sahih yang sudah diterima pakai seperti syarat penjual menghantar barang belian ke tempat tertentu, kesemuanya adalah dibolehkan. Wallahu a’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Pexels