Browsing Tag

benda tak pakai

Koleksi barang
Aqidah,

Jangan simpan benda tak pakai, koleksi barang dan harta juga akan dihisab

MELIHAT koleksi barang di rumah orang lain kadangkala membuatkan hati kita berasa sedikit cemburu. Masakan tidak, kediaman sendiri tidak mempunyai perkakasan sebanyak itu.

Barangkali kerana faktor kewangan yang tidak mengizinkan mahupun ruangan terhad. Boleh jadi juga kerana tidak suka rumah ‘semak’ dengan barang yang diperlukan.

Maklum sahajalah, keperluan setiap orang dan sesebuah keluarga itu berbeza serta tidak sama. Tidak perlulah kita mengikut-ikut orang lain.

Jika dibeli juga, mungkin sahaja barang itu langsung tidak akan dipakai mahupun disentuh. Jangan sampai hal ini berlaku.

Pendakwah Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Asyraf menjelaskan, bukan sahaja harta, tetapi semuanya akan ditanya oleh ALLAH SWT untuk dihisab pada hari akhirat kelak.

Ia termasuklah tudung, cincin, bekas makanan, pinggan mangkuk dan sebagainya, terangnya.

IMAM MUDA ASYRAF

“Suatu perkara yang kita kena ingat, timbangan di dunia dengan hari akhirat tidak sama. Dalam al-Quran jelas dinyatakan, timbangan pada hari kiamat kelak sangat adil dan detil.

“Cuma bezanya, ada orang yang dihisab dengan begitu mudah dan ada pula yang sukar. Umpama sekatan jalan raya yang dilakukan pihak polis. Ada orang, polis tengok sahaja, dia boleh terus lalu, tetapi terdapat juga yang mana kenderaannya diperiksa dan bonet kereta dibuka. Begitulah terperincinya timbangan di akhirat nanti.

Baca juga Ada Manusia Yang Akan Tenggelam Di Dalam Peluhnya Sendiri Di Akhirat Kelak, Semuanya Bergantung Kepada Amalan Di Dunia

“ALLAH SWT akan tanya, mana pergi tempat ini? Ke mana kamu gunakan? Untuk tujuan apa kamu dapat? Dari mana kamu dapat duit untuk beli benda ini? Semuanya akan ditanya oleh ALLAH SWT,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook SINAR.

Andai ia melibatkan amal soleh, Imam Muda Asyraf menjelaskan, ia tidak akan menyusahkan kita kerana begitu senang untuk dihisab oleh Yang MAHA ESA.

“Akan tetapi, kalau kita ada masalah iaitu benda yang Tuhan beri itu kita gunakan pada jalan tidak betul ataupun perolehan kita dapat tak betul untuk beli barang-barang tersebut, pasti hisab itu merupakan hisab yang sangat menakutkan.

“Itulah namanya timbangan pada hari akhirat, tidak sama macam di dunia,” ungkapnya.

4 perkara ditanya di akhirat

Senada dengan Imam Muda Asyraf, Pengarah Sekretariat Majlis Ulama Isma, Ustaz Syamil Esa menegaskan, setiap nikmat yang kita kecapi akan dihisab dan disoal termasuk segala pakaian, makanan dan ilmu pengetahuan.

USTAZ SYAMIL

Perkara itu jelas berdasarkan sebuah riwayat masyhur yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berganjak dua kaki anak Adam pada hari kiamat nanti hinggalah dia ditanya mengenai empat perkara: mengenai umurnya di mana dia habiskan, mengenai waktu mudanya ke mana digunakan, mengenai hartanya dari mana dia dapatkan dan ke mana dia belanjakan, dan mengenai ilmunya ke mana dia amalkannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Bahkan, ALLAH SWT berfirman: “Kemudian kamu akan ditanya mengenai nikmat-nikmat (dikurniakan).” (Surah at-Takathur, ayat 8)

Berdasarkan nas tersebut, ujar Ustaz Syamil, jelaslah segala apa yang berkaitan dengan pemilikan kita akan dipersoal ke mana ia digunakan.

Baca juga Kenali golongan yang muflis di akhirat… Jangan sesekali menjerumuskan diri

“Tidak salah untuk membeli pakaian baharu atau menyimpan barang-barang tertentu, ia juga sebahagian daripada perkara halal yang diizinkan oleh syariat.

Koleksi barang

-FOTO: FREEPIK

“Namun dalam berbelanja dan mengumpul harta benda serta aset, ia perlu diseimbangkan dengan kebertanggungjawaban kita di dunia dan apa pula yang kita sediakan jawapannya di akhirat,” ungkapnya.

Justeru, berfikirlah terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu. Jangan sampai kita boros dan membazir kerana ia bercanggah dengan sifat yang dianjurkan oleh Islam.

Bagi mereka yang mempunyai koleksi barang yang tidak dipakai, lebih baik ia disedekahkan kepada orang memerlukan. Boleh juga ia dimanfaatkan dan kita juga akan beroleh ganjaran pahala.

Renungkanlah bait-bait kalamullah ini: “…Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya di jalan ALLAH, maka berikanlah khabar gembira kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) azab yang pedih, (ingatlah) pada hari ketika emas dam perak dipanaskan di dalam neraka Jahanam, lalu dengan itu diselar dengan dahi mereka, rusuk dan punggung mereka (sambil dikatakan) kepada mereka, “Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah (akibat daripada) apa yang kamu simpan itu.” (Surah at-Taubah, ayat 34-35)

***Foto: Freepik