Browsing Tag

bebas

Kemerdekaan
Semarak Patriotik: 65 tahun Malaysia Merdeka,

Kemerdekaan bebaskan diri daripada belenggu kejahilan, kekufuran

KEMERDEKAAN begitu tinggi nilainya dan tidak boleh diukur menggunakan alat penimbang serta selainnya. Ia juga tidak boleh dijual beli.

Menelusuri historiografi, kemenangan perjuangan umat Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW bermula dengan pembukaan Kota Makkah. Ini kerana ketika itulah bermulanya kemerdekaan warganya daripada kegelapan jahiliah kepada hidup dalam aturan Islam.

Memetik petikan khutbah bertajuk Memahami Erti Kemerdekaan Dalam Hidup oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu pada tahun lalu, sebaik sahaja Kota Makkah dibuka dan Rasulullah SAW bersama umat Islam memasukinya, baginda kemudian menuju ke Masjidil Haram dan bertawaf mengelilingi Kaabah.

Baca jugaBukan kita sahaja, Nabi SAW sendiri pernah zahirkan rasa cinta terhadap tanah air baginda 

“Malah, baginda SAW menjatuhkan berhala-berhala menggunakan busur panah sambil membaca ayat 81, Surah al-Isra’.

“Seterusnya baginda memasuki Kaabah, solat di dalamnya dan bertakbir di setiap penjuru dalam Kaabah serta menyebut kalimah Tauhid. Baginda kemudian berucap di khalayah orang Quraisy di luar Kaabah dengan ucapan: ‘Wahai orang-orang Quraisy! Sesungguhnya ALLAH telah pun melenyapkan daripada kamu kesombongan jahiliah, sikap bermegahan dengan nasab keturunan. Semua manusia sebenarnya adalah berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah’.

Kemerdekaan

KETIKA memasuki Kota Makkah, Nabi Muhammad SAW menjatuhkan berhala-berhala menggunakan busur panah dan memasuki Kaabah, lalu menunaikan solat di dalamnya. -Gambar hiasan

“Selanjutnya, Nabi Muhammad SAW membaca ayat 13, Surat al-Hujurat,” kata artikel khutbah berkenaan.

Ternyata pendekatan yang dibawa oleh baginda SAW itu turut terungkap daripada ucapan seorang pahlawan Islam, Rib’ie bin Amir RA apabila ditanya oleh Rustum, seorang Panglima Perang Parsi. Lalu Rib’ie menjawab:

“Sesungguhnya kami adalah kaum yang diutuskan oleh ALLAH untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada menyembah YANG MAHA PENCIPTA. Daripada kesempitan dunia kepada keluasannya, daripada kekeliruan dan kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Baca juga Ini Maksud Kemerdekaan Sebenar Dalam Islam,  Ramai Yang Masih Belum ‘Bebas’ Sepenuhnya

Melihat kepada ungkapan berkenaan, jelaslah bahawa maksud kemerdekaan yang hakiki bukan sekadar membebaskan fizikal manusia untuk bergerak ke sana atau ke sini.

“Sebaliknya ia juga bermaksud membebaskan rohani dan mental mereka daripada belenggu kejahilan dan kekufuran kepada kehidupan berlandaskan panduan wahyu Ilahi.

“Namun begitu, andai jiwa seseorang kosong tanpa petunjuk al-Quran mahupun as-Sunnah, maka ia akan mendorong manusia untuk tidak melakukan perkara yang ‘berkiblatkan’ hawa nafsu. Impaknya, terjadilah pelbagai pemahaman salah tentang erti kemerdekaan antaranya menafsirkan kemerdekaan bebas daripada terikat dengan undang-undang dan hukum-hakam agama,” katanya.

Kemerdekaan

AL-QURAN dan as-Sunnah begitu penting supaya ia boleh menjadi petunjuk agar manusia tidak mudah tunduk kepada hawa nafsu.

Bercakap tentang Hari Kebangsaan negara dan Hari Malaysia, ketahuilah bahawa Rasulullah SAW begitu menyayangi dan mencintai negaranya, kata Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Buktinya, ketika dalam perjalanan hijrah meninggalkan Makkah, baginda telah melalui satu kawasan yang dinamakan sebagai Juhfah, iaitu sempadan di bahagian utara negeri Makkah.

Di situlah baginda memerhatikan Makkah lalu bersabda: “Aku tidak temui negeri yang lebih baik daripada engkau (wahai Makkah), dan tidak ada negeri yang lebih aku sayangi daripada Makkah. Kalaulah bukan kerana kaummu (iaitu Quraisy) telah menghalauku, aku tidak akan tinggalkan negeri ini.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Baca juga Syeikh Abdullah Fahim, ulama dinamik yang menentukan tarikh kemerdekaan

Menurut Dr Ahmad Sanusi, luahan itu jelas menggambarkan betapa Rasulullah SAW begitu menyayangi Makkah.

DR AHMAD SANUSI

“Ia bukan suatu sifat yang terlarang kerana mencintai tanah air, tempat kita membesar adalah fitrah yang dialami oleh manusia.

“Malah, kecintaan Nabi Muhammad SAW dilihat berlaku secara konsisten setelah baginda berhijrah ke Madinah. Bukan sahaja bersungguh-sungguh membangunkan Madinah, tetapi juga kekasih ALLAH itu turut membentuk suasana harmoni dalam kalangan semua kaum serta menyemaikan rasa cintakan Madinah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di media sosial miliknya.

Manifestasi kecintaan itu dapat dilihat menerusi doa yang dibacakan oleh Rasulullah SAW yang berbunyi: “Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah sepertimana kami mencintai Makkah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Malah, dalam sebuah hadis lagi ada digambarkan sikap Rasulullah SAW yang begitu menyayangi tanah airnya.

Kemerdekaan

CONTOHILAH Rasulullah SAW dalam menzahirkan kecintaannya kepada tanah air. -Gambar hiasan

Anas bin Malik RA berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu, sekiranya baginda pulang dari satu perjalanan yang jauh, apabila sampai sahaja di Madinah dan ternampak anak-anak tangga Madinah, (atau dinding-dinding rumah di Madinah), baginda akan menggesa untanya supaya berjalan cepat, seakan-akan rindu untuk sampai di Madinah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Kemerdekaan Satu Nilai Kebebasan

Dr Ahmad Sanusi yang juga Duta Yayasan Maghfirah itu kemudian mengemukakan nukilan al-Imam Ibn Hajar tentang hadis berkenaan. Ulama itu menyatakan, mencintai tanah air bukanlah suatu perkara yang dicegah oleh syariat.

“Semangat cintakan negara ini bukanlah suatu perkara yang asing di sisi manusia. Sesetengah kamum di dunia ini bersungguh dalam memupuk anak bangsanya agar mencintai negaranya sepenuh jiwa raga.

“Ya, cintailah negara Malaysia ini. Paling penting, jauhkan Malaysia daripada kerosakan agama dan pemikiran seperti pemikiran liberal yang merosakkan kefahaman anak muda tentang Islam,” ungkapnya.

Foto: 123rf, Freepik & Bernama