Browsing Tag

Bekas banduan

Bayar zakat walaupun bukan Islam
Isu,

Bekas banduan boleh mohon bantuan zakat jika termasuk kategori asnaf

ISTILAH bekas banduan tidak wujud dalam ‘kamus’ Islam. Justeru, tiada isu golongan tersebut tidak boleh memohon bantuan di bawah institusi zakat andai mereka termasuk dalam lapan senarai kelompok asnaf selagi bergelar Muslim.

Demikian komentar Ketua Unit Pembangunan Asnaf, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP), Ustaz Md Hashrul’din Amdan ketika ditanya berhubung bentuk bantuan kepada bekas banduan untuk kembali meneruskan kehidupan selepas dibebaskan.

Jelas beliau, di bawah skim bantuan zakat MAIP, terdapat banyak jenis bantuan seperti modal dan peralatan, sara hidup, mualaf serta lain-lain.

“Kita tidak memilih waima mereka banduan atau bekas banduan, selagi dia orang Islam dan termasuk sebagai asnaf tidak kiralah sama ada fakir, miskin atau al-gharimin, mereka layak dapat bantuan.

USTAZ MD HASHRUL’DIN

“Cuma kena buat permohonan. Setakat ini, pihak kami tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana bekas banduan atau persatuan tertentu untuk bantuan zakat. Yang ada hanyalah daripada program Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (DiC),” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini. Bukan sahaja bantuan, Ustaz Md Hashrul’din menjelaskan, MUIP mempunyai sebuah penempatan asnaf yang dikenali sebagai Pusat Komuniti Asnaf Bukit Kenau melibatkan sebanyak 80 unit jika mereka memerlukannya.

Baca juga Tunai zakat bukan untuk tambah rezeki? Umat Islam diminta jangan salah faham objektif tunaikan Rukun Islam ke-4 itu

Peluang pekerjaan

Kepada golongan asnaf termasuk bekas banduan dalam kategori berkenaan di Pahang, katanya, mereka boleh cuba membuat permohonan tertakluk kepada kekosongan.

“Jika ada ruang, kami akan hubungi mereka dan panggil menghadiri sesi temuduga untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak boleh mendiaminya secara percuma selagi mana mereka bergelar asnaf.

“Pada masa ini, terdapat 25 unit penempatan dalam proses baik pulih, insya-ALLAH kita akan buat kemasukan baharu pada tahun depan.

“Dalam penempatan itu juga, kami dalam proses untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada komuniti di situ,” katanya sambil menjelaskan antara kriteria pemohon yang dipertimbangkan termasuklah kategori fakir, miskin dan keutamaan diberikan kepada mereka yang berkeluarga serta tiada tempat untuk dituju.

KEPADA kelompok asnaf, mereka boleh mengisi borang permohonan untuk bantuan tertentu sebelum proses saringan dan tapisan dilakukan oleh pihak berkuasa agama di negeri masing-masing. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: FREEPIK

Bagi penceramah bebas, Ustaz Mohamed Sabir Jamaludin, bekas banduan memerlukan rumah perlindungan untuk mereka memulakan kembali kehidupan selepas lama ‘dikurung’.

Lebih-lebih lagi mereka yang sebatang kara, sudah berusia lanjut dan hidup dalam buangan serta langsung tiada sumber kewangan.

Sebagai penceramah jemputan yang terlibat dalam program pemulihan dan rawatan di penjara, beliau melihat peri pentingnya hal perkara tersebut pada masa sekarang.

Baca juga Peluk Islam ketika dalam penjara, bekas banduan kini jadi pendakwah

“Ada dalam kalangan mereka memang benar-benar telah insaf, tetapi tidak diterima oleh masyarakat. Ke mana mereka hendak pergi? Di mana mereka hendak tidur?

“Lebih-lebih lagi bekas banduan yang sudah tua dan tiada sesiapa,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di pejabatnya di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Jati diri bekas penghuni penjara

Meskipun perkara itu kelihatan remeh, namun sewajarnya perkara itu perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini memandangkan ia berkait rapat dengan soal akidah mereka.

“Kita tidak mahu lihat ada pihak lain yang membantu kelompok ini, seterusnya menarik mereka dalam dakyah yang memesongkan,” tegas beliau.

Sebelum ini, bekas Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Ibrisam Abdul Rahman yang kini merupakan Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Jabatan Penjara Malaysia pernah menyuarakan perkara sama pada tahun lalu.

Memetik laporan media tempatan, beliau meluahkan rasa sedih kerana kurangnya pembabitan NGO Islam di negara ini dalam membantu bekas banduan dari aspek pemulihan, sokongan dan mendapatkan pekerjaan, sebaliknya lebih cenderung kepada isu di luar negara.

Perkara itu diberitahu ketika Perbincangan Meja Bulat Mengenai Proses Integrasi Semula Bekas Banduan Dalam Masyarakat secara maya dan turut disertai bekas Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Jerald Joseph serta beberapa NGO lain.

Baca juga Pernah bergelar banduan, bekas guru ini bangkit daripada kisah silam

Selain bekas banduan, Ustaz Mohamed Sabir yang juga Presiden Pertubuhan Alif dan Ketua Pegawai Eksekutif Alif Consultant Plt berpandangan, penghuni penjara juga memerlukan ‘suntikan luar’ untuk memantapkan jati diri mereka apabila dibebaskan kelak. “Mereka bukan hanya perlu solat dan baca al-Quran sahaja, tetapi juga kena memahaminya. Jika tidak tahu inti patinya akan memberi implikasi kepada jati diri mereka.

USTAZ MOHAMED SABIR

“Walaupun para banduan sudah diberikan bimbingan agama oleh kader daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan pegawai penjara, namun kita ada banyak NGO Islam di luar. Mungkin mereka boleh menghulurkan bantuan berbentuk ceramah motivasi kepada penghuni tirai besi.

“Pihak institusi pengajian tinggi pula boleh bantu mereka dari segi cara hidup dengan memberikan sijil-sijil pencapaian tertentu,” sarannya.

Lupa baca doa awal dan akhir tahun
Inspirasi,

Pernah bergelar banduan, bekas guru ini bangkit daripada kisah silam

SINAR Islam Plus berkesempatan menemu bual bekas banduan dari Penjara Kota Kinabalu, Sabah, Mohd Khanafeh Rashkin, 51.

Bekas guru itu dipenjarakan atas kesalahan jenayah komersial selama 10 tahun atau secara tepatnya, 3,157 hari!

Bicaranya kepada penulis bermula dengan perihal kesukarannya mencari pekerjaan selepas dibebaskan pada Ogos 2020 dek kerana sejarahnya pernah menghuni sel.

Baca juga Peluk Islam ketika dalam penjara, bekas banduan kini jadi pendakwah

Tidak cukup dengan itu, hartanya pula dibekukan akibat jenayah silam. Mujur dia masih punya lima anak yang menerima baik kehadirannya hasil perkongsian perkahwinan bersama dua bekas isteri.

Berkat kesabaran, Mohd Khanafeh yang mesra dipanggil Ybe akhirnya diterima bekerja sebagai penghantar barang.

“Bermula dengan pekerjaan itulah, alhamdulillah saya kini berjaya membuka perniagaan menawarkan khidmat kurier yang beroperasi di Kota Kinabalu selepas beberapa bulan.

“Sekarang, saya mempunyai 75 kakitangan. 50 peratus daripada mereka merupakan bekas penghuni penjara,” katanya yang kini mengecap kebahagiaan dengan isteri baharu bernama Sonia yang dikahwininya dua tahun lalu.

Mengimbas kembali detik-detik awal dipenjarakan, Ybe mengakui meskipun keluarga memberikan sokongan, tetapi isteri-isterinya ‘mengalah’.

MOHD KHANAFEH

Baca juga Ibn Sirin pelopor ilmu tafsir mimpi sanggup dipenjara demi keredaan ALLAH

Ujar beliau, isteri pertama meminta cerai ketika hari pertama hukuman dijatuhkan oleh mahkamah.

Meskipun perit untuk ditelan, namun dia akur. Lebih memilukan apabila isteri kedua memohon perceraian selepas setahun beliau dipenjarakan. Ketika itu, wanita berkenaan sudah mengandungkan anak orang lain.

“Sepertimana yang kita biasa tengok dalam drama, ada tingkap penghadang kaca dan gagang telefon. Bekas isteri kedua datang bersama seorang lelaki. Saya ingatkan itu adalah saudaranya.

“Telahan saya meleset. Apabila isteri mengangkat gagang telefon, terus saja dia meminta cerai kerana mengandungkan zuriat lelaki berkenaan.

“Bayangkan perasaan saya sebagai suami. Saya tersentak lama sebab merasakan ia suatu penghinaan yang besar,” ceritanya panjang lebar.

Perjuangan diteruskan

Pengalaman lalu membuatkan Ybe yang juga Presiden Persatuan Sahabat Penjara Sabah bertekad membantu bekas-bekas penghuni penjara.

Selain membantu dalam bidang pekerjaan, lelaki berhati cekal itu turut aktif membantu keluarga banduan di luar.

“Saya melihat ada organisasi bukan Islam membantu banduan termasuk menguruskan peguam dan sentiasa bersedia membantu keluarga mereka tanpa mengira agama.

Baca juga Amalkan Selalu, Mudah-mudahan Bantuan ALLAH Segera Tiba

“Sekarang, menerusi persatuan ini, kami akan cuba bantu mereka sedaya upaya. Namun, adakalanya kami juga kekurangan dana kerana tiada bantuan daripada mana-mana pihak.

Banduan

YBE turut membukukan riwayat hidupnya sepanjang di dalam tembok penjara untuk diambil iktibar.

“Sebab itulah saya kerap mengungkapkan perihal dana untuk persatuan bekas-bekas banduan dan keluarga banduan. Ini kerana apabila ketua keluarga masuk penjara, anak dan isteri yang ditinggalkan turut disisih oleh keluarga, walhal mereka tidak bersalah,” ungkapnya.

Disebabkan itulah Ybe berpandangan, betapa pentingnya dana atau kewangan buat bekas banduan yang dibebaskan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup. Lebih-lebih lagi buat mereka yang dibuang keluarga dan tiada sumber rezeki untuk peringkat permulaan.

“Itulah yang saya perjuangkan selama ini. Dari segi didikan agama, semua itu sudah diajar ketika di dalam penjara. Malah, kemahiran juga sudah diberi, cuma ke mana ia boleh disalurkan? Itulah masalahnya.

“Ya, dunia sekarang memerlukan duit untuk hidup. Jika sokongan masyarakat dan ‘modal permulaan’ tiada, akhirnya ada dalam kalangan bekas banduan itu kembali kepada rakan ‘sejenayah’ mereka. Sebaliknya, kehidupan yang terjamin dengan ruang ekonomi yang baik akan membuatkan mereka lupa dan mengubah hidup mereka,” katanya.

Meskipun kehidupan di dalam kurungan benar-benar menggerunkan, namun Ybe mengakui benar-benar bersyukur dapat merasainya sendiri.

Banduan

MOHD KHANAFEH (tengah) kini mampu membuka syarikat kurier sendiri dan menggajikan kakitangan yang 50 peratus daripada mereka merupakan bekas banduan.

“Memang saya bersyukur dapat masuk (ke dalam penjara). Ia betul-betul menyedarkan saya. Cara hidup saya kini dan 10 tahun lalu sangat berbeza.

“ Hari ini saya lebih reda dan bersyukur dengan apa yang ada. Kita perlu seimbangkan keperluan duniawi dan ukhrawi. Paling penting, sentiasa jujur, jangan tamak dan jangan menganiaya orang lain,” pesannya.

***Foto: IHSAN MOHD KHANAFEH RASHKIN