Browsing Tag

batu hitam

Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Hajar Aswad tidak kelihatan Hitam dari Dekat

no comment

GAMBAR Hajar Aswad atau batu hitam dengan resolusi hingga 49,000 megapiksel buat pertama kalinya ditontonkan kepada umum bulan lalu.

Apa yang menarik gambar resolusi tinggi itu mendedahkan batu hitam itu sebenarnya tidak kelihatan warna hitam dari dekat.

Pejabat Presidensi Umum Hal Ehwal Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi, berkata sebanyak 1,050 keping foto batu itu diambil dengan masing-masing berukuran 160 gigabit dan mengambil masa tujuh jam untuk dirakam.

Selepas dirakam foto itu diproses dengan teknik “focus stacking” yang menggabungkan beberapa foto yang mempunyai pelbagai titik fokus untuk menghasilkan gambar yang jelas, sehingga dapat melihat setiap bahagian batu yang tidak terlihat sebelumnya.

Keseluruhan proses rakaman dan edit itu mengambil masa lebih daripada 50 jam.

Ketua Pengajian Islam Universiti of Oxford, Afifi al-Akiti memberitahu CNN perkembangan itu signifikan kerana ia tidak pernah dihasilkan sebelum ini.

Daripada penelitian gambar itu, ilmuan warga Malaysia itu berkata: “Ia tidak kelihatan warna hitam…seseorang boleh melihat batu itu dengan secara amat dekat dan personal”

Gambar Hajar Aswad (Batu Hitam) diambil selama beberapa jam menggunakan teknik ‘focus stacking’.

“Dalam tradisi Islam, batu ini dianggap sebagai peninggalan suci, tetapi akal memainkan peranan utama dalam tradisi Islam,” katanya.

Walaupun ia sesuatu yang tidak pernah diperlihatkan sebelum ini: “Saya fikir umat Islam bersikap realistik dan sains memainkan peranan penting dalam agama ini, “katanya.

Makkah dianggap sebagai pusat kerohanian Islam kerana di situlah Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertamanya pada awal abad ke-7.

Hajar Aswad diikat dengan bingkai perak tulen dan diletakkan di sudut tenggara Kaabah, iaitu struktur berbentuk empat segi di tengah-tengah Masjidil Haram di Makkah.

Ketika musim haji, Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail akan menjadi tempat tumpuan jutaan jemaah haji menjalani salah satu daripada lima rukun Islam untuk mengelilinginya dengan berjalan berlawanan arah jam.

Namun situasi itu tidak lagi berlaku sejak pandemik Covid-19 melanda dunia tahun lalu dan tahun ini dengan hanya jemaah dari negara Arab Saudi dibenarkan menjalani ibadah itu.

Jemaah haji biasanya menyentuh, mencium, atau melambai ke arah Hajar Aswad ketika berjalan di hadapannya.

Jemaah haji biasanya menyentuh, mencium, atau melambai di Hajar Aswad.

“Batu itu asalnya berwarna putih, bukan hitam. Diperkatakan apabila jutaan manusia menyentuh batu itu sejak zaman Nabi lagi kerana memohon pengampunan dari Allah, batu itu bertukar menjadi hitam yang mencerminkan dosa-dosa umat manusia,” kata al-Akiti.

Menurut Oxford Islamic Studies Online, umat Islam menyatakan bahawa batu itu berasal dari Nabi Adam iaitu manusia pertama yang hidup di bumi. Dalam penyataan lain, dipercayai malaikat Jibril memberikan batu Hajar Aswad itu kepada Ibrahim ketika dia sedang membina Kaabah.

Menurut al-Akiti, saintis yang membuat kajian mendapati batu itu mungkin meteorit yang jatuh dari langit.

“Khalifah kedua Saidina Umar bin al-Khattab, yang pernah mencium Hajar Aswad menjelaskan kepada pengikutnya, beliau mencium batu hitam itu semata-mata kerana pernah melihat Nabi Muhammad SAW melakukannya,” kata al-Akiti.

Hajar Aswad diikat dengan bingkai perak tulen di sudut tenggara Kaabah.

Sumber dan Gambar: CNN, Haramain.Info