Browsing Tag

Beli emas secara ansuran

Beli emas ansuran
Muamalah,

Bukan Semua Emas Boleh Dibeli Secara Ansuran, Ini Kaedah Ditetapkan Oleh Syariat

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

EMAS merupakan sejenis galian yang mempunyai nilai tinggi. Pada zaman Rasulullah SAW, wang emas yang disebut sebagai dinar telah digunakan sebagai alat pertukaran.

Selepas krisis kejatuhan mata wang Asia pada tahun 1988, ramai pihak mula memberi fokus kepada emas sama ada dalam bentuk pemilikan dinar emas atau pelaburan emas.

Dalam Islam, emas merupakan salah satu barang ribawi. Sebarang urus niaga yang melibatkan barang ribawi mesti mengikut tatacara khas yang telah ditetapkan oleh syarak. Kaedah urus niaga yang melibatkan barang ribawi itu amat berbeza dengan barang bukan ribawi.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ubadah bin al-Samit, baginda SAW telah menjelaskan tatacara tersebut: “Emas dengan emas (ditukar atau diniagakan), perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, mestilah sama timbangan dan sukatan dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah kamu sebagaimana yang kamu sukai selagi ia dilakukan secara tunai. (Riwayat Muslim)

Beli emas ansuran

DILARANG membuat pembelian jongkong emas atau emas bukan perhiasan secara ansuran kerana haram hukumnya berbuat demikian.

Daripada hadis itu, dapat dirumuskan seperti berikut:

1. Ada dua kategori barang ribawi. Pertama, mata wang yang melibatkan emas dan perak dan kedua, kategori makanan iaitu gandum, barli, tamar dan garam.

2. Pertukaran sesama jenis dalam kategori yang sama seperti emas dengan emas atau gandum dengan gandum tertakluk kepada dua syarat:

a. Serahan kedua-dua barang pertukaran hendaklah dilakukan serta-merta dalam majlis akad.

b. Kadar kedua-duanya mesti sama (berdasarkan ukuran atau timbangan).

3. Pertukaran berlainan jenis daripada kategori yang sama seperti emas dengan perak atau gandum dengan barli, tertakluk kepada satu syarat sahaja iaitu serahan segera kedua-dua barang pertukaran dalam majlis akad.

4. Sekiranya pertukaran tersebut melibatkan barang ribawi daripada kategori yang berbeza seperti emas dengan gandum, maka urus niaga boleh dilakukan secara bebas sama dalam bentuk bayaran tangguh atau berbeza kadar.

Baca juga Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya

Berdasarkan pandangan Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali, mata wang kertas juga adalah barang ribawi. Maka, adakah emas boleh dijual beli secara ansuran?

Bagi menjawab persoalan itu, kita perlu melihat kepada dua bentuk emas iaitu emas perhiasan seperti gelang dan rantai emas serta bukan emas perhiasan seperti jongkong emas atau syiling emas.

Sekiranya emas itu bukan emas perhiasan, tiada perbezaan pandangan dalam kalangan para fuqaha bahawa jual beli secara ansuran adalah diharamkan kerana kedua-duanya adalah barang ribawi.

Namun begitu, sekiranya ia melibatkan emas perhiasan iaitu yang merujuk kepada emas yang sudah ditempa dan melibatkan aktiviti pertukangan terhadapnya (al-sina’ah), maka ada dua pandangan berhubung sifat ribawi padanya.

Beli emas ansuran

EMAS perhiasan seperti gelang dan rantai boleh dibeli secara ansuran kerana ada aktiviti pertukangan ke atas barangan tersebut yang menyebabkan sifat emas daripadanya hilang.

Pandangan pertama: Jual beli emas perhiasan secara ansuran adalah haram. Ini kerana kesan pertukangan yang dilakukan terhadap emas tersebut tidak menghilangkan sifat emas daripadanya. Oleh itu, ia tidak menggugurkan sifat ribawi yang ada padanya. Ini adalah pandangan kebanyakan fuqaha termasuk empat mazhab yang muktabar.

Pandangan kedua: Jual beli emas perhiasan secara ansuran adalah diharuskan. Ini kerana dengan adanya aktiviti pertukangan ke atas emas tersebut telah menyebabkan sifat asalnya hilang dan bertukar kepada kategori barangan perniagaan (‘urud tijarah). Pandangan itu dipelopori oleh Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim.

Malah, Imam al-Nawawi yang merupakan antara fuqaha muta’akhirin (terkemudian) Mazhab Syafie mengharuskan jual beli perhiasan emas dan perak secara ansuran atas dasar kelonggaran kerana keperluan masyarakat terhadapnya.

Sebagai rumusan, jika kita membeli jongkong emas atau syiling emas, maka memang diharamkan bayaran dibuat secara ansuran. Sebaliknya, jika kita membeli emas perhiasan seperti gelang dan rantai, ia boleh dibeli secara ansuran mengikut pandangan kedua. Wallahualam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Freepik