Browsing Tag

Bawa jenazah dalam kenderaan persendirian

Bawa jenazah dalam kenderaan persendirian
Isu, Pilihan Editor,

Nasib Malang Jika Bawa Jenazah Dalam Kenderaan Persendirian?

no comment

KITA biasa lihat jika berlaku suatu kematian, pasti ia akan dibawa dengan menggunakan van jenazah ke tanah perkuburan. Lazimnya, kes seperti itu melibatkan kematian orang dewasa di hospital sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya untuk dikebumikan.

Berbeza pula dengan kematian bayi yang masih kecil, jarang sekali kita dengar jenazah anak syurga itu dibawa dengan menggunakan van jenazah.

Barangkali kerana saiz tubuhnya yang kecil dan boleh dikendong serta dipangku membuatkan ia boleh dibawa ke tanah perkuburan dengan kenderaan persendirian.

Begitupun, tidak semua orang bernasib baik. Ada dalam kalangan masyarakat yang kurang berkemampuan. Bukan setakat kenderaan sendiri, malah membayar kos van jenazah juga tidak mampu.

Apabila berlaku kes kematian anak, tiada siapa mahu menumpangkannya bersama jenazah hatta kenderaan awam sekalipun. Ini kerana segelintir masyarakat percaya bahawa tindakan mereka membawa jenazah dengan kenderaan persendirian akan membawa nasib malang pada kemudian hari.

Kes itu kelihatan remeh, tetapi ia berlaku dalam dunia realiti. Ia sebagaimana dilaporkan dalam satu kes di Sandakan, Sabah seperti yang dipaparkan oleh sebuah portal berita tempatan sekitar bulan April lalu.

Dalam kejadian berkenaan, percubaan ibu malang itu untuk mendapatkan kenderaan awam untuk membawa jenazah bayinya gagal. Ramai yang menolaknya atas alasan kepercayaan tersebut.

Baca juga Elakkan Amalan Khurafat Ketika Wabak

Bukannya tidak mahu menggunakan perkhidmatan van jenazah, tetapi apakan daya, faktor ketidakmampuan membataskan segalanya.

Persoalannya, benarkah membawa jenazah dengan kenderaan sendiri akan membawa malang?

Sebagai orang beriman, menjadi pegangan kukuh mereka untuk meyakini bahawa tiada apa yang boleh memberi manfaat, apa lagi mudarat melainkan dengan izin ALLAH SWT.

Bawa jenazah dalam kenderaan persendirian

BERPEGANG teguhlah dengan ajaran Islam bahawa segala yang berlaku adalah atas kehendak dan izin-NYA. -Gambar hiasan

Firman ALLAH SWT: “Dan jika ALLAH mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan DIA; dan jika IA menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-NYA. ALLAH melimpahkan kurnia-NYA itu kepada sesiapa yang dikendaki-NYA dari hamba-hamba-NYA, dan DIALAH yang MAHA PENGAMPUN lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah Yunus, ayat 107)

Ketika menghuraikan maksud ayat tersebut, Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan: “Ayat ini menunjukkan bahawa kemudaratan dan kebaikan datang dengan kudrat dan ketentuan ALLAH SWT.” (Mafatih al-Ghaib, Dar Ihya’ al-‘Arabiy)

Memetik artikel bertajuk Al-Afkar #117: Membawa Jenazah Dengan Kenderaan Sendiri Membawa Malang yang disiarkan menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini, pihaknya menegaskan bahawa Islam melarang umatnya mempercayai atau mengaitkan sesuatu peristiwa, perbuatan, hari dan lain-lain kepada suatu perkara malang.

“Ia termasuklah kepercayaan bahawa membawa jenazah dengan kenderaan boleh membawa sial dan malang.

“Perkara ini jelas ditegah oleh Islam kerana ia boleh membawa kepada kepercayaan bahawa mudarat itu datang daripada makhluk sedangkan kesemuanya terjadi dengan izin ALLAH SWT,” katanya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang perkara itu. Baginda bersabda: “Al-Tiyarah adalah syirik, al-Tiyarah adalah syirik, al-Tiyarah adalah syirik (Nabi Muhammad SAW menyebutnya tiga kali). Tiada sesiapa daripada kalangan kita pernah terlepas dari terlintas berkenaan perkara tersebut. Namun ALLAH menghilangkannya dengan tawakal.” (Riwayat Abu Daud)

Bawa jenazah dalam kenderaan persendirian

JANGAN mempercayai kepercayaan yang karut. -Gambar hiasan

Jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, al-Suyuti menjelaskan, al-Tiyarah adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab jahiliyah. Apabila ingin keluar, mereka akan melepaskan seekor burung.

“Jika burung iu terbang ke arah kanan, mereka akan meneruskan perjalanan. Jika burung itu terbang ke arah kiri, mereka akan kembali dan duduk sahaja di rumah. Mereka mempercayai malang yang akan menimpa mereka sekiranya mereka meneruskan perjalanan.

“Nabi Muhammad SAW menyifatkan perbuatan tersebut sebagai syirik. Ini menunjukkan bahawa mempercayai sesuatu perkara itu membawa malang adalah kepercayaan yang karut dan tahyul,” tegasnya.

Justeru, berhati-hatilah mengaitkan sesuatu dengan perkara sial dan seumpamanya. Ingatlah perbuatan itu dilarang keras dalam agama Islam.

Segala apa yang berlaku waima yang baik mahupun perkara yang mudarat adalah atas kehendak dan izin ALLAH SWT.

Foto: Bernama & Koleksi foto Sinar Harian