Browsing Tag

batalkan solat

Anak merengek
Hukum,

Risau anak merengek lama ketika ibu tengah solat, bolehkah batalkan sembahyang? Ini penjelasannya

Risau anak merengek lama ketika ibu tengah solat, bolehkah batalkan sembahyang? Ini penjelasannya

KETIKA sedang menunaikan solat, terdengar suara anak merengek dan menangis tanpa henti. Esakannya membuatkan kita merasa kasihan.

Terdetik dalam hati mahu membatalkan sembahyang yang didirikan itu untuk menenangkannya.

Begitupun, jangan sesekali terfikir untuk melakukan sedemikian andai tiada sesuatu perkara yang membimbangkan tentang keselamatan anak.

Ini kerana, menurut artikel Al-Kafi #1920: Hukum Membatalkan Solat Fardu Kerana Anak Menangis, membatalkan sesuatu amalan dengan sengaja tanpa sebab-sebab yang dibolehkan syarak adalah dilarang sama sekali.

Bahkan, hal itu disepakati oleh para fuqaha.

Anak merengek

TIDAK boleh membatalkan solat fardu tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. -Foto: 123rf

“Oleh sebab itu, seseorang yang mendirikan solat fardu tidak boleh membatalkan sembahyangnya melainkan jika terdapat keuzuran yang dibenarkan syarak.

“Antara keuzuran yang dibenarkan dalam Islam adalah seperti membunuh kala jengking, ular, menyelamatkan diri daripada bahaya atau apa sahaja yang boleh memberikan mudarat kepada diri orang yang sedang menunaikan solat,” katanya sebagaima dipetik dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Baca juga Status solat dalam keadaan takut dan risau

Perintah itu jelas disebutkan dalam Surah Muhammad, ayat 33 yang mana ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kepada Rasul ALLAH, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!”

Dalam sebuah hadis, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bunuhlah dua binatang hitam ketika solat iaitu ular dan kala jengking.” (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan kepada dalil tersebut, jelaslah bahawa kita tidak boleh membatalkan solat sewenang-wenangnya.

Malah, isu anak menangis ketika penjaganya sedang menunaikan solat fardu tidak termasuk dalam perkara darurat yang membolehkan sembahyang itu dibatalkan.

Anak merengek

ISU anak menangis ketika penjaganya sedang menunaikan solat fardu tidak termasuk dalam perkara darurat yang membolehkan sembahyang itu dibatalkan. -Foto: Canva

“Ia melainkan andai tangisan tersebut seolah-olah boleh membahayakan nyawanya,” ungkapnya.

Solusi terbaik bagi menangani masalah itu, kata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, caranya adalah dengan meringan dan mempercepatkan solat iaitu melakukan perbuatan rukun-rukun solat tanpa melaksanakan perkara-perkara sunat dalam sembahyang.

Ia berdasarkan kepada hadis diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketika aku sedang solat, aku ingin memanjangkan solat. Lalu aku mendengar tangisan seorang kanak-kanak hingga menyebabkan aku memendekkan solatku kerana bimbang akan menyusahkan ibu kepada kanak-kanak tersebut.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Bagaimana pula jika solat yang dilakukan itu melibatkan sembahyang sunat? Bolehkah ia dibatalkan kerana mendengar anak menangis?

Anak merengek

JIKA melibatkan ibadah sunat, seseorang boleh membatalkannya bersandarkan kepada hadis sahih. -Foto: 123rf

Menjawab persoalan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memetik pandangan Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj yang menyebut: “Sesiapa melaksanakan puasa sunat atau solat sunat dan seumpamanya daripada amalan sunat kecuali haji, maka dia boleh membatalkannya bersandarkan kepada hadis sahih; “Seorang yang berpuasa sunat berkuasa terhadap dirinya sendiri, jika sekiranya dia ingin terus berpuasa atau berbuka puasa, maka dia boleh melakukan demikian.”

Baca juga Tak boleh ulangi solat fardu saja-saja, ini yang perlu kita tahu

“Oleh itu, diqiaskan hal ini kepada solat dan seumpamanya. Oleh itu, firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu” merujuk kepada ibadah yang fardu.”

Justeru, jangan pandang remeh tentang perkara itu. Semoga peringatan sebegitu akan memperelokkan lagi solat kita selepas ini.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.