Browsing Tag

bawa anak ke masjid

tip bawa anak ke masjid
Isu,

Bawa anak kecil solat di masjid. Ini tip elak ganggu jemaah lain

BERIKUT beberapa tip bawa anak kecil solat di masjid tanpa menganggu jemaah lain.

Setiap ibu bapa di luar sana mempunyai tanggungjawab memastikan anak mereka mengenali agama ALLAH SWT. Sesibuk mana sekali pun, pastikan anda tidak alpa dalam mendidik si manja dengan nilai murni serta pegangan agama yang kuat di jiwanya.

Oleh itu, ramai ibu bapa mengambil kesempatan membawa anak ke masjid dengan harapan agar si anak berjinak-jinak dengan ibadah.

Pun begitu, ada juga mak ayah yang terpaksa membatalkan hasrat mereka kerana bimbang anak kecil mereka mengganggu jemaah lain.

Baca juga Laksanakan solat sunat Tahiyyatul Masjid sebagai tanda memuliakan rumah ALLAH

Hukum kanak-kanak dibawa ke masjid dan dukung bayi ketika solat
Dalam mazhab Syafie, para fuqaha berpendapat bahawa tiada masalah untuk membawa kanak-kanak ke masjid berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Qatadah RA iaitu,

Aku melihat Nabi SAW mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulullah SAW. Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud baginda mengangkatnya semula.” (Hadis Riwayat Muslim)

Selain itu, melalui hadis ini ulama juga mengatakan bahawa perbuatan solat sambil mendukung bayi adalah dibenarkan, jelas portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Baca juga 12 amalan ringkas Rasulullah SAW. Rupanya senang nak dapat pahala

tip bawa anak ke masjid

RASULULLAH SAW sangat menyayangi sehingga baginda pernah memendekkan solat yang dilakukannya kerana terdengar tangisan anak kecil.

Kedudukan kanak-kanak di antara saf lelaki dewasa
Di dalam kitab Sahih al-Bukhari, terdapat sebuah hadis yang menceritakan bagaimana Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.

Menurut sebahagian ulama Syafie, seorang kanak-kanak boleh diletakkan di antara dua orang lelaki dewasa sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW supaya dia dapat mempelajari pergerakan solat.

Bahkan, ahli cendekiawan, al-Khatib al-Syarbini berkata kanak-kanak lelaki yang hadir terlebih dahulu berhak untuk solat di saf pertama dan tidak sepatutnya ditarik keluar semata-mata agar memberi laluan kepada lelaki dewasa.

Baca juga 5 perkara anak lelaki Muslim sejati harus kuasai di usia remaja 

Tip bawa anak solat di masjid tanpa ganggu jemaah lain:

1. Pilih masjid yang mesra jemaah.
Sebaik-baiknya pilihlah masjid yang luas, sejuk dan mempunyai kanak-kanak lain. Ini kerana masjid yang sempit boleh membuatkan anak-anak anda berasa tidak selesa.

tip bawa anak ke masjid

JIKA memilih masjid kecil yang cepat penuh, dikhuatiri boleh menyebabkan si kecil berasa kurang selesa kerana mereka sememangnya memerlukan ruangan besar agar dapat bergerak bebas.

2. Sediakan keperluan makanan dan mainan.
Anak yang masih kecil mungkin akan cepat meragam jika mereka lapar dan bosan. Oleh itu, sediakan keperluan makanan dan minuman supaya mereka tidak lapar atau dahaga.

Anda juga boleh membawa mainan kanak-kanak agar masa lapang anak dapat diisi. Tetapi, pastikan barang permainan tersebut tidak bising dan menganggu jemaah lain seperti buku warna, patung kegemaran dan lain-lain.

Baca juga Amalkan dodoi anak cara Islam

3. Membimbing dari masa ke semasa tentang adab di masjid.
Sentiasa membimbing serta mengingatkan anak-anak tentang adab berada di masjid seperti tidak meninggikan suara ketika bercakap dan berlari-lari sekitar ruang utama solat.

Nasihat boleh diberikan kepada anak bermula dari rumah lagi dan sepanjang berada di masjid.

Baca juga Hanya Kerana Lidah, ALLAH Akan Mencampakkan Muka Seseorang Dahulu Ke Dalam Neraka

4. Mengajak untuk bersolat bersama.
Selain itu, ajak dan beri galakan kepada anak anda untuk mengikuti imam supaya dia dilatih untuk bersolat.

tip bawa anak ke masjid

MEMANG seronok dapat mengimarahkan masjid namun ada ibu bapa yang terpaksa berfikir dua kali untuk menziarahi rumah ALLAH kerana bimbang anak akan menganggu jemaah lain.

5. Solat di hujung saf atau bersama saf kanak-kanak.
Bagi anak yang tidak menganggu tetapi keselamatannya dibimbangi oleh ibu bapa, tiada masalah untuk meletakkan anak di sebelah. Namun, dalam situasi ini, ibu bapa disyorkan bersolat di tepi dinding atau hujung saf.

Jika anak itu mampu berdikari, dia boleh berada bersama kanak-kanak di saf mereka tersendiri.

Baca juga Ibu bapa tanggung dosa anak-anak tinggalkan solat?

6. Beri pujian apabila dia berkelakuan elok dan tegah jika dia melampaui batas.

Jangan lupa juga untuk memuji anak anda apabila dia berkelakuan baik supaya dia bersemangat untuk terus menjadi baik.

Dalam masa sama, beri peringatan jika anak anda tersalah laku agar dia dapat memperbetulkan kesilapannya.

Baca juga Adakah dikira derhaka jika tegur ibu bapa lakukan kesalahan?

7. Solat di rumah lebih baik.
Bagi kanak-kanak yang terlalu kecil dan susah dijaga sehingga boleh mengganggu jemaah lain, maka sebaik-baiknya anak itu tidak dibawa ke masjid.

Dalam hal sedemikian, lebih baik bagi para ibu untuk beribadah di rumah sahaja jika risau tidak mampu mengawal keadaan anak di masjid.

Demikian beberapa perkara yang perlu diambil perhatian apabila membawa anak anda ke masjid.

tip bawa anak ke masjid

KEPADA ibu bapa dan para jemaah di masjid, gunakan bahasa yang lemah lembut apabila menasihati anak kecil supaya dia tidak takut untuk datang ke rumah ALLAH pada masa akan datang.

Yang paling penting, jangan biarkan anak anda begitu sahaja tanpa mengawasinya kerana jika tidak, dia tidak akan tahu bagaimana untuk menghormati masjid dan makmum yang lain.

Namun, dalam masa sama, jangan pula mengherdiknya kerana bimbang anak kecil itu tidak akan suka untuk datang ke masjid lagi.

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

Ingatlah, kanak-kanak akan tetap menjadi kanak-kanak walau di mana sekalipun. Oleh itu menjadi sebahagian tanggungjawab kita sebagai orang dewasa untuk menguruskan mereka.

Jadi, latihlah anak anda untuk ke masjid dari masa ke semasa supaya dia menjadi biasa serta lebih bersifat tertib dan tenang ketika berada di sana.

Foto & Sumber: The Asian Parent, Parents Connect Consultancy, Pexels & Unsplash